Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 30

Mata Ryouji melilau, sekejap memandang Tatsuya, sekejap memandang lelaki pedagang yang sedang berdarah-darah, Hisamiko sudah berdiri sambil mengeluarkan pedangnya selepas meletakkan lelaki pedagang itu ke atas tanah. Lelaki pedagang itu nampaknya sudah mati, melihatkan jasadnya kaku. Hisamiko mengesahkan kematian lelaki itu dengan meletakkan jari pada hidungnya, kemudian memandang Ryouji sambil menggelengkan kepala perlahan.

 

“Apa engkau ingat aku tidak tahu siapa engkau? Ne, Ryouji. Tak usah bersembunyi di balik topeng itu. Aku kenal benar engkau.”

 

Darah Ryouji membuak-buak. Dendamnya terhadap Tatsuya kerana membunuh isterinya kembali membakar dalam dada. Ryouji cuba menahan dirinya, namun apakan daya, air mata mengalir di balik topeng kabuki yang dipakainya. Ingatan terhadap Kiku tidak lagi dapat dibendung, datang mencurah-curah seperti kepala air yang meluru dari puncak gunung, membanjiri seluruh cepu fikir.

 

“Apa yang ditunggu lagi Ryouji. Engkau masih marah denganku bukan? Baguslah begitu. Marah dan bangkitlah menentangku. Mari, tewaskan aku atau aku akan bunuh semua pedagang di lebuh Nakasendo ini!”

 

Serentak selepas menghabiskan kata-kata, Tatsuya meluru seraya melibas pedangnya ke arah leher Ryouji, namun Ryouji berjaya mengelak dan melompat ke atas pokok. Tatsuya masih di bawah. Hisamiko juga di bawah, tangan memegang hulu pedang di sarung dan bersedia membantu abangnya bila-bila masa.

 

“Tatsuya, mengapa engkau membunuh mereka?” Soal Ryouji. Dia tahu tidak ada guna lagi membisu, kerana identitinya sudah pun diketahui Tatsuya.

 

“Kerana engkau, Ryouji. Subete omae no sei da! (Semua salahmu!)”

 

“Aku tidak faham.”

 

“Kerana engkau, pelanggan insurans terbesar kami, Tokizawa-san, berhenti mencarum dengan Furuya. Engkau yang menghasut Tokizawa agar meninggalkan kami. Aku membunuh mereka ini untuk tujuan pemasaran. Dengan meningkatnya bahaya di Nakasendo, mereka akan berpusu-pusu membeli insurans. Ne, Ryouji, korban begini diperlukan demi kelangsungan hidup.”

 

“Binatang. Engkau ingat nyawa mereka semurah serangga?!”

 

“Semua salahmu Ryouji. Mengapa engkau bising-bising dengan Tokizawa? Sekarang engkau bertanggungjawab di atas mulut besarmu.”

 

“Aku hanya memberitahu Tokizawa kebenaran. Aku tidak mahu dia bersubahat dengan penipu seperti Furuya yang melabur dalam bisnes pelacuran dan dadah candu, yang merosakkan anak gadis kita sendiri.”

 

Sou? Namun kami punya sebab. Nakasendo dicemari para penyamun. Para pedagang mesti mendapatkan perlindungan. Dengan melaburkan wang ke situ, kami dapat melindungi pedagang, membayar gantirugi barang dagangan mereka sekiranya ditimpa musibah... kejahatan yang kami lakukan adalah demi kebaikan. Apakah engkau punya cadangan lebih bernas untuk Furuya mengubah pelaburannya?”

 

“Aku tidak ada. Namun matlamat tidak menghalalkan cara.”

 

“Kata-katamu kosong Ryouji. Kami juga mahu hidup dan perlukan wang.”

 

“Dengan merosakkan penjaga rumah perlindungan Kogen dengan candu, dan bahan lucah? Dengan merosakkan anak-anak gadis kita?”

 

“Aku tidak peduli semua itu. Siapa yang berduit, dialah yang berkuasa kini. Wang adalah kuasa, zaman samurai sudah berlalu. Walau apa cara sekalipun, wang mesti diperolehi, tidak kira jalan apa sekalipun. Engkau mudah bercakap, Ryouji. Bapamu kaya. Hartanya yang diwariskan kepadamu banyak, seperti yang kudengari dari Tsugiyama.”

