Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,938
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 31

Ain mengetap bibir, dia baharu saja sampai dari Kuala Lumpur, Haikal sudah balik ke sana. Tunangnya sahaja mengelak untuk berjumpanya. Whatsapp tidak berbalas, telefon tidak berjawab. Takkan nak tulis besar-besar di wall FB pula kut? Geram betul dibuatnya. Hembusan angin bendang terasa nyaman seketika hatinya yang sedang panas itu. Ain menghentak-hentak kaki melangkah masuk ke dalam rumah banglo setingkat itu. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia berpatah balik ke Kuala Lumpur, kalau tidak memikirkan letih memandu sendiri. Apa punya perangai agaknya tunangnya itu.

“Kenapa dengan kau ni Ain? Haikal baharu saja bertolak balik KL, kau pula baharu sampai,” kata Mak Limah. Dia baharu sahaja selesai masak tengahari. Kalau Ain balik semalam, bolehlah jumpa Haikal.

“Kenapa mak tak suruh dia tunggu!” bentak Ain dengan wajah mencuka.

“Mana boleh nak tahan dia, bukan jadi menantu mak lagi. Baharu bakal menantu.” Mak Limah duduk di sebelah Ain yang mengeluh sahaja sejak sampai tadi.

“Kau bergaduh ke dengan Haikal,” tanya Mak Limah perlahan. Nampak lain benar sikap anak dan bakal menantunya itu. Seorang ke utara, seorang ke selatan. Majlis perkahwinan mereka tidak lama lagi. Kalau terjadi perkara yang tidak diingini malulah.

“Taklah!” Ain mengerling. Takkanlah dia nak cerita apa yang berlaku. Haikal pun satu, sudah terang lagi bersuluh, jelas dan nampak sangat-sangat yang mereka bergaduh. Pulang ke kampung tidak bersama. Dia balik kampung, Haikal sudah balik Kuala Lumpur. Panggilan tidak berjawab. Memang menyakitkan betul.

“Kalau tak bergaduh kenapa balik kampung, muka macam kena sembelit?” tegur Mak Limah. Dia mengeluh. Susah betul budak sekarang. Bercintalah konon, sikit-sikit gaduh, langsung tidak bersatu hati atau mahu bertolak ansur. Sama-sama degil, sama-sama keras kepala. Ini, belum kahwin. Kalau sudah kahwin nanti, macam mana pula keadaannya.

“Biasalah, rajuk-rajuk sayang.”Ain tersenyum.

“Rajuk-rajuk sayang? Jangan rajuk lama sangat, kalau dia tak nak pujuk, kau tu pergi pujuk. Jangan berkeras sangat. Orang lelaki ni banyak pilihan. Kalau terlepas ke tangan si hitam tu pula, padan muka kau!” Sengaja dia provok anak gadisnya itu. Dia tahu benar, Ain bencikan Rose. Guna nama perempuan hitam legam itu pasti selesai semua masalah.

“Hish, mak ni… cakap tu berlapiklah. Satu doa tu mak!” Ain kurang senang. Kalaulah betul-betul terjadi, bagaimana? Aduh, tak sangguplah. Malulah dia. Tercemarlah namanya. Sekali lagi kalah di tangan si hitam legam itu. Tak sanggup, dan tak sudi. Jangan harap! Kalau si hitam itu suka dengan Haikal dan tunangnya pun sama, langkah mayat dia dulu! Mana boleh jadi. Ain panas hati semula. Macam suis eletrik yang dicas semula. Apalah emaknya cakap seperti itu. Bikin sakit jiwa sahaja.

“Mak bukan solat lagi, mana boleh terkabul. Cakap saja. Jangan kau ambil mudah semua perkara. Hati lelaki ini kena jaga dan belai selalu. Jangan biar terlopong, kosong. Kang ada yang singgah memenuhkan ruang. Masa tu nak menangis sehingga buta mata pun tak boleh buat apa-apa, ada faham?” nasihat Mak Limah.

“Yalah mak!” Ain mengerling. Mulut maknya kalau bercakap, tidak ada insuran langsung. Main cakap sahaja.

“Mak, kita buka restoran nak?” tanya Ain, sebenarnya tujuan dia pulang nak bertanyakan hal tersebut. Mana boleh biarkan musuh tradisinya itu menjadi ahli perniagaan dan pemilik restoran. Dia pun mampu.

“Restoran? Nak buat apa? Bukan mudah nak berniaga Ain. Perlu komitmen siang dan malam. Kau nak susahkan mak ke? Dah elok-elok mak duduk rehat, goyang kaki, hujung bulan dapat duit, kena memerah peluh di restoran. Apa halnya ni?” Mak Limah hairan dengan sikap Ain.

“Ala, kita buka saja, lepas tu gajikan orang,” kata Ain, begitu senang sahaja baginya.

