Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 32

Kala dia menyusun kembali buku-buku tersebut, dia menoleh ke rak kiri yang diisi buku-buku berkulit kelabu. Dia perasan ada buku kulit perang yang hanya boleh dilihat dari sudut pandangannya. Dia beranjak ke rak buku kelabu dan menarik keluar buku perang itu yang seolah diletakkan di situ demi menyembunyikannya.

 

Shiori menyelak beberapa halaman, dan menemukan halaman yang dilipat. Dia membuka halaman itu dan mendapati ada contengan. Halaman itu menerangkan tentang tenaga, lebih tepat, bagaimana jurus kedua dilakukan dan bagaimana tenaga dialirkan dari satu tubuh ke tubuh lain. Shiori perasan ada lukisan hodoh dua orang petarung sedang melakukan jurus kedua dan di atas setiap petarung itu ada nama diconteng dengan pensel dan dibaca sebagai Chiho dan Chinami.

 

Atta. (Jumpa pun).” Shiori menyelak laman pertama dan mendapati buku itu ditulis Shirasaka Ayame dan diberi tajuk “Kaminari-No-Kaze: Jurus-Jurus Inovatif”.

 

Aku yakin inilah bukunya. Aku tidak arif perkara-perkara teknikal dan tenaga entah apa yang mereka diskusi panjang lebar dalam buku ini, namun dari penerangan dalam buku ini, ia memungkinkan kejadian aneh seperti yang dilaporkan Chisato.

 

“Aku mahu pinjam buku ini.” Maklum Shiori kepada Kaho.

 

“Oh engkau sudah menemuinya. Tahniah Shiori.”

 

“Aku fikir inilah bukunya.”

 

“Sebentar ya.” Kaho menjenguk ke bawah meja dan mengambil keluar sebuah buku rekod.

 

“Baiklah. Tulis namamu di sini.” Kaho menerangkan serba-serbi apa yang perlu diisi dalam buku rekodnya.

 

“Pulangkan kembali selepas tujuh hari. Jika kau mahu lanjutkan tempoh pinjaman, datang kembali juga selepas tujuh hari.

 

Shiori keluar dari perpustakaan itu ketika hari sudah tengahari. Bersama buku tulisan Ayame itu, Shiori membawa bersama satu rasa misteri. Apa yang disibukkan Kaho di bawah lantai? Setor? Benarkah setor di bawah lantai itu? Aku ingin sekali mengetahui rahsianya, getus Shiori. Kaho nee-san nampak menyembunyikan sesuatu, tanpa menonjolkan perkara itu cuba disembunyikan namun menggunakan alasan lain seperti setor contohnya. Aku faham tabiatnya, kerana kami tinggal bersama sejak kecil di kampung kami, Yarimura yang terletak di Shinagawa. Dia jauh lebih tua dariku. Berbanding adiknya Saori, Kaho lebih misteri. Kata Saori, Kaho sering berdiam di dalam bilik bawah tanah mereka. Kaho juga hanya ada sekali-sekala sahaja di Yarimura kerana dia bersekolah di sekolah Barat di Tokyo. Bila dia pulang ke kampung pasti dia akan menemuiku.

 

Kaho gemar menyorokkan semua jenis tembikar yang dibeli dari pembekal tembikar kecil dari Ezo (Hokkaido). Setiap bulan pada minggu di mana pedagang tembikar itu tiba di satu hentian Nakasendo bernama Fukaya yang terletak berhampiran kampung kami, Kaho pasti akan keluar ke sana. Aku pernah dibawa Kaho melihat ke dalam setor bawah rumahnya. Jarang rumah di Jepun ada setor di bawah tanah. Kaho menunjukkan koleksi tembikar-tembikarnya yang dibuat di utara. Katanya dia mahu menjualnya dan membeli tanah sawah.

 

Apakah dia menyorokkan tembikar di bawah lantai perpustakaan itu pula? Tidak mungkin. Lagi satu, mengapa dia bekerja di sini? Mengapa dia tidak menjual sahaja semua tembikar-tembikar itu dan hidup bersenang-lenang di luar? Dan melihatkan statusnya sebagai orang berada, pasti dia memohon kerja di sini langsung menerusi Kogen, dan bukan direkrut dari ahli rumah perlindungan. Mengapa tidak dia bekerja dengan syarikat bapanya sahaja, bukankah lebih mudah begitu?

