Sebulan berlalu dengan begitu
pantas. Dia sudah dapat menguasai bidang kerjanya, malah semakin cekap. Maznah
sudah mula mempercayainya.
Alhamdulillah. Bekerja biar jujur
dan bertanggungjawab. Dia juga sudah
cekap membantu di ruang hadapan restoran itu.
Kalau tiada siapa di kaunter bayaran, dia akan mengambil pesanan
pelanggan. Zaiton sering juga turun
melepak di restoran itu sehinggalah restoran itu tutup. Kesetiaan Zaiton mengusik hati kecilnya. Manalah nak dapat sahabat sebaik Zaiton.
Pelanggan datang dan pergi, berbagai
kerenah boleh dilihat. Sesekali ada juga
para pekerja yang dimarahi kerana lambat menghantar minuman yang dipesan. Ada juga mengadu makanan kurang sedap,
macam-macam ragam manusia. Kalau tidak
sabar, rasanya sudah lama restoran itu
tutup. Ditambah dengan kerenah pekerja
yang ada ketika banyak songeh. Datang
lambat, ada kerja yang tidak beres dan lambat diselesaikan. Kalau dia jadi majikan mahu cepat mengidap
sakit jantung atau darah tinggi naik bertangga-tangga.
Rose membantu mengemas meja makan
yang masih tidak dikemaskan. Dia tidak
boleh duduk dan tengok sahaja, memanglah ada pelayan yang akan
melakukannya. Kalau sudah dua tiga meja
terbengkalai dan tidak berkemas, tidak mungkinlah dia akan tengok sahaja. Dia perlu bantu mana yang perlu dan ringan
baginya. Segala sisa makanan dikutip dan
dimasukkan ke dalam tong sampah. Pinggan di isi ke dalam singki.
“Pelayan!” panggil seorang pelanggan.
Rose memandang sekeliling. Beberapa
orang pekerja yang lain sedang mengambil pesanan pelanggan yang ada. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia yang
mengambil pesanan pelanggan yang baharu sahaja tiba.
“Nak pesan apa cik?” tanya Rose. Matanya langsung tidak memandang
pelanggan tersebut. Ambil pesanan dahulu, perkara lain fikirkan kemudian.
“Hey, saya kenal awak? Gadis hitam dari kampung, bercita-cita nak
jadi setiausaha. Takkan jadi pelayan
restoran pula?” sindir seorang perempuan yang bergaya, cantik dan pasti sesiapa
yang memandang akan tergoda dengan penampilannya.
Rose mengerut dahi, bagaiku kenal
suara itu, tetapi di mana ya? Bisik hati kecilnya sambil matanya terus memandang
kepada empunya suara. Cis! Perempuan ini
lagi? Kenapa dia ada di sini. Rose memandang sekeliling.
“Ya
cik, nak makan apa?” Rose masih
berlagak biasa. Dia tidak mahu membuat kecoh di dalam restoran majikannya. Bersabar sahajalah dengan penghinaan. Bukan
luak dan sakit pun. Cuma sakit hati
sahaja.
“Kasihannya, jadi pelayan
restoran? Kalau Haikal tahu pasti dia
ketawa berguling-guling. Mak kau tahu ke
kau jadi pelayan restoran? Jangan sampai
jadi GRO sudahlah ya. Eee… siapa pula
nak langgan perempuan hitam legam macam kau ni, kan?” Ain terus menyindir tanpa ada perasaan belas
ehsan di hadapan rakan sekerjanya.
“Kau kenal pelayan ni?” tanya salah
seorang kawan Ain.
“Tentulah kenal Min, perempuan
inilah yang aku ceritakan tu. Sudahlah
buruk, sombong pula. Sudahlah tak cantik
berangan nak jadi setiausaha, agak-agak kaulah siapa yang sudi ambil dia jadi
setiausaha mereka? CEO mana yang sudah
gila agaknya? Pengurus mana yang sudah buta warna?” Terus menyindir tanpa
memikirkan perasaan Rose.
“Laa, memang tak lawa
langsung!” kata Min tukang nasi tambah.
Rose tidak berganjak dari meja itu.
Kakinya berasa terkunci dan tidak mampu
digerakkan.
“Hey, pelayan hitam legam. Tengok kau pun aku tak selera nak makan,
boleh panggillah pelayan yang lain tak?” jerkah Ain dengan mata
membuntang. Pandangan yang penuh
perasaan benci dan jijik.
“Kenapa ni cik? Ada masalah?” sapa Maznah yang sejak tadi memerhatikan sahaja
perangai dua orang perempuan dan Rose.
Dari kaunter bayaran dia dapat mendengar kata-kata kedua-dua perempuan
itu.
“Awak pula siapa?” tanya Ain agak
kasar. Dia memerhati penampilan Maznah
dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.
Dia mencebik.
“Saya puan punya restoran, ada
masalah ke?” tanya Maznah sekali lagi.
