Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,917
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 29

Keadaan tenang di kawasan rumah kedai yang menjadi tempat dia menunggu seseorang langsung tidak menenangkan hatinya yang kacau bilau. Resah menunggu. Ain mengerut dahi. Dia menunggu dengan sabar di hadapan restoran tempat Rose bekerja. Dia ingin menyiasat sendiri, siapa musuhnya di situ. Tidak mungkinlah rakan kongsi? Mana perempuan gelap itu ada duit! Bukan keluar senang pun. Biasa-biasa sahaja. Lainlah dirinya. Boleh buka restoran sendiri, bebel Ain dalam hati. Sengaja dia mengambil cuti hari ini, semata-mata ingin menjadi penyiasat. Ain mencebik. Terintai-intai dan tercongok sahaja di tempat letak kereta berhampiran restoran.

Ain terpandang seorang lelaki sedang membersihkan ruang hadapan restoran. Dia tidak nampak bayang Rose. Datang lewatkah? Fikirnya sendiri. Ah! Dia bukan nak bertemu perempuan hitam itu. Dia cuma nak tahu benarkah perempuan itu menjadi rakan kongsi di restoran itu. Itu sahaja. Kalau benar, dia tidak boleh kalah sama sekali. Dia perlu buat sesuatu. Rose tidak boleh menang dan lebih daripadanya. Ain mengetap bibir.

Ain menyeberang jalan. Lankahnya semakin mendekati lelaki itu. Mungkin usia lelaki itu dalam hujung belasan tahun. Masih kelihatan muda. Tetapi kerja di restoran. Malas belajarlah agaknya, kata Ain dalam hati. Hanya mereka yang tidak berpelajaran sahajalah bekerja di restoran, termasuklah lelaki itu. Dia mencebik.

“Akak nak sarapan ke? Restoran baru buka, lagi lima belas minitlah kak,” sapa lelaki itu bila ternampak kelibat Ain.

Ain menggeleng. Dia memandang ke kiri dan ke kanan, memerhati jika ternampak Rose.

“Habis tu?” lelaki itu kehairanan. Gelagat Ain agak mencurigakan.

“Majikan adik mana?” tanya Ain.

“Ada kat dapur, memasak. Kenapa?” soal lelaki itu semula.

“Perempuan yang hitam tu?” Ain memandang kiri dan kanan sekali lagi, nada suaranya diperlahankan.

“Hitam? Yang mana?” Lelaki itu kehairanan.

“Ala… yang jaga kaunterlah!”

“Ooo… Kak Rose?”

“Ya… Rose! Siapa dia di sini?” Semakin teruja Ain ingin tahu.

“Juruwanglah!” jawab lelaki itu perlahan. Dahinya berkerut semula.

“Bukan rakan kongsi di restoran ini, kan?” tanya Ain laju.

“Entahlah, hal tu saya tak tahulah pula,” jawab lelaki itu jujur. Memang dia tidak tahu dan tidak pernah diberitahu. Malah tidak perlulah dia mengambil tahu.

“Takkanlah tak tahu?” Ain tidak percaya.

“Betul kak, kalau akak tak percaya, akak pergilah tanya majikan saya sendiri. Dia ada di belakang tu,” jelas lelaki itu.

Ain menjeling. Jawapan yang belum diperolehi dari soalan yang ditanyakan tadi.

“Kau buat apa kat sini Ain? Pagi-pagi ni?” Rose memandang wajah Ain tidak berkelip. Sejak dia sampai, dia memerhatikan sahaja Ain mendekati rakan sekerjanya. Dia sengaja mencuri dengar perbualan rakan sekerjanya dengan Ain. Perempuan ini memang tidak pernah kenal putus asa. Nak juga dia mencungkil rahsia dirinya. Pasti masih tidak berpuas hati lagi.

“Erk… nak sarapanlah! Kau sibuk kenapa?” Ain pucat. Bila pula perempuan hitam ini muncul? Kenapa tak nampak? Sedangkan dia berhati-hati tadi.

“Lagi sepuluh minit baharu buka. Kau datang kawasan ni kenapa? Bukankah pejabat kau di daerah lain?” soal Rose. Dia memeluk tubuh dan melayan Ain yang sedang terpinga-pinga, kena tangkap, kantoilah!

“Ikut suka akulah! Kau peduli apa?” Aian mencebik.

“Pergi restoran lainlah! Kau memang sengaja nak cari nahas dengan aku, kan? Kau suka sangat ganggu aku? Cerita zaman sekolah, dah lama berlalulah! Lupakanlah. Lagipun kau dah berjaya, lainlah aku, masih ditakuk lama. Tak payahlah kau nak rosakkan hati kau tu, cemburukan aku!” leter Rose. Bertambah meluat dia melihat perangai Ain. Kenapalah berdengki dengan dirinya?

“Hey, perempuan… selagi aku tak mati, selagi itulah dendam aku dengan kau takkann padam, tahu tak?” jerkah Ain dengan mata membutang memandang Rose.

“Apa yang aku dah buat kat kau? Kalau setakat kena gantung sekolah, tak ada maknanya. Kau tak tamatkan persekolahan kau ke? Yang kau marah kat aku sampai ke lubang kubur?” tempelak Rose.

“Bagi kau kecillah! Bagi aku besar!” Ain menjegilkan mata. Malu dia dengan rakan-rakan sekolah yang lain. Dia digantung seminggu oleh pihak sekolah kerana mencuri kertas soalan milik gadis hitam itu.

“Aku minta maaf, okey. Lupakan saja,” pinta Rose.

“Minta maaf? Kau ingat cukup ke?” Ain memuncungkan bibirnya.

“Habis tu? Kau nak aku buat apa? Sembah kau! Rayu dan bersujud pada kau? Hey.. kau ingat tak kenapa kau digantung sekolah?”

“Ah! Peduli apa aku!” Ain tidak mahu mengingatkan kejadian itu. Dia telah mencuri kertas jawapan Rose dan menukarnya dengan kertas jawapannya yang tidak berjawab. Kosong. Sebab perkara itu Rose kalah di tangannya. Dia mendapat tempat pertama dalam sekolah. Rose tempat kedua, tetapi kena marah dengan cikgu kerana menghantar kertas kosong.

Tidak berapa lama kemudian, kejadian itu bocor, Rose mengamuk dan menyebabkan dia digantung persekolahannya. Malu dia dengan orang kampung juga. Sejak itulah api dendam membara di hati. Tidak pernah padam.

“Pergilah baliklah! Buang masa saja kau kat sini,” halau Rose. Orang seperti Ain tidak akan tahu memaafkan orang lain.

“Aku pun tak ingin nak tengok muka kau yang hitam macam bontot kuali, bikin hati panas saja!” bentak Ain sambil berlalu pergi. Tidak sampai tujuannya ke situ. Kenapalah dia tidak nampak Rose datang? Budak lelaki itu pun satu, jawapan sahajalah soalahnya, ini tidak, soal dia semula. Habis gagal rancangannya. Ini semua budak itu punya pasal, bentaknya dalam hati. Dia terus masuk ke dalam keretanya dan memandu laju meninggalkan kawasan rumah kedai itu.

Dia menghentak stering kereta. Wajah Rose yang berani melawannya itu membuatkan dia kecut perut juga. Tidak padan dengan kecil, dia lebih tinggi daripada si hitam itu. Haikal pula ke mana? Sudah dua hari tidak menghubunginya, sejak dia ajak menyiasat tentang Rose. Kalau tidak setiap malam mereka akan berbual mesra, bergurau ketawa, berjanji setia, tanpa dibayangi wajah si hitam legam itu. Sejak dia tahu si hitam itu jadi rakan kongsi pemilik restoran serba besar itu, buat hatinya panas. Kalau nak bercakap dengan Haikal pun dia akan membentak keras. Langsung hilang kelembutan yang ada dalam dirinya. Kenapalah perempuan hitam itu masih hadir dalam hidupnya. Erk.. si hitam itukan sekampung dengannya. Kalau balik pada hari raya, pasti bertemu muka ada ketika duduk sebelah menyebelah waktu solat sunat hari raya. Memang bikin hatinya panas menggelegak.

Keretanya dipandu perlahan membelah jalan raya yang semakin sesak dengan kenderaan. Dia terus kepejabat tempatya bekerja. Dia tidak akan membiarkan Rose berjaya. Dia jauh lebih hebat daripada Rose. Ucapan yang sering berlegar di akal fikiran. Boleh membunuh rasa ketenangan dalam diri. Giginya saling berlaga. Berkeriut bunyinya. Kalau boleh dilapahnya si hitam itu, sudah lama dilapah dan disiat-siat. Kenalah hatinya sakit sangat dengan si hitam itu pun dia tidak tahu. Yang pasti dendam lama masih bertahan dalam diri. Sukar betul nak dinyah jauh-jauh. Macam badi pula, asyik mengekor.

Rasa benci membuak-buak dalam hati. Telefon bimbit dicapai. Dia mendail nombor Haikal. Tiada jawapan. Ke mana pula lelaki ini pergi? Takkan larikan diri kut? Fikirnya dalam hati. Sekali lagi stereng kereta menjadi mangsa tangannya, melepaskan geram yang membuku di hati. Penghawa dingin yang terpasang tidak mampu menyejukkan hatinya. Wajah Rose yang dapat menangkap dirinya tadi membuat hatinya bertambah geram. Perkara itu tidak akan selesai, detik hati kecilnya.

Previous: BAB 28
Next: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.