 

**

 

Kisah Shiori

 

Musim bunga, 1871

 

Di dalam Wilayah Shinagawa, ada sebuah perkampungan yang terletak berhampiran sebuah hentian Nakasendo yang bernama Fukaya. Kampung itu dinamakan Yari-mura. Shiori tinggal di kampung ini bersama kakak, adik dan ibubapanya yang kedua-duanya terlantar sakit. Jarak dari rumah Shiori ke shukuba Fukaya ialah sejam berjalan kaki. Pekan Kawamoto, iaitu kota terbesar di Wilayah Shinagawa terletak di utara Yari-mura dan berjarak separuh hari berkuda.

 

Shiori seorang gadis bertubuh kecil, berkulit kuning cerah, mata satu kelopak dan sepet, berjerawat sedikit dan bergigi arnab. Kakaknya bernama Sae, dan adiknya bernama Sumire. Shiori adalah mangsa pertama aotsuyu baru dan disuntik setahun lebih awal dari mangsa-mangsa lain, pada musim bunga 1871. Aotsuyu jenis baru ialah jenis yang sama yang disuntik pada Chisato, sedang aotsuyu jenis lama pula telah disuntik pada Azusa.

 

Takatori-san tidak bangun menyemai benih padi lagi musim ini. Dia hanya terbaring di atas futon, kaki kanannya membengkak. Dia langsung tidak boleh bangun, hanya mampu memandang melalui jendela, ke baruh yang mengunjur hingga sejauh-jauh ufuk yang dipagari Banjaran Alp Jepun Utara, salji menyelimuti hampir sebahagian besar puncak-puncak yang ada tiga puluh semuanya itu. Salah satu puncak di situ yang diberi nama Yarigatake, membekalkan air glasier cair menuruni sehingga ke sini dan mengairi sawah padinya. Puncak-puncak lain bersebelahan Yarigatake seperti Hotakadake, Yakedake dan Norikuradake pun turut membekalkan air jernih nan hijau ke lembah-lembah di Jepun Tengah ini.

 

Ada dongeng berkisar dalam kalangan orang-orang tua. Gunung Fuji dahulu bertengkar dengan Gunung Yatsugatake akan siapa yang lebih tinggi. Mereka cuba didamaikan oleh Amitabha, yang meletakkan buluh panjang menghubungkan puncak kedua gunung dan diisi air di dalamnya. Kata Amitabha, jika air dalam buluh itu tertumpah ke puncak satu-satu gunung, maka gunung itulah yang lebih rendah. Selepas air dituang, ternyata air tertumpah ke puncak Fuji. Fuji-san tidak berpuas hati, lantas menendang Yatsugatake. Akibat impak tendangan, Yatsugatake terpecah-belah sehingga membentuk tiga puluh buah puncak lain di Alp Jepun Utara. Dari situ, Yatsugatake yang kini banjaran menjadi lebih rendah dari Fuji, dan Fuji sehingga kini ialah puncak tertinggi di Jepun.

 

Namun dongeng kekal dongeng, getus Takatori sendiri di perbaringan. Kami perlu makan dan membayar cukai kepada Daimyo, tidak, Gabenor Hamada, tidak, kepada Maharaja. Kami tidak hidup untuk berdongeng seperti orang-orang kaya atau kerabat diraja dalam istana itu. Kami perlu membanting tulang untuk hidup. Dongengan perlu kerana kami manusia dan perlu berhibur juga demi menghilangkan penat bekerja, namun itu bukanlah matlamat utama kami.

 

Di waktu begini, semak sudah patut ditebas. Salji sudah sebulan melenyap dari tanah, sakura pun sudah lama menghilang dari dahanan. Hari sudah makin hangat. Rumpai-rumpai di baruh cepat benar tumbuhnya. Baru sebulan cuaca hangat, ia sudah tumbuh meninggi ke paras lutut. Rumpai-rumpai itu harus ditebas segera, pintu air harus dibuka selepas itu, dan baruh harus dibanjirkan. Pada masa yang sama rumpai ditebas, benih padi sudah patut disemai. Nanti bila baruh sudah dibanjirkan dengan air sungai yang menerobos pintu air, barulah anak pokok padi yang telah disemai itu akan dicucuk satu-persatu ke dalam tanah basah. Kemudian hanya perlu menunggu sehingga awal musim luruh, hasilnya yang kuning-kuning keemasan akan keluar jika makhluk perosak seperti burung tiak dan ketam putih dikawal dengan baik. Selepas itu padi harus diketuk ke dalam bekas, dan ditampi untuk dibuang kulit. Batang padi yang sudah ditanggalkan padinya akan dikeringkan sehingga menjadi jerami. Jerami-jerami itu nanti pula akan dijual, atau dijadikan bahan ganti untuk bumbung rumah kami.

 

Shigoto wa ooi ne (banyak kerja), getus Takatori. Namun siapa yang harus melakukan semua itu. Aku dan Youko terlantar, kami tidak mampu bangkit, kaki kami sudah lembik dan berat. Kami tiada anak lelaki. Ketiga-tiga anak perempuan kami, Sae dan Shiori dan Sumire meski pernah membantu kami, namun apakah mereka mampu menyelesaikannya sebelum musim kali ini berakhir? Sempatkah, dengan kudrat tiga dara kami ini? Sempatkah dengan mereka bergilir perlu menjaga kami?

 

Takatori memandang Youko isterinya yang turut terlantar di sebelah. Youko sedang demam. Kala musim beralih suam, dia diserang demam, menambah sengsara. Mungkin sekarang giliran dia, mungkin di kali lain giliranku pula, bisik Takatori lagi. Aku hanya mampu memandang. Mahu menggerakkan kaki pun tidak terdaya. Hanya Sae yang kulihat ke hulur ke hilir menukar air jelung Youko.

 

Sumire masih berumur lapan tahun. Namun dia sudah tahu membantu kakak-kakaknya. Sumire sedang memasak bubur di dapur. Bau bubur yang diisi banyak kombu dan ikan bilis dan juga bau arang yang menjadi bahan bakar hinggap pada deria bau. Sementara itu aku nampak Shiori di baruh berjalan membawa nata. Apa yang dibuatnya di sana?

 

“Sae, Shiori buat apa di baruh?”

 

“Biar aku pergi lihat.” Sae yang sedang menjelung ibunya, meletakkan kain dan air jelung atas lantai, mengangkat punggung dan berjalan ke pintu gelangsar. Dia mencapai capal dan merenung baruh yang menyilaukan dek cahaya mentari pagi yang cerah dan kuning. Tangannya mencekak pinggang, dia tercegat seperti patung, memandang ke kejauhan. Dia membiarkan wajahnya yang cerah kekuningan dipanah sinar mentari yang hangat.

 

Di kejauhan, Shiori sedang menghayun nata, sejenis tajak demi menebas rumpai menderung* yang panjang di baruh. Sae tiba dan mendapati hampir satu relung sudah berjaya ditebas rumpainya. Laju benar Shiori, getus Sae. Badannya kecil saja, namun kekuatannya mengalahkan kerbau.

 

*sejenis rumpai yang tumbuh di sawah padi, digelar rumput menderung atau cyperus

 

“Kau fikir kita boleh sempat habiskan semua relung-relung lain?” Soal Sae separa menyindir.

 

“Kita mesti habiskan. Mengapa nee-chan ke sini? Nee-chan perlu tengokkan otou-san dan okaa-san.”

 

“Sengaja aku mahu keluar sekejap. Lagipun Sumire ada.” Sae beralasan. Dia sebenarnya tidak gemar Shiori bekerja berseorangan. Hari ini pertama kali Shiori bersemangat menebas seorang diri. Dia tidak mahu andai jadi perkara tidak diingini, tiada sesiapa akan membantunya. Di sini para petani lain berjarak agak jauh dari relung mereka.

 

Melihatkan mereka berdua jauh dari rumah, Sae berfikiran ada baiknya dia memanfaatkan saat itu. Ada sesuatu di benak Sae yang harus diluahkan segera dan dia tidak mahu membongkarkannya kepada ibu bapanya sehinggalah di saat akhir nanti.

 

“Shiori, ke sini sebentar.”

 

Nande (mengapa)?” Shiori masih menebas meskipun menyahut panggilan kakaknya, tubuhnya masih di dalam baruh.

 

“Ke sinilah sekejap.” Sae mendesak.

 

Shiori mencampakkan nata ke dalam baruh. Dia memanjat baruh dan ditarik Sae ke atas tebing. Habis comot yukatanya dek percikan-percikan air lumpur. Sae mendekatkan mulutnya ke telinga Shiori dan membisikkan sesuatu.

 

“Mana kakak tahu semua ini? Benarkah semuanya?” Shiori membulatkan mata.

 

“Ya, lepas ni kita tak perlu lagi penat-penat bersawah. Kita akan dapat banyak wang!”

 

“Tapi, nee-chan. Macam mana dengan otou-san dan okaa-san di sini tanpa kita? Osaka itu jauh nee-chan.”

 

“Orang itu kata, dia akan hantar otou-san dan okaa-san terus ke tempat rawat, selepas itu dia bawa kita ke Osaka. Otou-san dan okaa-san akan dijaga dengan baik di tempat rawat itu.”

 

“Wah.”

 

Shiori gembira bukan kepalang, dia memeluk Sae erat, bau lumpur pada yukata Shiori meresap ke hidung Sae, namun dia tidak peduli, kerana dia lebih teruja memberitahu perkara itu kepada Shiori. Sae berkata separa membisik sedang Shiori masih di pelukan, “Selepas ini kita akan kaya, Shiori. Otou-san dan okaa-san akan sembuh dan dapat berjalan seperti biasa.”

 

Tempoh hari, Sae sibuk menyemai benih padi di tapak semaian. Cuaca cerah dan sedikit berangin di awal musim bunga ini. Di kejauhan Banjaran Alp Jepun Utara menambah indah buana dengan citra megah yang berbalam-balam, awan bubar menyerlahkan pasak bumi Yamato itu yang tidak jemu mengalirkan sungai jernih dan bersih kurnia Yang Maha Kuasa, dari glasiernya yang mencair.

 

Kring! Kring! Kedengaran bunyi loceng basikal tua dengan tayar besar di bahagian belakang. Sae menoleh ke kanan.

 

“Saori-chan.” Seru Sae. Seorang gadis sebayanya, bercermin mata besar, rambut tocang tunggal, memakai yukata warna biru sedang menunggang sebuah basikal tua, menghala ke tempat semaian Sae di tepi jalan bendang itu.

 

“Engkau menyemai benih padi?” Soal Saori.

 

“Sudah pastilah. Tiada sesiapa yang akan membantu kami di sini.”

 

“Bagaimana ibubapamu?”

 

“Seperti biasa, terlantar di rumah.”

 

“Bagaimana sakit mereka?”

 

“Hanya datar, tidak semakin teruk, tidak semakin baik. Mungkin sampai bila-bila.” Sugul nada suara Sae.

 

Saori mengangguk diam, menahan diri dari menyoal lanjut kerana tidak mahu Sae bersedih.

 

“Erm, Sae, ada buku-buku baru di perpustakaan kampung. Baru diterjemah dan disalin Kogen dan sudah tiba semalam. Jika kau berkesempatan, sudilah datang ke perpustakaan. Di meja yang sama kita selalu membaca.”

 

Hontou (sungguh)?!” Wajah Sae cerah bak mentari pagi. “Sorokkan untuk aku, Saori!”

 

“Hmm, siapa cepat dia dapat!”

 

“Alah, Saori!”

 

“Yalah, yalah. Demi engkau aku akan sembunyikan. Datang cepat jika kau tak sibuk! Aku rindu membaca denganmu, Sae-chan.”

 

“Macam tu lah kawan.” Sae senyum. Saori membalas senyum Sae, namun senyuman Saori itu diiringi matanya yang merenung Sae penuh simpati. Namun simpati seorang rakan itu terbatas, ada had yang perlu dipatuhi, kerana di balik had itu ada yang perlu lebih diutamakan, kerana manusia yang lemah punya lingkungan terhad yang harus lebih ditumpukan.

 

Saori berlalu selepas meminta diri, menunggang basikalnya yang terhentak-hentak di atas tanah bendang yang tidak rata.

 

Sae berbisik dalam hati. Alangkah baiknya jika aku kaya seperti Saori. Wang bertimbun-timbun dan melimpah ruah, hanya menghabiskan masa di perpustakaan sehari-hari. Bapanya pedagang dan menyumbangkan banyak wang demi membeli buku-buku dan membangunkan perpustakaan di kampung ini, dan dia bekerjasama dengan Kogen. Saat itu, yang aku faham, Kogen ialah badan penterjemah. Aku tidak arif peranan lain Kogen sebagai penyelamat, dan pengintip, yang mana aku hanya menyedarinya kemudian selepas bertemu Ryouji dan Shinji.

 

Namun mana mungkin kami boleh menjadi kaya, dengan Daimyo Hamada dan Maharaja memungut cukai padi yang tinggi dari kami. Sudahlah hasil sedikit, cukai yang tinggi memeras keuntungan kami. Dan kala ini kami ditimpa musibah pula, dengan otou-san dan okaa-san yang sakit tidak sembuh-sembuh, sehingga susut wang simpanan mereka demi perbelanjaan rawatan. Dan sakit itu tidak akan berlaku jika mereka tidak berdegil dan mengikut nasihatku dahulu!

 

Tanpa disedari, Sae menggenggam tanah dalam bekas semaian sehingga tanah-tanah itu bertumpahan ke bawah. Saat itu dia sedar dia mengelamun terlalu jauh dan tenggelam dalam gaung emosi. Dia kembali mengaut tanah-tanah hitam yang bertumpahan kembali ke dalam bekas.

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov