Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi SAYANG MADUKU KETAT-KETAT
SAYANG MADUKU KETAT-KETAT
Asmah Hashim
7/4/2013 20:43:43
4,615
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Mak Temah memerhati sahaja tingkahlaku anak perempuanya June yang sedang leka membaca. Duduk tenang macam tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Berkerut dahi Mak Temah. Berita yang disampaikan oleh kawannya sebentar tadi memang memeranjatkan. Siapa sangka menantunya yang nampak baik dan tenang itu, diam-diam berkahwin lagi. Paling memeningkan anak perempuannya boleh duduk santai macam tiada apa yang berlaku. Semakin berserabut fikiran Mak Temah.

Kalaulah laki dia yang berkahwin sudah tentu dia buka langkah seribu. Menghalang atau apa sahaja yang mampu. Tidak mungkin dan tidak akan dia membenarkan perkara itu berlaku. Anak dia perempuan, dia juga perempuan. Takkan tidak ada perasaan cemburu di hati atau sakit di hati. Pelik memang pelik. Mak Temah duduk di sebelah anaknya. Dia memerhatikan sahaja wajah bersahaja June.

“Kau relax je Jun?” Tanya emaknya. Dahi June berkedut.

“Kenapa mak?” Soal June kembali

“Laki kau dah kahwin lagi, kau boleh duduk santai-santai?” Lengking suara Mak Temah

“Ala mak ni, kahwin je, bukan ada apa pun.” June tersenyum.

“Eh! Budak ni, kita risau bagai nak ghak, dia boleh buat tak faham je.” Mak Temah mencekak pinggang. Hairan dia dengan sikap anak perempuannya yang seorang ni. Suami kahwin lagi, dia boleh buat tak tahu.

“Yang mak risau kenapa? Suami saya yang nikah lagi, bukannya ayah.” June menjeling. Dia tersenyum.

“June! Kalau laki nikah lagi, orang akan kata kau tak pandai layan… tak malu ke?”

“Nak malu apanya? Kalau laki June buat maksiat ke? Kena tangkap berdua-duaan di hotel murah dengan perempuan lain ke? Baru June malu mak. Ini kahwin secara sah, biarlah. Lagi pun lelakikan boleh kahwin lebih dari satu. Suami saya mampu, mak.” June tersenyum. Mak Temah menggelengkan kepala. Macam ini punya perempuan pun ada, detik hati kecil Mak Temah.

June sibuk mengemas rumah. Bilik tetamu dikemas cantik. Suaminya baru sahaja telefon. Sejam dua lagi mereka akan sampai di rumah. June sibuk pula di dapur. Menu kesukaan suaminya disediakan. Sambal Udang dengan Petai, Ikan Terubuk Bakar, Air Asam, Sayur Kangkung Goreng Belacan dan Masak Lemak Cili Api Ikan Baung. Dia menelan air liur. Sedapnya menu, detik hati kecilnya. Eee! Sendiri masak, sendiri puji. Tanda-tanda perut lapar sebenarnya tu. June ketawa kecil. Dia berlari ke ruang tamu apabila sahaja terdengar bunyi hon kereta. Daun pintu dibuka luas. Bibirnya menguntum senyuman selebar-lebarnya. Berdiri di muka pintu bagaikan penyambut tetamu, menunggu kehadiran tetamu untuk ‘check in’.

Johan melangkah keluar dari perut kereta. Memberi senyuman selebar-lebarnya pada isteri pertama yang sedia menunggu. Di sebelah seorang perempuan cantik, jelita menawan melangkah keluar. Turut tersenyum manis. June menerpa mendekati si jelita. Saling berpelukan.

“Tahniah, selamat pengantin baru." Semakin lebar senyuman June.

“Terima kasih kembali kerana sudi menerima saya sebagai madu akak.” Kata si manis, senyuman masih bersisa di bibir.

"Okey," June menarik tangan si manis.

“Jomlah masuk,” pelawa June.

“Eh! Lupa nak tanya… siapa nama?” June memandang si jelita. Madu sendiri tidak tahu nama. June ketawa dalam hati. Nampak sangat dia tidak ambil tahu. Nanti-nanti kenal jugakan.

“Juita,” jawab si jelita masih malu-malu. Mereka berjalan seiringan melangkah masuk ke dalam rumah. Juita dan Johan duduk di sofa menghilangkan lelah.

"Eh! sama je huruf depan nama kita ya, June, Johan dan Juita. Memang dah jodoh agaknya ya!" June tersenyum riang. Mereka saling berpandangan dan ketawa. Juita gembira kerana madunya amat mesra dan baik. Tidak pula marah-marah. Memang benarkan kata suaminya, isteri pertama memberi izin untuk suami dia bernikah lagi.

“Terima kasihlah sudi berkahwin dengan suami akak.” June duduk mengadap pengantin baru. Juita tersenyum lebar.

“Saya patut terima kasih kerana akak benarkan suami akak kahwin dengan saya,” kata Juita.

“Ala! Biasalah, sekurang-kurangnya akak ada kawan,” June ketawa. Juita turut ketawa.

"Tak sangka akak baik, susah nak dapat madu macam akak. Terima kasih sekali lagi ya, kak," puji Juita. June terus tersenyum sambil memandang wajah suaminya yang turut menyengih di sebelah isteri barunya.

“Lupa nak bagi tahu, Abang Johan kita ni mati pucuk dan mandul.” June ketawa lagi. Kali ini berdekah-dekah. Juita terlopong mendengarnya. Johan turut tersenyum dan menganggukkan kepala. June bingkas bangun dan mendekati madunya.

“Mati pucuk? Mandul? Habis tu kenapa kahwin lagi?”

“Nak cari kawan untuk akak. Teman akak pergi shopping, tolong akak kemas rumah. Bantu akak memasak, layan akak bersembang” semakin lebar senyuman June. Johan turut tersenyum. Juita rasa nak pengsan. Apakah dia salah dengar? Wajah suami dan madunya dipandang silih berganti seperti tidak percaya sahaja. June menyengih. Johan menyengih.

“Sayang madu akak,” kata June sambil memeluk madunya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.