Bunyi
hon kereta yang kedengaran di luar rumah membuatkan sesiapa sahaja yang sedang
jaga atau enak dibuai mimpi pasti terkejut.
Mahu luruh jantung jadinya. Siapa
pula yang datang secara kasar, tidak ada budi bahasa. Main kasar nampak? Rose mengeluh kesal. Emak dan ayahnya tentu ada di dapur. Habislah mereka mengamuk nanti, siapalah
punya kerja. Terpisat-pisat Rose bingkas
bangun. Memaksa diri menjengah keluar. Kejadian
semalam masih berbaki di hati. Dia tidak
bertegur sapa dengan kedua orang tuanya. Hatinya terluka, parah dan
kecewa. Sejak semalam dia tidak menjamah
sebarang makanan. Hanya menelan air
minuman. Putus seleranya. Masih terngiang-ngiang kata-kata Mak Limah, masih terasa sakit tamparan sulong
ayahnya. Mana boleh tahan. Kalau dia
pendek akal sudah pasti lari tinggalkan rumah.
Rose berdiri di sebalik tingkap,
memerhati kereta yang berada di laman rumah.
Dia terintai-intai. Terjengah-jengah nak melihat kelibat siapakah
itu? Dia melihat kedua orang tuanya
sudah pun berada di pintu depan rumah.
Keluar dua manusia yang begitu dikenalinya. Matanya hampir tersembul keluar. Dia mengetap bibir. Giginya saling bertautan. Rasa nak dilapah tubuh seseorang.
“Haikal, Ain?” Hanum mengerut dahi. Wajah Ain yang
berplaster dan masih kelihatan lebam membuatkan dia kehairanan. Kuat
sangatkah pukulan anak perempuannya? Tubuh anaknya kecil sahaja. Tumbukan pun adalah sebesar bayi berusia
setahun. Takkanlah seteruk itu? Bengkak
pipi Ain, macam kena sengat tebuan.
“Rose ada Mak Hanum?” tanya Haikal
lembut.
“Rose mana mak cik?” tanya Ain agak
keras dan kasar.
Haikal menyiku Ain yang berada di
sebelahnya. Kurang senang dengan suara
kasar tunangnya itu.
“Ada di dalam? Apa hal?” Seman memandang kedua-dua rakan
sekolah anak perempuannya itu tidak berkelip. Mesti sebab hal kelmarin.
Apa lagilah yang mereka tidak puas hati.
Puas dia memujuk Mak Limah agar tidak membuat laporan polis.
Berkali-kali dia memohon maaf bagi pihak Rose.
Naik tebal rasa kulit
mukanya. Semua kerana seorang anak yang
keras kepala.
“Apa main siku-siku? Sakit tau?”
kata Ain dengan muka cemberut dan menjeling tajam. Kenapa perlu berlembut dengan keluarga
musuhnya itu? Tidak kuasa nak
melayan. Mana perginya musuh tradisinya
itu?
“Boleh awak diam sekejap tak? Sejak dari rumah awak, awak tu membebel,
sampai di sini, masih membebel. Sakit
telinga saya ni tau,” kata Haikal
perlahan. Dia menggeleng kesal.
“Mana boleh? Awak tak tengok dan tak nampak ke muka saya
ni? Esok dah nak kerja, mana boleh pergi
kerja dalam keadaan macam ni?” soal Ain
geram. Masih lagi nak membela perempuan
hitam legam itu.
“Nak Mak Hanum panggilkan Rose ke?”
Hanum memandang pasangan itu yang saling berbisik antara satu sama lain.
“Kalau boleh,” jawab Haikal penuh
hormat. Dia memang rapat dengan keluarga
Rose sewaktu zaman sekolah. Setelah dia
belajar di luar negara, hubungan mereka semakin rengang.
“Ro…” Hanum menoleh apabila bahunya
disentuh.
Rose melemparkan senyuman.
“Rose berbincanglah baik-baik. Mak
dan ayah nak ke bendang.” Malas nak mencampuri masalah orang muda. Biarlah mereka selesaikan sendiri. Jangan
sampai berbunuh sudahlah. Hanum mencuit
bahu suaminya dan mereka melangkah masuk ke dalam rumah, keluar semula beberapa
minit kemudia. Menaiki motosikal dan
menderum meninggalkan rumah.
Rose memerhatikan sahaja kedua orang
tuanya berlalu sehingga menghilang daripada pandangannya. Dia memandang pula pasangan yang berdiri di
hadapannya dengan wajah serius. Macam nak
buat projek besar, tetapi ada masalah.
Dia memeluk tubuh, menanti butir
bicara dari mulut kedua manusia yang berdiri macam tiang lampu di hadapannya.
“Hai, kena tumbuk pun mengadu kat
tunang ke? Macam tak boleh nak
selesaikan sendiri!” sindir Rose dengan wajah cemberut. Menyampah pun ada juga. Dia menjeling.
“Mestilah! Kau main kasar, takkan
aku nak diamkan diri! Perempuan buruk
macam kau memang harus diajar, tak sedar diri!” lengking Ain, tidak
serik-serik.
“Siapa main kasar? Kau yang mulakan dulu! Kalau tak tak
menyibuk, aku pun tak kuasa nak kotorkan tangan aku ni tumbuk muka kau tu!” Rose tidak mahu kalah. Orang hina seperti Ain seharusnya
diajar. Waktu di zaman sekolah bolehlah
dia dibuli, sekarang dunia sudah berbeza.
Begitu juga dirinya.
“Hish, kalian berdua ni, macam
budak-budaklah. Hey, kita dah dewasalah.
Bukan budak sekolah lagi. Tak boleh ke berdamai? Asyik nak bercakaran saja. Kucing dan anjing pun dah berbaik. Tapi kalian berdua?” Haikal sendiri tidak faham, apalah yang tidak
kena lagi? Kenapa masih nak bermusuh?
“Mana boleh!” kata kedua mereka serentak. Masing-masing masih berkeras.
“Bawalah tunang kau ni balik,
Haikal! Sakit mata aku ni!” marah Rose.
Benci sungguh dia dengan Ain.
Dendam di hati tidak pernah padam.
Rasa marah masih berbuku, keras dan tidak mungkin pecah walaupun menggunakan jentera berat.
“Hey, perempuan hitam! Kau kena
sujud kepada aku, baharu masalah ini selesai!” Ain mencebik. Ingat
senang-senang nak lepaskan diri? Uhuh… tidak mungkin. Ini Ainlah. Siapa tidak kenal Ain waktu zaman sekolah
rendah dan menengah. Pelajar perempuan
paling berpengaruh di sekolah ketika itu.
Dia sering mendapat tempat pertama di sekolah, mahupun di dalam
kelas. Tiada siapa mampu melawan
kepandaiannya. Menjadi harapan sekolah
untuk mendapatkan keputusan yang baik.
Rose telah membuat dirinya menjadi
orang kedua di sekolah itu. Sebut apa
sahaja aktiviti di sekolah, semuanya dimonopoli oleh gadis hitam legam
itu. Siapa yang tidak sakit hati. Sejak itu dia menyimpan dendam di hati. Walaupun Rose tidak cantik, tetapi dia serba
boleh. Pandai berpantun dan berseloka. Pandai menari, pandai segala-galanya. Cuma tak cerdik memilih bidang usai STPM. Bukan tidak mendapat keputusan yang baik.
Entah apa yang ingin dibuktikan, melawan arus.
Kan sudah tenggelam. Dia
tersenyum sinis. Kini, dia berjawatan
besar, Rose menjual nasi lemak di tepi jalan, ironinya. Hatinya bertambah sakit apabila Haikal,
pelajar lelaki yang diminati menjadi pelindung Rose yang sering dibuli olehnya
dan kawan-kawan. Semakinlah dia sakit
hati.
“Awak ni kenapa? Tak baik gelar Rose macam tu!” tegur Haikal.
Walaupun dia tidak lagi rapat dan berkawan baik dengan Rose, tetapi dia
tidak suka perempuan itu dihina atau dicaci.
“Awak pula kenapa? Sanggup bela dia? Awak suka dengan dia
ke?” Ain menolak tubuh Haikal dengan
kasar. Sakit hatinya bila Haikal
mempertahankan Rose.
“Ke situlah pula!” Rasa mendidih
darah di hati Haikal. Memang harulah,
sudah berumur dewasa pun masih tidak mahu berhenti bergaduh. Memang menyusahkan dirinya juga. Tidak pasal-pasal terpaksa balik ke kampung
usai mendengar aduan Ain yang menangis-nangis sewaktu menelefonnya. Dia tidak menyangka sama sekali yang Ain
bergaduh dengan Rose. Kalau macam ini, boleh sakit jiwa jadinya.
“Pergilah balik! Malas aku nak layan
kalian berdua!” Rose tidak kuasa
memanjangkan cerita. Nampak sangat Ain
sengaja nak mencari gaduh dengannya.
