“Apa? Belajar memasak? Nak buka gerai di KL?” kata Hanum terkejut. Biar betul?
Anaknya mana ada pengalaman memasak dan berniaga. Masak untuk diri sendiri, bolehlah. Aduhai, satu lagi pekerjaan yang di luar
kemampuan anak gadisnya itu. Belum
pernah memasak lauk-pauk yang berat-berat. Setakat goreng telur dan goreng
sayur itu, adalah.
“Yalah, makkan pandai memasak. Ajarlah Rose.
Tak sanggup lagi mak, asyik kena hina saja. Biarlah Rose berniaga, asalkan dapat rezeki
yang halal.”
“Bukan mudah nak berniaga ni Rose,
mampu ke?” soal Hanum, kurang yakin. Mana nak datangnya keyakinan. Anak gadisnya memang tidak pandai
berniaga. Waktu di sekolah rendah, dia
pernah suruh Rose bawa nasi lemak dan kuih ke sekolah untuk dijual. Kuih dan nasi lemak habis, duit tiada. Dia bagi percuma kepada kawan-kawannya
lantaran tidak sabar menunggu kawan-kawannya datang membeli. Kalau begitu yang berlaku, hanya dua minggu
sahajalah anaknya boleh berniaga.
“Ala… mak, masa ada orang nak naik ke bulan pun ramai
yang tidak yakin. Malaysia nak merdeka pun ramai yang kurang yakin dan
tidak percaya. Setakat nak memasak menu
yang mudah dan simple, tak ada susahnya.
Yang penting nak berusaha dan mak sudi menjadi ‘guru’ Rose,” ujar Rose panjang lebar. Dia yakin, dia mampu lakukan. Bukan main-main. Hanya bidang perniagaan makanan yang mudah,
jika nak dibandingkan dengan bidang lain.
“Baiklah, nak mula bila?” tanya Hanum, dalam hati masih ada rasa
ragu-ragu.
“Bermula hari inilah mak. Rose ada
masa dua bulan saja. Bolehlah mak?” rayu
Rose Seboleh mungkin dia memaksa emaknya
membantu dan mempercayai dirinya.
Bolehkah Rose melakukannya? Nak buka restoran pula? Mahu dilarang, dia tengok, anaknya itu
beria-ia dan yakin dengan keputusannya.
Tidak mahulah mematahkan semangat yang sedang meninggi itu. Kalau dibuatnya Rose langsung tidak mahu
bekerja, baharulah haru-biru jadinya.
Hari yang penuh semangat, hembusan
angin yang mengalunkan bahasa yang lemah gemalai, tersusun rapi sehingga mampu
membuatkan sesiapa sahaja jatuh hati.
Barangan yang diperlukan untuk memulakan misi sudah tersusun kemas di
atas meja. Memasak bermula daripada
pemilihan barang yang segar dan bermutu sehinggalah menghidangkannya. Hari ini misi pertama mereka adalah memasak
nasi lemak. Tidak susah, tidak juga
senang. Itulah yang dirasakan ketika itu
jauh di sudut hati Rose. Dua pot susu
beras sudah pun dicuci oleh emaknya tadi.
Masak nasi, dia sudah biasa. Cuma
nak masak nasi lemak dia belum biasa.
Hari ini maknya tunjukkan cara masak
nasi lemak asli, hanya memerlukan santan, daun, pandan, hirisan halia dan
garam. Rose pula menjadi pemerhati,
jangan pandai-pandai mencuba terus. Kena
perhatikan langkah demi langkah. Dia
pula sibuklah mencatat apa yang perlu. Ini baharu teori, belum lagi
praktikal. Perhati sehingga tidak
berkelip, takut tersilap pandang lain pula jadi nasi lemak itu nanti. Nampak mudah, mungkin dia boleh buat nanti. Bukan dia tidak tahu tetapi tidak pernah
memasaknya. Hanya menjadi pembantu chef
di dapur emaknya selama ini.
Pelajaran kedua, adalah memasak
sambal. Ini yang paling perlu
diperhatikan dengan baik-baik. Tips masak sambal tumis yang sedap, kena tulis
terang dan jelas. Bawang kena banyak,
tidak boleh kedekut kalau memasak ini.
Nanti berkira sangat, tidak sampai sebulan boleh tutup kedai. Biar untung sedikit, jangan rugi terus
gara-gara menghasilkan makanan yang langsung tidak kena dengan selera
pelanggan.
