Home Cerpen Umum MAAFKANKU, AMPUNKANKU...
MAAFKANKU, AMPUNKANKU...
Asmah Hashim
22/8/2015 15:00:16
3,696
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Hujan yang turun renyai-renyai, menyejukkan pandanganku. Terasa reduh cuaca di luar sana, sama redup dengan hatiku. Jiwaku pasrah dengan ketentuan yang telah ditakdirkan terhadapku. Kepulanganku tidak dinanti, kehadiranku menyesakkan mereka. Kata-kata sindiran sering menyinggah telingaku. Bernanar rasa jiwa dan sanubariku. Aku menyandar di birai katil sambil memikirkan masa depanku. Masih adakah lagi peluang dan ruang untuk aku meneruskan kehidupan ini? Masih adakah insan-insan di luar sana yang masih sudi menerima kehadiranku kembali? Aku tahu salahku, aku tahu dosa yang telah aku lakukan telah mencoret dosa dan noda dalam kehidupanku dan keluargaku. Aku tahu, aku telah mencemar nama keluarga, dalam hatiku berjuta penyelasan bertamu.

“Kak long,” sapa seseorang yang berada di muka pintu.

Laju kepalaku menoleh. Emak? Aku melakarkan senyuman buat emak yang telah melahirkan aku ke dunia ini. Dia datang menghampiriku dan duduk di atas tilam. Dia merenung wajahku, kemudian menunduk memandang lantai. Lama dia membatukan diri. Aku kerisauan, apa pula yang ingin emak sampaikan.

“Mak rasa, baiklah kak long balik Kuala Lumpur. Di sini tiada apa untuk kak long. Tambah sakit hati dan sakit jiwa sahaja, hari-hari kena sindir, tahan ke kak long?” aju emak.

Aku terdiam. Aku baharu sahaja balik dari Kuala Lumpur. Ada sebab aku pulang ke kampung. Semua orang tahu sebabnya. Sudah jadi viral di FB tentang diriku. Lenyap sudah impianku, hilang sudah cita-citaku. Segalanya jadi sampah atas perbuatanku sendiri. Musnah dijilat api tanpa aku sedari. Jari-jemariku mati, fikiranku buntu untuk mengarang lagi. Dalam mengejar populariti, aku melawan arus, aku redah air yang sedang pasang lantaran kegelojohan ingin sampai ke seberang. Aku lupa, air yang deras kadangkala mampu menghanyutkan.

“Mak tak suka along balik ke?” tanyaku hiba. Berdegup laju jantungku. Resah hatiku, begitu sekalikah bencinya mereka kepadaku?

“Bukan tak suka? tapi, along kenalah faham,” ujar emak tanpa memandang wajahku.

Aku memejamkan mataku seketika. Hancur luluh hatiku. Rumah itu aku dirikan dengan duit yang aku perolehi sewaktu menulis karya itu. Karya yang telah menghancurkan hidupku dalam sekelip mata. Siang malam aku dicerca dan dihina, kata-kata nista ditumpahkan kepadaku. Mulanya tiada penyesalan di hati. Pedulilah apa orang hendak kata, asalkan aku mampu menjana populariti dikelilingi para peminat yang suka membaca tulisanku itu. Aku alpa dan leka, nasihat kawan-kawanku pandang sepi, kubiarkan mereka bernyanyi selagi daya, selagi ada suara. Sudah letih mereka pasti membisu seribu bahasa, tiada lagi irama untuk dinyanyi dan dilagukan. Itu tanggapanku. Rupanya lagu terus dinyanyikan, kali ini lebih lantang dan keras. Jatuh terduduk aku dibuatnya. Terasa pecah dadaku. Kawan-kawan yang dahulu kuanggap bagaikan keluarga sendiri juga mengamuk, seolah-olah tujuh keturunan tidak akan berhenti.

“Baiklah mak, jika sudah itu kehendak mak dan adik-adik,” kataku lirih.

