Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,924
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 6

BAB 6

Kepulangannya ke kampung disambut dengan riang hembusan angina dari sawah padi yang subur di kiri kanan jalan, bukit-bukau dan sungai yang mengalir tenang. Terasa damai di hati ketika melalui kawasan sawah padi yang melaut luasnya. Rasa segar mata memandang kehijauan bukit-bukau dari kejauhan. Kereta Myvi berwarna hitam matelik hampir sama pula dengan kulitnya dipandu perlahan menikmati kesegaran udara awal pagi di kampung halamannya itu. Sudah berbulan-bulan tidak pulang ke kampung. Terasa perasaan rindu kepada kedua orang tuanya sedang merayap di hati. Tidak sabar untuk bertemu mereka. Tetapi yang pasti soalan pertama mereka ketika melihat dirinya…

“Kenapa balik? Tak kerja ke?” tanya emaknya yang sedang menyediakan sarapan pagi untuk adik-adiknya yang masih bersekolah. Belum pun sempat dia melabuhkan punggung sudah terasa seperti di halau keluar.

“Cuti mak,” jawab Roseyatimah dengan muka tidak bersalahnya. Dia tidak berbohong, memang dia sedang cuti. Cuti dari bekerja. Cuma, tidak beritahu yang dia sedang mencari kerja baharu.

“Hah? Kenapa tiba-tiba balik? Tak kerja?” sapa Seman yang baharu keluar dari bilik air.

“Cutilah ayah,” jawabnya. Apa lagi jawapan yang boleh diberikan? Mereka memandangnya semacam sahaja. Tidak percayakah? Alahai…

“Lama ke cuti?” soal Hanum. Cuak pula dia melihat anak gadisnya pulang secara tiba-tiba Tidak beritahu pun hendak balik.

“Lama kut,” jawab Roseyatimah selamba. Alahi, orang tuanya. Balik salah, tak balik sibuk pula bertanya. Dia mendengus kasar.

“Kau kena buang kerja ke Rose?” sampuk Seman.

Hish, macam nampak sahaja dia dibuang kerja? Orang tuanya ada ilmu boleh baca minda orangkah? Seram pula rasanya. Ibu dan ayahnya seperti tahu dia dibuang kerja. Tetapi dia beri alasan yang dia cuti tahunan.

“Mana ada ayah? Rose ambil cuti tahunlah, kan Rose jarang bercuti,” terang Roseyatimah. Tidak mungkinlah dia menceritakan hal yang sebenar.

“Betul ke ni?” tanya Hanum masih was-was.

“Tak percaya sudah!” Malas nak bertegang urat. Biarpun mereka hanya serkap jarang, tetapi tepat kena batang hidungnya.

“Mak masak sarapan apa?” Menukar tajuk perbualan. Soal cuti dan kerja tidak usah disebutkan lagi.

“Nasi lemak, sambal sotong kering,” jawab Hanum. Nasi lemak yang sudah siap dimasak terus dihidangkan. Semerbak bau harum daun pandan menyapa mereka yang berada di meja makan.

“Sedapnya mak!” puji Roseyatimah.

“Kalau sedap pun, bangunlah ambil pinggan!” jerkah Seman.

Roseyatimah menyengih, terlalu penat memandu dari Kuala Lumpur ke Tanjung Karang membuatkan dia terus duduk melepaskan lelah, sampai terlupa hendak membantu emaknya menghidangkan sarapan.

Usai sarapan, dia bercadang hendak tidur sebentar. Bertolak selepas subuh pagi tadi bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Jangan tidak tahu, kawasan yang sering sesak di hujung minggu adalah Tanjung Karang dan Kuala Selangor. Dia merebahkan diri di atas katil. Cuba melelapkan mata. Apatah lagi baharu lepas menjamah dua pinggan nasi lemak. Ambil kau, sampai petang tidak perlu makan. Sesekali balik kampung, masakan emaknya pasti membuatkan dia sentiasa lapar.