“Memasak ni Rose, kena ikut selera
kita, ikhlas dan dengan penuh kasih sayang. Kalau sedap di mulut kita, sedaplah
di mulut pelanggan. Kita tahu nak makan
sedap, tapi bila kita berniaga, buat cincai sahaja. Kalau orang tak beli mulalah nak marah. Sedangkan kesalahan itu terletak pada diri
kita sendiri. Masak dengan hati, penuh
dengan kasih dan sayang, pasti masakan kita mampu menarik hati para pelanggan
yang datang,” nasihat Hanum. Dia tidak
suka berniaga. Pengalaman pun
tiada. Bila Rose ingin membuka restoran
buat hatinya cuak juga. Masih ada di
dalam hati perasaan was-was namun diturunkan juga pada anak gadisnya itu.
Rose hanya mengangguk perlahan,
faham atau tidak, dia akan cuba nanti. Kalau setakat catat dan tidak mencuba,
tidak juga akan menjadi nanti. Kenalah
cuba dahulu, baharu tahu hasilnya.
Ketekunan dan keyakinan perlu ada.
Yakinkah dia? Tekunkah dia? Keazaman penguat rasa. Semoga impiannya akan
berjaya.
Hari berlalu bagaikan tidak terasa,
siang dan malam bersilih ganti, hujan, panas memberi warna pada bumi. Begitu juga dengan dirinya, seminggu berlalu
dengan ilmu penuh di dada. Minggu kedua,
tiba masa untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya. Tekun emaknya mengajar. Entah berapa kali tangannya diketuk kerana
salah memotong bawang dan memerah kelapa.
Emak mengajarnya menyukat semua barang yang digunakan. Biar sama, tidaklah hari ini lain, esok pula
berasa lain. Biar saksama sepanjang
masa, baharulah pelanggan suka. Bak kata
orang ada SOPnya.
Seman memerhatikan sahaja anak dan
isterinya menyepahkan dapur. Entah
berapa banyak modal dikeluarkan hanya untuk belajar sahaja. Perut dia dan anak-anak menjadi mangsa
masakan mereka yang sekejap menjadi, sekejap tidak itu. Nak dimarah takut disembur pula oleh
isterinya bagaikan naga kemarahan mengeluarkan api dari mulut. Tidak pasal-pasal kulit yang sedia sawo
matang terus gelap gelita akibat semburan api itu tadi, baharulah sesuai jadi
ayah Rose. Biarlah dia menjadi pemerhati
terhormat.
“Rose dah bersedia ke nak buat
sendiri hari ini?” tanya Hanum dengan mata yang terbuka, ceria. Berharap ilmu yang diturunkan olehnya
mampu diterima oleh anak gadisnya itu.
Ala, memasak sahaja pun, bukannya susah mana pun.
“Sudah mak!Ilmu kepahlawanan sudah
dipenuhi, senjata yang utuh sudah siap siaga.
Hanya tunggu untuk turun menyerang saja!” kata Rose dengan penuh
semangat.
“Kena belajar sampai pandai. Buat sampai jadi! Kalau hanya gitu-gitu saja, mak takut dua
hari kau berniaga terus tutup kedai,” jelas Hanum. Dia tidak mahu anak gadisnya itu gagal
lagi. Biarlah kali ini nasib menyebelahi
dirinya.
“Baik mak!” jawab Rose dengan penuh azam yang tinggi,
kalau Gunung Everest itu tinggi, tinggi lagi harapan di hati. Dia ingin buktikan bahawa dia mampu
berjaya. Bukan cakap kosong atau hanya
pandai bercakap. Dia punya cita-cita
dan impian.
Hari ini masak nasi lemak, Hanum
hanya menjadi pemerhati. Sukatan yang
diberi, disukat dengan sebaik mungkin.
Beras dibasuh beberapa kali.
Bawang besar, halia dan bawang putih sudah siap dipotong dan
dibersihkan. Dimasukkan ke dalam mesin
pengisar. Sekilo beras hanya memerlukan
beberapa ulas bawang putih, dua inci halia dan
dua labu sedang bawang besar dikisar sehingga halus. Sedikit minyak
telah pun dimasukkan ke dalam kuali, daun pandan sudah siap siaga untuk masuk
ke dalam takungan minyak di dalam kuali.
Panas sahaja minyak terus bahan kisar itu melompat masuk. Gembira tidak terkata, bergaul dengan minyak
dengan kepanasan yang secukupnya.
Kemudian dimasukkan santan pekat yang sudah siap disukat, dibiarkan
mendidih seketika, garam dicampak secukupnya, jangan terlalu masin kerana lauk
pauk yang ada juga bergaram. Kemudian
masukkan beras dan dikacau sehingga bergaul sebati dan kering. Periuk kukus
yang sudah dipanaskan sedia berkhidmat meneruskan tugasan memasak nasi lemak
kukus. Bau wangi daun pandan menyapa
hidung. Kempas kempis hidungnya.
Dalam hati tidak henti-henti dia
berdoa agar nasi lemak kukus itu menjadi.
Kenalah bersabar, biar nasi masak elok.
Hatinya berdebar-debar menanti. Seperti orang masuk meminanglah pula,
menunggu waktu cincin disarungkan ke jari manisnya. Angan-angan seorang gadis muda seperti dirinya
yang semakin menginjak usia. Janganlah
sampai menjadi andartu terlajak sudahlah.
Kalau terlajak laris bertuahlah juga.
Sempat pula bermain dengan perasaan sendiri.
Tiba giliran buat sambal tumis, buat
hatinya semakin kuat berdegup.
Bahan-bahan untuk buat sambal tumis ikan bilis sudah siap sedia. Cili kering yang telah dibuang bijinya dan
direbus, belacan secukupnya, jangan
terlalu banyak. Bawang perlu banyak
baharu ada rasa manis dan menyedapkan sambal.
Asam jawa jangan lupa. Ikan bilis
digoreng separuh masak diletakkan ke tepi dahulu. Sehelai daun pandan dimasukkan ke dalam kuali
bekas goreng ikan bilis tadi. Kemudian dia masukkan cili yang sudah siap
dikisar tadi. Dibiarkan masak sehingga
pecah minyak. Masukkan air asam jawa,
ikan bilis dan masak sehingga cilinya benar-benar garing, masukkan
garam, gula dan sedikit serbuk perasa, tidak perlu banyak. Hanya untuk menambah perisa sahaja. Rose menunggu dengan sabar cili itu masak,
habis dapur terkena percikan sambal yang sedang mendidih. Bau harum sambal tumis itu menyinggah
hidungnya. Emak membantu apa yang patut,
tersimpul senyuman di bibir emaknya ketika melihat nasi di dalam periuk kukus.
“Macam mana mak?” tanya Rose dengan
wajah penuh harapan. Janganlah usahanya
itu sia-sia. Tidak pasal-pasal ayah dan
adik-adiknya terpaksa makan nasi lemak selama seminggu ini.
“Alhamdulillah, anak emak seorang
yang cepat belajar dan pintar. Nasi
lemak kukus masak elok. Sambal pula
terasa sedapnya,” puji Hanum. Nasi lemak kukus itu elok lembutnya. Terasa lemak dan garamnya. Sambal tumis juga begitu.
“Kalau dah sedap, jual dahulu di
depan rumah ni, tengok reaksi orang kampung,”
cadang Seman yang sedang menikmati kopi panas bersama cucur jagung. Dia hanya memerhati sahaja anak gadisnya
memasak tadi. Cekap juga. Matanya bertembung dengan mata
isterinya. Dia mengangkat kening.
“Jual depan rumah? Boleh ke mak?” tanya Rose. Peluh masih
bersisa di wajahnya. Bukan mudah kerja
di dapur. Berpeluh seluruh tubuh. Fuh!
Bau masam ketiak usah ceritalah. Kalau
ada sesiapa yang lalu dekat, boleh pengsang.
Busuknya bau tubuh sendiri.
Selama ini bergelumang dengan minyak wangi, duduk di bilik berhawa
dingin, mana sempat berpeluh. Turun
sahaja dari pejabat terus ke tempat letak kereta. Tidak sempat menitik pun
peluh setitik. Rose tersenyum sendiri
memikirkan keadaan dirinya dahulu.
Selepas ini terpaksalah dia bermain dengan peluh sendiri.
“Boleh saja kita cuba. Rose rasa macam mana? Mak ikut saja.” Hanum setuju dengan cadangan suaminya itu.
Skil sudah ada, ilmu sudah ditimba, hanya menunggu untuk diketengahkah
sahaja. Tidak salah mencuba di tempat
sendiri. Jika orang kampung suka,
bermakna orang lain juga akan turut suka.
Lagipun tidak ramai yang menjual nasi lemak di kawasan kampungnya
itu.