 

Kata-kata Tatsuya itu berbunyi seperti deja vu di telinga Ryouji. Aku pernah mendengarnya, getus Ryouji. Tetapi aku tidak ingat di mana. Tokizawa? Ya, Tokizawa pernah menyatakannya. Wang adalah kuasa katanya. 

 

“Jika engkau masih berdegil, aku tidak boleh berdiam lagi. Tatsuya, serah diri atau kami akan menangkap dan membawamu ke Kogen untuk dibicarakan.”

 

“Cubalah!”

 

Pertarungan berlangsung berterusan. Hisamiko turut membantu abangnya sekali-sekala pabila abangnya terleka. Namun kekuatan Tatsuya sudah bertambah. Dia semakin mahir, ditambah dengan pedang yang ditempa Mitsuhide itu. Tatsuya mampu naik ke jurus kesembilan kaminari tanpa diserang rusuhan tenaga disebabkan pedang itu. Ryouji mula berasa aneh. Hisamiko turut berasa aneh, dia tidak dapat mengesan sebarang unsur besi dari pedang Tatsuya meskipun dia tahu lokasinya.

 

Aneh. Dia tidak diserang rusuhan tenaga. Apakah kerana pedang itu? Barangkali pedang itulah. Itulah pedang yang digunakan tika dia datang ke rumahku tempoh hari. Memang amat ringanlah ia. Tika pertarungan di rumahku itu dia sudah berjaya naik ke jurus sembilan.

 

Namun pedang itu membolehkan dia berada lama di jurus itu. Ia terlalu lama sehingga aku sendiri mulai penat.

 

Aku penat. Aku perlu keluar sebentar dari pertarungan ini dan memulihkan kembali tenagaku. Jika tidak, aku turut akan ditimpa rusuhan tenaga juga.

 

Ryouji memperlahan. Tatsuya menyedarinya seraya ikut sama memperlahan sehingga jurus satu dan akhirnya pertarungan terhenti. Masing-masing berdiri atas lantai hutan dalam posisi bersedia.

 

“Pedang apakah itu Tatsuya? Apakah itu rahsianya engkau mampu berada di jurus sembilan?”

 

“Bijak. Engkau tahu punca aku bertahan di jurus itu kerana pedang ini. Ya. Aku mengupah seseorang menempanya menggunakan resin yang dicuri dari lembah Kogen.”

 

“Resin dari lembah Kogen? Bererti –” Ia pasti resin aomomiji. Shinji pernah menggunakannya menempa Saishi-tou untuk kami.

 

“-bererti di dalam Kogen ada pembelot. Hah, Ryouji. Aku tahu namaku tidak akan dibenarkan memasuki lembah itu. Maka aku telah mengupah orang.”

 

“Tidak mungkin. Meski engkau mendapat resin itu, tidak semua mampu menempa pedang menggunakannya.”

 

“Hah, penempa pedangku ini bukan calang-calang. Hanya kerana aku membakar semangat dendamnya, dia bertungkus lumus mencari jalan menyepadu resin itu dalam pedang ini.”

 

“Semangat dendamnya?”

 

“Engkau masih belum tahu? Mitsuhide-san penempa pedang terkenal dari Shizen di Shinagawa itu, dia pernah membawa Kobato tinggal bersamanya untuk seketika. Kobato sang kawan baikmu itulah. Selepas mendapat tahu Kobato dibunuhmu, Mitsuhide mahu membalas dendam. Dia mengupahku dan berjaya menciptakan pedang ini. Ryouji, dosa-dosamu terlalu banyak.”

 

“Tidak, Mitsuhide-san telah menyalahanggap. Kobato diserang rusuhan tenaga. Aku mahu menangkapnya dan membawa kepada Kogen, disebabkan itu aku bertarung dengannya.”

 

“Apa-apalah Ryouji. Yang penting, aku membawa hasrat Mitsuhide ke sini untuk memenggal kepalamu. Usah banyak cakap lagi, masa rehat sudah tamat. Ayuh bertarunglah!”

 

Pertarungan bersambung. Ryouji terganggu dengan kenyataan berkenaan Mitsuhide. Baru kutahu dari mana Kobato belajar menghasilkan pedang yang nampak berat dahulu. Pedang itu nampak tidak ditempa dengan baik. Ia membazirkan banyak tenaga Kobato dan menyebabkan dia diserang rusuhan tenaga kala di jurus sembilan. Pasti Kobato menempanya sendiri dengan menggunakan nisbah besi-arang yang salah. Dahulu ketika di rumah kami dia tidak mahir menempa. Namun selepas tinggal dengan Mitsuhide, mungkin dia sedikit meningkat mahir namun masih salah dalam beberapa aspek. Aku beruntung Shinji menempanya untukku. Binaan pedang amat penting, sepenting kawalan kendiri kami ke atas kandungan tenaga dalam tubuh ketikamana kaminari dilakukan. Binaan pedang adalah asas kaminari yang kerap dipandang enteng. Maka pedang itu harus dihasilkan oleh mereka yang benar-benar mahir dan berpengalaman sahaja.

