“Balik kampung? Kau tak nak cari
kerja lagi ke?” Tanya Zaiton dengan muka mencuka.
“Takkan aku nak duduk sini tanpa ada
kerja? Siapa nak tanggung aku?
Kau?” Rose mengeluh. Bukan dia sengaja buat keputusan ini. Sudah banyak syarikat dia pergi temuduga,
tiada satu pun yang sudi mengambilnya bekerja.
Buat penat kaki berjalan dan mulut berkata-kata menjawab soalan daripada
penemuduga.
“Ala… sunyilah aku!” rungut Zaiton.
“Aku balik sebulan dua saja, kau
jangan sewakan bilik kau tu pada orang lain pula?”
“Sebulan dua? Kau nak buat apa oi?”
“Aku balik nak mendalami ilmu
masakan! Aku nak belajar buat roti canai
dan nasi lemak mak aku yang power itu!” Kata Rose sambil mengangkat kening.
“Belajar memasak? Boleh ke kau? Kau nak buat apa?” Soal Zaiton
bertalu-talu. Memanglah sahabatnya itu
boleh memasak, tapi masakan yang biasa-biasa sahaja. Masakan rumah. Kalau nak
buka kedai makan pula kenalah hebat masakannya. Kena luar biasa.
“Aku nak jadi bos! Kalau orang lain
tak sudi ambil aku kerja, baik aku jadi bos sendiri, kuli sendiri!” Rose
mengangkat tangan bagaikan orang berikhtiar.
Bosan dengan pandangan orang terhadap dirinya. Dia akan buktikan yang dirinya boleh
berjaya. Dia tidak mahu hidup dalam
kekecewaan lagi, rasa terhina dan sering dihina. Rasanya orang Afrika lebih hitam daripada
dirinya, kenapa ramai pula wanita Melayu dan lelaki Melayu tergila-gilakan
mereka? Apa kurang dirinya? Mungkin kerana dia Melayu? Rose mengeluh sendiri.
“Muktamad ke keputusan kau Rose?
Jangan hangat-hangat tahi ayam sudahlah!” Tempelak Zaiton. Dia sendiri
tidak suka melihat sahabatnya itu gagal.
Apa yang berlaku juga amat mengecewakannya. Kasihan dan simpati mengusik hatinya. Biar terpamer wajah ceria, namun dia tahu,
dalam hati Rose menangis sendiri. Hanya
dorongan dan semangat yang mampu diberi.
Apalah dayanya untuk membantu.
“Muktamad! Aku dah letih Ton! Sahabat
aku sendiri perlekehkan kebolehanku, malah terasa hina untuk dekati aku seperti
dulu. Mungkin zaman sekolah dengan
dewasa jauh berbeza agaknya. Mungkin dia
malu nak dekat dengan aku lagi.” Rasa hiba menyucuk hati. Sikap Haikal dan perbuatannya membuatkan
hatinya sakit benar. Kalau orang lain
memandangnya sebelah mata dia tidak pernah ambil kisah, tetapi orang yang
dianggap sahabat, memandangnya dengan penuh rasa jijik di mata. Apalah nasib dirinya.
“Aku doakan kau berjaya. Jangan lupa telefon aku ya! Nanti rindu pula
aku nak dengar suara bebel kau tu.” Zaiton benar-benar kecewa dengan
keputusan Rose, tetapi apakan dayanya
untuk menghalang. Mungkin ini terbaik buat sahabatnya itu bagi meneruskan
kerjayanya.
“Terima kasih Ton, kaulah sahaja sahabat
aku yang setia dan baik.” Lantas dia memeluk erat Zaiton ke dalam
pelukannya.
Biarlah dia dihina dan dicaci oleh
orang kampung, dia sudah tidak peduli.
Kalau asyik memikirkan orang bercakap, sampai mati pun tidak selesai.
Mereka ada mulut, biarlah mereka bercakap selagi daya. Dia perlu fikirkan dirinya terlebih dahulu. Beranikan diri berhadapan dengan kedua orang
tuanya. Dia yang salah. Dia sepatutnya tidak memilih bidang yang
tidak sesuai dengan dirinya. Kini,
terimalah akibatnya. Kalaulah dia ambil jurusan lain tentu nasibnya tidak jadi
seperti hari ini. Menyesal pun tiada
gunanya. Kalau dia nak menyambng
pelajarannya pun hanya membuang masa sahaja.
Dia tidak mahu menyusahkan kedua
orang tuanya. Mereka perlu memikirkan
adik-adiknya pula. Dia tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri.
Nun jauh dari Kuala Lumpur…
Seman tidak terkata apa-apa. Rasa panas akibat berjemur di bawah terik
mentari tidak terasa panas mendengar cerita anak sulongnya yang baharu sahaja
pulang dari Kuala Lumpur. Wajah tenang
isterinya, Hanum menambah sakit di hati.
Orang perempuan selalunya kecoh sekampung, kenapa hari ini tenang
sahaja? Dia sendiri berasa pelik.
Rose duduk mengadap kedua orang
tuanya. Bagaikan pesalah menunggu
keputusan untuk dihukum. Tabah dan
bersabarlah hati, detik hati kecilnya.
“Buat malu keluarga saja! Ayah dah terasa pelik waktu kau pulang bulan
lepas, rupanya ada cerita di sebalik cerita ya?” leter Seman.
Kenapalah degil sangat? Disuruh
jangan pilih kursus kesetiausaha, tapi
tetap pilih juga, akhirnya… siapa yang rugi?
Akhirnya jadi penggangur. Buat malu sahaja. Kalau orang kampung tahu, di mana dia nak
letak muka? Bukan boleh tukar ganti
wajah dia yang sedia ada. Sengaja nak menyusahkan diri sendiri. Bahananya ahli keluarga juga yang terkena
tempiasnya.
“Apa abang cakap ni? Nak malukan
apanya? Bukan anak kita buat jahat! Kena
berhenti kerja saja. Takkan itu pun nak
malu sangat!” kata Hanum kurang senang.
Eee… tidak kena rasanya dengan ayat yang dilontarkan. Malu!
Malu untuk apa. Pelik betullah.
“Yalah! Siapa tak malu? Kita suruh belajar bidang lain, dia pilih
kesetiausaan, kononnya nak buktikan orang tak cantik macam dia, boleh jadi
setiausaha yang baik! Sekarang, awak
tengok sendiri!” lenting Seman lagi. Siapalah tidak hangat hati.
Teruk-teruk belajar tiga empat tahun, akhirnya duduk kampung juga.
Bidang yang dipilih langsung tidak mencabar.
Kalau rupa itu cantik seperti
bidadari tidak mengapa, ini umpama bulan mengambang di waktu malam. Erk.. memanglah bulan mengambang di waktu
malam. Kalau siang bukan bulan tetapi
gerhana. Bukan memperkecilkan anak
sendiri, tetapi ingin dia sedar diri, tengok diri itu sebelum buat sesuatu yang mencabar dan melawan
arus. Akibatnya diri sendiri. Keputusan punyalah bagus dalam STPM,
alih-alih pilih bidang yang layak budak lepasan SPM ambil. Apa kes? Leter Seman dalam hati. Kalau dia
membebel lebih-lebih, tidak pasal-pasal peguam bela anaknya buka fail saman
nanti. Berleter sikit-sikit
sudahlah. Dia mengeluh berat. Apa yang nak dibuat di kampungnya itu? Nak ke sawah?
Habis mati pokok padi itu nanti. Nak
bercucuk tanam, silap haribulan cangkul tu makan kaki. Alahai, anak…
“Tak apa Rose, berehat dan
tenangkan diri. Nanti kita fikir apa
yang harus kita buat nanti. Jangan susah
hati ya,” pujuk Hanum. Dia tidak mahu
mendesak. Dalam keadaan sekarang sudah
pasti anak gadisnya dalam hidup penuh dengan kekecewaan. Pekerjaan yang amat diminatinya sejak di
bangku sekolah, walaupun dapat keputusan cemerlang dan melayakkan dia memilih
bidang yang lebih mencabar, Rose tetap memilih bidang kesetiausahaan.
“Terima kasih mak.” Dia berasa bersemangat semula. Bukanlah dia tidak suka dengan kata-kata
ayahnya, tetapi amat menjatuhkan semangatnya.
Memanglah dia bersalah, tetapi itukan takdir. Mungkin ada hikmahnya. Kalau dia memilih bidang lain, belum tentu
kehidupannya jadi lebih baik dari sekarang.
“Pergilah berehat. Nanti kita makan
bersama,” suruh Hanum sambil matanya mengerling ke arah suaminya yang memandang
tajam anak gadis mereka.
“Hish, apa kata orang kampung
nanti?” kata Seman setelah Rose menghilang ke dalam biliknya.
“Mereka ada mulut bang.
Biarlah!” Hanum malas nak
memikirkan perasaan orang lain. Sudah
tidak peduli apa pandangan mereka. Rose anak kandungnya. Kalau orang lain tidak boleh menyenangkan
hati anak gadisnya itu, biarlah dia sahaja yang menjadi pembakar semangat untuk
anaknya berjaya. Tidak kiralah apa pun
bidang yang diceburi.
“Awak cakap ikut sedap mulut awak
saja. Yang malunya saya! Di kedai Pak
Harun nanti pasti ramai yang mengata!”
“Kalau tak nak malu, tak payah
berlonggok kat kedai Pak Harun tu. Duduk
saja di rumah, layan saya dan anak-anak!”
leter Hanum. Bukan dia melarang
suaminya berkumpul dengan jiran sekampung mereka, tetapi biarlah bercakap
perkara yang bermanfaat, tidak perlulah kutuk sesiapa. Kalau sudah berkumpul, asyik tambah dosa
sahaja. Mulut itu pantang terbuka, ada
sahaja yang tidak kena.
“Hish, ke situ pula awak ni!”
“Tak betul saya cakap? Awak rasa malu dengan kawan-kawan awak tu,
kan? Rose tu anak kita, kalau orang
bercakap, kenalah tegur atau marah. Buat
apa mereka sibuk hal kita? Bukan kita
minta makan kat mereka pun?” leter Hanum geram.
“Ya, ya awak tu saja yang
betul. Saya ni semuanya salah!” Seman
menjeling.
“Ikut suka awaklah!” Hanum mengatur
langkah ke dapur. Malas nak bertegang
urat lagi. Tiada guna bergaduh, tidak
menyelesaikan masalah mereka pun.
Terutama masalah Rose.