“Along, jangan marah emak ya? Kalau boleh emak tak nak along keluar dari sini, ini rumah along juga. Along yang bina rumah ini.” Emak memandang wajahku sayu.

Aku tersenyum nipis. Memang aku membinanya tetapi dengan duit haram yang aku terima. Emak mana tahu? Tidak mungkin aku memberitahunya. Pasti hancur hati emak. Aku hanya memberitahunya bahawa rumah itu dibina oleh suamiku, emak percaya kerana suamiku bukan calang-calang orang. Bergaji dan berpangkat besar. Aku tidak pernah kekurangan apa-apa. Aku ikutkan hawa nafsu untuk jadi orang terkenal. Penulis terkenal. Aku lupa diri, aku ketepikan adab dan akhlak dalam berkarya. Aku buang jauh-jauh natijah yang bakal menimpa. Aku butakan mata dengan pandangan orang. Aku pekakkan telinga dengan teguran orang, terutama kawan-kawanku.

“Esok, along akan keluar dari rumah ini mak. Sesekali along telefon emak ya?” Aku memegang tangannya lembut. Kuusap perlahan lalu kucium dengan penuh rasa kasih dan sayang.

“Maafkan emak, along,” luah emak.

Kulihat matanya berkaca. Aku tahu emak pasti bersedih dengan apa yang berlaku.

“Hussin tak telefon along?” tanya emak, bertanyakan tentang suamiku. Erk… bekas suamiku. Aku diceraikan dengan talak satu sebaik sahaja aku ditangkap kerana menulis cerita lucah. Suamiku mengamuk, habis semua perkataan keluar dari mulutnya. Merah padam wajahnya. Matanya tajam memandangku.

“Kau cemar nama abang! Kau lupa siapa abang? Kenapa kau buat semua ini hah? Kau sengaja nak menghancurkan maruah dan harga diri abang ke? Kau tak kasihan dengan anak kita? Kenapa? Apa lagi yang kurang?” jerkah suamiku.

Bertalu-talu kemaafan terlahir di bibir, langsung tidak diendahkan. Malah suamiku telah meghalau aku keluar di waktu sepasukan polis sedang menunggu untuk membawa aku ke balai polis bagi disoal siasat. Ketika itu aku dan keluargaku pulang bercuti ke tanah air. Kegembiraanku dapat pulang ke negara tempat aku dilahirkan ini hilang sekelip mata.

“Kau jangan balik lagi ke sini, anak juga kau jangan jumpa. Kau cemarkan nama baik kami, nama keluarga abang, nama baik keluarga kau sendiri. Manusiakah kau ini?” marah suamiku, sebelum aku menaiki kereta polis.

Aku menangis sayu, teresak-esak namun tiada siapa yang simpati. Aku benar-benar bersendirian. Tiada teman, tiada kawan dan tiada keluarga, hatta suamiku sendiri membuang aku terbiar bagaikan kain buruk yang sudah tidak berguna lagi. Menangis sehingga keluar anak tekak, atau darah sekalipun, jalan pulang untukku bagaikan tertutup. Hina benar pandangan mereka menjadi penulis lucah ini. Aku mengambil risiko tanpa memikirkan natijahnya untuk kehidupanku di masa hadapan.

Ke mana aku hendak pergi? Aku tidak mahu dipenjarakan, maka aku membayar denda yang telah ditetapkan, maka aku terlepas bebas. Masalahnya habis semua duit simpananku. 50k aku perlu bayar untuk membebaskan diri. Nasib baik diberi peluang membayar denda, jika tidak… pasti aku dipenjarakan selama dua tahun. Ah! Menjadi penghuni penjara, bukan pilihan, dan tidak mungkin aku mampu menghadapinya. Rumahku juga sudah kugadaikan untuk mendapatkan duit bagi membayar denda yang dikenakan. Kali ini, aku benar-benar muflis dan miskin. Pulang ke kampung dengan harapan keluargaku akan menerima kehadiranku. Malang sekali, anggapanku salah. Mereka juga marah, mereka juga berasa terhina rupanya. Apa yang telah aku lakukan? Aku telah kehilangan semua dalam keghairahanku mengejar nama. Mana dia peminat yang menyanjungku waktu aku berada dipuncak kejayaan? Kenapa mereka tidak hadir untuk memberi aku sokongan dan dokongan? Ah! Manusia, berada di sisi jika aku berjaya, meninggalkan aku bila aku ditimpa musibah.