Tidak pernah berpuas hati. Kalau dahulu bolehlah cemburukan dirinya,
sekarang nak cemburukan apa lagi? Dia
sudah jatuh terduduk, kalau orang berniaga sudah dikira jatuh muflis. Bukannya dia cantik macam musuhnya itu? Apa masalahnya lagi? Yang lepas, biarlah
lepas! Kenapa masih simpan dendam di
hati? Kalau dia berdendam memanglah
patut, sebabnya, dia sudah kehilangan segala-galanya. Malah dia kehilangan
sahabat baik juga. Wajah Haikal yang
masam mencuka dan sedang memujuk Ain ditatap seketika. Bernanah kecewa rasanya. Dia rindukan zaman sewaktu dia masih bersekolah. Dia ada teman berbicara, meluahkan apa yang
dirasa. Kini, dia sunyi,
sesunyi-sunyinya. Hutan yang tebal itu
pun masih ada teman yang sudi menemankan.
Tetapi, dia tiada sesiapa. Terasa
malangnya nasib dirinya.
“Kau tak minta maaf lagi kat aku!”
marah Ain. Dia sudah mencekak pinggang.
“Aku tak salah, kenapa nak minta
maaf?” soal Rose. Kirim salamlah. Dia menjeling, bukan tajam malah tahap laser
tajamnya jelingan itu. Mahu putus leher Ain
nanti.
“Sudahlah! Tak boleh ke kalian berdua berdamai?” soal
Haikal, panas hati. Masih lagi nak
bertekak? Suruh berdamai tidak mahu.
“Jangan harap!” Ain menolak lengan
Haikal. Tadi waktu sebelum datang, bukan
main lagi tunangnya itu. Bila sudah
berhadapan, sudah macam tikus jumpa kucing, tidak berani.
“Hoi! Berambuslah! Semak mata aku
tengok!” jerkah Rose. Di tangannya sudah
ada parang panjang. Dia tidak kira,
kalau mereka masih berdegil tidak mahu pergi, biar dia amuk, macam Jebat mengamuk marahkan Sultan.
“Rose? Apa awak nak buat ni?” Haikal terkejut. Parang panjang yang berkilat itu menyeramkan
tengkoknya. Mahu putus kepala kalau
masih tunggu di situ. Hilang waras Rose
apa pun boleh berlaku.
“Kau memang perempuan gila!” jerit Ain,
turut berasa seram melihat parang panjang yang berada di tangan Rose. Perempuan itu memang sudah tidak waras
lagi. Bertindak ikut rasa hatinya
sahaja.
“Gila tak gila, aku tak peduli!
Kalian berdua jangan datang sini lagi!” arah Rose hilang sabar. Mencungap nafasnya, terasa penat melayan
kedua manusia yang dikenali dan tidak pernah mesra itu. Seorang pernah baik dan rapat dengannya. Yang seorang lagi entah bila akan berdamai
dengannya. Rose menghentak-hentak parang
itu ke tanah. Dia mengetap bibir,
berwajah garang. Biar mereka berdua
takut.
“Rose, kenapa jadi macam ni?” Haikal masih nak memujuk.
“Kau peduli apa? Ini soal aku! Kau tak perlu tahu!” Rose mencebik. Pura-pura ingin ambil tahu, pergi jalanlah,
detik hati kecilnya.
“Haikal! Tak payah nak bermanis
muka, perempuan ni memang gila!” Ain
menampar bahu Haikal, bukan main lembut lagi bertanya. Menyampah pula dilihatnya. Menanah telinganya.
“Pergi baliklah! Berambus!” jerkah Rose
lagi. Dadanya sebak.
“Hey, perempuan hitam legam. Kami pun tak sudi berlama di sini. Kau memang tak layak berlawan dengan aku!
Sudahlah buruk, gila pula tu!” hina Ain.
Terlupa dia akan kesan tumbukan yang diterima kelmarin. Sakit hati punya pasal, semuanya
dilupakan.
“Hey, hitam-hitam aku, tak
menyusahkan sesiapa!” Mendidih
darahnya. Manusia yang tidak tahu erti bahasa. Sudah dihalau masih membebel di situ. Memang nak kena parang panjang agaknya,
baharu nak berambus.
“Jomlah Ain!” ajak Haikal. Wajah garang Rose membuatkan dia sendiri
meremang bulu roma. Dahulu Rose tidak
begini, kalau dibuli pun, dia tidak melawan, hanya menangis dan berlari balik
ke rumah. Kerana rasa simpati itulah dia
rapat dan menjadi pelindung kepada teman sekolahnya itu. Kini, keadaan sudah berubah. Mereka tidak lagi seperti dahulu, apatah lagi
dia bertunang dengan musuh Rose sejak di bangku sekolah. Haikal terus masuk ke dalam keretanya. Niat
di hati nak menegur dan memberi peringatan kepada Rose agar tidak berkasar
dengan Ain, namun hati kecilnya tidak sampai hati nak bertindak begitu. Mungkin mereka berdua boleh selesaikan
sendiri masalah yang sedang mereka hadapi.