Lewat musim bunga, 1876 (beberapa bulan sebelum Ayame menakluk Yokuma)
Wilayah Izumo, barat Honshu.
Izumo terletak di sebelah timur Wilayah Shimagane, sebuah wilayah di hujung muncung barat pulau besar Honshu. Rata-rata penduduk di wilayah ini bekerja sebagai nelayan pesisir dan laut dalam. Di sinilah lahirnya tamadun Jepun terawal, sebelum mandat dari langit memilih kerajaan Yamato di Nara sebagai kerajaan yang akan menyatukan semua kerajaan-kerajaan kecil di seluruh Honshu. Yamato, dengan mandat dari langit berdasarkan rekod-rekod kuno, akhirnya membentuk kerajaan awal Jepun yang menguasai hampir seluruh Honshu kecuali wilayah utara yang masih dikuasai Emishi. Hanya pada abad ke-9 sahaja barulah wilayah yang dikuasai Emishi berjaya ditakluk.
Gabenor Izumo, Kusanagi Kogorou sedang duduk bersila mencicip teh hijau. Dia mengambil mochi yang liat seperti kuih koci itu menggunakan penyepit, memasukkan ke dalam mulut dan mengunyahnya. Sebaik pecah kantung mochi, keluarlah inti manisan kacang, langsung ia larut dalam lautan liur dan merangsang deria pada lisannya, memberi sedikit nikmat dunia dan melegakan tekanan yang sedang dirasakan di bahunya. Putik-putik sakura berguguran di luar anjung, menambah kesempurnaan warna-warni musim bunga di hari yang cerah ini.
Saisho Takanori, sekutunya dalam kazoku – majlis penasihat diraja yang berpusat di Tokyo – sedang melobi Maharaja agar menghalau Barat. Suara Saisho bergema dan berulang, namun baginda tidak mendengarnya. Suara ahli kazoku lain lebih kuat dan membayangi. Suara-suara pro-Barat itu. Suara-suara korup yang berkongsi untung dagangan dengan syarikat-syarikat Amerika dan Belanda. Dasar-dasar mereka yang disuguh kepada Maharaja itu hanya bertujuan menguntungkan mereka. Sedang Saisho dan dia, tidak mendapat barang sebutir habuk pun. Dasar-dasar mereka itu direncana oleh pedagang Barat, dan mereka aristokrat Jepun yang dibenarkan bersemuka dengan Maharaja, hanyalah boneka pedagang Barat yang menyuguh dasar-dasar itu secara halus kepada Maharaja yang masih mentah itu. Sekurang-kurangnya itulah yang difikirkan Saisho, dan Kusanagi.
Kusanagi memejam mata, cuba mengekang api kemarahan. Barat sudah terlalu berleluasa di sini. Aku berjuang bersama Saisho mengangkat kembali Maharaja ke takhtanya dan menghalau Shogun Tetsugawa kerana kami fikir baginda bakal menghalau Barat keluar dari sini menggunakan kuasanya. Namun baginda mengubah fikiran. Sia-sia perjuangan kami!
Dan Kurimoto itu. Duri dalam daging di Kyushu, api dalam sekam di Kyushu, musuh dalam selimut itu. Gabenor Kimura tak guna itu! Satu-satunya gabenor pro-Barat di Kyushu, dan pro-Kogen juga, dan keduanya masih adalah sekutu kepada baginda Maharaja.
Kimura tak sedar diuntung, sedang engkau hanyalah pendatang dari Hidagawa! Bersusah-payah kami meminta pertolongannya dahulu membantu mengangkat kembali Maharaja. Namun selepas perang dia dan baginda menyebelahi Barat pula. Dan dia masih degil dengan pegangannya bahawa kita patut berbaik dengan Barat. Dan berani dia memberi amaran kepada kami agar tidak memberontak! Katanya, Kogen punya kekuatan mematahkannya. Berani, sungguh berani!
Nantikan kami, Kimura! Selepas Saisho pulang ke Kyushu, kami akan mengepung dan membantai engkau dan samuraimu habis-habisan. Berani engkau menjadi proksi baginda di sini. Sungguh berani. Sudahlah pendatang, kemudian berlagak tuan pula di sini.
Manisan dari mochi terasa pahit dan hambar tatkala darah naik ke muka. Gelora jiwa berontak kian berombak laju mahu memukul pesisir jiwa yang rapuh, melanggar dan menelannya. Tatkala masing-masing menaruh curiga dan mengecam dan mencungkil duri-duri dalam daging secara halus, dibatuapikan bisik-bisik para pengintip masing-masing, tatkala itu sekutu-sekutu mulai membentuk dan menzahirkan wajah-wajahnya seperti bunga-bunga yang mekar menyerlahkan warna sebenarnya di bawah sinar mentari. Di Kyushu, wilayah-wilayah di sekeliling Kurimoto mulai menaruh harapan kepada Saisho dan mencurigai Kimura dan sekutunya. Di barat Honshu di sekitar Izumo, gabenor-gabenor mulai menyatakan sokongan lisan dan bertulis terhadap Kusanagi. Bara-bara api di hujung Honshu ini perlu dikekang seawal mungkin atau ia bakal merebak sehingga ke pulau Ezo seperti api yang marak menelan segalanya.
Meski Kyushu dan Izumo jauh di hujung tamadun, Tokyo dapat menghidu bau berontak itu. Seperti biasa, para pengintip Kogen adalah telinga dan mata baginda di sini. Surat-surat mereka tanpa jemu diutus merpati-merpati dan dikodkan. Lembaran demi lembaran yang dicoretkan para pengintip dihimpunkan menjadi satu tali naratif, sebuah cerita berontak yang membelit Maharaja seperti bengkung obi agar membuat keputusan secepat mungkin. Meski perit memikirkan bahawa musuh itu dahulu adalah sekutunya, baginda harus berkeras. Jika tidak, sia-sialah darah yang telah tumpah dari hujung ke hujung negara ini dahulu ketika Perang Boshin. Sia-sialah usaha mereka dahulu mengembalikan baginda ke Takhta Kekwa, jika penghujungnya adalah kembali ke era shogun.
Darah yang pernah tumpah memerahi bumi Jepun ini adalah beban emosi yang harus baginda pikul di bahunya, seumur hidupnya. Darah masa lalu dan darah yang akan tumpah di masa hadapan yang perlu diimbangkan oleh sebuah neraca bernama kebijaksanaan, yang masih terlalu jauh untuk digapai dek ceteknya pengalaman baginda yang baru menginjak belasan tahun.
Surat dalam sampul di tepi dulang mochi itu masih belum dibuka. Ia tiba di sini sebentar tadi. Melihatkan sampulnya yang berwarna coklat, Kusanagi tahu ia dari sekutunya Saisho. Kandungannya mungkin sama seperti surat-surat yang diterima sebelum ini. Namun ini surat ketiga dalam bulan ini sahaja. Biasanya Saisho akan mengutus surat sekali sebulan. Apakah keadaan di Tokyo sudah tidak lagi mampu dikawal? Apakah tembelang Saisho sudah pecah, dan baginda sudah menghidunya?
Tangan Kusanagi merayap mengambil tantou di pinggang. Dia menghiris tantou itu merentas sampul, menarik surat seraya membuka. Dia memandang satu persatu kanji yang ditulis atas ke bawah dengan dakwat hitam. Saisho memintanya agar memberikan nama-nama wilayah yang masih bersama mereka.
“Muroto.” Seru Kusanagi kepada pembantunya.
“Hai.”
“Bawakan dakwat dan kertas.”
“Baiklah.”
Setakat ini keseluruhan kawasan Chuugoku (wilayah-wilayah di hujung barat Honshu (Shimagane, Izumo, Choshu, Okayama), lebih barat dari kawasan Kansai (Osaka, Kobe, Kyoto)) masih bersamaku, Saisho. Aku cuma bimbangkan engkau, Satsuma-mu di Kyushu. Sepertimana jawapanku dalam surat sebelum ini, orang-orangmu masih gentar digertak Kimura si tua tak guna itu. Manakan tidak, orang-orang Barat di sini semua bersama si tua itu. Mereka mendengar kata-katanya. Orang-orangmu perlu taat kepada Belanda. Jika tidak Belanda tidak akan berdagang lagi di sini. Tanpa Belanda, bagaimana mungkin engkau mendapatkan senjata api?
Saisho, aku perlukan bantuanmu. Demi menghapuskan korupsi dalam kazoku dan mengembalikan kegemilangan samurai, Barat harus dihalau segera dari sini. Dan Kimura perlu dihapuskan segera. Kimura adalah tali barut Kogen!
Saisho membalas kemudiannya.
Kusanagi, biarkan Kimura. Natijahnya lebih besar jika engkau membunuhnya. Aku berseorangan di sini. Tali barut Kogen begitu ramai di Tokyo.
Aku bakal terputus hubungan denganmu tiga bulan. Aku akan dihantar ke Pulau Ogasawara atas arahan baginda. Mohon pertolonganmu menghantar orang-orangmu mengawasi sekolah-sekolahku di Satsuma.
Kusanagi termenung panjang. Dihantar ke pulau, untuk apa? Maharaja yang menghantarnya? Mengapa sekarang?
Kusanagi membalas surat tersebut dengan soalan-soalannya, namun tiada balasan. Surat-suratnya dirampas tentera Maharaja tatkala mereka menyerbu kediaman Saisho di Tokyo. Mereka memaksa anak dan isteri Saisho membuka mulut. Akhirnya mereka mendedahkan surat itu dari Kusanagi. Tentera Maharaja membuat keputusan ke Izumo dan menahan Kusanagi.
Ketika Saisho pulang ke rumahnya tiga bulan kemudian, isterinya melaporkan segala-galanya. Saisho berang, bertemu Maharaja dan kemudian melepaskan jawatannya dalam kazoku serta-merta. Ketika itu musim luruh, 1876. Dia dan keluarganya pulang ke Satsuma di Kyushu sejurus kemudian. Di sana, Saisho memperkasakan latihan ketenteraan di sekolah-sekolah tentera yang dinaunginya sejak sebelum pulang ke sana lagi, terus-menerus menghiraukan amaran dari Kimura dan Kogen. Hubungan mereka berdua kekal dingin.
Belanda pula, senantiasa menyebelahi Kimura kerana kepentingan utamanya ialah Kogen dan Maharaja, sedang pembekalan senjata kepada Saisho itu pula adalah semata-mata kerana keuntungan. Bahkan, Belanda juga membekalkan senjata kepada Maharaja dan Kogen. Belanda buta akan sengketa dalaman; apa yang mampu mencelikkan mereka hanyalah emas dan perak, keuntungan dan kekayaan yang bakal dibawa pulang dan menggembirakan para pelabur di Pelabuhan Amsterdam.
Saisho tiada pilihan dan kekal tidak mengganggu Kimura. Dengan itu, Belanda akan menyumbangkan senjata kepadanya. Itu syarat yang dipersetujui di antara mereka.
Belanda amat memerlukan Kimura. Kimura menyeimbangkan kuasa Saisho di sini. Tanpa Kimura, Belanda akan dikepung orang-orang Saisho. Semua simpanan senjata mereka akan dirampas Saisho, dan tiadalah untung. Dengan Kimuralah, api sengketa akan terus membara. Mata-mata Kogen di sini yang digerakkan oleh Kimura adalah kunci. Dengan berterusan api sengketa bernyala, maka Belanda dapat meraih keuntungan mudah dari pembekalan senjata. Oleh itu, Belanda menghantar pengawal di sekitar rumah Kimura. Sebagai balasan atas jaminan keselamatan mereka, Kogen menghantar para pengintipnya mengawal gerak-geri orang-orang Saisho di sini. Sebarang tindakan mencurigakan oleh orang-orang Saisho akan diajukan kepada Belanda dan Belanda akan mengugut Saisho agar mengambil tindakan terhadap orang-orangnya.
Gabenor Kimura menyampaikan berita mengenai usaha-usaha Saisho kepada Kogen. Dengan pengaruhnya, Kimura sepatutnya menghalang Belanda dari menyumbang senjata kepada Saisho, namun dia tidak melakukannya secara bersungguh. Dia pernah menyatakan pendiriannya kepada Belanda, namun Belanda bertegas bahawa pembekalan senjatanya bebas dari pengaruh politik dan mereka juga membekalkan kepada Kogen dan tentera Maharaja. Kimura hilang hujah dan tidak berdebat lanjut. Sama ada berperang, atau menyerah kepada Saisho yang semakin kuat. Pilih.
Belanda hanya menunggu masa. Sebaik Saisho mulai menjadi ancaman kepada mereka dan keyakinan terhadap Kimura goyah, mereka bersedia untuk melarikan diri.
Perang tidak lagi dapat dielakkan. Sedang Belanda hanya menangguk di air keruh. Di belahan bumi mana pun, di sepanjang sejarah mahupun di masa kini, pendatang asing hanya penangguk. Mereka mengaut untung dari sengketa dalaman, yang selalunya membakar oleh bunga api yang mereka mulakan dan minyakkan berterusan agar terus marak menelan segalanya. Di Asia Tenggara, di Timur Tengah, di Afrika, di Dunia Baru. Ia kisah yang berulang-ulang dan serupa.
Ia memberi iktibar, betapa kesatuan diperlukan demi menghalau kuasa luar. Namun manusia tidak semudah itu belajar dari kisah lalu. Ketamakan terhadap wang dan kuasa, adalah candu yang merasuk jiwa dan membutakan mata sehingga cahaya yang terbit dari naratif silam dan sepatutnya dijadikan iktibar menjadi sirna dari pandangan mata hati.
**
Ayame sudah lama meninggalkan Kogen. Koichi juga maklum Ayame cuba membina pusat kuasanya sendiri di Yokuma, di tempat Hamada pernah membina pusat kuasanya, bersama para pengikutnya dan ahli skuad Sakura yang meletak jawatan.
Segalanya tidak boleh lagi diundur, getus Koichi. Lambat laun penyokongku akan berperang dengan penyokong Ayame. Satu-satunya petarung yang boleh menumpaskan Ayame ialah beradik Okuhida itu. Meski sukar, kerana Ayame satu-satunya anakku, aku harus membunuhnya. Demi empayar Maharaja dan kerajaan baru baginda, aku tidak boleh membiarkan Ayame berwenang. Namun sebelum itu, Saisho mesti diuruskan dahulu. Itu lebih menuntut dan mustahak, bala tenteranya di Kyushu sudah besar. Saisho akan bertemu Maharaja dan baginda mesti dilindungi oleh pemedang yang mahir.
Suatu malam, seperti malam-malam biasa, Ryouji dan Hisamiko menjadikan sebatang pokok sebagai tempat mereka bermalam. Pada malam ini, mereka menunggu kehadiran seorang pengadu.
Pengadu itu tiba dan membuka kerudung. Alangkah terkejutnya Ryouji dan Hisamiko tatkala wajah pengadu itu terpampang di depan mata mereka.
“Koichi-san! Bagaimana engkau tahu kami di sini?”
“Aku tahulah. Selama ini pun aku tahu di mana kalian tinggal.”
“Kami tiada alamat tetap sekarang. Maka engkau telah menghantar orang mengekori kamikah?!”
“Ya, benar.” Jawab Koichi, ringkas dan selamba, sambil memandang tempat lain. “Kami tahu di mana engkau berak dan kencing juga.”
“Jadi kalian turut mengintai Hisamiko?!” Ryouji menggenggam penumbuk.
“Ya.”
Ryouji mulai mahu menumbuk Koichi, namun sebelum dia melakukannya, Koichi sempat membalas membuatkan Ryouji terhenti, “Dengan pengintip wanita.”
Ryouji melonggarkan penumbuknya, seraya mengeluh. Hisamiko yang bulat mata tadi turut sama menghembus nafas lega.
Selepas hatinya sedikit tenang, Ryouji menyoal, “Apa tujuan engkau ke mari Koichi-san?”
“Kalian, masanya sudah tiba untuk kalian kembali ke Kogen.”
“Hah? Selepas engkau menghalau kami dari situ?”
“Ya. Namun keadaan sudah berubah sekarang. Ayame membelotku. Hanya kalian yang boleh menewaskannya.”
“Tidak mungkin. Kami tidak mungkin mampu menewaskannya.”
“Bagaimana engkau boleh fikir begitu?”
“Kami bertemunya tempoh hari. Kami tidak dapat menewaskan pembunuh bersiri Nakasendo namun dia datang membantu kami. Ayame membunuhnya.”
Raut wajah Koichi berubah kelam sebaik mendengar perkataan ‘bunuh’ dari mulut Ryouji.
“Di mana dia sekarang?”
“Bukankah kaukata dia di Yokuma?”
“Aku hanya mengagak. Mungkin dia belum lagi ke sana.”
“Aku tidak tahu, Koichi-san. Dia menghilangkan diri tiba-tiba. Koichi-san, apa yang sebenarnya telah berlaku?”
“Sukar untuk aku jelaskan. Aku tidak pasti mengapa dia berubah. Mungkin inilah ramalan Amaguri. Ia benar telah mula terzahir. Kala ramalan itu mula menampakkan wajahnya, tiada siapa yang mampu menghalangnya.”
“Tidak, aku fikir Ayame masih boleh diubah. Aku akan menasihatinya.”
“Usah, Ryouji. Ini adalah takdir, karmaku. Ia akibat kesilapanku mendidiknya. Aku juga telah cuba menasihatinya namun ia seperti mencurah air ke daun keladi sahaja, sia-sia. Usahlah kaubazir masamu.”
“Aku tidak percaya ketetapan dan ramalan Amaguri. Aku akan cuba berbincang dengannya. Aku akan mencarinya di Yokuma.”
Aku tidak percaya ramalan Amaguri, getus Ryouji. Aku yakin aku mampu mengubah semua ceritera yang dikarangnya. Ayame, hatta Hisamiko sekalipun tidak akan menjadi seperti ramalan itu.
Koichi mengeluh, dan berkata, “Aku tidak menghalang jika engkau ingin mencuba. Namun engkau harus sertaiku dahulu. Ada tugas yang ingin aku serahkan padamu, sebelum engkau menangkap Ayame untukku.”
“Jika engkau masih mahukan kami menewaskan Ayame, lupakan. Bukankah telah aku katakan tadi kami tidak mampu menewaskannya?”
“Bukanlah! Aku perlukan bantuan kalian untuk satu perkara.”
“Apakah ia?”
“Melindungi Maharaja dari Saisho.”
“Saisho... Takanori, maksudmu?”
“Apakah Shinji telah memberitahumu?”
“Adalah sedikit. Sewaktu dia mencuri keluar menemuiku tempoh hari.”
“Benar.” Ujar Koichi.
Aku sendiri boleh menewaskan Saisho, bisik Koichi. Namun aku bimbang, andai hatiku berbolak-balik kerana Ayame. Jujurnya aku masih mempersoalkan kesetiaanku kepada baginda, aku bahkan mungkin sama sahaja dengan Saisho yang hatinya lebih setia dengan tradisi kesamuraian. Ayame tetap ahli keluargaku, meski sejahat manapun dia sekarang, meski dia telah membelot kami dan Maharaja. Aku bimbang aku tidak akan dapat melaksanakan tugasku dengan baik. Aku yakin Hisamiko mampu melakukannya. Hisamiko bukan seperti Ryouji. Dia berlainan.
**
Sejurus mendengar kisah serbuan itu dari isterinya, Saisho bergegas menuju ke istana. Tiada pengawal yang menghalangnya kerana dia adalah salah seorang pembesar dalam kazoku.
“Aku mohon mengadap baginda segera, onegai!” Pinta Saisho kepada pengawal peribadi Maharaja.
Pengawal peribadi menyampaikan pesan sehingga ia tiba ke telinga baginda melalui bisikan pengawal di dalam sebuah dewan, di mana baginda sedang mempengerusikan sesuatu. Baginda hanya mengangguk membenarkan.
Ketika Saisho masuk mengadap, semua ahli kazoku sedang berada di dalam dewan persidangan. Maharaja berada di kepala meja, sedang mempengerusikan satu mesyuarat. Turut berada di situ ialah Shirasaka Koichi, ketua Kogen. Di kerusi-kerusi belakang duduknya para pengiring. Ryouji dan Hisamiko turut berada di situ, di kerusi-kerusi belakang, sebagai pengiring Koichi.
“Ya, Saisho, dipersilakan duduk di tempatmu.”
Saisho tunduk. Tidak dapat ditahan rasa janggal berada di tengah-tengah para aristokrat yang berpakaian seperti pegawai di Prussia, sungguh kebaratan, dengan sut serba hitam dan ber-cravat di leher. Shirasaka Koichi tidak terkecuali, turut berpakaian ala Barat. Saisho sempat menjeling ke arah Koichi, kemudian pantas memaling muka dan mendengus penuh meluat. Dia kenal Koichi, yang mengemudi Kogen selepas kematian bapanya dan membantu menyemarakkan kemasukan pengaruh Barat ke negara ini. Kogen pada fikirannya perlu dihapuskan jika dia ingin mengembalikan dan menghidupkan kembali nilai ketimuran.
Hanya Saisho yang berpakaian kimono lengkap berpedang di pinggang, selain dari para pengiring pembesar-pembesar tersebut yang duduk di kerusi belakang. Para hadirin aristokrat mula berbisik-bisik tatkala melihat pedang itu.
“Saisho, engkau tidak dibenarkan membawa pedang ke dalam dewan, hanya pengiring dibenarkan berbuat demikian. Apakah engkau tidak maklum akan undang-undang baru melarang membawa pedang ke mana-mana?”
“Maaf, aku tidak tahu.”
“Biarkan dia dengan pedangnya.” Maharaja bersuara. Semua hadirin terdiam.
“Namun Heika (Tuanku)...”
“Hanya sekali ini, Minamihara. Hanya sekali ini. Usah kalian bimbang. Saisho-san bekas guruku. Dia pernah berjasa kepadaku dan negara ini.”
Para pembesar aristokrat mula meraba-raba pistol di pinggang. Mereka bimbang sekiranya Saisho tiba-tiba mengamuk dan mencetuskan huru-hara di dalam dewan itu.
“Heika, aku mohon berbicara berdua denganmu.”
“Yoi, Saisho-san. Engkau duduk dahulu di tempatmu.”
Hadirin ketawa kecil mendengarkan permintaan Maharaja kepada Saisho.
Saisho tidak dapat menahan rasa teruja dibenarkan bersemuka terus dengan baginda. Mungkin inilah satu-satunya peluang yang masih ada demi menebus kembali kepercayaan baginda terhadapnya. Segala butir mesyuarat yang dibincangkan tidak berupaya menerjah telinga dan akalnya. Dia terlalu tenggelam dalam memikirkan akan apa yang akan diutarakan dahulu kepada baginda kelak.
Usai mesyuarat, Saisho bertemu Maharaja di bawah susur gajah berbumbung merentas semua taman berkolam dan ditanam bonsai. Daun-daun momiji sudah mulai merah. Daun-daun keyaki mulai kuning. Musim luruh 1876 membuka tirainya.
“Heika, apakah Heika masih mempercayaiku?” Saisho melutut dan menundukkan kepala di hadapan Maharaja.
“Mengapa engkau bertanyakan soalan begitu, Saisho-san?”
“Patik mendengar Heika menghantar tentera menggeledah rumah dan menyoalsiasat keluarga patik sepermergian ke Pulau Ogasawara.”
“Pantas engkau mengetahuinya. Ya. Beta harus bertindak.” Tegas baginda tanpa rasa gentar sedikitpun. Baginda sedar keadaan ketika itu pasti akan tegang dan mungkin melarat menjadi pertengkaran. Baginda telah bersedia. Pengawalnya sedang memerhati.
“Meskipun patik ini kenalan rapatmu? Bekas guru Heika? Dan rakan seperjuangan Heika yang bersama-sama menghalau Shogun Tetsugawa?” Suara Saisho sedikit tegang.
Baginda hanya mendiamkan diri, dan melemparkan renungan ke taman di kiri dan kanan susur gajah, cuba menahan sebak di dada yang merembes. Bukanlah niat di hati mengkhianati sekutunya yang pernah bersusah-payah bersabung nyawa demi memenangi pertempuran dengan tentera shogun. Jasa Saisho terlalu besar. Saisho-lah yang melatihnya berpedang dan taktik bertempur, di mana ketika itu dia masih di awal umur remaja. Saisho seperti bapanya dan gurunya.
“Saisho-san, apa maknanya semua sekolah-sekolahmu di Kyushu itu?” Baginda menggagahkan diri mengutarakan soalan tersebut, meskipun ia bakal merisikokan hubungannya dengan Saisho. Demi negara yang baru dibina ini, baginda harus menguatkan semangatnya. Soalan ini telah menghantui baginda sejak sekian lama sehingga menggerakkan baginda untuk menyerbu rumah Saisho.
Saisho menjegil sedang masih melutut. Hisamiko berada di balik susur gajah di bawah tanpa pengetahuan Saisho. Maharaja telah meminta Koichi menghantar seorang pahlawan yang mampu bertarung pantas. Ryouji terpaksa membenarkan adiknya digunakan baginda, setelah dia didesak sendiri berkali-kali oleh Hisamiko. Entah apa yang merasuk adiknya tidaklah dia ketahui.
Namun Saisho dapat mengesannya dari celah-celah kayu lantai tatkala mata terarah ke situ ketika asyik tunduk. Saisho sedar, jika dia cuba melakukan perkara yang tidak diingini, nyawanya bakal dipertaruhkan. Dia harus berhati-hati. Tidak syak lagi, baginda tidak lagi mempercayainya.
“Patik harus bersedia sekiranya mana-mana kuasa asing lain menyerang wilayah patik. Tuanku maklum bukan akan Inggeris yang membuat kacau di sana? Patik bimbang dengan pedagang baru dari Amerika dan Russia yang mungkin akan turut meniru perbuatan Inggeris.”
“Benar, namun beta fikir pasukan yang engkau semai itu terlalu ramai.” Maharaja melepaskan keluhan kecil sebaik menghabiskan ayat itu. Dia menghela nafas baru sebelum meneruskan kata-kata.
“Saisho-san, beta arahkan engkau serahkan semua senjata api dan pedang kepada beta. Tutup semua sekolah-sekolahmu di Kyushu. Beta berikan masa dua bulan untuk berbuat demikian. Beta akan menghantar pegawai-pegawai beta ke Satsuma dalam masa dua bulan dari sekarang.” Baginda memuntahkan segalanya, biar perit sekalipun, biar janggal mana sekalipun. Baginda raja berkuasa mutlak, rakyatnya menganggap baginda seperti Tuhan, dan mandatnya adalah mandat dari langit seperti yang dipercayai turun-temurun, sejak Yamato mulai membina kerajaan pertama hampir dua alaf lepas di bawah Maharaja Jimmu.
Saisho kelu tatkala mendengar titah perintah itu sendiri, dari mulut baginda. Bagaimana mungkin dia mampu mengingkarinya? Raja mereka, yang mendapat mandat dari langit ini telah mengarahkan penyerahan senjata terang-terangan lagi tanpa berselindung.
Ketika itu Saisho mulai sedar, Maharaja telah berubah. Baginda telah mendewasa. Baginda bukan lagi budak mentah yang boleh dikawal para pembesar. Atau mungkin, masih dikawal oleh para pembesar yang pro-Barat itu? Termasuk Shirasaka Koichi?
Namun Saisho sedar, dia tidak boleh memandang rendah baginda. Mungkin juga, para pembesar pro-Barat itu sedang diperalat baginda tanpa mereka sedari.