Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 1

YORU-NO-KAZE (KAISENJYO: BUKU 2)

ARKA 1 DARIPADA 2: KIKU

** 

Sudah berpuluh petarung Kogen dan Maharaja yang dihantar ke kubu Hamada di Kobe dengan misi memecah masuk dan menangkapnya, gugur tanpa nesan, mayat bergelimpangan di atas jambatan yang merentangi parit mengelilingi kubu itu dengan darah bersimbah-simbah. Ada antara mereka yang tercampak ke dalam parit itu akibat hentaman peluru tentera Hamada yang berkawal di balik tembok. Sebarang usaha merentas jambatan merentangi parit dalam dan digenangi air ala jambatan di Kubu Ishida Mitsunari di Osaka dua ratus tahun lampau itu, dipatahkan pasukan Hamada yang bersenjata api dan bertahan di balik tembok-tembok tinggi kubu.

 

Kala pertempuran di kubu Hamada masuk hari ketiga, Ayame mengadap bapanya Koichi di Shirasaka-no-Kogen.

 

Otou-san, benarkan aku ke Kobe.” pinta Ayame tegas sebaik duduk di hadapan bapanya dalam pejabat kecil. Mereka berdua dipisahkan sebuah meja teh yang besar.

 

“Aku tidak akan benarkan engkau ke sana.”

 

Otou-san aku merayu. Tentera kita sudah ramai terkorban. Apakah engkau memandang enteng nyawa-nyawa mereka, otou-san? Aku yakin engkau pun tahu, hanya aku seorang yang mampu melepasi tembok Hamada itu. Mengapa engkau masih enggan melepaskanku? Mengapa engkau sanggup membazirkan nyawa tentera kita? Bukankah itu taktik samurai yang kita sudah lama singkirkan?”

 

“Ayame, mengapa engkau menghantar pasukanmu ke Yokuma?” Koichi mendadak beralih topik. Perancangan Ayame menghantar ahli Skuad Sakura, iaitu ahli Kogen yang bertugas sebagai nazir Kogen dan kebanyakannya wanita, ke Yokuma membantu Ryouji dan Hisamiko tiga bulan lepas, meruntun rasa ingin tahu Koichi.

 

Ayame terdiam. Bagaimana otou-san mengetahui rancangan sulitku menghantar pasukanku ke Yokuma, tiga bulan lalu? Ah, ini sudah pasti kerja Tatsuhiro penjilatnya itu! Di bawah meja, Ayame memusing-musing jarinya. Aku hanya menghantar mereka untuk membantu Ryouji dan Hisamiko. Mereka memerlukan bantuan tentera tambahan demi memusnahkan pusat kuasa Hamada.

 

“Aku lega engkau tidak ke sana sendiri. Jika engkau ke sana mungkin aku telah memenjarakanmu. Ayame, berehatlah.” Sambung Koichi, sambil mata merenungnya. “Berehatlah dari misi-misimu.”

 

“Mengapa otou-san mahukan aku berehat? Selepas jasa-jasa yang telah aku taburkan untuk Kogen?”

 

“Aku tidak mahu kehilangan engkau.”

 

“Jika engkau benar menyayangiku, mengapa engkau masih melepaskanku menjalankan misi-misi di rumah perlindungan Kogen sebelum ini?”

 

“Aku tidak pernah memintanya! Aku tidak pernah memaksamu ke sana Ayame. Bukankah engkau yang mendesakku agar membenarkan engkau menyertai misi-misi itu? Dan mengapa engkau begitu gemar menyertainya? Kerana berpeluang menjatuhkan hukuman bunuh? Kerana Kod Kogen membenarkan engkau membunuh orang asalkan ia punya sabitan jenayah? Engkau mahu menggunakan Kod Kogen agar engkau boleh menumpahkan darah?” Suara Koichi meninggi.

 

Otou-san! Aku membunuh demi menegakkan undang-undang. Apakah engkau tidak bersetuju dengan Kod Kogen yang sekian lama kita sendiri angkat?”

 

“Ayame, jika engkau masih waras, hentikanlah dan berehatlah. Aku akan menggubal Kod Kogen dan memansuhkan hukuman bunuh. Engkau berhentilah dari menyertai misi-misi itu. Hentikanlah dari permintaanmu menyertai misi menumpaskan Hamada.” Biarkanlah aku mengalihkan misi itu kepada Ryouji dan adiknya. Aku tidak mahu tanganmu Ayame, dikotorkan lagi. Semakin kotor tanganmu, semakin dekat engkau dengan ramalan Amaguri. Biar puak Okuhida yang melakukannya, biar ramalan Amaguri itu jatuh kepada Okuhida Hisamiko!

 

Ayame masih berang dengan keengganan bapanya. Dia berlalu tanpa kata keluar dari pejabat Koichi di Shirasaka-no-Kogen itu. Koichi memandang kelibat Ayame sehingga hilang dari pandangan. Dia menutup kembali pintu gelangsar pejabatnya, dan bersendiri di hadapan meja teh, bersila dan mengelamun.

 

Di luar cahaya mentari musim luruh 1874 cerah menerangi segenap lembah terpencil itu dengan daun-daun kering terbang mengikut arah angin bertiup. Ada sedikit cahaya masuk dari celah-celah dinding kertas menerangi bilik pejabat itu.

 

Aku menyesal kerana kurang bertegas terhadap Ayame dahulu. Semua ini tidak akan dapat diundur lagi. Mengapa aku begitu cuai dahulu dengan membenarkan dia menjadi penjatuh hukuman bunuh, sedangkan aku sendiri sudah menyedari ramalan Amaguri itu? Mengapa aku masih tewas dengan desakannya?

 

Koichi teringat misi pertama yang disertai Ayame, di mana dia membenarkan Ayame menyertainya bagi menguji tahap kepimpinannya. Ayame tidak teragak-agak berbanding pasukannya dalam menjatuhkan hukuman. Dari situ, Koichi membiarkan sahaja dia menyertai misi-misi yang lain di rumah perlindungan Kogen. Namun, semakin lama, Ayame dilihat semakin ketagih. Dia jelas sudah mabuk darah, fikir Koichi. Koichi bimbang, Ayame semakin menghampiri ramalan Amaguri itu.

 

Ayame termenung di tempat dia selalu bersendiri di tepi Gaung Maut. Hotaru datang bersama Nariko menemani Ayame.

 

“Bapaku tidak membenarkan aku ke sana lagi.” Gumam Ayame, merenung kabus yang memenuhi ruang Gaung Maut di hadapan. “Namun aku tidak akan mematuhinya. Kita mesti membantu Ryouji dan Hisamiko menghapuskan Hamada.”

 

“Kami saran engkau ikut sahaja nasihat bapamu, Ayame-san.” Ujar Hotaru.

 

“Namun Hamada... Hamada ialah akar kepada kejahatan yang membelenggu negara ini... kerana dialah, kerana dialah Takahata-san menjadi binatang, dan Shizue-nee chan turut sama mengikut telunjuknya... aku mahu menghapuskan induknya sekarang, ini peluang Hotaru, Nariko. Dan kini dengan bantuan kita itulah, Hamada sudah dihilangkan kuasanya. Menembusi kubunya di Kobe kini amat mudah dengan kaminari-ku.”

 

“Aku mahu ke Kobe. Apakah kalian mahu mengikutku?” Soal Ayame. Keduanya hanya mendiamkan diri.

 

“Nariko, engkau pasti menyokongku bukan? Engkau tahu bukan binatang begini, yang menodaimu...” Ayame memfokus pada Nariko selepas tiada maklumbalas.

 

“Ayame-san! Jaga perasaan sahabatmu!” bentak Hotaru, tatkala Ayame cuba menghidupkan kembali trauma Nariko yang pernah diperkosa sebelum Ayame sendiri menyelamatkannya dengan membunuh pelaku itu. Nariko menunduk sugul, tidak pula beredar kecil hati.

 

“Aku tidak berniat melukakan hati Nariko, Hotaru-san. Aku cuma mengingatkannya. Golongan binatang begini harus dibunuh. Induknya Hamada harus dihapuskan. Selepas itu kita akan musnahkan sindiket karayuki-nya dan sindiket candu dan perdagangan buku-buku lucah itu.”

 

“Aku tidak apa-apa, Hotaru-chan.” Nariko bersuara memberikan kepastian.

 

“Dengar sini Ayame-san. Memang kami juga membenci penjenayah ini dan semua sekongkolnya. Namun bapamu juga ada alasan sendiri. Dia merisaukan engkau. Kami berharap engkau mematuhi arahannya.”

 

Risaukan aku? Ya, mungkin. Mungkin dia tidak mahu ramalan Amaguri itu menjadi kenyataan ke atasku, maka dia menghalangku. Aku faham kasihnya, tidak, sikap mengongkongnya itu kini semakin hari semakin jelas menyerlah sejak insiden di Suruga. Namun mengapa tidak sejak dahulu begitu? Jika dia benar risaukan aku sejak dahulu mengapa dia sering membiarkan aku seorang diri selepas ibu mati? Mengapa Shizue nee-chan yang bertandang melayaniku ketika itu?

 

Dan sekarang aku telah kehilangan Shizue nee-chan kerana Kod Kogen. Kerana melaksanakan Kod Kogen, aku sanggup kehilangannya, dia yang aku anggap kakak sedarahku. Sekarang Kod Kogen adalah segalanya bagiku. Aku mahu bermati-mati menegakkan Kod Kogen agar kematian Shizue-nee chan sentiasa diwajarkan dalam kepalaku, agar kematiannya dapat aku terima dengan berlapang dada! Jika Shizue nee-chan dan suaminya Takahata aku bunuh kerana Kod Kogen maka aku akan menegakkannya sehingga ke titisan darah terakhir. Aku mahu menghapuskan Hamada dengan tanganku sendiri!

 

Nariko datang memeluk Ayame, cuba menyejukkan hati sahabatnya itu. Hotaru hanya memandang. Dalam hati ada sedikit rasa cemburu. Ayame ketua Skuad Sakura, dan Hotaru adalah antara orang kanan yang amat dipercayai selain Nariko dan lain-lain. Hotaru ada sedikit bimbang cita-cita melangkah ke puncak kerjaya bakal dihalang Nariko. Dahulu ada Goryuuin, namun Goryuuin sudah pun meninggalkan Kogen demi mengikut kekasihnya itu. Pemergian Goryuuin telah membuka peluang buat Hotaru mendaki ke puncak kerjayanya.

 

Namun hanya Nariko yang mampu melembutkan hati Ayame. Ada semacam ikatan yang lebih erat, lebih sebati dari sekadar rakan. Mungkin adik dan kakak, di mana Ayame kakaknya. Kerana Ayame-lah yang menyelamatkan Nariko lama dahulu.

 

“Ayame, aku tidak mahu kehilanganmu. Aku dengar dari insiden engkau ketika ke rumah perlindungan Tokui dahulu. Ayame, biarkan Koichi-san menyelesaikannya, ne?” Nariko menepuk belakang sahabatnya itu.

 

“Dengarlah nasihat kami Ayame-san. Tanpa engkau, Skuad Sakura tidak akan dapat diteruskan. Kita memerlukan Skuad Sakura buat masa ini demi membersihkan Kogen. Ada banyak kes penyiasatan di rumah-rumah perlindungan yang masih belum kita langsaikan. Anak-anak yang kita lindungi itu, semua memerlukan kita.” Hotaru menasihati.

 

Datanglah dua orang lelaki yang sentiasa mengiringi Ayame di pangkalan Kogen di Furukawa, bernama Hosokawa Seijurou dan Hosokawa Takajiro.

 

Kimitachi, kono basho wo dou shiteru no (Kalian, bagaimana tahu tentang tempat ini)?” Soal Hotaru agak terkejut dengan kehadiran mereka di pinggir Gaung Maut itu.

 

“Ah, engkau ingat engkau seorang saja ahli Skuad Sakura? Skuad Sakura pun ada ahli lelakilah.” Seloroh Seijurou.

 

Hotaru menjeling sahaja, rasa cemburu berganda. Jauh di ceruk hatinya dia hanya mahu berdua dengan Ayame di sini. Namun dengan adanya Nariko, dan kini dua orang penyibuk, hatinya makin rengsa.

 

“Ayame-san, kami mohon engkau patuhi sahaja arahan bapamu. Ada misi lebih penting di Furukawa.” Seijurou menyampaikan tujuan mereka datang ke sini.

 

Nariko meminggir dari Ayame dan mengadap dua orang kanan Ayame itu. “Berkenaan apa, Hosokawa-san?”

 

Akahana (hidung merah*). Dia bertanggunggjawab membekalkan senjata api kepada kubu Hamada di Kobe. Kita akan mematahkan rantai bekalannya.” Takajiro menambah.

 

*hidung merah ialah gelaran mereka kepada seorang pedagang Belanda bernama Pieter van Nekk.

 

Mata Ayame cerlang tiba-tiba, seolah-olah ditebak satu pencerahan baru.

 

“Tunggu dulu, Ayame-san.” Tegah Takajiro sebaik mengesan keterujaan Ayame dan isyarat seolah dia mahu mengeluarkan arahannya. Dia meneruskan, “Kogen telah diarahkan Koichi agar menyekat para penghantar senjata van Nekk ini. Beliau berpesan agar engkau melibatkan pasukan Skuad Sakura sekali sebagai peninjau dari jauh, dan membantu memanah hendap mereka sekiranya mereka melawan. Namun beliau menghalangmu dari menyertainya.”

 

Ayame melepaskan keluhan mendengarkan kenyataan Takajiro. Mata otou-san ne! (Bapa lagi!)

 

“Hotaru-san, kerahkan nazir Kogen di sekitar Kobe. Kita akan bertahan di jalur San’yo.” Ayame mengarah tiba-tiba kepada Hotaru. Nariko agak terkejut. Jalur San’yo ialah cabang lebuh pedagang dari Osaka menuju ke Kobe terus ke Shimagane dan Izumo, tempat lahir tamadun Jepun.

 

Hotaru senyum seraya tunduk, “Baik, Ayame-san.”

 

Dengan bantuan Ayame, bekalan senjata api Hamada berkurang dan beberapa hari kemudian, ancaman terhadap Ryouji beserta Hisamiko yang terpaksa meredah hujan peluru merentas jambatan yang merentangi parit yang mengelilingi sekitar kubu Hamada berkurang. Van Nekk turut membekalkan bom, namun kerana usaha Ayame menyekat rantai bekalannya, tiada bom berjaya dihantar kepada Hamada.

 

Otou-san, aku akur arahanmu kerana engkau masih mempercayaiku. Engkau menggunakan pasukanku. Dan aku akur kerana nasihat mereka, orang-orang kananku. Andai mereka tidak menegahku, andai engkau tidak memandang pasukanku untuk membantumu, aku akan langsung bertemu Hamada hari ini, getus Ayame dalam hati. Arigatou otou-san, kerana menggunakan pasukanku. Engkau bukan tidak yakin dengan kemahiranku, engkau terlalu membimbangiku.

 

Otou-san, aku akan membantumu!

 

***

 

“Shinsengumi?”

 

“Tidak mungkin. Shinsengumi tidak bertarung seperti itu. Kepantasan mereka luar biasa. Aneh.”

 

“Apa yang kalian mengarut? Shinsengumi sudah terkubur di Hakodate. Apakah kalian sudah lupa?”

 

“Benar. Ketika pertempuran terakhir perang Boshin. Aku yakin mereka bukan Shinsengumi. Kalian tidak pernah mendengar tentang Kogen?”

 

“Kogen? ‘Tanah tinggi’? Apakah itu?”

 

“Kogen itu hanyalah gelaran sebuah pertubuhan. Pertubuhan yang melindungi anak-anak yatim dan anak-anak miskin. Mereka juga memperkenalkan ilmu Barat dan mendapat mandat penuh Maharaja. Mereka salah satu tulang belakang Pembaharuan yang dilakukan Maharaja ketika ini.”

 

“Sugisaki, apa kaitan mereka dengan Kogen?”

 

“Aku fikir mereka ahlinya.”

 

“Petunjuknya?”

 

“Pedang mereka tidak bermata. Selain itu, kemahiran bertarung pantas sebegitu ialah seni kaminari-no-kaze yang digembar-gemburkan. Juga, mereka tidak membunuh sasaran mereka, hanya mencederakan dengan mematahkan tulang mereka. Mereka bertarung pantas seperti hayabusaChigau (bukan), seperti angin. Angin malam yang menderu. Yoru-no-kaze (bayu malam).”

 

“Namun aku hairan. Selalunya Kogen akan menyerang dalam kumpulan. Namun mereka hanya berdua.”

 

“Barangkali pasukan serpihan. Mungkin mengambil keputusan bertindak secara sendirian.”

 

“Atas alasan apa pada fikiranmu?”

 

“Aku tidak tahu. Mungkin berbeza prinsip dengan ketuanya, dan dibuang, atau melarikan diri? Atau mereka bukan dari Kogen tetapi pernah diajar bertarung oleh Kogen?”

 

“Barangkali...”

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov