BAB 6
Kepulangannya
ke kampung disambut dengan riang hembusan angina dari sawah padi yang subur di kiri kanan jalan,
bukit-bukau dan sungai yang mengalir tenang.
Terasa damai di hati ketika melalui kawasan sawah padi yang melaut luasnya. Rasa segar mata memandang kehijauan
bukit-bukau dari kejauhan. Kereta Myvi
berwarna hitam matelik hampir sama pula dengan kulitnya dipandu perlahan menikmati kesegaran udara
awal pagi di kampung halamannya itu.
Sudah berbulan-bulan tidak pulang ke kampung. Terasa perasaan rindu
kepada kedua orang tuanya sedang merayap di hati. Tidak sabar untuk bertemu
mereka. Tetapi yang pasti soalan pertama
mereka ketika melihat dirinya…
“Kenapa balik? Tak kerja ke?” tanya
emaknya yang sedang menyediakan sarapan pagi untuk adik-adiknya yang masih
bersekolah. Belum pun sempat dia
melabuhkan punggung sudah terasa seperti di
halau keluar.
“Cuti mak,” jawab Roseyatimah dengan
muka tidak bersalahnya. Dia tidak berbohong, memang dia sedang cuti. Cuti dari
bekerja. Cuma, tidak beritahu yang dia
sedang mencari kerja baharu.
“Hah? Kenapa tiba-tiba balik? Tak
kerja?” sapa Seman yang baharu keluar dari bilik air.
“Cutilah ayah,” jawabnya. Apa lagi
jawapan yang boleh diberikan? Mereka memandangnya semacam sahaja. Tidak percayakah? Alahai…
“Lama ke cuti?” soal Hanum.
Cuak pula dia melihat anak gadisnya pulang secara tiba-tiba Tidak
beritahu pun hendak balik.
“Lama kut,” jawab Roseyatimah selamba. Alahi, orang tuanya. Balik salah, tak balik sibuk pula
bertanya. Dia mendengus kasar.
“Kau kena buang kerja ke Rose?”
sampuk Seman.
Hish, macam nampak sahaja dia
dibuang kerja? Orang tuanya ada ilmu boleh baca minda orangkah? Seram pula rasanya. Ibu dan ayahnya seperti tahu dia dibuang
kerja. Tetapi dia beri alasan yang dia cuti tahunan.
“Mana ada ayah? Rose ambil cuti tahunlah, kan Rose jarang
bercuti,” terang Roseyatimah. Tidak mungkinlah dia menceritakan hal yang
sebenar.
“Betul ke ni?” tanya Hanum masih was-was.
“Tak percaya sudah!” Malas nak bertegang urat. Biarpun mereka hanya
serkap jarang, tetapi tepat kena batang hidungnya.
“Mak masak sarapan apa?” Menukar
tajuk perbualan. Soal cuti dan kerja
tidak usah disebutkan lagi.
“Nasi lemak, sambal sotong
kering,” jawab Hanum. Nasi lemak yang
sudah siap dimasak terus dihidangkan.
Semerbak bau harum daun pandan menyapa mereka yang berada di meja makan.
“Sedapnya mak!” puji Roseyatimah.
“Kalau sedap pun, bangunlah ambil
pinggan!” jerkah Seman.
Roseyatimah menyengih, terlalu penat
memandu dari Kuala Lumpur ke Tanjung Karang membuatkan dia terus duduk
melepaskan lelah, sampai terlupa hendak membantu emaknya menghidangkan sarapan.
Usai sarapan, dia bercadang hendak
tidur sebentar. Bertolak selepas subuh
pagi tadi bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Jangan tidak tahu, kawasan yang sering sesak di hujung minggu adalah Tanjung Karang
dan Kuala Selangor. Dia merebahkan diri
di atas katil. Cuba melelapkan mata.
Apatah lagi baharu lepas menjamah dua pinggan nasi lemak. Ambil kau, sampai petang tidak perlu makan.
Sesekali balik kampung, masakan emaknya pasti membuatkan dia sentiasa
lapar.
Wajah cuak kedua orang tuanya yang
memandangnya sedikit pun tidak menyentuh hatinya.Biarlah, mereka boleh fikir
apa sahaja. Dia akan cuba menyembunyikan
tentang perkara tersebut. Mereka tidak boleh tahu yang dia telah diberhentikan
kerja. Roseyatimah mengeluh. Kerja apa
yang dia boleh lakukan? Susah betullah. Kalaulah dia tidak memilih bidang
kesetiausahan, tentu nasib dirinya tidak jadi seperti ini. Kenapalah dia
melawan arus. Kalau dia jadi doktor, sekurang-kurangnya tidaklah kena buang
kerja. Masih dihargai
perkhidmatannya. Ini ambil kursus yang
langsung tidak sesuai dengan fizikal dirinya.
Lainlah dia punya syarikat sendiri.
Asyik berfikir, bila pula dia boleh
melelapkan mata. Roseyatimah mengalihkan
muka mengadap bingkai gambar yang terletak di atas meja soleknya. Gambar dia bersama-sama sahabat dan kawan
baiknya di kampung itu. Sejak kecil
mereka bersama. Sampai orang menggelarkan
dia dan Haikal, tahi cicak. Seorang putih dan seorang lagi hitam. Dia tersenyum sendiri. Kalau ikutkan hati memanglah marah. Bila
fikir semula, biarlah. Tidak luak pun.
Dia
sedang mengantuk dan cuba mengimbau kembali ketika Haikal mengajaknya masuk
universiti yang sama kerana keputusan mereka setara. Namun di memilih jurusan
yang tidak sesuai dengan susuk tubuhnya.
“Haikal! Di mana kau?” tanya Roseyatimah. Gambar yang diambil selepas mereka berdua
mengambil keputusan SPM. Haikal mendapat
keputusan cemerlang, keputusannya hampir sempurna sama dengan Haikal. Pemuda itu ada mengajaknya pergi ke
universiti yang sama, tetapi dia menolak.
Kononnya hendak jadi setiausaha sahaja tidak perlu masuk universiti yang
canggih manggih, cukuplah UITM. Itulah
yang ada di dalam fikirannya. Galak
sangat hendak jadi setiausaha syarikat atau PA kepada big bos di mana-mana syarikat.
Haikal pun pernah melarang dia mengambil kursus tersebut. Tetapi dia tidak
peduli. Kedua orang tuanya pun melarang. Dia tetap degil. Memang dasar keras kepala. Sekarang terimalah
padahnya. Padan dengan muka dia. Baharu bekerja sudah dibuang kerja. Kerja yang diperolehi pun hanya pekerja
kontrak. Semuanya kerana rupa parasnya
yang tidak jelita. Kulit hitam, bertubuh kecil, ala-ala Nora Danish, kalaulah
dia putihlah. Dia pandai bersolek, sebab
waktu kursus ada diajar cara berdandan. Selalu menjadi bahan ujikaji waktu di
universiti kerana ‘kejelitaan’ wajahnya.
Pernah juga pensyarahnya menyuruh dia mengambil kursus lain. Dia masih
bertegang untuk meneruskan bidang yang pilih sehingga ke penghujung.
Alhamdulillah dia lulus cemerlang, malah dapat anugerah dekan. Cuma, dalam bidang kerjaya, dia awal-awal
sudah gulung tikar.
Roseyatimah
bingkas bangun, dia membuka tingkap bilik yang menggunakan tingkap cermin. Dia membuka seluas-luasnya. Biar angin pagi
menyapa masuk. Matahari sudah memancarkan cahayanya menerangi alam yang luas
itu. Matanya melekat ke arah sawah padi yang terbentang luas di
hadapannya. Sawah yang dimiliki oleh
keluarganya. Itulah pendapatan utama kedua orang tuanya.
Rumah batu setingkat yang sudah lama
dibina oleh kedua orang tuanya masih cantik pada pandangan mata. Tahun lepas ayahnya telah mengecat baharu seluruh rumah. Setiap tahun ayahnya akan mengecat rumah
tersebut. Emaknya pula rajin menanam pelbagai jenis pokok bunga untuk
mencantikkan lagi halaman rumah. Bunga
kertas beraneka jenis dan orkid juga menjadi pilihan emaknya bagi menghiasi taman
mini yang dibina sendiri. Memang kreatif.
Dia mengeluh. Roseyatimah
menguap. Matanya pedih bagaikan ada serbuk pasir. Kepalanya sudah mula berdenyut. Dia perlu melelapkan mata seketika sebelum
segar semula. Langkah diatur kembali ke
katil. Dia terus merebahkan tubuhnya
setelah memasang kipas siling. Terasa
nyaman tubuhnya. Matanya terus dipejamkan.