Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 14

Mereka berjalan-jalan di sekitar kota Nara. Di sini terdapat banyak kuil. Rusa bintik berkeliaran di sana-sini. Menurut dongeng, rusa-rusa ini punya semangat penghubung di antara dunia nyata dan ghaib. Rusa-rusa ini akan tunduk kepada pelawat yang berada di hadapan mereka, seolah-olah mereka memahami adat Jepun. Ada yang mengatakan mereka tunduk kerana mahu menyondol pelawat itu. Namun tidak dapat dipastikan kesahihan kedua-dua pandangan.

 

Nara tidaklah sesibuk pekan pedagang lain yang lebih besar dan terletak di laluan strategik pedagang di sepanjang Nakasendo. Pelawat kebanyakannya datang ke sini untuk bersembahyang di kuil-kuil besarnya. Statusnya sebagai ibukota asal tamadun Jepun dan antara kota tertua di sini, selain sebagai pusat keagamaan Buddha telah menarik minat pelawat ke sini. Di sini lebih tenang dan kelibat individu mencurigakan jarang sekali melintas pandangan Hisamiko. Hanya yang ramai mereka yang berpakaian sami Shinto atau para pelawat yang memakai kimono cantik pelbagai warna.

 

Dalam bersiar-siar menikmati warna-warni putik-putik sakura yang masih muda dan pepohon yang kebanyakan masih belum berdaun, deria istimewa Hisamiko berdenyut. Pasti sesuatu daripada besi sedang berada di sekitarnya. Tangan Hisamiko merayap mencari hulu pedang. Dia memerhati di hadapannya sekelompok rusa bintik.

 

Azuchi di atas bahunya berbisik, “Hisamiko, aku akan terbang ke atas. Engkau tahu apa yang engkau harus lakukan?”

 

“Ya.”

 

Azuchi terbang ke atas. Pantas Hisamiko melibas pedangnya, mematahkan mata panah yang baru melayang menyasar ke arah kelompok rusa itu kepada dua. Bercempera rusa-rusa bintik itu melarikan diri keterkejutan. Beberapa orang pelawat tertegun memerhati perlakuan Hisamiko. Ada antara mereka berbisik-bisik kehairanan, mungkin sedari tadi aneh memerhati Hisamiko yang memakai yukata dengan pedang tersisip. Hanya dia seorang di situ yang aneh, seorang gadis yang berjalan bersama burungnya, dan membawa pedang seperti samurai.

 

“Mengapa dia mengeluarkan pedangnya? Sini kawasan kuil.” Seorang sami Buddha berbisik kepada rakannya. “Sungguh biadap.”

 

“Namun lebih biadap gerangan siapa yang cuba memanah rusa-rusa itu.” Balas rakan sami itu. “Gadis ini bukan sembarangan petarung. Dia telah menyelamatkan rusa itu.”

 

Yare, yare. Ojou-chan.” Kedengaran suara seorang lelaki dari jauh, berjalan sambil menepuk-nepuk tangan.

 

Hisamiko menyarung kembali pedangnya dan mengadap lelaki itu. Di belakang lelaki tersebut ada seorang budak yang menggalas busur dan kelongsong panah. Budak itu berusia sebaya Hisamiko, dalam lima belas tahun. Kedua-dua lelaki dan budak lelaki itu bersarung kimono dari kain berkualiti, seperti yang selalu dipakai para daimyo dan samurai.

 

“Biar kuteka. Engkau Okuhida Hisamiko, bukan?”

 

Hisamiko tersentak namanya disebut. Siapakah lelaki ini?

 

“Siapa engkau? Apakah engkau yang cuba memanah rusa-rusa ini? Bukankah kita semua dilarang memanahnya?”

 

Kedengaran suara-suara terkejut dari kerumunan yang menyaksikan mereka. Mereka tidak sekali-kali menyangka Hisamiko begitu berani bersuara bersahaja di hadapan lelaki itu.

 

Sasuga Okuhida-no-musume da (seperti kuduga, anak perempuan Okuhida). Aku banyak mendengar tentang kalian. Kalianlah yang menumpaskan Hamada di persembunyiannya di Kobe bukan? Hanya kalian sahaja yang mampu menetak panah yang sedang terbang.”

 

“Siapa engkau?”

 

“Aku Motoba Kouki, bugyou (majistret) di sini.” Dia mengusap-usap dagunya yang licin tidak berjanggut, bangga dengan jawatan itu. Dia masih muda, dalam sekitar lewat dua puluhan, namun telah menjawat jawatan kritikal tetapi mudah digugat korupsi ini.

 

“Engkau majistret, maka sepatutnya engkau menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai!” Lagi berani Hisamiko meneruskan tegurannya. Orang ramai menganga, ada yang menutup mulut, tidak menyangka Hisamiko begitu berani menegur lelaki itu.

 

Motoba ketawa. Budak di belakangnya turut sama ketawa.

 

Ojou-chan engkau naif. Siapa yang berkuasa dan berwang maka dia menguasai undang-undang!”

 

“Aku tidak mahu berdebat lanjut. Jika engkau memanah lagi aku akan mengkakukan tubuhmu dan membawamu ke hadapan Kogen.”

 

“Ho ho ho. Berani engkau mencabarku ojou-chan. Ayuh, cubalah!” Cabarnya, dan menoleh ke arah budak lelaki di belakangnya, “Masaru, panah sekali lagi.” Arah lelaki itu kepada budak di belakangnya sambil kembali menoleh dan tersenyum sinis memandang Hisamiko.

 

“Baik, otou-san (ayah).” Sahut budak itu, tidak mempedulikan amaran Hisamiko.

 

Hisamiko kembali mengeluarkan pedang tumpul Saishi-tou yang ditempa Shinji itu, bersedia. Masaru pula mengeluarkan panah dan menyarungkan pada busur, menyasarkannya ke arah kelompok rusa bintik yang kembali dibentuk berhampiran mereka.

 

Tomare, kalian!” Kedengaran suara seorang tua, lantang bunyinya. Semua yang berada di situ terkejut, termasuk Hisamiko.

 

Otou-san!” Lelaki itu memandang lelaki tua yang baru melaung sebentar tadi.

 

“Berani engkau mengaku bugyou! Anak tak guna!” Lelaki tua itu menengking dua anak-beranak itu.

 

Hadirin menahan ketawa. Ada yang memaling muka, ada yang menutup mulut. Malu benar Motoba dimarahi ayahnya sendiri di hadapan orang ramai. Dia memandang Hisamiko dengan wajah merah menyala, menuding jarinya seketika, kemudian pantas berpaling, seraya beredar. Masaru turut sama.

 

Orang tua tak guna! Mengapa dia di sini pula? Gerutu Kouki sambil berjalan laju meninggalkan orang ramai diekori anaknya.

 

Lelaki tua itu memandang Hisamiko.

 

“Okuhida-san, maafkan aku di atas kebiadapan anakku tadi. Aku Motoba Motokichi, bugyou sebenar di sini.” Lelaki tua itu tunduk hormat.

 

Betsu ni, ii desu ga (tidak mengapa).” Hisamiko membalas tunduk hormat.

 

“Apa engkau buat di sini berseorangan?” Soal Motokichi.

 

“Aku tidak berseorangan, aku bersama burung itu.”

 

Azuchi turun dan hinggap di atas bahu Hisamiko.

 

“Oh, sou desuka.” Sememangnya gadis inilah petarung elit Kogen dari keturunan Okuhida. Juga calon Kaisenjyo itu, melihatkan burung hayabusa yang mengiringinya, getus orang tua itu.

 

“Jika engkau tidak keberatan, aku mahu menjemput engkau ke rumahku.”

 

Hisamiko memandang Azuchi yang bertenggek pada lengannya yang berbalut kain tebal bagi menghindari dicederakan cakar burung itu. Azuchi mengangguk.

 

Hisamiko serba salah. Patutkah dia mengikut pendapat Azuchi? Dia merenung Azuchi.