“Kalau semudah itu buka restoran, ramai peniaga tepi jalan tu dah buka, anak oi! Modalnya lagi. Nak buka di mana, tempat kena strategik. Kalau setakat buka kat bandar tu, siapa yang nak datang makan. Dah bercambah restoran yang ada. Pandai ke kau nak masak?” terang Mak Limah. Kenapa pula tiba-tiba nak buka restoran? Sudah makan gaji elok-elok, nak berniaga pula. Kalau nak sangat berniaga, kenapa harus restoran? Banyak lagi perniagaan lain yang boleh dibuat selain buka restoran, rasanya dia tidak sanggup.

“Ala mak! Bolehlah…” rayu Ain dengan penuh mengharap.

“Kenapa ni? Cuba terang kat mak?” tanya Mak Limah ingin tahu.

“Tak ada apa-apalah. Saja nak beralih bidang dan jadi seorang usawahan. Takkan tak boleh.” Ain menyengih.

“Bukan tak boleh, tapi carilah perniagaan lain. Kalau restoran memang mak tak setuju.” Mak Limah menolak. Dia ada seorang kenalan yang buka restoran. Kalau pandai memasak tidak menjadi masalah. Kalau tidak tahu, tukang masak lari, habiskan restoran itu. Masalah pekerja lagi. Bukan mudahlah oi! Detik hati kecil Mak Limah.

“Mak ni, susahlah!” Ain merajuk.

“Mak bukan apa, kalau gagal perniagaan restoran kita. Bukan sikit-sikit duit yang terbang. Memanglah mak mampu, tapi kenalah juga berhati-hati dan berjimat cermat. Jangan ingat kita ada duit, semuanya nak dihabiskan. Kena fikirkan juga masa depan Ain sendiri. Majlis perkahwinan Ain tidak lama lagi. Banyak juga pakai duit tu. Tak payahlah Ain,” tolak Mak Limah lembut.

“Mak ni kedekutlah!” Ain bingkas bangun dan masuk ke dalam bilik.

Mak Limah mengekori dari belakang.

“Bukan kedekut! Ain, berniaga ni perlu ada ilmu dan kepandaian. Ain tak ada pengalaman, kalau setakat nak ikut orang, mak takut gagal nanti. Jangan ikut hati, jangan ikut rasa. Nanti kita juga yang susah.” Mak Limah mengeluh. Anak tunggalnya ini memang degil orangnya. Susah nak terima nasihat. Ikut cakap dia sahaja. Macam manalah Haikal nak mendidik anaknya nanti.

“Yalah, mak. Nak cakap apa, takkan Ain nak paksa pula. Kalau mak tak bagi, tak apalah.” Rajuk Ain. Dia menghempas tubuh ke atas katil. Matanya berasa mengantuk. Nak berehat seketika sebelum memandu semula pulang ke Kuala-Lumpur. Nampaknya kenalah dia gunakan cara lain untuk berlawan dengan si hitam itu.

“Susah betullah bercakap dengan anak mak sorang ni!” Mak Limah mengeluh. Dia keluar dari situ. Membiarkan Ain merehatkan diri. Kalau Haikal marah atau menjauhkan diri daripada anaknya itu, tentu ada sebab musababnya.

Ain membuka mata sebaik sahaja emaknya keluar dari biliknya itu. Dia bingkas bangun dan duduk bersila di birai katil. Dia mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor tunangnya. Dia perlu selesaikan masalahnya dengan Haikal. Dalam marah tetap ada rindu di hati. Dalam geram tetap ada sayang yang membukit di jiwa. Walaupun hati sakit, perasaan kasih dan sayang tidak pernah mengurang. Malah bertambah tebal di sanubari. Kenapalah marah dengannya lama-lama sangat. Kenapalah sukar dipujuk atau kenapalah tunangnya itu tidak mahu memujuknya.

Puas didial, tetapi tiada jawapan. Malah terus masuk ke dalam peti simpanan. Nampak sangat Haikal sengaja mencipta perang dingin dengannya. Sengaja nak menyakitkan hatinya. Tidak ada perasaan sayangkah dengan dirinya lagi? Orang lelaki kalau merajuk lebih teruk daripada orang perempuan rupanya. Eee… kenapalah jadi seperti ini. Ini semua Rose punya pasallah! Tidak pasal-pasal si hitam itu menjadi kambing hitam. Diri sendiri yang salah, senang-senang sahaja salahkan orang lain. Eh, peduli apa dia. Memang perempuan hitam itu bersalah. Dia bergaduh dengan Haikal pun sebab perempuan itu. Tidak betulkah? Ain mencebik.

Dia berbaring semula,, menulis pula pesanan ringkas ke dalam whatsapp tunangnya. Sudah berbaris panjang dia menulis sejak semalam, satu pun tiada balasan daripada Haikal. Marah betul tunangnya itu. Dia mengeluh berat. Petang nantilah dia bergerak balik ke Kuala Lumpur. Bukan jauh sangat. Matanya semakin layu dan akhirnya dia terlelap.

Previous: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.