Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,842
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 15

Berkerut dahinya melihat barisan panjang. Berbaris manusia beratur hanya untuk membeli nasi lemak dan roti canai. Dia membelek jam di tangan. Baharu pukul 7.30 pagi. Tidak mungkin sudah seramai ini? Zaiton yang beratur di hadapannya buat muka selamba sahaja. Rose menoleh. Tidak ada kedai lain lagikah, sehingga ramai yang memilih untuk makan dan beli sarapan di gerai itu. Pelik memang pelik.

“Ton, tak ada tempat lain lagi ke? Takkan nak beratur panjang macam ni? Pukul 9.00 pagi belum tentu dapat makan ni?” leter Rose. Ada dalam 10 orang lagi. Jenuh juga nak tunggu.

“Sabarlah, aku selalu beli di sini. Memang sedap nasi lemak dan roti canainya. Malaslah pergi tempat lain. Itu sebab aku ajak datang awal. Pukul 9.00 pagi dah boleh sarapan,” jawab Zaiton.

“Hah?” Rose mengetap bibir. Aduhai, boleh mati terbakar ini, bisiknya di dalam hati. Kena tunggulah jawabnya. Rupanya sahabatnya sudah jatuh hati dengan nasi lemak dan roti canai di sini. Sedap sangatkah? Lebih sedap daripada masakan emaknyakah? Dia bertanya kepada dirinya sendiri. Sabarlah, sekejap lagi boleh rasa sendiri.

“Itu ada tempat kosong, kau pergilah cop dulu. Aku beratur beli makanan dan air untuk kita,” suruh Zaiton sambil menolak tubuh Rose.

“Janganlah main tolak-tolak!” Rose menjeling. Dia ikutkan sahaja kenak Zaiton. Di belakangnya sudah ada yang beratur lagi. Dasyat sungguh penangan nasi lemak dan roti canai pemilik gerai itu. Kedai itu tidak jauh dari pejabatnya yang dahulu. Pelanggan silih berganti. Barisan tetap memanjang seperti tadi. Tiada yang menyusut pun, kalau ada yang susut tentulah makanan yang dijual.

Seronok juga berniaga seperti ini. Pendapatan pemilik gerai ini pasti mendapat lebih daripada sepatutnya. Mungkin beribu satu hari. Wah! Cepat jadi jutawan kalau begini. Rose tersenyum sendiri. Leka melayan perasaan sendiri, kehadiran Zaiton bersama, dua biji roti canai dan dua pinggan nasi lemak berlaukkan sotong kering kegemarannya. Teh ais dan kopi panas untuk Zaiton.

“Banyaknya kau beli? Ini makan untuk tengahari sekali ke?” tanya Rose.

Zaiton hanya menyengih dan terus duduk menghadap rezeki yang sudah berada di hadapan mata.

“Boleh tahan sedap juga sambal nasi lemaknya. Nasi lemak kalau sambalnya tak sedap, memang putus seleralah!” puji Rose, sesudu demi sesudu nasi lemak itu masuk ke dalam mulutnya. Kemudian dia menjamah roti canai pula.

“Ehmm… kuah dhalnya kurang sedaplah. Cair saja. Rotinya pula taklah lembut sangat. Kalau kau makan roti canai yang mak aku buat, pasti kau makan lima keping sekali masuk mulut.” Rose terbayangkan roti canai yang dimasak oleh emaknya, rasa kuah dhalnya bagaikan melekat di tekak. Memang sedap.

“Syyy… kau ni, kalau nak kritik pun, pandanglah kiri kanan. Kalau didengari oleh pekerja atau tuan punya gerai, tak pasal-pasal kena bambu,” tegur Zaiton. Mulut sahabatnya itu memang laser betullah. Tahu nak kritik dan kondem orang sahaja. Memanglah hari ini kuah dhal itu agak cair dan tidak sesedap selalu.

“Kena komenlah, kalau nak gerai seperti ini terus kekal sedap! Kalau hari ini sedap, esok tak sedap. Tak ada maknanya,” bebel Rose sambil menghabiskan sekeping roti canai. Memang melantak betul hari ini.

“Yalah, yalah…” sanggah Zaiton. Kalau tidak dilayan, lain pula jadinya nanti. Rose bukan mahu kalah, cakap dia sahaja yang betul. Nasi lemak sepinggan habis dijamah, roti canai sekeping baharu nak mula masuk ke dalam tekak.