 

“Aku tidak fikir lelaki ini membahayakan, Hisamiko. Dia nampak baik, tidak seperti anak dan cucunya. Lagipun, aku fikir ini peluang untuk aku mendapatkan lebih maklumat berkenaan moyangmu.”

 

“Hah? Apa kaitan Hanzou dengan Bugyou Motoba?”

 

“Percayakan aku Hisamiko, nanti aku cerita lanjut. Ayuh, anggukkan kepala tanda setuju padanya.” Suguh Azuchi.

 

Hisamiko bersetuju meskipun hati sedikit keberatan, seraya memaling muka menghadap majistret itu dan berkata sambil mengangguk, “Baiklah, aku terima jemputanmu.” Hisamiko mempercayai Azuchi dan menyerahkan kepadanya. Barangkali Azuchi dapat merungkaikan lebih lanjut bagaimana Okuhida Hanzou dibuang ke laut.

 

Dalam diam Azuchi bermonolog, Hanzou, maafkan aku kerana tidak mampu melindungimu lima abad lepas. Orang-orang Ashikawa sudah mengikatmu saat itu selepas meracun makananmu sehingga engkau pitam, kemahiran bertarungmu sudah tiada guna lagi pabila engkau diperangkap dari dalam begitu. Apakan daya, sedang aku hanyalah seekor burung. Nyata, musuh yang bersembunyi dalam selimut itu lebih berbahaya daripada musuh yang berada jelas di hadapan mata. Tidak engkau dan aku sangka, bahawa bapa Yoshimaru itu bersekongkol dengan Ashikawa. Bugyou Motoba yang engkau naikkan itu juga tidak mampu berbuat apa-apa.

 

**

 

“Hisamiko, Hisamiko!” Ryouji menyeru nama adiknya. Cemas benar dia hari ini. Lagi dua hari akan berlangsunglah majlis perkahwinannya dengan Kiku.

 

Sudah serata ceruk rumah dicarinya Hisamiko. Kiku turut mencari-cari di sekitar rumahnya namun masih belum ketemu.

 

“Kudanya tiada. Aku fikir dia telah keluar. Barangkali ke destinasi jauh dari Gero.”

 

“Aku tahu. Dia pastinya ke Nara, dia pernah memintanya dulu. Aku sudah menegah namun dia masih berdegil!” Rengus Ryouji. Aku sudah pun membawanya keluar namun dia masih berdegil mahu ke Nara juga!

 

“Ryouji...” Kiku memegang tangan Ryouji, cuba menyejukkan perasaannya.

 

“Kiku, aku akan keluar ke Nara.”

 

“Ryouji, majlis kita lagi dua hari...” Kiku cuba menyedarkan Ryouji yang seolah dirasuk kehilangan adiknya.

 

“Usah kau risau.”

 

“Usah risau kaukata?”

 

“Kiku, kita boleh saja berkahwin di kuil, sekarang juga. Majlis itu pula boleh dilakukan bila-bila masa.”

 

“Ryouji...”

 

“Kiku, ayuh.”

 

“Ke mana?”

 

“Ke kuil sekarang. Kita bernikah di sana. Selepas itu aku akan ke Nara mencari Hisamiko.”

 

Ryouji menarik tangan Kiku, menuju ke kuil Gero.

 

“Ryouji. Engkau hendak ke mana?” Soal bapa Kiku, Taihei tatkala mereka melalui hadapan rumahnya.

 

“Ah, Tokizawa-san. Ayuh ke kuil sekarang.”

 

“Ryouji.. kiite (dengarkan aku).” Tegur Kiku yang terkocoh-kocoh sedang tangannya ditarik Ryouji.

 

Ryouji tidak mengendahkannya.

 

Kiite yo (dengarlah)!” Suara Kiku kini lebih nyaring. Langkah deras Ryouji terhenti mendadak seolah baru disentak benaknya.

 

“Engkau pergilah ke Nara dahulu.” Kiku ujar dengan wajah tenang, memahami perasaan Ryouji.

 

“Kiku...”

