Haikal
termenung jauh, sejak dia pulang dari luar negara dan menamatkan pelajarannya
dia tidak lagi menghubungi Rose, sahabatnya sewaktu di zaman sekolah. Bukan sengaja, tetapi itulah permintaan Ain
yang kini sudah pun sah menjadi tunangannya.
Dia tahu permusuhan Rose dan Ain ketika di zaman sekolah. Setelah dewasa dan mereka bertemu kembali, Ain
semakin cantik di matanya. Majlis
pertunangannya pun Rose tidak datang.
Kalau boleh dia ingin merahsiakan majlis pertunangan tersebut. Manalah
dia tahu gadis itu akan pulang ke kampung.
Aduhai… mati akal jadinya. Lagipun dia berbaik dengan Rose sewaktu zaman sekolah hanya kerana rasa simpati, tidak lebih
daripada itu. Kini, keadaan sudah
berbeza. Adakah dia berasa malu berkawan
dengan gadis itu?
Kalau dia tidak lagi berhubung
dengan Rose, rasanya tiada masalah agaknya.
Namun perasaan simpati tetap timbul di hati. Gadis itu tiada ramai
kawan. Mungkin keadaan fizikalnya itu
membuatkan orang sukar untuk mendekati gadis itu. Bagi dirinya pula, Rose seorang gadis yang
baik, pandai dan tidak berpura-pura.
Hubungan mereka terputus sewaktu dia menyambung pelajaran ke luar
negara. Dia sendiri yang tidak berhubung
dengan Rose, dia sendiri tidak tahu apa sebabnya. Cuma tidak ada hati untuk menghubungi gadis
itu lagi. Bukan tidak suka, atau membenci. Entahlah… dia sendiri tidak tahu
sebabnya. Mungkin kesibukan belajar dan ingin menumpukan perhatian pada
pelajaran membuatkan dia membataskan hubungannya dengan Rose. Gadis itu pun tidak pernah menghubunginya
sehinggalah mereka bertemu baharu-baharu ini. Pertemuan yang tidak
disangka-sangka. Dia mengeluh berat.
“Jauh menung dan asyik mengeluh saja
mak tengok? Ada masalah ke?” Hajah Mona duduk di sisi Haikal,
satu-satunya anak yang dia ada. Arwah
suaminya sudah lama meninggal, sejak Haikal berusia sebelas tahun. Sekarang sudah berusia 23 tahun. Wajah Haikal yang saling tidak tumpah seperti
arwah suaminya. Kulit putih kuning, hidung mancung. Tinggi lampai, badan sederhana besar. Tidak
kurus dan tidak terlalu gemuk, sedap mata memandang. Kening anak bujangnya itu juga lebat. Tiada sebarang kumis menghiasi wajah anaknya
itu.
“Tak adalah mak, saja memikirkan hal
kerja,” luah Haikal. Tidak mahu emaknya
mengetahui masalahnya dengan Rose.
“Dah jumpa dengan Rose? Semalam dah tak datang. Dia merajuk dengan Haikal ke?” Wajah cemberut
anak bujangnya menjadi renungan matanya.
“Dia dah balik ke Kuala Lumpur mak,”
beritahu Haikal.
“Ooo… tak sempat mak nak jumpa dia,
rindu pula nak dengar celotehnya. Haikal… mak tahu tentu Haikal serba-salah,
kan? Ain tu musuh ketat Rose. Rose pula, sahabat Haikal. Kena jaga hati dan perasaan isteri, faham maksud mak?” Hajah Mona tidak mahu Haikal terlalu
melebihkan perasaan Rose sehingga menyakitkan hati Ain. Bukanlah dia tidak suka dengan Rose tetapi
dalam keadaan dan situasi seperti itu, Haikal kena memilih.
“Apa ke situ pula yang mak
fikir? Rose tak pernah ganggu Haikal. Ain
pula… macam biasa tetap membenci Rose.
Tahulah saya mak. Jangan bimbang
ya?” Haikal tersenyum. Macamlah dia tahu apa nak dilakukan. Puas dia memujuk Ain agar dapat menerima Rose
sebagai seorang kawan. Ain masih
berkeras tidak mahu menerima. Dia tidak
mampu berbuat apa-apa. Biarlah Rose
melalui hidupnya sendiri.
“Bila nak balik Kuala Lumpur?”
“Esok kut mak. Kalau cuti lama-lama,
banyak pula kerja yang tertangguh. Mak
jaga diri ya. Kalau mak berhenti
mengajar awalkan bagus, boleh ikut Haikal ke Kuala Lumpur.” Ajak Haikal.
“Hish, tak naklah. Sekurang-kurangnya duduk di kampung ni banyak
aktiviti yang boleh mak lakukan. Biarlah
mak di sini. Haikal sesekali baliklah,
atau seringlah telefon mak.”
“Insya-ALLAH mak. Itulah mak, Haikal
suruh mak nikah lagi, tak nak?” Duga
Haikal. Sejak arwah ayahnya meninggal,
hati emaknya bagaikan tertutup untuk bernikah lagi. Hidup emaknya hanya terisi untuk dirinya
sahaja. Nasib baik emaknya bekerja
ketika itu. Emaknya seorang guru, sekarang
pun masih mengajar, tinggal beberapa tahun lagi akan pencen.
“Tak naklah… dah selesa hidup begini. Tak perlu jaga makan minum orang lain. Boleh tidur lena tanpa gangguan,” kata Hajah
Mona sambil menyengih. Bukan dia tidak
mahu berkahwin lagi tetapi hatinya tertutup untuk mana-mana lelaki. Dia lebih suka bersendiri. Lebih aman dan terasa damai di hati. Dia boleh berbakti dan membantu orang
lain. Kesibukannya dengan persatuan
sekolah dan di kawasan kampungnya membuatkan hidupnya tidak pernah sunyi. Dia
benar-benar bahagia, apatah lagi melihat kejayaan satu-satunya anak lelaki
penyambung kasih antara dia dan arwah
suaminya.
“Duit gaji kenalah mula simpan
sedikit demi sedikit. Kendurinya hujung
tahun ni. Mak takut tak cukup pula duit
untuk hantaran. Bukan sedikit jumlah yang diminta oleh pihak perempuan,” pesan
Hajah Mona. Dia tidak mahu anak bujangnya
boros berbelanja. Sudah boleh mula memikirkan untuk masa hadapan. Sudah bakal bergelar suami orang. Bukan dia tidak boleh membantu, tetapi dia
mahu Haikal menjadi lelaki yang bertanggungjawab.
“Insya-ALLAH mak. Nanti Haikal
masukkan ke dalam akaun mak. Kalau
simpan sendiri, takut terbelanjalah pula.” Sengih Haikal. Dia seorang yang boros berbelanja. Duit gaji yang diperolehi tidak pernah
bersisa. Kalau tidak kerana emaknya
berkeras suruh dia menyimpan, jangan harap dia akan menyimpan.
“Haikal tak pernah jumpa Rose di
Kuala Lumpur ke?”
“Tak pula mak. Nombor telefon dia
pun Haikal tak ada,” terang Haikal.
“Pergilah rumah Mak Cik Hanum,
tanyakan nombor telefon Rose,” suruh
Hajah Mona.
“Nantilah mak. Petang ni ada Haikal nak jumpa Ain sebelum balik
KL esok”
“Kau orang kerja di tempat yang berlainan. Kenalah jaga diri baik-baik. Haikal pun janganlah sesuka hati keluar
dengan perempuan lain. Kena ingat, awak
tu dah bertunang, bakal jadi suami orang,” nasihat Hajah Mona. Dia tidak mahu Haikal curang atau bermain
kayu tiga di belakang Ain. Itu
menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai orang tua, dia perlu mengingatkan dan berpesan agar Haikal tidak
tersalah langkah.
“Baik mak. Haikal ingat pesan mak tu.” Itulah sikap
terpuji yang ada dalam diri emaknya.
Terlalu memikirkan orang lain.
Bagaimana pula jika Ain curang kepadanya? Dia tersenyum sendiri. Terlalu jauh dia berfikir. Nau’zubillah, semoga perkara itu tidak
berlaku. Baik dirinya atau Ain
sendiri. Hubungan mereka terlahir atas
dasar cinta, suka sama suka. Semoga kukuh
dan utuh sehingga ke akhirnya