Mulut
emak dan ayahnya bercerita tentang betapa cantiknya Aina sewaktu di majlis
pertunangan musuhnya itu membuatkan hatinya bernanah kembali. Baharu
hendak baik luka di hati sudah disimbah dengan garam, diperah dengan
asam limau. Emaknya tidak tahukah, yang
dia dan Aina adalah musuh tradisi di waktu zaman sekolah malah sehingga
kini. Sampai hati emaknya memuji
kecantikan Aina, dia sedarlah keadaan dirinya. Telinganya pula seperti terbakar mendengar
kata-kata mereka. Ah, sakitnya jiwa!
“Rugi Rose tak ikut tadi. Ramai kawan-kawan sekolah Rose datang. Mereka
bertanyakan Rose, mak kata ada di rumah, tak sihat,” cerita Hanum riang.
“Baguslah. Mereka nak ke jumpa Rose?” Dia mencebik.
Ramai tidak suka berkawan dengannya waktu zaman sekolah dahulu, semuanya
kerana Aina yang sering menabur fitnah terhadapnya. Mereka semua melarikan diri, hanya Haikal
yang sudi berkawan dengannya, melindunginya.
Kini, Haikal akan jadi milik musuhnya, siapa yang akan melindunginya
daripada perempuan gedik itu?
“Kenapa pula tak nak jumpa? Merekakan kawan Rose. Aina pun tanyakan Rose tadi. Sedih dia sebab Rose tak datang.” Hanum terus bercerita.
Sedih? Perempuan itu? Terasa meloya tekaknya. Pandai sungguh dia berpura-pura! Sakitnya hati. Emak mana tahu dia selalu bergaduh dengan
Aina di sekolah. Emak mana tahu, gadis
itu selalu mengejeknya. Tiada maknanya
perempuan itu sedih kerana dia tidak datang.
Malah melonjak suka adalah.
Apatah lagi perempuan gedik itu sudah merampas satu-satunya kawan yang
dia ada. Ah! Semakin parah hatinya.
“Tak nak ke rumah Haikal ke? Esok Haikal dah nak balik ke Kuala Lumpur,”
tanya Hanum.
“Malaslah mak. Nanti tunang dia marah pula. Biarlah!”
Roseyatimah langsung tidak berminat.
Kalau Haikal hendak bertemu dengannya, bukan tidak boleh datang ke sini. Bukannya tidak tahu rumahnya. Dasar lelaki.
“Jom tolong mak buat roti canai
untuk makan malam. Ayah mengidam
pula.” Hanum mengeluarkan adunan roti
canai yang telah dibancuh sebelum ke rumah
Aina tengahari tadi.
“Roti canai? Tinggi kolesterol tu mak,” terang
Roseyatimah. Makanan yang perlu
dielakkan oleh mereka yang berpenyakit darah tinggi dan kencing manis. Tetapi rata-rata rakyat Malaysia memang suka
makan roti canai, baik siang atau malam.
Boleh dibeli di kedai-kedai mamak.
Kari dan kuah dhalnya kenalah sedap, babaru tersentuh hati waktu menjamahnya.
“Tinggi, tinggi pun, tetap menjadi
makanan paling popular selepas nasi lemak!’ ujar Hanum. Dia tersenyum.
Betullah itu. Orang Malaysia, tinggi seleranya. Hendak yang enak dan sedap sahaja. Tetapi memang betul, pekena roti canai
banjir, fuh! Terangkat. Roseyatimah
menelan air liur sendiri. Terbayangkan keenakan roti canai yang disirami dengan
kuah dhal dan sambal tumis.
Pantas tangan Hanum menguli lagi
sekali doh roti canai. Dia mula menebar
di atas talam yang besar, menekan-nekan bagi membentuk bulatan, kemudian
membanting doh tersebut yang telah
dileperkan. Menebar berkali-kali,
menariknya, membentuk satu garisan
panjang dan kemudian melipat-lipat doh itu jadi seperti bunga ros sahaja
bentuknya. Kemudian diketepikan. Buat lagi dengan doh yang lain sehingga habis.
Roseyatimah terlopong
melihatnya. Bukan tidak pernah melihat
emaknya menebar roti canai tetapi tidak pernah ambil kisah pun. Apa yang penting sudah terhidang di atas meja
untuk menjadi santapannya.
“Wah, pandai mak menebar roti
canai! Kalau di Kuala Lumpur mak buat macam
ni, beratur orang nak beli roti canai mak,” puji Roseyatimah.
“Yalah tu. Buat makan sendiri bolehlah Rose.” Hanum
menyengih. Dia menghidupkan api dapur,
kuali bulat leper dipanaskan. Minyak
sapi dan planta sudah sedia untuk disapu di atas kuali dan roti nanti.
“Tolong mak masak roti tu,” pinta
Hanum.
Roseyatimah akur. Dia berdiri menghadap dapur.
Sekeping demi sekeping roti yang ditebar oleh emaknya dimasak satu
persatu. Seorang dua keping, mereka
semua lima orang. Jadi sepuluh keping
roti canai siap di masak. Kalau setakat
sepuluh keping, baik beli sahaja. Buat apalah emaknya bersusah payah berdiang
di dapur. Roseyatimah sendiri tidak
faham. Emaknya terlebih rajin atau ayahnya terlebih cerewet, hanya hendak
menjamah masakan air tangan emaknya.
Penatnya jadi orang perempuan, keluhnya dalam hati.
Kuah dhal dan sambal tumis ikan
bilis sudah terhidang di atas meja. Roti
canai yang masih panas disimpan dalam pelas nasi kecil bagi memastikan roti itu panas ketika
hendak memakannya nanti. Ayahnya ke
masjid, usai solat isyak baharu sampai rumah.
Selalunya adik-adik dan emaknya akan tunggu sehingga ayahnya balik
baharu mereka menjamah makan malam bersama.
Dari sarapan pagi sehinggalah makan malam, jika waktu cuti selalunya
mereka akan makan bersama. Emak akan
selalu makan bersama ayah.
“Haikal tanyakan Rose tadi, kenapa
tak datang ke majlis dia?” Seman mula
menjamah roti canai buatan isterinya dengan penuh selera. Kuah dhal dan sambal tumis ikan bilis di isi ke
dalam mangkuk. Dia mula mencicah secubit
demi secubit.
“Ala… pura-pura bertanya. Haikal mana ada jemput Rose pun? Yang jemput Rose Mak Limah mulut CNN
tu,” kata Rose perlahan tetapi dalam
maknanya. Biar orang tuanya tahu, Haikal
cuma ajak-ajak ayam sahaja. Bukan bersungguh-sungguh pun ingin dia hadir
bersama.
“Takkan kut? Kaliankan berkawan
baik?” Hanum mengerut dahi.
“Kawan baik waktu zaman sekolah saja,
mak…” Roseyatimah mencebik. Roti
canai yang disirami kuah dhal dan sambal
tumis ikan bilis habis sekeping masuk ke dalam mulutnya.
“Fuh! Sedapnya mak, kalau mak buka
kedai roti canai di KL, Rose yakin…
orang akan beratur panjang,” puji
Roseyatimah. Bukan cakap kosong atau
hanya ingin mengambil hati emaknya, tetapi memang sedap. Kalah kedai mamak.
Kalau ada kari ikan semalam, lagi sedap.
“Jangan nak puji lebih-lebih!” Hanum
tersenyum.
“Kenapa mak buat dua keping saja,
kalau tak nak juga Rose makan lebih.”
Sekeping lagi dituang kuah dhal dan sambal. Kali ini dia memang membanjirkan roti canai
itu dengan kuah.
“Cukuplah dua keping, untuk malam
saja. Bagi tangan larat nak tarik
selimut,” kata Seman. Perutnya juga sudah kenyang. Air tangan
isterinya tidak pernah menghampakan. Ini
yang buat dia bertambah sayang kepada wanita yang telah dikahwini berpuluh
tahun itu.
“Yalah…” Roseyatimah sendawa kekenyangan. Puas makan roti canai yang dibuat
sendiri. Ditambah dengan kuah dhal yang
cukup asam garamnya. Pekat dan terasa
dhalnya. Sambal ikan bilis pula memang super. Tiada tandingannya. Orang kampung itu pun tahu. Kalau suruh buat nasi lemak untuk majlis di
masjid. Sambal tumis emaknya akan jadi
pilihan.
Usai makan malam, Roseyatimah
membantu emaknya mengemas meja makan dan membersihkan dapur. Emak tidak pernah membiarkan dapur
bersepah. Hendak mengelak serangga
perosak dan binatang yang suka merayap waktu malam. Segala sampah sarap terus
diletakkan di hadapan laman rumah. Satu
tong sampah bertutup sudah disediakan oleh pihak perbandaran, bagi memudahkan
sampah sarap itu diangkut.
Roseyatimah duduk di bangku kayu
yang terdapat di bawah pokok mempelam setelah membuang sampah. Dia memandang bintang di langit. Bunyi cengkerik berlagu riang membuatkan
suasana malam begitu cantik dan indah dengan caranya tersendiri. Dia memerhatikan kulitnya di dalam kegelapan malam.
Dia mengeluh. Matanya dipejamkan seketika. Hari ini dia benar-benar terasa sunyi. Haikal sudah pun menjadi tunangan Aina. Sebak dadanya memikirkan hal itu. Dia kehilangan seorang kawan yang
satu-satunya amat memahami dirinya. Air
mata mengalir juga. Dia benar-benar
terasa kehilangan. Mahu sahaja dia
memberitahu ala mini, hatinya sedang disakiti. Ingin sahaja dia memberitahu
semua makhluk ALLAH yang hatinya sedang kesepian. Di mana-mana dia tidak disukai, dia tidak
disenangi. Hanya kerana kulitnya yang
gelap gelita itu.
“Rose!” Hanum duduk di sebelah anak
gadisnya yang sedang menangis sendirian.
Dia tahu anak gadisnya tidak ceria. Ada masalah yang bersarang di
dada. Dia seorang ibu, dia kenal anak
gadisnya sendiri. Riak air muka anaknya
itu dia sudah tahu ada yang tidak kena. Cuma, dia tidak tahu apakah ia.
“Mak,” Roseyatimah menyeka air mata yang mengalir di
pipinya.
“Rose menangis?” Hanum memeluk bahu anak gadisnya erat.
Melahirkan rasa kasih yang tidak terhingga di hati seorang ibu.
“Kenapa nasib Rose tidak sebaik
orang lain? Sudahlah kulit macam orang
Afrika. Tiada siapa sudi berkawan dengan
Rose. Malah sahabat Rose sendiri dah
tinggalkan Rose, mak.” Roseyatimah memeluk erat pinggang Hanum.
“Jangan cakap macam tu. Mesti ada sebab kenapa ALLAH jadikan Rose
seperti ini. Mungkin kalau kulit Rose
seperti orang lain, Rose akan jadi seorang yang sombong, kerana anak mak ni
pandai dalam pelajaran. Cuma tersalah
pilih jurusan. Tentang Haikal, biarlah.
Nanti Rose pasti akan dapat juga bertemu dengan sahabat yang sejati,
menerima diri Rose seadanya,” nasihat
Hanum.
“Ada ke orang nak kahwin dengan Rose
mak? Takkan sampai ke tua Rose akan
hidup sendiri?” Takut juga memikirkan tentang hal itu. Dia tidak mahuu hidup sendiri. Dia ingin ada suami dan anak-anak. Melihat keadaan fizikal dirinya, entah
siapalah yang berkenan. Kalau ada pemuda
yang suka kepadanya, adakah keluarga pemuda itu juga akan suka kepadanya? Persoalan yang membuatkan dirinya sendiri
takut memikirkannya.
“Setiap manusia di dalam dunia ini
dijadikan berpasangan. Kalau tidak ada
juga jodoh, sudah tentu jodohnya ada di akhirat nanti. Kenapa perlu
bimbang? Jodoh pertemuan itukan ketentuan
ILAHI? Bukan di tangan kita. Kita hanya mampu merancang, ALLAH juga bagus
percaturannya.” Hanya itu yang mampu dia lakukan,menasihati dan memberi
pesan. Bukan kehendaknya anak sulongnya
dilahirkan gelap begitu. Dia dan
suaminya sendiri terkejut melihat Rose
waktu pertama kali. Pada mulanya dia
menyangkakan pihak hospital tertukar
bayinya. Suaminya pula mula mensyaki
yang bukan-bukan. Atas nasihat doktor
akhirnya ujian DNA dilakukan. Benarlah
bayi yang gelap itu adalah anak mereka sendiri.
Mereka terima ketentuan ILAHI dengan hati yang terbuka. Menurut arwah emaknya, moyang mereka berasal
dari India. Mungkin sebab itu
Roseyatimah dilahirkan kulitnya agak
gelap. Berbeza sungguh dia dengan
adik-adiknya yang berkulit sawo matang.
Roseyatimah memeluk Hanum semakin
erat. Esok dia bercadang untuk pulang ke
Kuala Lumpur. Dia perlu meneruskan
kehidupannya dan merancang masa depan.
Tiada guna dia menangis siang malam. Tidak mampu mengubah apa-apa. Dia tidak mahu bersedih lagi, tetapi tidak
berjanji untuk takkan menangis lagi. Air
matakan teman paling akhrab kaum Hawa sepertinya.