Biar
berbakul leteran ayahnya pagi tadi sewaktu dia membawa keluar beg pakaian
ala-ala pelajar Akademi Fantasia kena halau selepas dikeluarkan. Dia buat pekak badak sahaja. Hanya menghulurkan tangan bersalaman dan
melangkah laju masuk ke dalam kereta.
Emaknya hanya memandang dengan hati yang sayu, sepatah tidak bercakap.
Pasti marah di dalam hati. Dia tidak
mahu lagi menyusahkan mereka. Sepatutnya
dia membantu mereka, meringankan beban orang tuanya. Menyambung menyekolahkan
adik-adiknya pula. Ini tidak, sudah
besar pun menyusahkan lagi.
Dia sampai di rumah sewanya selepas zohor. Sempat dia makan tengahari di jalan. Dia membuka pintu bilik dan terus merebahkan
diri. Penat memandu beberapa jam. Biarlah dia tidur sebentar. Tadi sempat juga bersolat jamak siap-siap.
Kalau terlajak tidur pun tidak berasa bersalah, kerana urusannya dengan ALLAH
SWT telah tertunai. Rose terus terlena sehingga tidak sedar hari
menganjak senja.
“Kenapa pintu tak berkunci? Kejap, kejap…
bukan ke aku kunci pintu sebelum
keluar pagi tadi?Alamak! Ada pencuri ke?”
Zaiton seriau. Kalau pencuri
macam mana? Dia menelan air liur
sendiri. Nak beritahu pengawal
keselamatankah? Kalau pencuri itu masih ada di dalam bagaimana? Hish, dia seorang diri pula itu. Berbagai cerita yang didengarinya mengenai
kejadian rompakan atau kecurian membuatkan hatinya berbelah bahagi dengan masuk
ke dalam rumah. Matanya memandang kiri
dan kanan. Aduhai, waktu begini pulalah
otaknya kosong. Faktor kepenatan
sehingga tidak mampu berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah
yang sedang dihadapinya itu.
“Mungkin pencuri dah keluar kut?”
kata Zaiton seorang diri. Tidak boleh
jadi, dia harus meminta tolong orang lain.
Tidak mahu menjadi mangsa kekejaman pencuri dan perompak zaman ini. Dia terus ke pondok pengawal. Setelah
memberitahu apa yang berlaku, seorang
pengawal keselamatan mengikutnya ke rumah.
“Akak pasti ke, ada orang pecah
masuk? Tak nampak kesan pintu kena kopak pun?” kata pengawal keselamatan yang
bernama Amir. Pemuda itu sudah setahun
bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Pencuri dan perompak zaman sekarang
hebat Amir,” kata Zaiton sambil
menyengih.
Amir menolak pintu rumah, dia
melangkah masuk dahulu, matanya memerhati sekeliling rumah. Tiada kesan diceroboh atau diselongkar.
“Tak ada apa pun kak?” Amir mengeluh.
“Ala… sabarlah. Mungkin pencuri tu sempat keluar atau sempat
kemas balik rumah akak ni,” ujar Zaiton
dengan muka cuak. Cuak dengan kata-kata
sendiri. Baik sungguh pencuri itulah.
“Hish, akak ni… mana ada pencuri nak
mengemas rumah, kak!” Amir
menggeleng. Merapu tidak kena tempat.
“Erk… tak ada ya? Manalah akak tahu, akak mana pernah ada
pengalaman rumah kena rompak atau dimasukkan pencuri,” terang Zaiton sambil
terhendap-hendap memasuki biliknya.
Bersih tiada kesan diselongkar.
“Kawan akak yang sorang lagi tu,
bila nak balik?” Sempat lagi Amir
bertanya. Dia sendiri pun
terhendap-hendap mencari pencuri yang dikatakan oleh Zaiton tadi. Tidak kelihatan sesiapa pun.
“Kawan?” Zaiton berhenti melangkah. Dia menapak laju menuju ke bilik Rose. Daun pintu bilik yang tidak berkunci
membuatkan dia terus membukanya.
Hish… nak balik tidak bagi tahu!
Bisik hati kecil Zaiton. Dia menutup semula pintu bilik Rose.
“Amir… maaflah menyusahkan kau ya
dik, kawan akak yang balik.” Zaiton
mempamer muka manis, berasa bersalah pula menyusahkan pemuda itu.
“Ala, tak apalah kak. Memang sudah tanggungjawab saya. Kawan akaklah yang balik tu ya?” Amir mengangguk faham.
“Kalau macam tu, saya keluar
dululah. Rasanya semua baik-baik
saja,” kata Amir dengan wajah manis
manjanya.
“Yalah, terima kasih ya Amir,” ucap
Zaiton masih tersenyum tetapi tidaklah sampai buat muka manja. Sekadar menyedekahkan senyuman kepada pemuda
itu, dapat jugalah dia pahala.
Daun pintu ditutup rapat. Apalah punya kawan. Kalau nak tidur pun
tutuplah pintu rapat-rapat. Kalau dibuatnya
rumah itu dimasuki pencuri, kan ke haru jadinya. Tidak memikirkan keselamatan diri
sendiri. Zaiton mengeluh. Dia menuju ke biliknya. Azan maghrib pun sudah berkumandang di masjid
berhampiran.
