Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,776
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 36

Ain mengeluh sendiri. Tasek Titiwangsa yang indah di hadapannya, tenang airnya sedikit pun tidak mampu menenangkan jiwanya yang sedang kacau itu. Hembusan angin petang menyapa pipinya yang masih gebu itu langsung tidak mampu menyejukkan hatinya. Haikal tida menghubunginya, kata-kata ugutan untuk memutuskan pertunangan mereka juga tidak diambil endah. Kenapa keras sangat hati Haikal kini? Sebak dadanya. Persahabatan Haikal dan Rose lebih penting daripada dirinya. Tidak larat bertanya dengan diri sendiri, tidak adakah lagi kasih sayang antara mereka. Malas untuk menjawabnya sendiri kerana dalam hatinya masih menebal rasa kasih kepada lelaki yang telah mencuri hatinya sejak di zaman sekolah lagi.

Duduk melayan perasaan sendiri, diamuk resah yang tidak bertepi. Rasa gugup menghadapi hari esok bagai menanti hukuman gantung yang akan ditetapkan oleh Haikal sebagai hakimnya. Dia sebagai pesalah terima sahaja dengan hati yang berat dan akur. Hiba membantai hatinya. Mahu sahaja dia meraung dan meluahkan apa yang berkumpul di hati.

Malas nak mengadu dengan emaknya lagi. Bukan menjernihkan keadaan malah menjadi keruh lagi. Hampir sahaja emaknya bergaduh dengan emak Haikal, gara-gara mulut emaknya mencanang seluruh kampung yang dia dipukul oleh Haikal. Hanya satu lempangan sahaja, salah dirinya juga. Ain mengeluh.

Wajah Rose bermain di mata. Gadis itu hitam legam, tetapi amat disenangi Haikal. Malah Haikal menganggap perempuan hitam itu adalah sahabat baiknya. Ain mengeluh. Haruskah dia yang mengalah. Kalau ikut keadaan yang ada, dia tidak mampu melawan Rose yang cukup bukti dan saksi, malah hakim juga menyebelahi perempuan itu. Kalau dia kalah kerugiannya berlipat kali ganda. Dia bukan sahaja akan dihukum malah akan kehilangan Haikal untuk selama-lamanya. Tidak! Dia tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. Dia perlu bercakap dengan Haikal. Mereka perlu selesaikan masalah yang sedang melanda hubungan mereka.

Ain bingkas bangun. Duduk termenung pun bukan dapat menyelesaikan masalah. Dia perlu bertindak. Berpeluk tubuh dan membiarkan Haikal berlalu pergi, juga tidak mendatangkan hasil untuknya. Dia perlu selamatkan hubungannya dengan Haikal. Langkahnya semakin laju mendekati keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ.

***

Haikal mendengus kasar bila ternampak kelibat Ain di hadapan pintu rumah sewanya. Nak berpatah semula tidak patutlah. Dia mengeluh, langkah diatur mendekati tunangannya itu. Rindu pun ada sebenarnya, tetapi sengaja dia mempertahankan egonya. Ain tidak boleh diberi muka, sebelum berkahwin sudah pandai memerintahnya, tidak mustahil setelah berkahwin lebih dari itu bakal dilakukan oleh Ain.

“Awak!” sapa Ain dengan wajah manis. Senyuman mekar bak bunga yang sedang berkembang menyambut Haikal.

“Nak apa?” tanay Haikal kaku dan serius sahaja, tiada langsung senyuman yang terpamer.

Ain mengetap bibir. Dalam hati bergolak bagai nak pecah, geram pula dengan sikap ego Haikal.

“Jom keluar makan, saya laparlah,” ajak Ain lembut, masih menahan perasaan marahnya daripada membuak keluar.

“Pergilah sendiri, saya dah makan,” jawab Haikal serius. Dia memandang ke arah lain. Tidak mahu bertentang mata dengan Ain. Hatinya masih mengharap tunangnya itu akan berbaik dengan Rose, hanya itu sahaja permintaannya, kenapa sukar sangat? Tambah dia geram, bila Ain nak memutuskan pertunangan mereka. Bukan main lagi dia, ya? Berani ya? Lepas itu buat pula cerita yang dia memukul tunangnya itu. Tercabar maruah dan harga dirinya. Ingat dia tidak malukah?

“Awak, takkan masih marah saya?” Ain mendekati.

Haikal menjauhkan diri.

Ain mendengus geram.

“Awakkan dah putuskan pertunangan kita, kenapa datang lagi cari saya?” Haikal mencebik.

“Awak!” Ain mengeluh keras. Keras kepala betullah tunangnya ini. Dia main-main sahaja, bukan betul-betul pun, takkan itu pun diambil serius. Bukan nak memujuknya malah menyakitkan hatinya lagi. Apalah punya nasib agaknya.

“Pergilah balik, selagi awak tidak ikut syarat yang telah saya tetapkan, selagi itulah antara saya dan awak tiada apa-apa. Kalau awak nak putuskan pertunangan kita pun, saya tak kisah. Jangan lupa bayar ganda ya. Boleh saya guna barang hantaran tu pinang perempuan lain. Mana tahu pinang si Rose saja pun boleh juga.”

“Apa?” Ain tidak menyangka sama sekali, Haikal akan bercakap seperti itu. Kehadirannya mencari Haikal sehingga di rumah, tidak dihargai. Malah Haikal rela pertunangan mereka diputuskan. Nampak sangat hati Haikal tidak ada lagi dirinya. Pinang si hitam itu? Jangan mimpi! Berbaik dengan si hitam itu? Kirim salam!

“Awak sengaja nak menguji kesabaran saya ya? Saya bersabar dengan sikap awak, kenak awak. Saya sanggup datang cari awak, sebabnya saya tetap sayangkan awak, walaupun akan dah melukakan hati saya. Awak memang kejam Haikal! Kejam!”

“Oh, saya kejam? Awak dan emak awak tak kejam? Menjaja tentang saya sekeliling kampung, jual nama emak saya, awak ingat saya boleh diamkan saja? Kalau ikutkan hati saya Ain, jangan harap saya sudi tengok muka awak. Buat sakit mata saja!” Haikal membuka pintu grill rumahnya.

“Awaklah yang salah, kalau awak tak lempang saya hari tu, saya taklah balik kampung mengadu dengan emak saya.”

“Belum kita kahwin lagi, awak dah buat macam ni. Sikit-sikit mengadu, sikit-sikit mengadu, macam budak-budak! Tak matang langsung!” herdik Haikal. Dia mencekak pinggang.

“Dah awak tak nak pujuk saya! Saya mengadulah dengan emak.” Ain tidak tahu kenapa Haikal banyak berubah. Adakah Rose telah mempengaruhi tunangnya itu. Sampai begini sekali layanan Haikal terhadapnya. Tidak ada ruang dan peluangkah lagi antara mereka? Ain menyulam duka.

“Saya cuma minta awak berbaik dengan Rose, susah sangat ke?” tanya Haikal ingin tahu, sejak kali terakhir dia menyuarakan syaratnya, sehingga ke hari ini tiada sebarang jawpan yang diterima. Ain lebih rela mendiamkan diri dan bertindak ikut suka hatinya.

“Itu memang susah!” jawab Ain keras. Kenapalah lelaki itu tidak mahu memahami perasaannya? Kenapa harus memaksa. Mungkin sekarang dia tidak boleh menerima kehadiran Rose, mungkin di lain kali, tiada siapa yang tahu. Apa yang penting hubungan mereka tidak jadu keruh begini. Perkara yang boleh dibawa berbincang menjadi racun yang membunuh kasih sayang mereka.

“Ikut suka hati awaklah! Saya dah malas nak layan sikap degil awak tu!” Haikal membuka gril pintu dan bersedia untuk melangkah masuk ke dalam rumah.

“Awak tu yang degil! Ain tidak mampu membendung perasaan marahnya terhadap Haikal. Lelaki itu sengaja nak menyusahkan dirinya. Sengaja menyakitkan hatinya.

“Pergilah balik! Antara kita dah tak ada apa-apa lagi!’ halau Haikal. Bukan hati tak sayang, bukan hati tak kasih, tetapi dia inginkan yang terbaik untuk hidupnya dan hidup Ain juga. Harap tunangnya itu mengerti.

“Sampai hati awak!” Ain menangis. Air mata tidak mampu dibendung lagi. Hatinya hancur terluka. Tergamak Haikal berkata begitu. Nampak benar dirinya tidak diperlukan lagi. Benarlah, tidak ada lagi perasaan sayang dihati Haikal terhadap dirinya. Kalau begitu kehendak Haikal. Dia akan pergi, perginya jangan dicari. Hilangnya usah ditanya. Ain memandang wajah Haikal yang tidak sudi lagi melihatnya. Ada rasa benci di wajah itu. Air mata yang berguguran di pipi, dibiarkan mengalir. Hatinya hancur terluka. Tanpa sambungan bicara, Ain melangkah pergi, meninggalkan kekasih hati yang egonya tinggi, keras hatinya, bagaikan tiada ruang untuk mereka bersama semula. Biarlah dia menyulam duka, menghampar permaidani kecewa yang mengamit di jiwa. Biarlah air mata menjadi teman setia menceritakan apa yang bersarang di dada. Maafkan diri ini kasih, jika cintamu tidak lagi untukku, detik hati kecil Ain. Langkahnya semakin laju meninggalkan kawasan rumah Haikal dengan hati berbuku sendu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.