Zaiton
mundar-mandir di hadapan pejabat Pengurus Bahagian HR syarikat tempat dia
bekerja. Kepalanya yang tidak ada uban dan kutu pun sudah terasa gatalnya,
disebabkan peluh. Sekejap-sekejap dia terintai-intai
ke dalam bilik Puan Pengurus. Mana
pulalah perginya? Sudah sejam dia
berkeadaan begini. Untung hari ini
bosnya masuk lambat kerana melawat tapak projek. Kalau tidak jangan harap dia boleh berada di
ruang itu.
“Tak penat ke kau Ton! Berkawad macam
polis pencen yang dah lama tak berkawad!”
tegur Kak Selly, setiausaha
kepada Puan Pengurus Bahagian HR syarikat tempat dia bekerja itu.
“Penat kak! Siapa kata tak
penat? Kepala saya ni lagi penat, kalau
saya tak tunggu di sini. Orang di rumah
tu, dah menangis seminggu kak! Mister
Potato yang dimakan rasanya dah berkotak dia beli! Tak pasal-pasal mati anak orang kerana darah
tinggi kak!” cerita Zaiton. Setiap kali dia balik dari kerja, pasti soalan cepu
mas akan ditanya oleh Roseyatimah, sama ada dia sudah mendapat jawapan dari
surat rayuan yang dihantar.
“Geli pula hati akak dengar
kata-kata kau Ton. Simpati pun ya juga
kat Rose. Tapi… itulah, kau pujuklah
dia, cari kerja dalam bidang lain. Kerja
sebagai setiausaha ni hanya hendak orang yang cantik menawan macam kita ni,” kata Selly yang sememangnya cantik
bergaya. Potongan badannya mengalahkan
Miss Universe. Kalau masuk pasti menang.
“Dah puas saya pujuk kak. Dah berbuih mulut saya ni! Langsung dia tak
nak dengar. Tapi itulah… sewaktu di
kolej, dia pelajar cemerlang kak!”
Zaiton mengeluh. Memanglah
Roseyatimah tidak cantik, pensyarah yang mengajar mereka pun sudah berpuluh
kali bercakap dengan temannya itu agar mencari bidang lain. Kerana dia tidak sesuai bekerja di dalam
bidang itu. Tetapi, degilnya lebih keras
dari besi waja. Dia menghabiskan juga
ijazah dalam bidang kesetiausahan malah mendapat anuerah Dekan. Terkejut para pensyarah yang mengajar
mereka. Roseyatimah memang seorang
pelajar yang cemerlang dan rajin.
“Kau pujuk sehingga berbuih, mana
dia nak dengar, dia nampak buih saja,” gurau Selly.
“Yalah, kelakarlah sangat!” Zaiton mencebik.
“Janganlah marah. Tertekan jiwa akak
tengok muka kau Ton. Tak pasal-pasal
akak yang sudah 30-an ni jauh lebih muda daripada kau yang baharu 20-an,” usik
Selly.
“Akak kira tertekan akak! Saya ni
lebih lagi kak. Bukan saja tertekan, terhimpit terus!” Zaiton menggeleng laju.
“Kau baliklah ke tempat kau
dulu. Kalau Puan Zalila sampai nanti…
akak telefon kau,” janji Selly.
“Yalah kak… jangan tidak-tidak
kak. Kalau akak tak nak tengok saya jadi
arwah cepat!” Zaiton mengenyitkan
mata. Dia kembali ke tempatnya semula. Dia merupakan setiausaha kepada Tuan Halim,
Pengurus Bahagian Akauan syarikat itu.
“Yalah! Kalau dah jadi arwah… akak
sedekahkan saja al-Fatihah!” Selly ketawa kuat.
Zaiton mencebik. Sempat pula Kak Selly mengenakannya. Dia melangkah kembali ke tempat
kerjanya. Dia mengeluh. Penat sungguh
melayan kerenah Roseyatimah yang masih tanam anggur di rumah. Suruh balik kampung tidak mahu. Suruh cari kerja lain, banyak pula
songehnya. Yang susah dia juga. Apalah nasib badan.
“Awak ke mana Ton? Puas saya cari?”
tegur Halim yang baharu sahaja keluar
dari biliknya.
“Apalah, Encik Halim ni, berilah
salam. Kalau saya ada sakit jantung,
boleh mati terkejut tau!” Zaiton
mengurut dada.
“Erk… apa yang awak mengelamunkan? Sampai saya panggil dari tadi awak tak
dengar?” Halim menggeleng. Apa pula yang
tidak kena dengan setiausahanya itu.
Sudah dua tahun Zaiton menjadi setiausahanya. Selama bertugas di syarikat itu, Zaiton
dikira sebagai seorang pekerja yang cekap dan rajin.
“Bukan mengelamun! Tapi
berfikir…”luah Zaiton. Dia mendengus keras.
“Fikir apa pula?” tanya Halim.
Dia tidak mahu dituduh sebagai seorang ketua yang tidak prihatin dengan
masalah pekerjanya. Apatah lagi Zaiton.
Dia sudah selesa bekerja dengan gadis itu.
Segala urusannya berjalan lancar.
“Fikir pasal Dayang Senandung di
rumah saya tulah En. Halim! Tunggu Puan Zalila, tak muncul-muncul. Erk… maafkan saya En. Halim. Tak pasal-pasal cerita masalah yang sedang
saya hadapi. Tadi pagikan, En. Halim
kata nak ke tapak projek, kenapa tiba-tiba muncul.”
“Ada dokumen yang tertinggal. Saya ingatkan awak ada tadi,” jelas Halim
tentang kehadirannya ke pejabat.
“Maafkan saya En. Halim.” Zaiton berasa bersalah. Dia hampir mengabaikan tugasnya.
“Tadi awak sebut pasal Dayang
Senandung? Siapa Dayang Senandung? Adik
beradik awak ke? Setahu saya nama Dayang
Senandung adalah filem lama,” ujar
Halim, berminat ingin tahu.
“Dayang Senandung? Ooo… pelakon Melayu lama yang ada di rumah
saya tu, En. Halim. Roseyatimah!” Zaiton
tersenyum sehingga ke telinga.
“Ooo…” Halim tersenyum, fahamlah
dia perkara sebenar.
“Dia masih meroyan dan suruh awak pujuk
Puan Zalila ke?” soal Halim kepada setiausahanya itu.
“Yalah En. Halim! Itu yang kepala saya pening sangat ni!
Kenapalah Puan Zalila tamatkan kontraknya?
Diakan rajin bekerja, pristasinya juga baik.” Zaiton mengeluh.
“Awak sendiri tahu sebabnya.” Halim mendengus kasar.
“Kalau kerana paras rupa, rasanya
tak adillah En. Halim!” Zaiton
membantah. Hanya kerana paras rupa Roseyatimah, gadis itu ditamatkan
kontraknya. Itu adalah sesuatu yang
tidak adil kepada pekerja yang rajin seperti sahabatnya itu. Ramai lagi yang
malas, kenapa tidak dibuang. Kalau
hendak dibandingkan dengan Roseyatimah, mampu berbuat apa sahaja jika diberi
sebarang apapun tugasan kepadanya. Tidak
pernah menolak dan tidak pernah culas melakukannya. Hanya kerana sekeping wajah
yang tidak cantik, maka segalanya punah
tanpa dinilai mutunya.
“Saya pun tak tahu nak cakap apa
Ton, saya pun hanya makan gaji di sini.
Kalau awak berani, pergilah merayu kepada CEO kita tu. Manalah tahu,
mungkin dia boleh membantu,” ajar Halim.
“CEO? Tuan Nizam, maksud En. Halim?” dahi Zaiton berkerut.
“Yalah… CEO syarikat ini seorang
saja!” tempelak Halim. Setiausahanya
juga sudah hilang arah. Agaknya terlalu
memikirkan masalah Roseyatimah sehingga otak pun beku juga.
“En. Halim dah jumpa ke apa yang dicari?” Zaiton memandang ke arah fail yang dipeluk
oleh ketuanya itu.
“Dah! Awak tu, buat kerja seperti
biasa. Kang tak pasal-pasal awak pula
dibuang kerja,” usik Halim.
“Apalah punya celupar mulut En.
Halim… minta dijauhkan!” Zaiton
mencebik.
Halim ketawa. Dia mengatur langkah meninggalkan Zaiton untuk menyambung kerja-kerjanya.
Zaiton memandang sahaja ketuanya
hilang daripada pandangannya. Dia menongkat dagu, masih berfikir. Masih tercari tempat yang sesuai untuk Roseyatimah
bekerja. Cadangan ketuanya tadi
boleh juga diguna pakai. Berjumpa sendiri dengan CEO syarikat itu. Manalah tahu
ada peluang untuk Roseyatimah nanti.
Kalau tidak dipecahkan ruyungnya, manakan dapat hasilnya. Kalau nak tahu tanah itu subur, kenalah
bercucuk tanam dahulu. Zaiton tersenyum gembira. Dia menekam punat
interkom. Nombor talian dalaman bilik
CEO ditekan pula.
“Kak June! Inilah… Zaiton,
setiausaha En. Halim bahagian Akaun,”
Zaiton memperkenalkan diri, selalunya mereka sesama setiausaha saling
kenal antara satu sama lain. Maklumlah
selalu berjumpa di majlis yang
melibatkan syarikat tempat mereka bekerja.
“Hah! Apa hal? Tak pernah-pernah kau
telefon? Apa mimpi? Jumpa putera raja
malam tadi ke?” gurau June yang sudah
lama berkhidmat di syarikat itu.
“Kalau jumpa putera raja tak
apa? Ini hari-hari jumpa langsuir lapar
darah!” gurau Zaiton, terbayangkan wajah Roseyatimah berpakaian putih, duduk di
atas pokok sambil menyanyi dan mulutnya ada lelehan darah. Eee… geli pula
memikirkannya. Hendak ketawa pun ada
juga, kerana langsuir itu berkulit gelap.
Zaiton menekup mulutnya. Takut pecah gelaknya. Tidak pasal-pasal ada yang menghantarnya ke
wad orang sakit jiwa.
“Langsuir lapar darah? Kau ada ambil gambar? Kak June nak juga tengok rupa langsuir tu.
Ada orang kata, cantik menawan,”
sambut Kak June.
“Apalah Kak June ni? Mana ada langsuir zaman Globalisasi, Era
milinium! Langsuir rambut hitam, kulit
hitam adalah!” pecah gelak Zaiton kerana
ketika itu dia sedang membayangkan Roseyatiman menjadi langsuir. Semakin difikir, semakin terasa geli di
hatinya. Hish… tidak baik ketawakan orang.
Macamlah dia cantik sangat. Terasa bersalah pula dalam hati, biarpun dia
tahu, Roseyatimah tidak pernah berkecil hati, jika orang memperkatakan tentang
keadaan fizikalnya. Dia akan cuba
membantu sahabatnya itu sehingga mendapat kerja semula. Itulah janjinya kepada dirinya sendiri. Kalau
terpaksa menyeberang lautan api pun dia sanggup harungi… erk… taklah, itu bunuh
diri namanya, orang bunuh diri tidak cium bau syurga. Dia akan bertemu dan berhadapan dengan CEO
syarikat itu. Muktamad! Janji temu pun dibuat dengan Kak June,
setiausaha CEO syarikat tempat dia
bekerja.