“Along!” tegur emak.

Aku tersedar daripada lamunan. Wajah emak yang mendung kutatap seketika.

“Bersabarlah, berdoalah kepada ALLAH agar ada jalan keluar. Kembalilah kepada Dia. Jangan sesekali ulang perkara yang sama. Sehingga ke mati orang akan bercakap. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali, kata bidalan orang tua-tua yang perlu along pegang dan simpan,” nasihat emak. Matanya sudah mula melahirkan manik-manik jernih.

“Maafkan along mak,” kataku lirih.

“Laa… tak keluar lagi?” tegur adik keduaku. Matanya tajam merenungku.

“Angah, along nak ke mana? Inikan rumah along juga?” tanyaku semula.

“Itu bukan soal kami, along dah menconteng arang pada kami semua. Kami tak sanggup menanggung malu, umpat keji orang. Apa bezanya along dengan ‘pelacur’? Pelacur jual tubuh, along jual novel lucah! Kami malu tahu tak? Waktu along nak jadi penulis, kami tumpang bangga, kami sokong impian dan cita-cita along, tapi apa yang along buat? Along cemarkan bakat yang ada, sampai hati along!”

“Maafkan khilaf along!” kataku lagi.

“Maaf, maaf, maaf! Mudahlah ucap along. Along bukan budak-budak, along berpelajaran, perkara macam ini pun along tak boleh fikir?”

“Sudahlah angah. Jangan dimarahi lagi along tu, dia dah insaf!” tegur emak.

“Memanglah insaf. Tapi mak, sekali buat jahat selamanya orang ingat!” marah adikku.

Benar katanya, sekali buat jahat, selamanya orang ingat.

“Angah akan bawa mak keluar dari rumah ini. Ini rumah yang along bina dengan duit haram tu, kan? Kami takkan duduk di rumah ini. Along dah gila agaknya? Bina rumah untuk emak dengan duit haram?” bebel adikku lagi.

“Angah!” Aku tidak mampu berkata apa-apa lagi. Semuanya benar belaka.Air mataku mengalir laju. Semakin laju dan hatiku bertambah terluka, semuanya kerana sikapku sendiri. Rakan-rakan semuanya menjauh. Peminat dan penjual buku-bukuku juga telah menghilangkan diri.

“Along kena ingat satu saja, jika waktu along menulis karya cabul itu, ALLAH ambil nyawa along, agak-agak along sempat ke along bertaubat dan mengucap? Along tak takut ALLAH ke?Hish… tak fahamlah! Mana kepala otak along agaknya? Mana pergi akal fikiran along?” marah adikku berapi-api.

Aku tidak mampu menyangah kata-katanya. Semuanya benar belaka. Katalah nyawaku dicabut ketika itu? Sempatkah aku bertaubat? Ya ALLAH, ampunkanlah dosaku. Kalaulah aku tidak ikut kata hati, pasti hidupku tidak musnah begini. Aku kehilangan keluarga, aku kehilangan masa depan dalam dunia penulisan. Orang sudah tahu siapa aku? Biarpun aku berbuat baik, namaku sudah tercemar. Namaku mungkin boleh diubah, tetapi wajahku bagaimana? Ah! Kalaulah aku tidak gelojoh pasti hidupku bahagia sehingga kini. Maafkanlah aku, ampunilah aku Ya ALLAH!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.