 

Daijyoubu (tidak mengapa). Namun berjanji denganku yang engkau pasti akan pulang.” Ujar Kiku lagi lembut.

 

Arigatou, Kiku. Aku pasti akan pulang.”

 

Kiku menguntum senyum paksa, redha dengan tindakan Ryouji. Ryouji bingkas beredar dengan kudanya. Dia tidak tahu di mana Nara. Dia akan bertanyakan sesiapa sahaja dalam perjalanan nanti. Yang penting dia harus menghala ke Kansai di barat dahulu. Hanya itu yang jelas di benaknya sekarang.

 

**

 

“Motoba-san. Apakah ini?” Soal Hisamiko. Di tangannya sebuah buku baru diserahkan Bugyou Motoba.

 

Hisamiko telah dibawa Bugyou Motoba Motokichi, bugyou di Nara, ke satu bahagian di kuil Kofukuji. Ia sebuah bilik yang disembunyikan rimbunan pohon bonsai yang disusun  bertingkat-tingkat di atas pepara kayu. Azuchi mengikutnya dan bertenggek di atas kepala sebuah patung Buddha yang sedang duduk tidak jauh dari lokasi mereka.

 

“Kuil Kofukuji diasaskan oleh moyangmu yang menggunakan nama Fujiwara. Bacalah. Engkau datang dari keturunan itu.” Maklum Motoba.

 

“Buku ini tebal, ojii-san. Bahagian mana yang harus kumulakan?”

 

“Yang bertanda merah.”

 

Hisamiko membuka halaman yang diselitkan penanda merah.

 

Untuk setiap seribu tahun, satu

Untuk setiap seratus tahun, satu.

 

“Apa maksudnya?”

 

“Aku bilang hanya engkau yang mengetahuinya Hisamiko. Itu dua baris yang tidak ditulis penulis buku itu, tetapi berdasarkan apa yang diceritakan bapaku, ia disalin dari kata-kata seorang ahli sihir Emishi yang bernama Amaguri.”

 

“Amaguri?”

 

“Ya. Barangkali buku ramalannya yang penuh ada dalam simpanan puakmu atau salah satu dari puak yang tiga itu.”

 

Aku tidak ingat buku yang mana. Adakah buku yang kutemui dalam lubang pokok itu? Dan kemudian aku serahkan pada Shinji.

 

“Aku tidak pasti buku apa yang kaumaksudkan. Namun boleh kutahu mengapa engkau membawaku ke sini?”

 

“Lebih kurang lima ratus tahun dahulu, moyangmu Okuhida Nozomi telah dituduh mengkhianati Maharaja. Dia diseksa di sini, di dataran itu.” Motoba menuding ke arah sebuah dataran lapang bersebelahan kuil itu.

 

“Okuhida Nozomi?”

 

“Anak kepada Okuhida Hanzou.”

 

“Apakah Hanzou yang sama dibuang ke laut?”

 

“Oh, apakah kau ada mendengar kisahnya?”

 

“Ya.”

 

“Benar. Dialah Hanzou itu. Yang turut difitnah mengkhianati Maharaja.”

 

“Apakah Nozomi turut dibuang ke laut?”

 

“Tidak. Namun dia dihukum dibuang di tengah-tengah laut, tanpa dicampakkan, terbiar di dalam sampan. Kerana dituduh hanya bersubahat dengan bapanya, maka hukumannya diringankan.”

 

Huh, diringankan apa. Jika matimu ditangguhkan dengan dibiarkan di tengah laut begitu, ia hukuman yang lebih berat. Mati kebuluran itu lebih panjang dari mati lemas dihumban ke laut.

 

“Okuhida-san, aku mahu memohon maaf bagi pihak moyangku.”

 

“Apa maksudmu?”

 

“Moyangku pada ketika itu bugyou di Nara. Dia yang menjatuhkan hukuman itu tanpa penelitian yang rinci.”

