Bibirnya
memuncung ke hadapan, tiada langsung senyuman yang terukir. Dia memeluk tubuh. Matanya tajam memandang
sungai yang mengalir lesu. Sudah
berhari-hari tidak ada hujan. Kepanasan
hawa bumi begitu terasa menyengat tubuh, bertambah panas apabila hatinya pula
disakiti. Mahu sahaja ditikam lelaki itu 18 kali, biar jadi mayat dan tidak
bangun-bangun lagi. Inikah dinamakan
sahabat? Langsung tidak pernah bertanya
khabar. Rasa marah merentap jantung
hatinya.
“Kau marah kat aku ke?” tanya
Haikal. Dia sendiri terkejut melihat Roseyatimah terpacul di hadapan pintu
rumahnya tadi. Rasa hendak gugur jantungnya.
Kantoi! Sengaja dia merahsiakan kepulangannya daripada pengetahuan
Roseyatimah. Dia sudah berkira-kira,
waktu ini, sahabatnya sejak kecil itu
tidak akan pulang ke kampung. Kenapalah tiba-tiba muncul? Bagaimana pula tahu
yang dia akan bertunang? Siapa pula yang menyampaikan berita tersebut.
“Erk… taklah, suka! gembira!” jawab
Roseyatimah. Apa punya soalan? Tidak nampakkah
muka dia yang muncung macam itik. Hanya orang buta dan tidak berperasaan sahaja
yang tidak nampak perasaannya dan terhasil melalui memek mukanya.
“Maaflah! Bukan sengaja pun,” Haikal duduk di bangku yang terdapat di bawah
pokok mempelam di tepi sungai rumahnya.
“Bukan sengaja kata kau?” sergah
Roseyatimah.
“Aduh!” kata Haikal, terasa telinganya sakit
mendengar sergahan Roseyatimah. Gadis itu akan mengamuk, habis satu kampung.
Macam manalah dia boleh jadi setiausaha? Bos yang mana mampu bertahan dan
menahan perangai bengkengnya itu.
“Aku sedarlah siapa aku,
Haikal. Rupa tiada, kau pula semakin
kacak, bergaya dah macam rupa Eizlan Yusuf aku tengok. Aku pula Dayang Senandung yang disumpah
sampai mati. Kena halau dari istana pun tidak mungkin akan
putih kembali! Kau pun dah nak jadi
tunangan orang. Aku pasti, bakal tunang
kau tu takkan suka kau bergaul dengan aku! Kau pun tahu, bakal tunang kau tu,
musuh tradisi aku!” jerit
Roseyatimah. Rasa hendak menangis di
situ juga. Tidak adakah gadis lain yang
boleh dijadikan isteri oleh sahabatnya itu? Kenapa perempuan yang pernah jadi musuhnya sejak
dahulu, kini dan mungkin selamanya! Sakit benar hatinya. Mudah sungguh Haikal menggores hatinya. Nama sahaja sahabat! Sahabat jenis apa
agaknya?
“Aku tak bermaksud nak kecilkan hati
kau. Hati aku dah suka, Rose. Nak buat macam mana?” Haikal mati idea. Apa jawapan yang harus diberikan kepada
sahabatnya itu. Roseyatimah bukan jenis
orang yang boleh menerima alasan.
“Yang kau pergi menggatal mengayat
dia, buat apa?” tengking Roseyatimah.
Rasa hendak dibenamkan sahaja Haikal ke dalam sungai. Suka hati mak ayah dia sahaja. Jatuh hatilah, sudah sukalah. Alasan! Itu semua alasan.
“Ini soal hati Rose!” Haikal mengepam bibirnya sendiri.
“Hati mati!” laung Roseyatimah. Hilang rasa sabarnya, lagi pun selama ini
mana pernah dia bersabar. Bolehkah dia
bersabar? Dia mendengus kasar. Wajah kelat Haikal menjadi tatapan matanya. Dia perasan, tiada sedikit
pun rasa bersalah. Mungkin, Haikal
benar-benar jatuh hati dengan musuh tradisinya itu.
“Esok kau datanglah ya. Boleh bantu
emak aku,” pinta Haikal.
“Aku? Datang sini? Lepas itu berarak ikut kau ke
rumah Mak Limah CNN tu?” Roseyatimah
mencebik.
“Apa salahnya? Kau lupakanlah permusuhan kau dengan
Aina. Diakan dah nak jadi isteri
aku? Sama seperti akan jadi sahabat kau
juga.” Haikal terus memujuk.
“Kirim salam!” jawab Roseyatimah. Haikal bukan hendak melepaskan Aina pergi malah semakin beria-ia
untuk menyambung perhubungan dengan gadis itu.
Hatinya bertambah sakit, perit dan pedih. Sama sakitnya waktu dia kehilangan
pekerjaan. Terasa seperti, sudah jatuh
ditimpah tangga, terus ditolak masuk dalam kandang buaya. Mata terasa panasnya. Janganlah dia menangis. Buat malu sahaja. Haikal cuma sahabatnya, bukan kekasih. Mereka
tiada hubungan istimewa.
“Tak boleh ke kau putuskan hubungan
dengan perempuan sengal tu? Carilah perempuan
lain!” pinta Roseyatimah.
“Apa? Putuskan hubungan? Kau siapa?” jerkah seseorang dari belakang
mereka.
Roseyatimah dan Haikal memandang ke belakang.
Aina berdiri sambil mencekak
pinggang, memandang mereka seperti hendak ditelan seorang demi seorang.
“Aku sahabat Haikal sejak kecil! Aku berhak terhadap dia! Kau tu belum ada
apa-apa hubungan dengan dia?” kata Roseyatimah berani. Dia pasti Haikal akan memihak kepadanya.
Mereka memang sudah lama bersahabat.
Adakah Aina tidak tahu, atau pura-pura tidak tahu.
“Oh tolonglah!” Aina menjeling
tajam. Dia menghampiri Haikal. Tangan pemuda itu diraih, digenggam jari
jemari pemuda itu.
Roseyatimah yang melihatnya hampir
tersembur biji mata. Dia mengetap
bibir. Semakin mendidih hatinya. Mahu sahaja dia menarik tangan Haikal
daripada menjadi sentuhan tangan Aina.
“Hoi! Belum ada ikatan, sudah gatal tangan. Main pegang-pegang! Kau nak tangan kau orang
berdua kena bakar dengan api neraka ke?”tegah
Roseyatimah. Dia tidak kira siapa. Hukum
tetap hukum. Belum ada apa-apa ikatan,
mana boleh sentuh antara dua kulit lelaki dan perempuan. Haram! Berdosa! Itulah
yang dipelajari waktu sekolah dahulu.
Tidak mungkin kedua orang yang berdiri di hadapannya itu tidak tahu.
Mereka sama-sama belajar di sekolah yang sama.
“Hey, ustazah tidak bertauliah. Kalau nak berdakwah pergi ke masjid. Jangan
nak bersyarah kat sini!” marah Aina,
terasa dirinya disindir. Dia memang
tidak suka dengan gadis hitam legam di hadapannya itu. Macam manalah Haikal
boleh berkawan dengan gadis seburuk itu. Langsung tidak menyelerakan untuk
dijadikan kawan, apatah lagi teman hidup.
Buat sakit mata sahaja. Itu sebab Haikal tidak memilih Roseyatimah walaupun mereka berkawan baik.
“Sedapnya mulut sindir aku?” marah Roseyatimah. Dia mula hendak mengangkat tangan, hendak
disepak muka Aina yang sedap rasa sahaja menyindir dan menghinanya itu. Salahkah dia menegur? Benar tegurannya itu. Bukan dia mereka cerita. Dasar tidak tahu hukum atau pura-pura tidak
tahu? Sudah gatal, itulah jadinya.
“Rose!” tempik Haikal. Tangan Roseyatimah ditarik kasar. Kalau tidak
pasti melekat ke pipi Aina. Gadis itu
sudah menahan mukanya dengan kedua belah tangan daripada menjadi sentuhan
telapak tangan Roseyatimah.
“Kau dah gila ke? Nak tampar orang sesuka hati?” radang
Haikal.
“Kau kata aku gila, Haikal? Hanya
kerana perempuan ni, kau kata aku gila?” Jari telunjuknya mengarah ke muka Aina
yang tersenyum sinis merenungnya.
“Sudahlah, Rose. Pergilah balik. Aku dan Aina akan bertunang esok. Kalau kau nak datang, aku tak halang. Kalau kau tak sudi, aku tak boleh
memaksa,” jelas Haikal.
Aina menyengih. Semakin erat lengan Haikal dipeluknya. Padan muka perempuan hodoh! Bisik hati
kecilnya.
Tanpa perlu berpamitan, langkah
diatur meninggalkan kedua-dua manusia yang
sakit matanya memandang. Hatinya
terus ditebuk luka berdarah. Air mata
mengalir di tebing mata, disapu dengan hujung lengan baju. Semakin laju
langkahnya, semakin lebat air mata mengalir.
Terasa pilu di hati.
Hari ini dia kehilangan seorang
sahabat yang amat disayangi. Sudah
hilang rasa sayang seorang sahabat lantaran jiwa dipenuhi dengan kasih sayang
perempuan lain. Sampai hati kau Haikal!
Detik hati kecilnya yang berlagu sendu.
Meninggalkan perkarangan rumah Haikal dengan hati yang penuh duka. Terasa ringan sahaja kakinya melangkah,
semakin lama semakin laju seperti berlari rasanya.
Terik mentari tidak dihiraukan. Bahang kepanasan tidak terasa di tubuh,
seperti kebal menahan sinar suria daripada membakar kulitnya yang sedia maklum,
tidak akan berubah apa-apa jika dia berdiri sehari suntuk dibawah terik
mentari. Apa yang terbakar kini,
hanyalah hatinya. Terluka dimamah oleh insan
yang pernah disayanginya. Dia menoleh ke
belakang, mengharap Haikal akan mengejar dan memujuknya. Harapan seorang sahabat terhadap sahabatnya
sejak kecil itu, atau kedewasaan telah
meranapkan hubungan persahabatan yang telah sekian lama terjalin.