Wajah cuak kedua orang tuanya yang memandangnya sedikit pun tidak menyentuh hatinya.Biarlah, mereka boleh fikir apa sahaja. Dia akan cuba menyembunyikan tentang perkara tersebut. Mereka tidak boleh tahu yang dia telah diberhentikan kerja. Roseyatimah mengeluh. Kerja apa yang dia boleh lakukan? Susah betullah. Kalaulah dia tidak memilih bidang kesetiausahan, tentu nasib dirinya tidak jadi seperti ini. Kenapalah dia melawan arus. Kalau dia jadi doktor, sekurang-kurangnya tidaklah kena buang kerja. Masih dihargai perkhidmatannya. Ini ambil kursus yang langsung tidak sesuai dengan fizikal dirinya. Lainlah dia punya syarikat sendiri.

Asyik berfikir, bila pula dia boleh melelapkan mata. Roseyatimah mengalihkan muka mengadap bingkai gambar yang terletak di atas meja soleknya. Gambar dia bersama-sama sahabat dan kawan baiknya di kampung itu. Sejak kecil mereka bersama. Sampai orang menggelarkan dia dan Haikal, tahi cicak. Seorang putih dan seorang lagi hitam. Dia tersenyum sendiri. Kalau ikutkan hati memanglah marah. Bila fikir semula, biarlah. Tidak luak pun. Dia sedang mengantuk dan cuba mengimbau kembali ketika Haikal mengajaknya masuk universiti yang sama kerana keputusan mereka setara. Namun di memilih jurusan yang tidak sesuai dengan susuk tubuhnya.

“Haikal! Di mana kau?” tanya Roseyatimah. Gambar yang diambil selepas mereka berdua mengambil keputusan SPM. Haikal mendapat keputusan cemerlang, keputusannya hampir sempurna sama dengan Haikal. Pemuda itu ada mengajaknya pergi ke universiti yang sama, tetapi dia menolak. Kononnya hendak jadi setiausaha sahaja tidak perlu masuk universiti yang canggih manggih, cukuplah UITM. Itulah yang ada di dalam fikirannya. Galak sangat hendak jadi setiausaha syarikat atau PA kepada big bos di mana-mana syarikat. Haikal pun pernah melarang dia mengambil kursus tersebut. Tetapi dia tidak peduli. Kedua orang tuanya pun melarang. Dia tetap degil. Memang dasar keras kepala. Sekarang terimalah padahnya. Padan dengan muka dia. Baharu bekerja sudah dibuang kerja. Kerja yang diperolehi pun hanya pekerja kontrak. Semuanya kerana rupa parasnya yang tidak jelita. Kulit hitam, bertubuh kecil, ala-ala Nora Danish, kalaulah dia putihlah. Dia pandai bersolek, sebab waktu kursus ada diajar cara berdandan. Selalu menjadi bahan ujikaji waktu di universiti kerana ‘kejelitaan’ wajahnya. Pernah juga pensyarahnya menyuruh dia mengambil kursus lain. Dia masih bertegang untuk meneruskan bidang yang pilih sehingga ke penghujung. Alhamdulillah dia lulus cemerlang, malah dapat anugerah dekan. Cuma, dalam bidang kerjaya, dia awal-awal sudah gulung tikar.

Roseyatimah bingkas bangun, dia membuka tingkap bilik yang menggunakan tingkap cermin. Dia membuka seluas-luasnya. Biar angin pagi menyapa masuk. Matahari sudah memancarkan cahayanya menerangi alam yang luas itu. Matanya melekat ke arah sawah padi yang terbentang luas di hadapannya. Sawah yang dimiliki oleh keluarganya. Itulah pendapatan utama kedua orang tuanya.

Rumah batu setingkat yang sudah lama dibina oleh kedua orang tuanya masih cantik pada pandangan mata. Tahun lepas ayahnya telah mengecat baharu seluruh rumah. Setiap tahun ayahnya akan mengecat rumah tersebut. Emaknya pula rajin menanam pelbagai jenis pokok bunga untuk mencantikkan lagi halaman rumah. Bunga kertas beraneka jenis dan orkid juga menjadi pilihan emaknya bagi menghiasi taman mini yang dibina sendiri. Memang kreatif. Dia mengeluh. Roseyatimah menguap. Matanya pedih bagaikan ada serbuk pasir. Kepalanya sudah mula berdenyut. Dia perlu melelapkan mata seketika sebelum segar semula. Langkah diatur kembali ke katil. Dia terus merebahkan tubuhnya setelah memasang kipas siling. Terasa nyaman tubuhnya. Matanya terus dipejamkan.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.