Rose sudah pun selesai makan, matanya memerhatikan para pekerja gerai itu bekerja. Sepantas kilat. Bangun sahaja pelanggan di satu-satu meja, cepat mereka bersihkan. Pelanggan pula sanggup menunggu dengan sabar. Tidak merunggut jika terpaksa berdiri menanti meja kosong. Hebat gerai ini, detik hati kecil Rose. Kalau nak dikatakan sedap sangat masakannya, boleh tahanlah. Sudah seperti jurunilai makananlah pula. Dia tersenyum sendiri. Inilah kerja pengganggur, memikirkan hal orang lain, sedangkan hal sendiri masih belum selesai.

“Kau nak buat apa lepas ni? Nak cari kerja lagi ke?’ Zaiton memandang wajah Rose yang sedang leka memerhatikan pekerja gerai itu bekerja.

“Tak tahu lagi. Rasanya aku nak cuba berniagalah. Jadi majikan sendiri, kuli sendiri,” jawab Rose. Dia menyengih.

“Berniaga? Kau nak jual apa?”

“Makananlah! Sebabnya makanan orang selalu makan, dapat duit tunai,” kata Rose penuh yakin.

“Hello, kau pandai memasak ke?” Zaiton kurang percaya dengan kebolehan sahabatnya itu. Kalau setakat masak untuk makan sendiri, lepaslah. Ini nak memasak untuk restoran, orang lain makan.

“Erk… nak buka restoran, kena pandai memasak ke?” soal Rose.

“Yalah cik kak!” Zaiton mencebik. Kalau dibuatnya tukang masak lari, tutup kedailah.

“Aku akan belajar memasak. Aku akan berusaha Ton! Aku tak nak diperkecilkan lagi. Biar kulitku bagaikan arang terbakar. Aku harus teruskan hidup!” kata Rose penuh semangat.

Zaiton menelan kunyahan terakhirnya. Dia mengangkat kening. Wajah Rose yang penuh yakin itu ditatap lama. Biar betul? Nak belajar memasak dan buka restoran? Memang sudah tidak betul sahabatnya itu. Meneruskan hidup memang perlu, ialah selagi ALLAH tidak mencabut nyawa mereka berdua, selagi itulah kena teruskan juga hidup ini, biarpun payah.

“Kau ni serius atau main-main Rose? Rezeki kita dengan orang, bukannya sama. Bukan mudahlah nak berniaga, terutama makanan. Kau tak ada pengalaman. Aku takut kau gagal nanti.” Zaiton berasa was-was. Kawannya itu mana pernah berniaga, jual suratkhabar pun belum pernah, inikan pula nak membuka restoran. Mahu lingkup pada hari pertama.

“Aku seriuslah!” jawab Rose serius.

“Aduh! Jangan cari masalahlah kawan…” Zaiton menepuk dahinya sendiri. Perutnya yang terasa mengah bagaikan nak memuntahkan segala isi perut yang ada. Seram sejuk memikirkan cadangan Rose. Suka buat perkara lain dari yang lain. Kalaulah sahahatnya tidak memilih untuk menjadi seorang setiausaha, tentu sekarang ini sudah menjawat jawatan jauh lebih baik. Memilih bidang yang tidak mungkin orang sepertinya pilih.

“Masalah apanya pula?” Rose mengerut dahi. Bukan nak memberi sokongan malah membantah pula.

“Hish!” Zaiton mencebik. Kalau dia menghalang dan tidak setuju, kejap lagi adalah khutbah panjang berjela-jela keluar daripada mulut Rose. Baiklah dia diamkan sahaja. Tengok dan lihat. Bukan samakah maksudnya? Zaiton menggaru kepala sendiri. Apa sahajalah Labu, detik hati kecilnya.

“Jom balik! Aku dah kenyang sangat ni,” ajak Rose.

Mereka melangkah kembali ke kereta. Masing-masing mula berfikir. Rose berkira-kira perniagaan yang bagaimana harus dimulakan. Kalau nak buka restoran, restoran yang bagaimana, makanan apa dan berkongsepkan apa?

Zaiton pula sedang memikirkan idea gila kawannya itu. Cuma, dia berharap apa sahaja yang diceburi oleh Rose semuanya akan berjaya, aamin, doanya di dalam hati. Biar apa sahaja anggapan orang terhadap teman serumahnya itu, dia tetap suka berkawan dengan Rose. Mulut memanglah tiada insuran, cakap lepas sahaja tetapi hatinya baik.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.