Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,914
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 14

Hadiri temuduga lagi, dia mengeluh berat. Bulan ini sahaja sudah lima syarikat dia pergi. Bukan sahaja meminta kerja sebagai setiausaha, malah kerani biasa pun dia tidak diberi peluang. Rasa sedih menghempap hatinya. Terasa kesal jauh di sudut hatinya. Berkali-kali dia membelek tubuhnya di cermin. Membandingkan dirinya dengan orang lain. Ini adalah temuduga terakhir. Kalau tidak dapat juga, terpaksalah dia bungkus kain baju dan pulang ke kampung. Biarlah kedua orang tuanya berleter sekalipun. Biarlah orang kampung mengutuk dan mengata dirinya. Tidak mahu lagi memeningkan kepala. Sejak pagi tadi, berkali-kali Zaiton mengingatkannya. Hampir naik marah jadinya. Bukan dia tidak ingat, tetapi dalam hati terbit rasa malas. Malas berhadapan dengan manusia yang tidak tahu menghargai orang lain. Malas menghadapi manusia yang hanya memandang cantiknya sesuatu yang cerah. Gelap juga menawan. Bukanlah malam itu gelap dan hitam? Ah! Sakit hati memikirkannya.

Di satu tempat di Kuala Lumpur…

Tiga orang gadis, cantik manis dan bergaya duduk dengan penuh yakin di kerusi berhampiran bilik mesyuarat yang digunakan untuk menemuduga calon-calon yang berkelayakan, samalah dirinya. Langsung tidak beramah mesra dengan calon-calon yang lain. Kadangkala terdetik juga di hatinya, adakah dirinya kelihatan cerah di dalam gambar? Apabila berhadapan dengan mereka yang menemuduganya, mereka terus berubah fikiran, memandangnya sebelah mata pun tidak mahu. Hina benar dirinya.

Kerana Zaiton dia hadir juga. Mata-mata yang memandang tidak dipedulikan. Dia perlu kuat semangat, perlu yakin dengan dirinya sendiri. Dapat atau tidak bukan dia yang menentukannya. Dia redha sahaja. Syarikat Bernama Sdn Bhd. Sebuah syarikat korporat yang terkenal di negara itu. Sebuah syarikat yang besar. Dalam hati langsung tidak mengharap apa-apa akan kehadirannya di situ.

Usai ketiga-tiga calon ditemuduga, maka tibalah saat untuk dirinya pula. Tiada lagi rasa debar di hati, tiada lagi rasa bimbang akan bertemu dengan para penemuduga. Tidak kira berapa orang sekalipun, dia tidak akan membiarkan dirinya dihina kali ini. Sakitnya hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Dia cuba kuatkan diri dan semangat. Jangan mengalah dengan sindiran dan penghinaan.

Seperti biasa, dia membuka daun pintu dengan penuh sopan. Duduk ketika di suruh. Tiga orang penemuduga duduk di hadapannya. Wajah selamba mereka menjadi santapan matanya. Dalam ketiga wajah itu, kelihatan seseorang yang amat dikenalinya. Pernah dekat denganya. Aduhai, kenapa lelaki ini ada di sini? Dia bekerja di sinikah? Pertanyaan yang tiada jawapan dan jawapannya ada di hadapan mata.

“Roseyatimah bt. Seman?” tanya salah seorang penemudaga yang memakai nama Fairuz, berkumis nipis, segak dengan blazernya.

“Ya saya,” jawab Rose dengan penuh hormat. Dia tidak langsung memandang wajah lelaki yang dikenalinya itu. Sakitnya masih terasa.

Seperti biasa mereka akan bertanyakan soalan, selain melihat sijilnya.Soalan yang diberi berkisar tentang pengetahuan am. Dia jawab apa sahaja yang dia tahu dan mampu menjawabnya. Tidak perlu tunjuk pandai. Segala soalan dijawab dengan penuh yakin, bertubi-tubi soalan diberi. Jika tahu dia akan menjawabnya. Jika tidak, jawab sahaja tidak. Hampir lima belas minit dia menghadap wajah mereka. Usai selesai dia tidak menunggu lagi. Setelah mengucapkan terima kasih dia terus keluar. Nasib baik tiada perkataan yang menyakitkan hati keluar daripada mulut mereka.

“Rose!” panggil Haikal. Dia mendekati Rose yang sudah pun sampai di pintu lif. Mata mereka bertembung.

“Haikal.” Rose mengerutkan dahi.

“Kau tak payah mengharap untuk bekerja di sini, mereka sudah ada calon yang sesuai,” terang Haikal.

Rose tersenyum sinis. Tidak beritahu pun dia sudah tahu. Faktor fizikalnya menjadi masalah. Dia faham dan mengerti. Tidak perlu berasa hati.

“Terima kasih.” Rose terus meloloskan diri sebaik sahaja pintu lif terbuka. Sebak dada mencengkam hatinya. Haikal langsung tidak menunjukkan kemesraan selayak seorang sahabat. Di mana kemesraan mereka selama ini? Ke mana perginya? Sudah hilang ditelan waktukah atau dia bukan lagi sahabat buat Haikal. Air mata tidak sabar-sabar nak mengalir keluar. Jangan menangis kerana lelaki, neraka tempatnya, dia memujuk dirinya sendiri. Semakin laju langkahnya. Datang mengejarnya hanya untuk memberitahu jangan berharap dengan kerja yang ditawarkan tadi. Dia tidak aka nada peluang. Tidak perlu beritahulah, aku sedar diriku! Jeritnya dalam hati. Air mata sudah bercucuran mengalir. Merawat hatinya yang walang, meredakan seketika perasaannya yang gundah-gulana. Jangan sesekali fikir untuk berjauh hati dengan manusia, jangan sesekali fikir untuk menyalahkan takdir yang ada. Inilah dirinya, Rose Seman, gadis berkulit hitam gelap. Gelap-gelap si tampuk manggis, bisik jauh di sudut hatinya. Merawat luka di hati. Tiada siapa yang mampu memujuk, jika bukan dirinya sendiri.

Di rumah sewa…

Dia memasak seringkas yang boleh. Apa sahaja yang terhidang akan ditelan oleh sahabatnya merangkap teman serumah, mantan rakan sekerja. Sambal kentang goreng campur ikan bilis, masak lemak kobis dan ikan goreng. Cukuplah hanya mereka berdua. Dia membersihkan diri, solat dan terus berehat di sofa sambil menonton. Hatinya sudah kembali tenang.Tidak mahu melayan perasaan yang kecewa, menangis air mata darah sekalipun dirinya tidak akan berubah. Lainlah kalau dia pergi buat pembedahan plastik, memutihkan dirinya seperti mendiang Michael Jackson. Tidak mahulah! Itu mengubah kejadian ALLAH SWT namanya. Tidak perlu menyesal dengan kurniaan ILAHI. Dia cukup sempurna menjadi manusia, tiada cacat cela, hanya kulitnya sahaja tidak menarik. Apa masalah? Cari sahajalah kerja yang sesuai. Jadi tukang cucikah, kalau polis trafik sesuai agaknya, berdiri di tengah panas dengan kulit begini? Mana ada masalah, dia tersenyum sendiri. Tenanglah hati, tabahlah hati, terus memujuk diri sendiri.

Bunyi daun pintu ditolak membuatkan dia melepaskan segala lamunan di hati. Pasti Zaiton dan sudah tentu soalan yang bertubi-tubi akan singgah di telinganya. Mahu berdarah dengar bebelan sahabatnya itu.

“Macam mana tadi? Boleh dapat ke?” tanya Zaiton, teruja sangat nak tahu keputusan temuduga tadi.

Rose mengeluh. Tangan Zaiton ditarik dekat dengan dirinya. Dia menyuruh Zaiton duduk di sebelahnya.

“Ton, tak payahlah carikan aku kerja sebagai setiausaha ya, aku sedar diri. Aku akan cari kerja lainlah. Tak naklah lagi pergi temuduga untuk jawatan seperti itu. Kau jangan bimbang ya,” jelas Rose. Dia tidak mahu Zaiton risau tentang dirinya. Dia sudah dapat menerima hakikat yang dirinya tidak sesuatu bekerja sebagai seorang setiausaha.

“Sayanglah, kau penat belajar nak jadi setiausaha, alih-alih terpaksa lupakan impian kau tu.” Zaiton muram.

“Jangan bimbanglah, aku okey saja.” Rose tersenyum.

“Kau pergi mandi, solat lepas tu kita makan sama-sama. Aku dah masak,” beritahu Rose.

“Kau okey ke tak ni?” tanya Zaiton sekali lagi.

“Ya… aku tak apa-apa,” jawab Rose penuh yakin. Dia sudah dapat menerima takdir dirinya. Bukan rezekinay bekerja sebagai seorang setiausaha. Mungkin ada rezeki di tempat lain yang lebih baik. Kalau terpaksa hanya menggunakan keputusan SPMnya pun dia tidak kisah.

“Kalau begitu, aku masuk mandi dan solat. Kita makan sama-sama ya. Esok cuti, kita keluar sarapan di luar,” kata Zaiton riang. Lega hatinya melihat wajah ceria Rose. Tidak lagi monyok seperti dahulu, sewaktu dibuang kerja.

Rose memerhatikan langkah Zaiton sehingga hilang di sebalik pintu biliknya. Dia tersenyum sendiri. Hatinya semakin tenang, setenang air di laut, kalau gelora dan angin sampai berombaklah ia. Tidak mahu mengocakkan hati sendiri. Biarlah ia tenang sepenuhnya. Dia akan berusaha untuk mengubah nasib hidupnya. Tidak mahu bergantung dengan orang lain.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.