Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,849
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 7

Hanum mendekati anak gadisnya yang sedang leka memancing di tali air di hadapan rumah. Itulah hobi Roseyatimah jika pulang ke kampung. Menghabiskan masanya di gigi air sambil melayan perasaan sendiri. Kalau penulis buku tentu idea akan mengalir keluar. Anaknya tidak berbakat dalam bidang tersebut. Ada ketika hati keibuannya berasa simpati dengan nasib Roseyatimah yang dilahirkan berbeza sungguh daripada adik-adiknya yang lain. Kulitnya gelap sangat bagaikan wanita Afrika. Sedangkan dia suami isteri tidaklah gelap sangat. Pernah juga terfikir pihak hospital tertukar anaknya dengan orang lain, sehinggakan memaksa mereka suami isteri menjalani ujian darah untuk menentukan bahawa Roseyatimah benar-benar anak mereka. Keputusan mendapatkan Roseyatimah adalah darah daging mereka.

Kenapa dia berkulit gelap? Hanya ALLAH SWT jua yang tahu, mungkin juga mewarisi kulit arwah nenek suaminya. Sewaktu kecil, anaknya sering dihina dan dibuli oleh rakan sekampung kerana keadaan fizikalnya itu. Simpati menerpa di hati. Biarlah buruk pandangan orang, namun dia tetap sayang kepada anak gadisnya itu. Malah Roseyatimah merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Cuma, akalnya pendek memilih bidang yang langsung tidak sesuai dengan dirinya.

“Rose ada masalah ya?” tanya Hanum setelah melabuhkan punggung di sebelah Roseyatimah.

“Mana ada mak.” Roseyatimah menoleh, memandang wajah emaknya yang masih kelihatan muda biarpun usia sudah menjangkau lewat 40-an.

“Rose kan anak mak,takkan mak tak kenal anak sendiri. Kena buang kerja?”

“Taklah mak!” jawapan dan nada yang sama.

“Rose… carilah kerja lain jika kerja sebagai setiausaha tidak sesuai dengan Rose, atau pun Rose sambung belajar kembali. Ambil bidang lain pula,” cadang Hanum.

Roseyatimah memandang wajah emaknya tidak berkelip. Emaknya psikikkah? Tahu akan keadaann dirinya? Macam tidak percayalah pula. Dahinya berkerut. Dia mengeluh. Penat juga main sembunyi-sembunyi seperti ini. Kalau dia berterus-terang, agak-agak kena marah tak? Dia berfikir seketika. Kalau kena sembur dengan kedua orang tuanya, bagaimana? Takut juga.

“Rose dah salah pilih kerjaya ke mak?” soalnya. Dadanya sebak. Angan-angan Mat jenin dan menongkah arus tidak sentiasa memihak kepada diri, kalau salah percaturan diri sendiri yang rugi.

“Mungkin! Tetapi ilmu yang ada bukan sia-sia. Masih boleh digunakan untuk masa hadapan. Jadi, apa cadangan Rose seterusnya?” Hanum tersenyum, dia cuba menjadi seorang ibu yang memahami kepada anak gadisnya yang sudah matang usianya. Dia berharap Roseyatimah mahu berubah dan menerima nasihat orang lain.

“Nantilah Rose fikirkan.” Kailnya bergoyang, mungkin ikan sudah memakan umpan. Roseyatimah menarik pancing. Memang benar, seekor ikan keli bergerak-gerak minta dilepaskan di mata kail. Dia tersenyum gembira. Sedap digoreng garing-garing. Makanan kegemarannya, ikan keli goreng.

“Nak mmancing lagi ke?” tanya Hanum.

“Awal lagi mak. Biarlah Rose di sini, dapat dua tiga ekor baharu Rose berhenti ya,” jelas Roseyatimah. Dia masih memikirkan tentang masa hadapannya. Tidak mungkin dia mengganggur begini. Dia mesti cari kerja baharu. Dia tidak mahu menyusahkan kedua orang tuanya. Kalau dia hendak sambung belajar sekalipun biarlah duitnya sendiri atau memohon pinjaman PTPTN.

“Jangan berjemur pula!” tegah Hanum.

“Baik mak.” Roseyatimah melemparkan senyuman. Pesanan seorang ibu, biar bagaimana buruk fizikal seorang anak, di mata seorang ibu tetap cantik dan jelita. Dia tersenyum sendiri. Biar buruk wajah, jangan buruk perangai, itulah pesanan ayahnya selalu.

Apalah kerja yang sesuai dengan jiwanya? Kenapalah dia berdegil hendak jadi setiausaha juga? Bukan tiada kerja lain lagi. Banyak di pasaran. Kenapa tugas itu juga yang menjadi pilihan hatinya? Apa yang istimewa sangat menjadi seorang setiausaha? Penat sungguh mengeluh. Dia takut hendak bertukar kerjaya, takut tidak sesuai dengan dirinya. Kalau jadi kerani, bagaimana? Roeyatimah terus berkira-kira untuk memilih kerjaya yang kena dengan hatinya. Penat berfikir, baiklah layan tangkap ikan keli, bisik hati kecilnya.

“Cik Rose! Bila balik?”sapa seorang wanita yang agak berumur daripada emaknya.

Roseyatimah memandang empunya suara. Aduhai. CNN bergerak sudah sampai. Kenapalah hari ini wanita itu lalu di hadapan rumahnya.

“Mak Limah,” sapa Roseyatimah lembut. Kalau ikutkan hati ketika itu juga dia melarikan diri. Biar wanita itu tidak sempat menegur dan bertanya khabar dirinya.

“Cuti ke? Atau kena buang kerja?” tanya Mak Limah sambil menyengih, menampakkan barisan giginya yang semakin berkurangan akibat mamahan usia.

“Cutilah! Kenapa pula nak kena buang kerja?” sakit benar hatinya mendengar butir bicara Mak Limah. Pantang sungguh dia mendengar ayat ‘buang kerja’. Memanglah dia kena buang kerja? Kenapa? Ada masalah? Bukan dia seorang yang dibuang kerja, ramai lagi.

“Manalah tahu, bos Rose bosan tengok bulan mengambang saja. Sesekali nak juga tengok pelangi selepas hujan.” Semakin lebar senyuman Mak Limah.

Pandai pula berkias bagai. Nama pun orang tua, banyak bahasa melankolik di jiwa agaknya.

“Saya bukan bulan Mak Limah. Bos saya pun tidak teringin nak tengok pelangi. Apa yang dia nak tengok adalah kerja yang diberi siap semuanya!” katanya agak keras. Suka membandingkan dirinya dengan bulan, mentang-mentanglah bulan hanya muncul di waktu malam.

“Ait! Marah? Oh ya kebetulan bertembung dengan kau ni, Mak Limah nak sampaikan berita. Haikal datang meminang si Aina. Kalau kau tak balik ke KL lagi, bolehlah datang ke majlis pertunangan Aina dan Haikal ya,” cerita Mak Limah. Rupanya kedatangannya ada tujuan.

Haikal? Aina? Haikal sudah tamat belajarkah? Sudah pulang ke tanah air? Kenapa tidak mencarinya? Hatinya panas tiba-tiba. Bila pula Haikal dan Aina berkawan? Setahunya Aina dan Haikal tidak boleh berjumpa, pasti bergaduh. Bergaduh pun sebab dirinya. Aina sama seperti Mak Limah, suka mengejek dan memperkecilkan dirinya. Dia tahulah Aina itu cantik, manis dan bergaya, persis Che Ta, pelakon yang cantik menawan itu. Hendak dibandingkan dirinya sudah tentu jauh panggang dari api. Semakin menanar hatinya. Haikal memilih musuhnya sebagai teman hidup. Tidak guna punya sahabat! Dia mengumam sendiri.

“Mak kau ada di rumah?” tanya Mak Limah dengan wajah berseri-seri.

Ala, setakat bertunang dengan Haikal, apa nak hairan. Dia nanti akan berkahwin dengan anak raja, tunggulah! Katanya di dalam hati. Marah membuak-buak, kalau berdarah pasti basah laman rumah orang tuanya itu. Hatinya terhiris. Haikal sahabat baiknya sewaktu di bangku sekolah, kenapa tidak mencarinya? Kenapa tidak memberitahunya akan bertunang, sudah ada kekasih. Roseyatimah berasa terhina. Terasa dirinya semakin jauh daripada Haikal. Dia akan kehilangan Haikal. Sudah pasti Aina tidak suka dia rapat dengan Haikal, biarpun hati mereka tiada sedikit pun perasaan cinta. Tetapi persahabatan itulah yang bernilai. Sebut pasal anak raja? Anak raja mana yang berkena dengan dia? Raja Gopallah kut.

“Hoi, Dayang Senandung! Mak kau ada di rumah? Mengelamun pula?” herdik Mak Limah.

“Apalah Mak Limah, lemah jantung saya kerana terkejut!” Roseyatimah mencebik.

“Mak Limah tanya kau tak jawab?” Mak Limah menggeleng laju.

“Ada!” sepatah sahaja dia menjawab.

Mak Limah melangkah meninggalkan Roseyatimah sendiri, melayan rasa hati yang parah terluka akibat perbuatan sahabat sendiri. Sudahlah dia ditimpa malang, bertambah malang bila ada di kampung. Kenapalah waktu ini pula si Haikal itu pulang dan bertunang! Memang menyakitkan hati betul! Jeritnya dalam hati.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.