Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,892
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 19

Seman mengeluh keras. Dia mundar-mandir di ruang dapur. Sesekali mengusap dagunya. Matanya memandang tajam anak perempuannya yang sedang duduk menunduk. Tahu takut! Detik hati kecilnya. Rasa nak dihumban Rose ke dalam tali air. Manalah tahu boleh putih melepak macam cerita Dayang Senandung. Kalau ikutkan hati marahnya, nak sahaja dia menghaburkan rasa marah. Lain yang disuruh, lain pula yang dilakukan oleh anaknya itu. Buat malu keluarga sahaja. Sudahlah diberhentikan kerja. Ini, bergaduh pula. Bagaimana nak berjaya. Kejap lagi adalah yang datang menyerang. Belum apa-apa sudah melahirkan musuh.

“Rose! Rose!” laung seseorang dari laman rumah.

“Hah! Kan…” Hanum melangkah keluar. Dia pasti tidak lain, tidak bukan siapa lagi yang akan datang bertandang. Wajah yang cemberut, mencekak pinggang, mulut dijuihkan, renungan yang tajam bagaikan orang kelaparan yang sudah tidak berjumpa makanan berbulan-bulan.

“Mana anak kau, Hanum? Berani dia lumur cili kat mulut anak aku, siap pukul lagi! Kau tak ajar anak kau adab sopan ke?” marah Mak Cik Limah, keras dan kasar suaranya. Bergema di laman rumah itu.

“Ala, Kak Limah, budak-budak bergaduh, kejap saja. Nanti mereka berbaiklah,” pujuk Hanum.

“Berbaik? Jangan harap! Anak kau tu memang dengki dengan anak perempuan aku. Dia sakit hati tengok anak aku cantik, berjaya dan bertunang pula dengan kawan baik dia. Itu sebab dia tak senang hati! Aku akan buat laporan polis, anak kau dah melampau, Hanum! Kali ini aku tak boleh biarkan!” jerkah Mak Cik Limah. Dia tidak akan beri peluang kepada Rose. Habis lebam badan dan muka anak perempuannya. Mulut anak perempuannya merah akibat dilumur cili.

“Buat laporan polis? Kenapa nak memanjangkan perkara Kak Limah? Kitakan sekampung, biarlah mereka selesaikan masalah mereka sendiri,” sampuk Seman. Dia sendiri tidak suka perkara itu berlaku.

“Maafkan anak kami Kak Limah,” rayu Hanum. Dia tahu dan kenal sangat dengan sikap jirannya itu. Kalau A cakapnya, Alah yang akan dilakukan. Parah!

“Mana anak kau! Mana si hitam legam tu!” laung Mak Limah dengan hati yang panas membara.

Rose tidak dibenarkan keluar oleh kedua orang tuanya. Kalau ikutkan hati ingin sahaja dia menjawab. Ain yang menyerangnya dahulu, bukan salah dia pun, bebelnya dalam hati. Panas sahaja telinganya mendengar suara Mak Limah memuntahkan maki hamunnya. Langsung tidak mahu bertanya duduk perkara. Hanya mendengar sebelah pihak, dengarlah cerita versinya dahulu, baharu buat pertimbangan. Dia buruk sangatkah? Orang hanya tahu menghina dirinya, tidak seorang pun mahu menyelami hati dan perasaannya. Dia sedar dirilah, dengusnya sendiri.

“Kak Limah, kami berdua memohon maaf atas sikap anak perempuan kami,” pinta Seman. Matanya memandang tepat wajah cemberut jiran sekampungnya itu.

“Mana boleh? Anak kau tu harus diajar! Kalau kau tak boleh ajar, biar aku yang ajar!” tempelak Mak Limah tidak mahu kalah. Anak dia teruk dibelasah. Mana boleh dia mendiamkan diri. Teruk anaknya kena belasah. Tidak pasal-pasal muka bengkak, bibir merah menyala. Mana boleh diam!

“Kak, tolonglah. Hanya salah faham saja tu,” rayu Hanum.

“Aku nak dia melutut minta maaf! Dasar perempuan tak tahu malu. Kalau begini perangai, tak ada siapa akan buat menantu! Sudahlah hitam, perangai pun buruk! Sama hitam dengan tubuh badannya!” sindir Mak Limah.

“Kak Limah… bercakap tu biarlah berlapik, kami sedar siapa anak kami,” kata Hanum penuh kesal. Asyik-asyik mereka mempersoalkan tentang kulit anak perempuannya. Memanglah tidak cantik tetapi tidaklah seburuk mana pun.

“Peduli apa aku!” Mak Limah menjegilkan mata. Dia mengetap bibir. Matanya liar mencari kelibat Rose.

“Hoi si hitam, keluarlah!” laung Mak Limah.

“Kalau kau tak keluar juga, aku akan terus buat laporan polis. Biar merengkuk dalam penjara!” lengking Mak Limah. Dia langsung tidak menghiraukan Hanum dan Seman yang masih berdiri di hadapannya. Hilang hormatnya terhadap jiran sekampungnya itu. Anak punya pasal boleh bergaduh orang tua.

Rose tidak tahan dihina. Dia pantang dihina. Langkah diatur mendekati pintu. Tidak dihiraukan larangan kedua orang tuanya. Dia juga ada maruah dan harga diri. Sebak dadanya. Orang kampung hanya tahu menyindir dan mengusiknya dengan pelbagai gelaran, bukan baharu sekarang, tetapi sejak dahulu lagi. Ketika waktu kecil, dia akan hanya tersenyum sahaja jika dia digelar si hitam, si buruk, Dayang Senandung. Sekarang, dia sudah cukup dewasa, sudah cukup mengerti. Kata-kata itu satu penghinaan kepadanya. Tidakkah mereka tahu isi hatinya? Dia menangis dalam hati, perit dan pedih hanya dia yang rasa.

“Anak Mak Limah yang mulakan dulu! Bukan saya!” kata Rose mempertahankan diri sendiri. Dia sudah puas menjadi mangsa keadaan. Dia tidak mahu lagi menjadi pemangsa. Letih menjaga perasaan orang lain. Di mana-mana sahaja, orang hanya tahu menilai rupa parasnya. Kenapa tidak ada yang mahu menilai hatinya?

“Amboi! Sedap saja kau nak menuduh, kan? Kalau sudah bersalah tu, mengaku sajalah! Jangan nak menegakkan benang yang basah!”

“Rose!” Hanum menarik tangan anak perempuannya. Bukan dia tidak tahu perangai anak perempuannya itu. Mulut bagaikan laser terlebih kuasa. Tidak pasal-pasal terbakar hati jirannya itu. Silap haribulan nak bawa ke balai polis, dibawa terus ke penjara. Haru jadinya nanti.

“Betul apa? Mak Limah ingat, anak Mak Limah tu baik sangat? Sejak di bangku sekolah lagi dia membuli saya. Selama ini saya tak pernah melawan, biarkan saja saya dihina dan dicaci. Kalau Mak Limah nak laporkan kepada pihak polis, pergilah! Saya tak takut sebab saya tak salah!” jelas Rose, tegang. Dia bercakap benar. Langsung tidak takut dengan ugutan emak musuh tradisinya itu.

“Rose!” jerit Seman. Kurang senang dengan nada suara anak perempuanya. Terasa begitu kasar. Terutama bila berhadapan dengan orang lebih tua. Apatah lagi Mak Cik Limah jiran sekampung mereka.

“Mak dan ayah tak perlu nak marah Rose, pagi tadi Rose duduk baik saja nak berniaga, entah dari mana datang langsuir terus memerli Rose! Hina Rose! Tak ada siapa pun bela Rose, asyik Rose kena pertahankan diri sendiri! Mak Limah pun suka sindir Rose! Mak Limah tak tahu ke, yang Mak Limah sindir ni hamba ALLAH. ALLAH yang jadikan Rose macam ni, takkan Rose nak salahkan ALLAH!” geram bertahta di hati. Galau hatinya. Benaknya sudah penat menahan rasa, tidak terluah dengan kata-kata demi menjaga air muka orang tuanya. Siapa yang nak menjaga perasaannya sendiri? Ah! Buat penat sahaja bercakap dengan orang yang tiada hati dan perasaan dan tidak memikirkan kejadian ALLAH itu ada hikmahnya. Dia sendiri sudah dapat menerima diri seadanya.

“Langsuir? Siang-siang hari ada hantu ke?” Hanum garu kepala.

Rose memandang wajah emaknya. Dia menggeleng. Emaknya tidak faham rupanya. Dia gelar anak Mak Limah langsuir. Dia mencebik.

“Sedap mulut kau panggil anak aku langsuir ya?” Semakin marah Mak Cik Limah.

“Eerk… perasan ke?” sinis. Rose menjeling. Hilang rasa hormatnya terhadap Mak Limah. Biarpun mengenali orang tua itu sejak dia lahir ke dunia ini lagi. Tetapi kalau orang itu langsung tidak tahu menghormati dirinya, haruskah dia menghormati orang itu? Hati mudanya tidak mahu mengalah.

“Anak kau ni memang kurang ajar, tak makan dek ajar! Sudahlah rupa hitam, hati pun hitam legam!” jerkah Mak Limah bagaikan orang hilang akal.

“Mak Limah! Sebelum nak nasihat saya, nasihatlah anak Mak Limah tu!” sindir Rose.

“Rose!” satu tamparan singgah di muka Rose. Seman mengetap bibir. Dia tidak pernah mengajar anak-anaknya bersikap kurang ajar dengan orang tua. Dia mengajar adab sopan, agama kepada anak-anaknya.

“Ayah!” Rose tergamam, terkejut dan tidak terkata. Sampai hati ayahnya sanggup menamparnya.

“Abang!” Hanum terkejut juga, tindakan spontan suaminya itu benar-benar menghiris hatinya. Biarpun dia marah dengan anak perempuannya, tetapi janganlah sampai ringan tangan.

“Padan muka kau! Sepatutnya Seman, dari dahulu lagi kau ajar anak hitam kau ni! Menyusahkan orang lain saja!” Mak Limah sendiri terkejut sebenarnya, tetapi buat selamba, bagaikan tiada apa-apa. Dalam hati terbit juga rasa gembira. Kalau boleh biar Seman pukul anaknya seperti mana perempuan hitam itu memukul anak perempuanya, Ain.

Rose berlari masuk ke dalam bilik. Sampai hati ayahnya. Dia tidak bersalah, kenapa dia dihukum?

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.