Rose terpisat-pisat bangun. Zaiton sudah balikkah? Rasanya dia dengar
suara orang tadi. Azan maghrib mengejutkannya daripada tidur. Dia segera bangun. Tidak boleh melewat-lewatkan waktu
solat. Berdosa besar. Usai mandi dan solat dia melangkah keluar. Bayang Zaiton tidak kelihatan. Perutnya pula
sudah berkeroncong. Lama tidak dengar
lagu keroncong. Sesekali menjadi halwa telinga bagus juga, detik hati
kecilnya. Keroncong dalam perut tidak
boleh didengari, kena hilangkan dengan memasukkan makanan.
Rose melangkah ke dapur. Apalah yang ada untuk mengisi kekosongan di
dalam perutnya. Jangan sampai menyanyi
lagu rock pula. Dia membuka peti sejuk
dua tingkat itu. Mencari sesuatu. Ada telur
dan ayam sahaja. Bolehlah. Dia mengeluarkan ayam dan dua biji telur. Cukuplah untuk dia
dan Zaiton. Ayam buat masak kicap
bersama kentang. Telur goreng dadar
sahajalah. Sedap sangat kalau letak
banyak bawang dan cili padi. Pedas
menyengat sehingga ke perut. Goreng
sayur kobis. Cukup sempurna untuk mengisi perutnya yang lapar.
“Hoi!” sergah Zaiton.
“Apa?” Rose yang sedang menggoreng ayam terkejut.
“Balik tak bagi tahu, kau tak tutup
pintu rumah. Kalau orang jahat masuk, habis kau tau,” kata Zaiton. Dia duduk di meja makan sambil memandang Rose
yang sedang memasak. Rajin pula
sahabatnya itu.
“Balik tergesa-gesa, mana sempat
bagitahu,” jelas Rose. Dia menumis pula bahan-bahan untuk buat masak
kicap. Masak yang sedang-sedang sahaja,
bolehlah.
“Tergesa-gesa? Kau kena halau ke?”
tanya Zaiton sambil menyicip sedikit ayam goreng ke dalam mulutnya.
“Mana pula kena halau? Pasal apa
pula orang tua aku nak halau?” Rose
menghidangkan pula telur dadar yang telah siap digoreng. Dia mengambil dua biji pinggan. Nasi sudah
siap dimasak awal-awal lagi tadi. Dia
menyenduk nasi dan menghidangkannya kepada Zaiton yang sudah siap sedia
menunggu.
“Habis tu?” Zaiton ingin tahu.
“Malas nak cerita. Aku nak cari kerja di sini sajalah. Duduk kampung, ramai sangat musuh aku,” terang
Rose. Dia menyuap nasi ke dalam
mulut usai membaca doa makan.
“Kerja? Nak kerja apa?” Zaiton sudah mula menyuap. Kebetulan perutnya memang sedang lapar.
“Kerjalah apa pun, jadi pembantu
rumah ini pun boleh juga. Aku jadi
tukang masak, tukang basuh baju kau dan tukang kemas rumah. Cukup bulan kau
bayar sajalah gaji kat aku. Tak perlu
mahal-mahal. Kau pun tak perlulah
dapatkan khidmat pembantu rumah hujung minggu untuk mengemas rumah ni,” cadang Rose.
“Hah? Tak naklah.
Takkanlah kau nak jadi pembantu
rumah? Carilah kerja lain. Elok-elok kau
buat kerja percuma, apa kes aku nak kena bayar?” leter Zaiton.
Rose ketawa.
“Serius ni, kenapa tiba-tiba
balik?” Zaiton berhenti menjamah nasi di
pinggan. Wajah tenang sahabatnya
ditenung seketika.
Rose memandang wajah Zaiton. Dia mengeluh, memulakan cerita dari A
sehingga Z, menerangkan apa yang telah berlaku.
Baharulah Zaiton faham duduk
perkara. Tidak mahu ulang cerita, nanti
bosan pula para pembaca. Rose
menghabiskan suapan nasi ke dalam mulutnya;
Sudah tenang melodi di dalam perutnya.
Tidak lagi menyanyikan lagu keroncong.
Sudah senyap sunyi, mungkin sudah tidur agaknya kerana kekenyangan. Mata belum tertutup, perut sudah tidur
dahulu. Rose tersenyum sendiri. Merapu
untuk menenangkan hati dan perasaan sendiri.
Berapa lama dia harus mengganggur. Lama-lama habis duit
simpanannya. Kalau sudah hari-hari gali,
punya Gunung Kinabalu pun akan runtuh
juga.
“Aku nak cari kerja esok, kerja apa
pun aku dah tak kisah, hatta basuh pinggan,” luah Rose bagaikan orang kecewa.
“Takkan kut?” Zaiton tidak setuju. Bukan sahabatnya tidak ada kelulusan. Gara-gara majikan terlalu memilih rupa paras,
inilah jadinya. Orang yang berkelayakan
selalu terpinggir hanya kerana
kekurangan diri yang sepatutnya tidak dijadikan sandaran untuk sesuatu
pekerjaan.
Rose hanya tersenyum. Biarlah takdir menentukan jalan hidupnya.