 

Namun pertarungan masih belum membuahkan hasil. Hisamiko memerhati sekeliling takut-takut Tatsuya juga ada membawa rakannya. Hisamiko telah ditegah abangnya agar tidak masuk campur kecuali keadaan benar-benar menuntut.

 

“Kita nampak setara, Ryouji.”

 

“Diamlah!” Ryouji mula berasa rengsa dengan sikap banyak mulut Tatsuya.

 

“Mengapa, engkau letih lagi atau ingin menyambung esok?” Tatsuya separa menyindir.

 

“Aku.” Ryouji mencungap. “Aku akan menangkapmu hari ini juga! Jika engkau terlepas, lebih ramai pedagang akan menjadi mangsamu.”

 

“Cubalah. Aku ingin lihat sejauh mana engkau mampu bertahan.”

 

Onii-san usah paksa dirimu!”

 

Ryouji tidak mempedulikan nasihat Hisamiko.

 

Mereka sambung bertarung. Ryouji nampak lebih lesu berbanding Tatsuya. Dia terpaksa menanggalkan topengnya bagi memudahkan pernafasan.

 

Kali ini Tatsuya tidak lagi mampu bersabar. Dia mula melakukan serangan membunuh. Dia tidak mahu membazir masa lagi. Ryouji telah memotong sedikit rambutnya, menanggalkan sepatu, dan hanya bercawat. Yukata, haori dan umanori sudah pun ditanggalkan. Mulanya Hisamiko hampir mahu menutup mata kerana malu melihat abangnya yang separa berbogel itu. Namun dia tahan juga, mata perlu ditumpu atau nyawa abangnya melayang. Tatsuya bukan calang-calang petarung. Hisamiko harus bersedia dengan segala kemungkinan. Dia akan melakukan sesuatu jika Tatsuya cuba membunuh abangnya.

 

Aku perlu mengurangkan beratku dengan memotong rambut dan mengurangkan pakaian, getus Ryouji. Tenagaku semakin berkurang. Pakaian menghalang gerakan dilakukan dengan licin di jurus pantas dan tenaga dibazirkan di situ. Tatsuya mampu bertahan lama. Apakah puncanya? Sebentar, perhati dan tumpu. Aku perlu mengambil ruang memerhati. Aku tidak boleh menumpu sambil bertarung, kerana pemerhatianku tika itu sangat kabur. Aku ada nampak seolah-olah Tatsuya berkumat-kamit sesuatu. Tidak, ia seperti kunyahan. Apa yang sedang dimakannya? Aku harus pastikannya.

 

Ryouji bergerak laju, mengelak dari Tatsuya. Dia tahu Tatsuya pasti akan mencarinya. Tatsuya sememangnya mahu membunuhnya.

 

“Apakah engkau sudah keletihan Ryouji? Jika engkau letih kita boleh berehat dahulu seperti sebelumnya. Usah lari seperti tikus. Di mana engkau Ryouji, keluarlah! Aku mahu membunuhmu dalam pertarungan!”

 

Lihatlah, Ryouji membisik sendiri kala berpusing mengelilingi Tatsuya dalam kepantasan jurus sembilan, dari pokok ke pokok. Ryouji mendapati Tatsuya mengeluarkan ketulan-ketulan, seperti hablur ubat dari sakunya dan memasukkan ke dalam mulut. Dia memakan sesuatu. Ubat apakah itu? Apakah ini rahsianya dia mampu bertahan lama di jurus itu, selain dari pedang tersebut?

 

Aku tidak akan bertahan lama pada jurus ini. Aku bakal diasak rusuhan tenaga. Anak mataku sudah mula ke atas ke bawah tanpa kawalan, seperti Kobato dahulu. Aku harus berhenti.

 

Ryouji turun ke tanah dan berpusingan pada tumit kiri, merendahkan kepantasan ke jurus rendah. Tatsuya juga mengikut.

 

“Aku nampaknya tidak boleh menangkapmu.”