“Ooo… pemilik restoran? Saya nak buat aduan, saya tak suka pelayan hitam legam ni ambil pesanan
saya. Boleh ganti dengan orang lain tak? Buat loya tekak saja,” kata Ain kasar.
“Pelayan? Rose, berapa kali akak dah bagi tahu, awak tu
pemilik restoran ini. Kenapa buat kerja
kuli? Tak sesuai langsung! Dah, pergi tengok budak-budak buat kerja. Biar orang lain yang ambil pesanan jelitawan
yang ada ni,” kata Maznah sambil mengetap bibir. Sesedap rasa sahaja menghina orang. Ingat dia lawa sangat, kata Maznah dalam
hati.
“Erk…” Rose semakin blur. Apa kena pulalah dengan Kak Maznah ini, salah
makan ubat ke apa? Bila pulalah dia jadi
pemilik restoran ini?
“Pemilik restoran?” Ain hampir menjerit. Dia seperti tidak salah dengar rasanya.
“Ya, Rose ni, rakan kongsi saya,
kenapa? Ada masalah?” Maznah memaniskan
muka. Dia tersenyum dalam hati melihat
wajah terkejut perempuan yang berlagak dan sombong itu. Sedap sahaja mulutnya menghina
pekerjanya.
“Rakan kongsi?” kata kedua perempuan itu serentak. Terkejut dan lebih kepada tidak
mempercayainya.
“Takkan kut!” Ain mengerut dahi.
“Tak perlulah cik puan mengerutkan
dahi, nanti berkedut pula dahi dan muka sekali.
Nak tengok ke lesen perniagaan dan pendaftaran syarikat? Kalau nak makan
buatlah cara nak makan, kalau tidak cik-cik
berdua boleh cari restoran lain. Banyak lagi di luar sana,” kata Maznah tegas. Sakit benar hatinya. Sewenang-wenangnya menghina orang seolah-olah
diri itu hebat sangat.
“Macam mana puan boleh percayalah
perempuan buruk ini? Jangan dia tipu
puan sudahlah! Nanti menyesal menangis air mata darah sekalipun dah tak berguna
tau!” Ain mengherotkan bibirnya. Dia mengambil beg tangannya dan mengajak
rakannya keluar dari restoran itu. Sakit
pula hatinya mendengar cerita terbaharu daripada pemilik restoran itu. Tidak mungkin Rose sekarang jadi pengusaha
restoran. Hari itu pulang ke kampung baharu nak berjinak-jinak berniaga. Mana boleh jadi! Dia hanya makan gaji,
sedangkan perempuan hitam legam itu sudah menjadi ahli perniagaan. Memang memalukan!
“Kak Maznah!” Rose memandang wajah
majikannya tidak berkelip sebaik sahaja Ain dan rakannya berlalu meninggalkan
restoran itu. Dia menarik nafas lega.
“Akak dengar kata-kata nista
perempuan itu terhadap Rose. Jangan
sedih ya,” pujuk Maznah lalu tangannya menepuk bahu Rose.
“Terima kasih kak,” ucap Rose.
Masih ada orang yang sudi menjernihkan maruah dirinya.
“Nanti kita sembang lagi, mesti ada
sejarah hitam Rose dengan perempuan tu. Benci amat dia dengan Rose, akak nampak
dari pandangan matanya. Gerun akak
tengok.”
“Entahlah kak… penat saya fikirkan
soal tu. Entah apa yang dia bencikan sangat dengan saya. Kalaulah saya ni lawa lebih daripada dia tak
apalah, ini… akak tengoklah sendiri,” keluh Rose.
“Jangan merendah diri, ALLAH tak suka! setiap kejadian yang diciptakanNYA
pasti ada hikmah dan kebaikkannya, jangan sesekali menyesal,” nasihat Kak
Maznah.
“Terima kasih sekali lagi kak,” ucap Rose.
Terasa lega dan lapang hatinya mendengar nasihat dan pujukan majikannya
itu. Baik sungguh hati majikannya. Dia
berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh biarpun hanya menjadi pembantu
restorann sahaja. Tetap satu pekerjaan
yang baik dan halal.
Hujan renyai-renyai di luar restoran
menyejukkan sedikit hatinya yang sedang panas.
Entah bagaimana dia mampu bersabar dengan sindiran Ain tadi. Kalaulah dibuatkan dia hilang sabar tadi,
mahu berkecai restoran ini. Mungkin dia sudah mampu menerima dan bersabar dengan
penghinaan orang lain atau dia memikirkan dirinya sedang bekerja di tempat
orang. Apa pula kata majikannya jika dia
mengamuk dan menjahanamkan tempat itu.
Nampak sangat perangai buruk dan salahlaku dirinya. Biar buruk rupa, jangan buruk tingkahlaku. Itulah nasihat emaknya. Cuma, kadang-kadang dia tidak sabar dengan
penghinaan orang terhadap dirinya. Mula hari ini dia perlu jadi penyabar dan
semoga hatinya terus tabah.