 

Azuchi mendengar dan menganggukkan kepala. Dia tidak boleh meninggalkan Jepun jauh dari pesisirnya kerana sihir Amaguri yang membelenggunya maka dia tidak tahu-menahu nasib Hanzou, apakah dia mati di dalam laut atau berjaya melepaskan diri dari ikatan dan diselamatkan kapal asing. Dia hanya mahu mengetahui pengakhiran Hanzou, tuannya pada ketika itu.

 

“Ah buat apa engkau meminta maaf. Ia sudah lima ratus tahun berlalu. Jika benar mereka mengkhianati Maharaja, maka itulah balasannya.”

 

“Namun mereka difitnah.”

 

“Jarak mereka denganku terlalu jauh, Motoba-san. Pabila hubungan darah terlalu jauh, nenek moyang kita bagaikan orang asing. Aku tidak kenal dan tidak pernah melihat mereka. Aku tidak berdendam denganmu, jika benar apa yang menimpa mereka itu satu fitnah. Ia sudah berlalu.”

 

“Dan Bugyou Motoba hanya menjalankan tugasnya bukan?” Hisamiko menebak. Mata merenung Motoba.

 

Motoba kelu. Memang moyangnya dahulu hanya menjalankan tugasnya. Apakah dia perlu membangkitkan bahawa keputusan moyangnya itu juga boleh dimanipulasi? Moyangnya mungkin bersubahat dengan sekongkol fitnah itu. Jika dia membangkitkannya sekarang, bukankah ia bakal memanjangkan lagi perkara ini yang sudah ‘dihentikan’ Hisamiko?

 

Aku diamkan sahaja, getus Motoba. “Ya, Hisamiko. Dia hanya menjalankan tugas.”

 

“Maka ia tamat di situ. Sebagai orang tengah, hakim menamatkan kitaran. Tanpa hakim, kitaran dendam akan berkesinambung sehingga sekarang. Mungkin moyangku dan musuh-musuhnya lima ratus tahun dahulu akan saling berperang sehingga sekarang.”

 

Sambung Hisamiko, “Lainlah jika hakim itu sekongkol fitnah itu. Namun aku tidak mahu memikirkannya. Ia terlalu jauh dari pancaindera dan memoriku.”

 

Motoba agak terperanjat mendengar kenyataan Hisamiko. Dia menyangka mulanya Hisamiko agak naif. Namun kenyataan itu serta-merta meleburkan sangkaannya. Hisamiko menutur seperti seorang yang dewasa berfikir.

 

Hisamiko mulai berjalan beredar keluar, dengan membawa buku yang diberikan Motoba.

 

“Jadi, apakah maksudmu masa lalu itu tidak penting?” Duga Motoba.

 

“Bukan maksudku kita melupakan masa lalu, Motoba-san. Aku masih ada serpih masa lalu yang kuingat. Bagaimana bapaku dibunuh, kekasihku dibunuh, para penjaga rumah perlindungan kami dan kakak-kakakku dibunuh. Semua itu menggerunkan dan aku masih dihantuinya. Namun itu sahaja yang mampu aku beratkan di hati. Ada had masa lalu yang aku mampu bawa buat bekal ke masa hadapan, dan tidak semuanya. Aku hanya manusia yang lemah.”

 

Motoba mengangguk kecil dan wajahnya berkerut tatkala mendengar Hisamiko memuntahkan rentetan tragik hidupnya dalam satu baris ayat sahaja. Engkau telah mengharungi hidup yang amat sukar, Hisamiko. Malu aku malu, anak-anakku tidak melalui kesusahan sepertimu. Mereka manja dan begitulah jadinya, terang-terangan melanggar peraturan kuil memanah rusa di sini.

 

Dia berkata, “Buku itu ialah diari tinggalan Okuhida Nozomi. Bahagian yang bertanda merah itu ialah satu-satu coretan yang aku tidak fahami. Andai engkau temui maksudnya...”

 

“Bagaimana mungkin aku temui maksudnya? Sedang aku tidak pasti apakah aku ada menemui buku itu...”

 

“Aku bermimpi bertemu bapamu. Katanya hanya keturunannya yang faham maksud dua rangkap itu.”

 

“Mungkin aku akan bertanya abangku bila pulang nanti.”

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov