Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,869
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4

Hati Zaiton sudah berdebar-debar. Seram sejuk seluruh tubuhnya. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan untuk menghilangkan rasa gugup di hati. Kalau tidak kerana Roseyatimah hari-hari merayu mendayu-dayu, sakit telinga dia mendengarnya. Mahu atau tidak, terpaksalah dia bertemu juga dengan CEO Syarikat Milinium itu.

“Kau baca apa Ton?” June dengan wajah kehairanan.

“Baca ayat penunduk Kak June,” jawab Zaiton sambil menyengih.

“Macam-macamlah perangai kau Ton!” June menggeleng laju. Hendak ketawa pun ada. Takut benar hendak bertemu Tuan Nizam, sedangkan lelaki itu seorang yang baik. Bukan garang mana pun. Hanya tegas kena pada tempatnya.

“Boleh masuk ke Kak June?” Zaiton masih tidak keruan. Hatinya masih lagi berdebar-debar, kenapalah dia takut sangat. Bukan hendak jumpa Malaikat Maut. Baharu dengan jumpa CEO syarikat tempat dia bekerja, takutnya mengalahkan jumpa hantu. Belum lagi jumpa Yang DiPertuan Agung. Kalau disuruh berjumpa Perdana Menteri pula entah bagaimanalah keadaan dirinya, entah-entah pengsang agaknya.

“Masuklah!” suruh June.

“Terima kasih kak!” Zaiton mengetuk daun pintu yang dibuat dari kayu cengal. Berukiran daun kacang. Setelah mendapatkan jawapan daripada orang di dalam, baharulah dia berani melangkah masuk.

Tertunduk-tunduk dia memberi hormat. Matanya sempat meneliti hiasan dalaman bilik CEO itu. Cantiknya, serba mewah. Terpegun dia seketika. Seronoklah Kak June dapat bekerja dengan CEO Syarikat Milinium. Dia tersenyum sendiri.

“Ya Zaiton, ada apa-apa ang boleh saya bantu?” Tanya Nizam yang sejak daripada tadi memerhatikan sahaja tingkahlaku pekerjanya itu. Macam rusa masuk kampung. Bukanlah cantik sangat hiasan dalaman pejabatnya, biasa sahaja. Tiada yang istimewa.

“Maaf Tuan Nizam.” Zaiton terkejut. Dia alpa seketika. Dia mendekati CEOnya yang masih kelihatan muda bagi dirinyalah. Memang muda pun. Dia memandang wajah Tuan Nizam tidak berkelip.

“Duduklah…” suruh Nizam.

“Terima kasih.” Zaiton terus melabuhkan punggungnya di kerusi yang ada. Dia menarik nafas seketika. Cuba mencari kekuatan dalam diri untuk bersuara.

“Erk… boleh saya ambil gambar dengan Tuan Nizam sekejap. Takut ada orang yang tak percaya, saya jumpa tuan.”

“Hah?” Nizam terkedu mendengarnya. Baharu pertama kali dia mendengar ada pekerja yang ingin mengambil gambar bersamanya kerana nak dijadikan bukti.

“Baiklah.” Nizam memberi izin.

Zaiton bingkas bangun dan berdiri di sebelah majikannya. Telefon bimbit jenama ASUS dikeluarkan. Dia menekan gambar kamera. Mencari posisi yang sesuai, dia terus menekan untuk mengambil gambar dia dan majikannya itu. Alahai, ini semua idea Roseyatimah yang tidak percaya dia akan berjumpa dengan Tuan Nizam. Apalah punya teruk sahabatnya itu. Usai mengambil gambar dia kembali ke kerusi dan duduk menghadap majikannya. Dia tersenyum malu.

“Apa tujuan awak datang jumpa saya?” Nizam memandang wajah Zaiton yang seperti orang bersalah.

“Begini tuan. Ini fail kawan saya. Dia pernah bekerja di sini. Tetapi kontraknya tidak diperbaharui oleh bahagian HR. Kalau boleh kawan saya tu, naklah bekerja di sini lagi. Jadi, saya datang ini, ingin meminta pertimbangan daripada pihak syarikat agar menerima kembali kawan saya tu,” jelas Zaiton akan kedatangannya ke situ.

Fail yang diserahkan oleh Zaiton diteliti oleh Nizam. Dia mengeluh. Fail tersebut ditutup semula. Dia menyandar di kerusi. Dia berfikir sejenak.

Zaiton yang menanti, berasa tidak sabar. Wajah majikannya yang persis pelakon Syukri Yahaya ditatap lama. Boleh tahan kacak juga Tuan Nizam ini, detik hati kecilnya.

“Beginilah Zaiton. Sebenarnya tiada pengurus yang mahu menjadikan Roseyatimah sebagai setiausaha mereka. Biarpun kawan awak ini, cekap melakukan kerjanya. Sebagai seorang setiausaha perlu ada pakej yang dikehendaki oleh syarikat. Saya sendiri tidak tahu hendak letak dia di mana? Suruhlah dia cari kerja di tempat lain. Mungkin bukan rezeki dia bekerja di sini,” terang Nizam panjang lebar.

“Saya pun tak tahu nak cakap apa dengan dia tuan. Erk… saya rakam tau apa yang tuan cakap tadi. Bukan nak masukkan dalam youtube tetapi nak dijadikan saksi kepada Roseyatimah, agar dia percaya. Semuanya kena ada bukti tuan,” cerita Zaiton tentang perangai Roseyatimah.

Nizam tersenyum. Nasib baiklah dapat kawan yang penyabar dan sudi membantu, kalau tidak, entahlah.

“Kiranya tiada peluanglah tuan?” tanya Zaiton lagi. Masih mengharap.

“Maafkan saya Zaiton. Ini etika syarikat. Kita nak jaga nama baik syarikat. Bukan saya kata, kerana fizikal Roseyatimah akan memburukkan syarikat. Tetapi ketrampilan itu penting.” Bukanlah syarikatnya terlalu memilih pekerja. Tetapi tiada siapa yang mahu mengambil Roseyatimah sebagai setiausaha mereka. Dia tidak mampu berbuat apa-apa.

“Kalau begitu, tak apalah tuan. Terima kasih kerana sudi bertemu dengan saya.” Akhirnya Zaiton mengalah. Dia segera bangun dan meninggalkan bilik Tuan Nizam, CEO syarikat tempat dia bekerja.

“Habislah saya!” keluh Zaiton. Dia duduk menghadap June yang leka membuat kerjanya.

“Kenapa? Tuan Nizam tak terima?” tanya June. Wajah monyok Zaiton sudah mampu menjawab pertanyaannya tadi. Roseyatimah diberi peluang bekerja di situ kerana ketika itu mereka memerlukan setiausaha untuk Pengurus Bahagian Pemasaran, Tuan Kamal. Terpaksa ditamatkan kontraknya kerana Tuan Kamal sudah mendapat seorang setiausaha yang dia inginkan.

“Terima kasih Kak June. Terpaksalah saya beritahu Rose keputusan syarikat. Semua bahan bukti sudah saya rakan di telefon saya. Tak perlulah dia marah-marahkan saya nanti,” jelas Zaiton.

“Suruhlah dia cari kerja di tempat lain,” kata June.

“Yalah kak… terima kasih ya.” Zaiton melangkah lemah. Simpati dengan nasib sahabatnya itu, tetapi apakan daya. Setakat itu sahajalah dia mampu membantu. Hanya keluhan terlahir di bibirnya.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.