Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 69

Ryouji dan Hisamiko berjaya menumpang sebuah kereta kuda pengangkut barang dagang di Nakasendo. Mereka terpaksa berhenti dan menyambung menggunakan kereta kuda lain di sepanjang perjalanan, pabila diekori polis. Mereka berhenti di banyak hentian sepanjang Nakasendo untuk mandi dan mendapatkan bekalan makanan.

 

Selepas dua minggu, mereka akhirnya sampai dan bersembunyi buat sementara waktu di lembah Okuhida. Namun penemuan mayat Koichi di sebelah kubur Ayame, yang kini sudah tinggal rangka dalam yukata, mengejutkan mereka. Benarlah Koichi telah meninggal dunia.

 

Mereka mengebumikan rangka dan yukata Koichi itu bersebelahan kubur Ayame.

 

“Aneh onii-san.”

 

“Mengapa?”

 

“Bagaimana mayatnya boleh reput sedangkan lembah ini tiada kehidupan.”

 

“Mungkin serangga dibenarkan memasukinya. Engkau pernah mengejar kunang-kunang di sini, bukan?”

 

“Oh, betul juga.”

 

“Aku ingin melakukan sesuatu di tiang batu itu. Engkau boleh mengambil angin di sana dahulu.” Ryouji menuding ke arah sebatang pokok momiji biru yang penuh dengan kesan torehan. Ia torehan yang sering dilakukan Koichi, demi mengeluarkan resinnya, membekukannya dan menjualnya. Resin itu juga digunakan Shinji dalam ramuan pedangnya.

 

“Baiklah.” Hisamiko tidak berlengah seraya berlalu ke arah pokok itu, berteduh di bawahnya. Ryouji ke tiang batu Okuhida yang berwarna putih itu, dan meletakkan tangannya pada tanda bulat, dan membaca mantera yang pernah diajar Koichi.

 

Serta-merta, sekelilingnya menjadi gelap. Muncul satu titik cahaya putih dan keluarlah suara.

 

“Okuhida Ryouji, engkau menyeruku?”

 

“Ya. Mengapa engkau hanya muncul sebentar tempoh hari? Aku belum sempat bertanyakan engkau.”

 

“Jika aku menawarkan jawapannya pada hari itu, sudah pasti engkau tidak akan datang ke sini.”

 

“Mengapa engkau mahu aku datang ke sini?”

 

“Kerana Koichi. Dia mati di sini. Demi menjawab soalanmu pagi itu, tentang bagaimana dia mati.”

 

Ne, kami-sama. Beritahu aku apa yang telah berlaku pada Hisamiko? Apa maksud dia tentang gelora itu?”

 

“Seperti yang kukatakan, kalian telah mendapat pecahan kuasa hayabusa puak Shirasaka.”

 

“Apakah gelora yang diperkatakan Hisamiko itu berbahaya?”

 

“Ya, jika engkau mahu tahu jawapannya. Hisamiko kini adalah petarung yang tidak akan dikalahkan sesiapa. Kecuali jika seseorang mampu mencipta senjata yang menyekat kepantasannya.”

 

“Seperti bom? Atau jaring?” Ryouji teringat yang Ayame ditewaskan oleh bom, dan Hisamiko pernah dijaring penjenayah dahulu.

 

“Mungkin. Namun dengan latihan yang cukup, mereka boleh mengelak semua itu.”

 

“Jadi...jadi... apakah yang kau boleh cadangkan agar dia tidak menggunakan kuasa itu?”

 

“Halang dia dari bertarung. Cegah dia dari diprovokasi terutama tentera Maharaja yang sedang mengejar kalian. Ryouji, berhati-hati dengan adikmu.”

 

“Apakah ia turut memberi kesan kepadaku?”

 

“Ya. Dengan kalian memegang penuh kuasa hayabusa, engkau tidak akan dimamah rusuhan tenaga lagi pada jurus sembilan kaminari. Sedang Hisamiko dia akan mampu naik ke jurus kesepuluh, seperti Shirasaka Ayame.”

 

“Ryouji, jika engkau tidak mengawal adikmu, kalian adalah dua malapetaka yang paling bahaya kepada Jepun sekarang.”

 

Sejurus selesai perbualan, bintik cahaya itu menghilang, kegelapan menyingsing lalu dan Ryouji kembali ke alam nyata. Dia memandang Hisamiko yang sedang berteduh di bawah pokok momiji biru. Dalam hatinya dia berkata, kami tidak boleh berada di sini lagi. Lari sejauhnya, atau Hisamiko akan membunuh tentera Maharaja dan menambahkan masalah di sini.

 

Mulanya Ryouji berfikiran mahu tinggal di situ bersama Hisamiko dan bersembunyi dari Maharaja untuk selama-lamanya kerana tentera Maharaja tidak boleh memasuki lembah itu, namun melihatkan lembah itu tiada apa-apa kehidupan dan sumber makanan, dia membatalkan hasratnya. Mereka menyusup keluar dan bersembunyi di lembah Amaguri yang terletak berhampiran lembah mereka.

 

Ryouji memandang ke arah tapak di mana pokok gergasi yang menelan Ayame itu pernah berdiri. Ia hanya tinggal tanah yang baru ditumbuhi rumput muda. Ryouji sebak mengenangkan nasib Ayame.

 

Mereka ke bahagian batu-batu putih disusun membulat dan menggunakan teknik yang pernah ditunjukkan Shinji. Portal ke perpustakaan Kogen dibuka, dan mereka menuruni dan menyusur terowong portal itu sehingga ke perpustakaan Kogen.

 

“Kaho-san!” Tegur Hisamiko dengan suara perlahan tapi keras, dari balik celah rak buku. Kaho sedang tekun membaca sebuah buku di mejanya.

 

Kaho menoleh, matanya membulat mendapati Hisamiko ada di situ.

 

“Hisamiko!”

 

“Shhh!” Hisamiko memberi isyarat diam. Kaho menurut.

 

Hisamiko datang menghampiri. Namun Kaho cepat meluahkan fikirannya, “Ne, Miko. Apa kaubuat di sini? Mati engkau kalau orang Maharaja nampak, tahu tak? Seluruh Jepun sedang mencari kalian, tahu?”

 

“Aku perlukan bantuan kau.”

 

“Bantuan? Hisamiko, ini tempat paling akhir kau boleh minta bantuan. Kogen sekarang di bawah Maharaja. Orang baginda ada di mana-mana di sini.”

 

“Namun bantuan itu hanya ada di sini.”

 

“Bantuan apa?”

 

Ryouji menyampuk tiba-tiba dari belakang, “Hubungi Shinji. Kami perlukan bantuannya.”

 

Kaho memandang Ryouji dengan wajah terkejut. Dia menelan liur. “Miko, kau tak cakap abang kau ada sekali.”

 

“Maaf, aku mahu beritahu kemudian tapi dia menyampuk pula.”

 

“Okuhida-sanohisashiburi. Berkenaan permintaanmu, maaf, aku tidak mahu dituduh bersekongkol dengan pelarian Maharaja.”

 

“Sekurang-kurangnya, bolehkah engkau bantu hubungi isterinya?”

 

“Aku tak mahu.”

 

“Kaho, aku harap kau faham. Bukan niat kami membantu pemberontak. Kau tahu bukan kenapa kami disalahfaham pihak Maharaja? Kami terpaksa melepaskan Chisato dan Chiho kerana mereka dianiaya Ayame-san. Mereka dikerah menyertai perang di luar kawalan diri sendiri, namun mereka berjaya melepaskan diri dan lari ke pelabuhan. Kami membantunya mendapatkan kapal. Apakah engkau faham?”

 

Kaho terdiam. Dia mengenali Chisato dan meskipun dia kurang rapat, dia berasa kasihan dengan Chisato yang terlantar sejak memasuki Kogen dan kisah silamnya yang diketahui dari rakan-rakannya. Sekali-sekala dia ada berbual dengan Chisato dan padanya, Chisato seorang yang lemah lembut dan menyayangi adik-adiknya. Bahkan ramai ahli perempuan di Kogen-no-shita menganggap Chisato seperti kakak besar mereka kerana umurnya.

 

“Kaho, kami merayu. Hanya engkau satu-satunya saluran kepada Shinji. Dan hanya perpustakaan ini saluran yang terhubung kepada kami. Kami tahu bahaya berada di sini.”

 

Kaho mengeluh dan mengalah, “Aku cuba. Kalian dari portal itukan?”

 

“Ya, portal Hidagawa, lembah Amaguri.”

 

“Kalian tinggal di sana dahulu. Namun aku nasihatkan kalian usah lama-lama di sini. Aku bimbang andai wakil Maharaja tahu...habis kerjayaku.”

 

Esoknya, Shinji turun ke tingkat bawah dan bertemu Ryouji dan Hisamiko selepas menyusur portal. Dia memeluk Ryouji dan masing-masing bergurau senda seperti biasa sebelum Ryouji menceritakan tujuan sebenarnya ke lembah Amaguri itu.

 

“Agak sukar juga mengatur semua itu. Namun aku akan cuba demi engkau Ryouji.”

 

“Engkau tak takutkah dengan wakil Maharaja?” Soal Ryouji, agak kaget dengan semangat dan keberanian luar biasa Shinji.

 

“Aku tak takut!” Tegas Shinji. “Ini Shinjilah. Usah kau risau, Ryouji, Hisamiko.”

 

Arigatou, Takeuchi-san.” Hisamiko tunduk hormat pada Shinji, Shinji tersipu-sipu malu dan ditampar bahunya oleh Ryouji.

 

“Kau tak payah nak malu-malu dengan adikku!” Sergah Ryouji. Shinji hanya ketawa kecil.

 

“Bukan malu, tapi adikmu makin cantik sekarang.” Balas Shinji memuji gatal. Hisamiko hanya menjeling namun senyumnya dapat dilihat, terhibur barangkali dengan keletah Shinji.

 

“Shinji, barangkali ini pertemuan kita yang terakhir. Paling akhir.” Ryouji menekan kata-katanya. Matanya merenung sahabatnya itu dalam-dalam seolah mahu merakamkan benar-benar wajah Shinji demi memori.

 

“Ah kau ni. Nanti kita akan bertemu lagilah! Bukankah aku akan bertemu kalian lagi pada hari kalian bertolak meninggalkan sini?”

 

“Oh ya. Betullah tu.” Ryouji menepuk dahi.

 

“Apapun Ryouji, boleh aku bercakap sesuatu denganmu?”

 

Ryouji mengisyaratkan kepada Hisamiko yang mereka mahu berbincang sesuatu. Hisamiko beredar jauh sedikit dari mereka.

 

“Aku dengar dari Shiori, engkau menghantar Chisato dan Chiho ke pelabuhan? Disebabkan itu kau dikejar Maharaja?”

 

“Benar.”

 

“Jadi kau betul-betul bertemu Chisato?”

 

“Yalah. Kenapa?”

 

“Erm, Ryouji. Maafkan aku.”

 

“Kenapa kauminta maaf?”

 

“Aku terbocorkan rahsia engkau. Aku telah berjanji takkan beritahu Chisato yang kau masih hidup. Tapi aku fikir aku harus beritahu dia. Dia mendesakku selepas mendapat tahu aku keluar ke Gero bertemu kau.”

 

“Maknanya dia tahu yang aku masih hidup sejak sekian lama. Namun memilih untuk tidak menyambung cintanya selepas tahu aku sudah berkahwin.” Gumam Ryouji.

 

“Ya benar. Maafkan aku terbocorkan rahsiamu Ryouji! Chisato terlalu memaksa. Entah siapa yang membocorkan rahsia aku keluar ke Gero kepadanya!” Ujar Shinji dengan penuh geram.

 

“Ah, tak perlu minta maaflah Shinji. Semua itu sudah pun berlalu.”

 

“Jadi, Ryouji. Bagaimana dengan pertemuan kalian? Apakah berlangsung dengan baik?”

 

“Dia sudah hilang kewarasan. Adiknya Chinami terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Maharaja.”

 

Sou ka... Chinami-chan ka...

 

“Dia menyebut-nyebut namaku. Namun dia tidak berperlakuan normal. Chiho menariknya dariku. Aku fikir ada baiknya begitu. Mudah dia melepaskanku.”

 

“Dan dengan mendiang binimu yang bernama Kiku itu, engkau sudah pulihkah?” Soal Shinji penuh simpati terukir pada wajahnya merenung Ryouji.

 

“Sedikit. Amat sukar melupakan Kiku. Namun selepas semua ini, aku hanya mahu melarikan diri sejauh-jauhnya. Mungkin di Kyushu nanti ada sinar harapan baru.”

 

Mereka beredar tidak lama kemudian. Shinji berpatah balik ke Kogen. Shinji akan menentukan hari sesuai mereka boleh keluar dari lembah Amaguri dan menunggu di Nakasendo, iaitu pabila tentera Maharaja sudah reda sedikit pencarian mereka dan berundur. Dalam tempoh masa sehingga hari itu tiba, Shinji menghantar bekalan makanan kepada Ryouji dan Hisamiko senyap-senyap di waktu malam, dengan bantuan Kaho dan Shiori.

 

Pabila hari yang sesuai tiba, Shinji menggunakan jaringan pengangkut barang Kogen yang dibina selepas bertahun bekerja di Kogen. Pengangkut barang itu disogok dan Ryouji dan Hisamiko hanya perlu menunggu di satu kawasan sebelum mereka menumpangnya. Shinji yang bekerja di makmal Kogen sekian lama, juga bertanggungjawab menjaga inventori barangan mentah maka dia telah membina jaringan dengan para pengangkut barang yang ramai, seperti yang pernah dia rasuahkan baju besi itu dan juga yang pernah ditumpangi sewaktu melawat Ryouji di Gero dahulu.

 

Shinji bertemu mereka berdua buat kali terakhir pada hari mereka dibenarkannya keluar dari lembah Amaguri. Pada hari itu, Shinji menghadiahkan Ryouji seekor burung merpati kecil yang boleh digunakannya untuk menghantar khabar. Shinji juga berjaya memindahkan simpanan Ryouji dan Hisamiko warisan bapa mereka dari akaun mereka ke akaun baru di bawah nama palsu, supaya mereka berdua dapat mengeluarkan wang di Kyushu nanti tanpa dijejaki tentera Maharaja, dan tanpa mereka terkesan dengan pembekuan aset oleh Maharaja.

 

Ryouji dan Hisamiko berjaya melepaskan diri dari pengejaran tentera baginda, dengan menyamar, sehingga mereka sampai ke hujung Honshu, di Shimagane. Di sana mereka meneruskan perjalanan merentas Selat Shimonoseki dengan menaiki feri, sehingga ke pulau Kyushu. Dan di Kyushu, mereka berkejaran menumpang sana menumpang sini sehingga ke Nagasaki. Di Nagasaki, mereka melepaskan merpati yang dibekalkan Shinji, demi menghantar khabar mereka sudah selamat tiba di sana.

 

Shinji yang menerima merpati dan khabar yang diikat pada kakinya, membuka surat itu dan membacanya. Air mata kegembiraan mengalir. Segala usahanya tidak sia-sia. Namun air mata itu juga mengandung seribu satu kesedihan. Shinji yakin dia tidak akan menemui Ryouji lagi, buat selama-lamanya. Buat selama-lamanya.

 

Selamat jalan, sahabatku!

 

**

 

“Seiji, bagaimana dengan mereka?” Soal Maharaja kepada pembantunya.

 

“Oh, Koisou dan Sarumichi selamat memastikan mereka naik ke atas feri, Heika. Berita dari pengintip kita di Shimagane baru sampai tadi dengan merpatinya. Mereka hampir terdedah di jeti feri Shimagane, namun semuanya berjaya dibereskan.”

 

“Ceritakanlah.”

 

“Ryouji dan Hisamiko hampir terdedah ketika sedang membeli tiket feri ke Kyushu. Sarumichi dan Koisou mendapat tahu penjual tiket itu cuba melapor kepada pengintip kazoku, namun Sarumichi dan Koisou sempat menyogoknya agar menutup mulut.”

 

“Baguslah. Dan mereka sudah aturkan seseorang memerhatikan penjual tiket itu?”

 

“Ya, Heika. Seseorang yang amat dipercayai mereka.”

 

“Di mana Sarumichi dan Koisou sekarang?”

 

“Seperti perintah Heika, mereka mengikut beradik Okuhida itu ke Kyushu.”

 

“Bagus. Peringatkan mereka agar tetap pada perintahku: mengelakkan sebarang provokasi antara beradik Okuhida itu dengan tenteraku dan mana-mana pengintip kazoku. Kerana provokasi hanya akan mendedahkan mereka pada umum.”

 

“Perintah dijunjung, Heika.”

 

Maharaja mengusap-usap dagu. Baginda masih tidak sedap hati selagimana Ryouji dan Hisamiko terdedah kepada pengintip kazoku dan tenteranya, sehinggalah mereka berdua benar-benar tersembunyi. Baginda teringat dalam dua bulan Hisamiko dan Ryouji berada di Tokyo sebelum ini, mereka menjalankan tugas melindunginya dengan penuh dedikasi. Ada beberapa insiden cubaan membunuh baginda yang dilakukan bekas pengikut Yoshinobu dan juga Saisho yang menyelinap masuk ke istana, namun dipatahkan dengan mudah oleh duo itu. Ketiadaan beradik Okuhida itu satu kehilangan yang tidak mudah digantikan. Namun baginda perlu menghilangkan mereka dari Tokyo sekarang, kerana desakan kazoku yang mendapat berita mereka membantu pemberontak, dan demi kuasa yang dipegangnya juga demi reputasi baginda. Baginda tidak sanggup mereka dibunuh oleh jasa-jasa yang telah duo itu taburkan. Baginda sedar mereka bukan penderhaka, mereka membantu Chiho dan Chisato kerana mereka itu rakan mereka dan beradik Ogasawara itu telah disihir Ayame. Mereka bukan penderhaka seperti Ayame, getus baginda.

 

Beta akan terpaksa lebih kerap berkurung dalam istana ini, keluh baginda dalam hati. Siapa lagi yang mampu melindungi beta secekap mereka.

 

“Erm, Heika.”

 

“Ada apa?”

 

“Patik ingin melaporkan, Sarumichi dan Koisou ada bertembung dengan ahli Kogen yang membantu Ryouji dan Hisamiko keluar dari Hidagawa sehingga berjaya ke Shimagane.”

 

“Siapa?”

 

“Mereka pengangkut barang Kogen. Kata mereka, mereka diupah Takeuchi Shinji.”

 

“Oh... bawa Takeuchi- itu ke sini.”

 

“Heika, apa yang Heika mahu lakukan ke atasnya?” Soal Seiji cemas.

 

“Engkau fikir beta mahu menghukumnya? Tidak! Beta mahu memberikan ganjaran!”

 

“Oh, oh. Baik, perintah dijunjung, Heika!” Ujar Seiji penuh lega.

 

**

 

Angin samudera bertiup lembut menyejukkan pelipis dan menerbangkan rambut mereka berdua. Ryouji dan Hisamiko menggeletar kesejukan. Berlayar pada musim sejuk memang mencabar. Mereka mengenakan topi kon dan menutup separuh bawah wajah agar tidak dikesan mana-mana pengintip Maharaja di atas feri itu. Di belakang mereka, gunung-ganang San’yo membarisi Shimagane yang kini kian menjauh dan berbalam-balam. Ini kali terakhir mereka dapat melihat pulau tempat mereka dilahirkan, pulau Honshu. Mereka tidak akan dapat kembali lagi, sekurang-kurangnya pada era Maharaja kini. Mungkin jika umur mereka dipanjangkan, mereka akan kembali ke sini, itupun jika Maharaja sekarang mangkat dan puteranya mengampunkan mereka.

 

Ryouji berperang dengan bisikan-bisikan dalam dirinya ketika merenung laut. Dia merasakan segala apa yang diusahakan untuk Hisamiko kini seolah sia-sia, seolah tiada hasil langsung, seolah ketentuan Tuhan itu lebih mendahului. Semakin dia cuba mengelakkannya, semakin Hisamiko dekat dengan ketentuan itu, bahawa dialah Kaisenjyo, bahawa dialah pembunuh yang tidak akan dikalahkan. Maka persoalan yang sama berulang-ulang dalam kepalanya; apa gunanya menjadi manusia yang berakal, andai usaha jadi sia-sia? Andai ketentuan dalam hidup ini sudah pun tertulis, buat apa menabur usaha? Apa maknanya semua ini?

 

Namun kata-kata Inspektor Kasukabe kembali menerpa benak, yang maknanya lebih kurang begitu, yang dia sudah lupa ayat tepatnya.

 

“Dengan belajar dari kegagalan, kita akan lebih faham bagaimana permainan Tuhan. Kita akan lebih bijak menanganinya di masa akan datang.”

 

Ryouji hanya mampu menyimpulkan, bahawa menjadi manusia itu hanyalah dengan berusaha dan menghadapi kegagalan dan berusaha lagi, belajar dari kegagalan itu dan menambahbaik. Dia memandang ke hadapan, daratan yang berbalam-balam kian jelas dengan gunung-ganangnya yang perang di musim sejuk.

 

Onii-san. Lihatlah, itu Kyushu. Kyushu!” Hisamiko bersorak girang.

 

Ryouji hanya mampu tersenyum. Mungkin di Kyushu masih ada harapan. Walau apapun permainan Dia, aku yakin suatu hari nanti aku pasti akan memahaminya, dengan syarat aku berani menghadapi kegagalan demi kegagalan, dan belajar darinya dan menambahbaik.

 

Walau sudah berkali-kali aku ‘dipermainkan’-Nya. Dia senyum lagi, dengan keyakinan dan kekuatan baru terbit di ufuk hati.


**TAMAT**

Previous: Bab 68
Next: Penutup

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov