Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,926
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2

Zaiton mundar-mandir di hadapan pejabat Pengurus Bahagian HR syarikat tempat dia bekerja. Kepalanya yang tidak ada uban dan kutu pun sudah terasa gatalnya, disebabkan peluh. Sekejap-sekejap dia terintai-intai ke dalam bilik Puan Pengurus. Mana pulalah perginya? Sudah sejam dia berkeadaan begini. Untung hari ini bosnya masuk lambat kerana melawat tapak projek. Kalau tidak jangan harap dia boleh berada di ruang itu.

“Tak penat ke kau Ton! Berkawad macam polis pencen yang dah lama tak berkawad!” tegur Kak Selly, setiausaha kepada Puan Pengurus Bahagian HR syarikat tempat dia bekerja itu.

“Penat kak! Siapa kata tak penat? Kepala saya ni lagi penat, kalau saya tak tunggu di sini. Orang di rumah tu, dah menangis seminggu kak! Mister Potato yang dimakan rasanya dah berkotak dia beli! Tak pasal-pasal mati anak orang kerana darah tinggi kak!” cerita Zaiton. Setiap kali dia balik dari kerja, pasti soalan cepu mas akan ditanya oleh Roseyatimah, sama ada dia sudah mendapat jawapan dari surat rayuan yang dihantar.

“Geli pula hati akak dengar kata-kata kau Ton. Simpati pun ya juga kat Rose. Tapi… itulah, kau pujuklah dia, cari kerja dalam bidang lain. Kerja sebagai setiausaha ni hanya hendak orang yang cantik menawan macam kita ni,” kata Selly yang sememangnya cantik bergaya. Potongan badannya mengalahkan Miss Universe. Kalau masuk pasti menang.

“Dah puas saya pujuk kak. Dah berbuih mulut saya ni! Langsung dia tak nak dengar. Tapi itulah… sewaktu di kolej, dia pelajar cemerlang kak!” Zaiton mengeluh. Memanglah Roseyatimah tidak cantik, pensyarah yang mengajar mereka pun sudah berpuluh kali bercakap dengan temannya itu agar mencari bidang lain. Kerana dia tidak sesuai bekerja di dalam bidang itu. Tetapi, degilnya lebih keras dari besi waja. Dia menghabiskan juga ijazah dalam bidang kesetiausahan malah mendapat anuerah Dekan. Terkejut para pensyarah yang mengajar mereka. Roseyatimah memang seorang pelajar yang cemerlang dan rajin.

“Kau pujuk sehingga berbuih, mana dia nak dengar, dia nampak buih saja,” gurau Selly.

“Yalah, kelakarlah sangat!” Zaiton mencebik.

“Janganlah marah. Tertekan jiwa akak tengok muka kau Ton. Tak pasal-pasal akak yang sudah 30-an ni jauh lebih muda daripada kau yang baharu 20-an,” usik Selly.

“Akak kira tertekan akak! Saya ni lebih lagi kak. Bukan saja tertekan, terhimpit terus!” Zaiton menggeleng laju.

“Kau baliklah ke tempat kau dulu. Kalau Puan Zalila sampai nanti… akak telefon kau,” janji Selly.

“Yalah kak… jangan tidak-tidak kak. Kalau akak tak nak tengok saya jadi arwah cepat!” Zaiton mengenyitkan mata. Dia kembali ke tempatnya semula. Dia merupakan setiausaha kepada Tuan Halim, Pengurus Bahagian Akauan syarikat itu.

“Yalah! Kalau dah jadi arwah… akak sedekahkan saja al-Fatihah!” Selly ketawa kuat.

Zaiton mencebik. Sempat pula Kak Selly mengenakannya. Dia melangkah kembali ke tempat kerjanya. Dia mengeluh. Penat sungguh melayan kerenah Roseyatimah yang masih tanam anggur di rumah. Suruh balik kampung tidak mahu. Suruh cari kerja lain, banyak pula songehnya. Yang susah dia juga. Apalah nasib badan.

“Awak ke mana Ton? Puas saya cari?” tegur Halim yang baharu sahaja keluar dari biliknya.

“Apalah, Encik Halim ni, berilah salam. Kalau saya ada sakit jantung, boleh mati terkejut tau!” Zaiton mengurut dada.

“Erk… apa yang awak mengelamunkan? Sampai saya panggil dari tadi awak tak dengar?” Halim menggeleng. Apa pula yang tidak kena dengan setiausahanya itu. Sudah dua tahun Zaiton menjadi setiausahanya. Selama bertugas di syarikat itu, Zaiton dikira sebagai seorang pekerja yang cekap dan rajin.

“Bukan mengelamun! Tapi berfikir…”luah Zaiton. Dia mendengus keras.

“Fikir apa pula?” tanya Halim. Dia tidak mahu dituduh sebagai seorang ketua yang tidak prihatin dengan masalah pekerjanya. Apatah lagi Zaiton. Dia sudah selesa bekerja dengan gadis itu. Segala urusannya berjalan lancar.

“Fikir pasal Dayang Senandung di rumah saya tulah En. Halim! Tunggu Puan Zalila, tak muncul-muncul. Erk… maafkan saya En. Halim. Tak pasal-pasal cerita masalah yang sedang saya hadapi. Tadi pagikan, En. Halim kata nak ke tapak projek, kenapa tiba-tiba muncul.”

“Ada dokumen yang tertinggal. Saya ingatkan awak ada tadi,” jelas Halim tentang kehadirannya ke pejabat.

“Maafkan saya En. Halim.” Zaiton berasa bersalah. Dia hampir mengabaikan tugasnya.

“Tadi awak sebut pasal Dayang Senandung? Siapa Dayang Senandung? Adik beradik awak ke? Setahu saya nama Dayang Senandung adalah filem lama,” ujar Halim, berminat ingin tahu.

“Dayang Senandung? Ooo… pelakon Melayu lama yang ada di rumah saya tu, En. Halim. Roseyatimah!” Zaiton tersenyum sehingga ke telinga.

“Ooo…” Halim tersenyum, fahamlah dia perkara sebenar.

“Dia masih meroyan dan suruh awak pujuk Puan Zalila ke?” soal Halim kepada setiausahanya itu.

“Yalah En. Halim! Itu yang kepala saya pening sangat ni! Kenapalah Puan Zalila tamatkan kontraknya? Diakan rajin bekerja, pristasinya juga baik.” Zaiton mengeluh.

“Awak sendiri tahu sebabnya.” Halim mendengus kasar.

“Kalau kerana paras rupa, rasanya tak adillah En. Halim!” Zaiton membantah. Hanya kerana paras rupa Roseyatimah, gadis itu ditamatkan kontraknya. Itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada pekerja yang rajin seperti sahabatnya itu. Ramai lagi yang malas, kenapa tidak dibuang. Kalau hendak dibandingkan dengan Roseyatimah, mampu berbuat apa sahaja jika diberi sebarang apapun tugasan kepadanya. Tidak pernah menolak dan tidak pernah culas melakukannya. Hanya kerana sekeping wajah yang tidak cantik, maka segalanya punah tanpa dinilai mutunya.

“Saya pun tak tahu nak cakap apa Ton, saya pun hanya makan gaji di sini. Kalau awak berani, pergilah merayu kepada CEO kita tu. Manalah tahu, mungkin dia boleh membantu,” ajar Halim.

“CEO? Tuan Nizam, maksud En. Halim?” dahi Zaiton berkerut.

“Yalah… CEO syarikat ini seorang saja!” tempelak Halim. Setiausahanya juga sudah hilang arah. Agaknya terlalu memikirkan masalah Roseyatimah sehingga otak pun beku juga.

“En. Halim dah jumpa ke apa yang dicari?” Zaiton memandang ke arah fail yang dipeluk oleh ketuanya itu.

“Dah! Awak tu, buat kerja seperti biasa. Kang tak pasal-pasal awak pula dibuang kerja,” usik Halim.

“Apalah punya celupar mulut En. Halim… minta dijauhkan!” Zaiton mencebik.

Halim ketawa. Dia mengatur langkah meninggalkan Zaiton untuk menyambung kerja-kerjanya.

Zaiton memandang sahaja ketuanya hilang daripada pandangannya. Dia menongkat dagu, masih berfikir. Masih tercari tempat yang sesuai untuk Roseyatimah bekerja. Cadangan ketuanya tadi boleh juga diguna pakai. Berjumpa sendiri dengan CEO syarikat itu. Manalah tahu ada peluang untuk Roseyatimah nanti. Kalau tidak dipecahkan ruyungnya, manakan dapat hasilnya. Kalau nak tahu tanah itu subur, kenalah bercucuk tanam dahulu. Zaiton tersenyum gembira. Dia menekam punat interkom. Nombor talian dalaman bilik CEO ditekan pula.

“Kak June! Inilah… Zaiton, setiausaha En. Halim bahagian Akaun,” Zaiton memperkenalkan diri, selalunya mereka sesama setiausaha saling kenal antara satu sama lain. Maklumlah selalu berjumpa di majlis yang melibatkan syarikat tempat mereka bekerja.

“Hah! Apa hal? Tak pernah-pernah kau telefon? Apa mimpi? Jumpa putera raja malam tadi ke?” gurau June yang sudah lama berkhidmat di syarikat itu.

“Kalau jumpa putera raja tak apa? Ini hari-hari jumpa langsuir lapar darah!” gurau Zaiton, terbayangkan wajah Roseyatimah berpakaian putih, duduk di atas pokok sambil menyanyi dan mulutnya ada lelehan darah. Eee… geli pula memikirkannya. Hendak ketawa pun ada juga, kerana langsuir itu berkulit gelap. Zaiton menekup mulutnya. Takut pecah gelaknya. Tidak pasal-pasal ada yang menghantarnya ke wad orang sakit jiwa.

“Langsuir lapar darah? Kau ada ambil gambar? Kak June nak juga tengok rupa langsuir tu. Ada orang kata, cantik menawan,” sambut Kak June.

“Apalah Kak June ni? Mana ada langsuir zaman Globalisasi, Era milinium! Langsuir rambut hitam, kulit hitam adalah!” pecah gelak Zaiton kerana ketika itu dia sedang membayangkan Roseyatiman menjadi langsuir. Semakin difikir, semakin terasa geli di hatinya. Hish… tidak baik ketawakan orang. Macamlah dia cantik sangat. Terasa bersalah pula dalam hati, biarpun dia tahu, Roseyatimah tidak pernah berkecil hati, jika orang memperkatakan tentang keadaan fizikalnya. Dia akan cuba membantu sahabatnya itu sehingga mendapat kerja semula. Itulah janjinya kepada dirinya sendiri. Kalau terpaksa menyeberang lautan api pun dia sanggup harungi… erk… taklah, itu bunuh diri namanya, orang bunuh diri tidak cium bau syurga. Dia akan bertemu dan berhadapan dengan CEO syarikat itu. Muktamad! Janji temu pun dibuat dengan Kak June, setiausaha CEO syarikat tempat dia bekerja.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.