 

Onii-san biar aku menangkapnya.”

 

“Usah Hisamiko. Dia bukan lawan kita.” Ada sesuatu dalam pemilikannya yang membantunya bertahan, Hisamiko!

 

Tiba-tiba kelibat berpakaian hitam dan bertopeng kabuki terbang turun dan cuba menghentak pedang pada bahu Tatsuya. Tatsuya terperanjat besar namun masih mampu menahannya, tubuhnya terundur ke belakang. Pabila diamati, kelibat itu ialah seorang wanita. Rambut panjangnya diikat ekor kuda.

 

“Siapakah wanita ini...” Getus Hisamiko, didengari Ryouji.

 

“Aku tak tahu.” Ryouji membalas, dia menyarung kembali segala pakaiannya.

 

Wanita berpakaian hitam seperti ninja dan bertopeng kabuki itu memandang Ryouji seraya melaungkan, “Ergh, engkau pergilah pakai baju! Biar aku tumpaskan lelaki ini!”. Suaranya aneh seperti suara lelaki dewasa.

 

“Siapa engkau?” Soal Ryouji.

 

Soalan Ryouji tidak berjawab. Wanita itu langsung bertarung dengan Tatsuya. Pertarungan berterusan di antara Tatsuya dan wanita itu untuk beberapa ketika.

 

“Siapa engkau perempuan? Mengapa masuk campur urusan kami ha?” Soal Tatsuya kepada wanita itu.

 

“Masuk campur? Aku hanya menjalankan tanggungjawabku menangkap pembunuh bersiri Nakasendo.”

 

“Jadi engkau dari pasukan polis penjilat Maharaja itukah?” Sindir Tatsuya.

 

“Aku tidak bersama mereka.” Jawab wanita itu tenang.

 

“Oh, jadi yoru-no-kaze punya pembantu rahsia rupanya.”

 

“Juga tidak.” Balas gadis berpakaian hitam masih tidak luntur tenangnya.

 

Sementara itu Azuchi terbang menuju ke salah sebatang pokok, mungkin ada sesuatu menarik perhatiannya ke sana. Seperti tupai contohnya. Hari semakin redup. Petang sudah menjelang.

 

“Wahai pemuda, mampukah engkau ke jurus kesepuluh?” Wanita itu menduga.

 

“Oh jadi engkau mampukah?”

 

“Aku tahu rahsiamu, bagaimana engkau yang bukan dari dua puak itu mampu bertahan di jurus sembilan. Kerana pedangmu, dan ...”

 

“Hah, engkau telah memerhatikanku sedari tadi rupanya.”

 

“Ryouji dan Hisamiko tidak akan mampu menewaskanmu kerana kalian setara. Akulah yang akan menewaskanmu.”

 

“Hei perempuan bersuara jantan. Tempat kalian di dapur sahaja. Bolehlah cuba tewaskanku jika engkau mampu, hah hah.”

 

Sou? Aku akan tunjukkan bagaimana rasanya ditewaskan perempuan. Bukankah engkau pernah ditewaskan Chisato itu dahulu? Mahu kenangan lama itu berulang kembali? Mahu rasa dimalukan sekali lagi?”

 

Berderau darah Tatsuya mendengar sindiran yang memalukan itu. Siapakah wanita berpakaian hitam dan bertopeng ini? Getus Tatsuya. Mengapa dia mengenali Chisato, Ryouji dan Hisamiko? Bagaimana dia mengetahui tentang diriku?

 

Tatsuya berang seraya menahan diri dari meneruskan bicara. Dia menumpu pada pertarungan yang semakin sengit.

 

Kala Tatsuya naik ke jurus sembilan, gadis berpakaian hitam mengikut sama. Dia terkejut, kerana gadis itu lebih pantas daripada dirinya. Ia jelas jurus kesepuluh. Hanya pemedang handalan sahaja yang mampu naik ke jurus tersebut.

 

“Wahai pemuda, usah memandang rendah kaum perempuan seperti kami. Tanpa kami, siapa yang menjaga rumah kalian para lelaki? Siapa yang menyediakan makan pakai kalian? Aku bertungkus-lumus menangani lelaki sampah seperti kalian yang memperkosa dan memperdagang anak gadis. Dan aku akan pastikan kalian tunduk denganku.”

 

Wanita berpakaian hitam berjaya menghiris lengan Tatsuya. Semangat Tatsuya mulai menurun selepas diserang dan dilukai jiwa dan raga. Dia semakin dikuasai marah dan rasa tercabar, gerakannya kian kucar-kacir. Dia cuba menyerang namun semakin dia bergerak, semakin banyak bahagian badan dihiris pedang wanita itu. Darah semakin banyak mencemari yukatanya. Dia turun ke jurus rendah bagi mengurangkan tenaga. Wanita itu tidak berlengah lantas menghiris pedangnya memotong sedikit leher Tatsuya.

 

“Bukankah tempat kami di dapur? Maka hirisan kami semestinya bersih seperti menghiris sayur. Beginilah!”

 

Tatsuya tumbang. Hirisan pedang wanita itu turut memotong urat rahang Tatsuya dan menyebabkan mulutnya ternganga, ketulan hablur seperti garam keluar dari mulut dengan lidah terjelir, mata terbeliak. Wajahnya kaku. Dia mati serta-merta. Darah meleleh dari kesan-kesan luka pada seluruh badan.

 

“Aku sudah agak. Dia mengemam garam begini demi menyejukkan badan sekaligus menghindar rusuhan tenaga. Siapa yang mengajarnya? Hah, ini pasti kerja pembelot dalam Kogen sendiri.” Gumam wanita itu. “Aku yang menulis rahsia itu dalam bukuku. Tak sangka ia dibocorkan juga.”

 

**

 

Ano, Cik. Siapa engkau?” Soal Hisamiko.

 

Wanita itu menyeringai di balik topeng musang bercalit tiga jalur merah pada tiap pipi.

 

“Wahai budak mentah, lelaki ini menggunakan pedang aneh. Engkau tidak menyedarinya?”

 

Ryouji menjawab, “Aku tahu. Disebabkan itu dia mampu ke jurus sembilan untuk tempoh yang lama.”

 

“Aku tidak tahu dari mana lelaki ini memperolehinya. Pedang ini tidak dapat dikesan adikmu, yang sepatutnya boleh mengesan besi.” Tambah wanita itu lagi. Suaranya tidak dikenali Ryouji dan Hisamiko kerana alat penukar suara pada topeng musang yang dipakainya boleh mengubah suaranya kepada suara jantan yang garau. Namun pakaian yang dipakainya jelas menampakkan tubuh wanita beserta rambut yang panjang diikat ekor kuda.

 

“Ia ditempa oleh tukang pedang terkenal di Shizen. Mitsuhide itu. Resin aomomiji diperolehi dari pembelot di lembah Shirasaka.” Terang Ryouji.

 

Aneh, getus Ryouji. Perempuan ini mengenali Hisamiko? Oh, ya! Aku fikir aku kenal wanita ini.

 

Ryouji menoleh sejenak ke arah pokok di mana Azuchi bertenggek, dan dia tersenyum. Aku pasti akan identiti wanita ini.

 

Wanita itu diam sejenak selepas mendengar penerangan Ryouji. Barangkali dia tersentak mendengarkan kewujudan pembelot di Shirasaka-no-kogen yang diperkatakan Ryouji, yang membocorkan rahsia resin itu. Maa ii ka. Jika kami punya pengintip, tidak mustahil mereka juga memasang pengintip mereka dalam Kogen, getus wanita itu.

 

“Oh, disebabkan itu engkau tidak akan mampu menewaskannya, kerana kalian dan dia setara. Maaf, aku telah melihat pertarungan kalian sejak tadi sebelum masuk campur. Jya, sayonara.” Wanita itu bersedia melarikan diri.

 

Matte, Cik.” Ryouji cuba menahannya. Wanita itu berhenti tanpa menoleh, namun tangannya masih memegang hulu pedang yang sudah bersarung di pinggangnya.

 

“Engkau Ayame-san bukan?”

 

“Siapa dia?”

 

“Usah berpura-pura, Ayame-san. Siapa lagi yang mampu menewaskan mereka di jurus kesembilan? Dan nasihatku, bersungguhlah menyamar. Engkau membawa Momoyama ke sini juga.”

 

Tidak jauh di atas sebatang pokok matsu, Azuchi dan Momoyama bertenggek bersebelahan. Ryouji menyedari kehadiran Momoyama selepas diberitahu Hisamiko tadi. Dia memerhati ke pokok itu sejenak untuk mengesahkannya.

 

Wanita itu tersentak mendengarkannya, namun dia kekal membisu. Penyamarannya dilondehkan begitu mudah oleh Ryouji.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov