“Wakasa, ke sini kamu.” Hotaru memanggil salah seorang ahli Skuad Sakura. Wanita muda berusia lapan belas tahun keluar menghampiri Hotaru.
“Gantungkan ini pada ekor kuda Chiho. Lakukannya tanpa pengetahuannya.” Arah Hotaru separa berbisik agar hanya Wakasa yang mendengarnya dengan tangan menghulur sebutir hablur warna oren yang ditebuk dan dibenangi tali yang panjang dan lembut seakan ekor kuda.
“Apakah ini, Hotaru-san?” Soal Wakasa.
“Batu pengesan.”
“Dan mengapa Chiho?”
“Dia akan meninggalkan Skuad Sakura. Jadi Ayame mahu dia benar-benar meninggalkan kita. Momoyama hayabusa-nya itu akan mengesan lokasi Chiho dengan batu ini.” Terang Hotaru.
“Baiklah.” Wakasa berlalu demi melaksanakan arahan Hotaru. Terngiang-ngiang penerangan Ayame berkenaan batu itu sebentar tadi.
“Batu apakah ini Ayame-san?”
“Resin aomomiji yang diolah. Ia dicampurkan formula rahsia sehingga oren jadinya. Pabila ia ditiup angin atau diayun atau bergeser dengan udara sekeliling ia akan menipis sehingga akhirnya menjadi debu. Namun pabila ia pegun, ia kekal begitu tanpa penipisan.”
“Jadi mengapa kauberikan padaku?”
“Pabila ia menipis, bau dibebaskan. Bau itu hanya boleh dikesan Momoyama. Aku mahu jejaki lokasi Chiho dengan kudanya, dan pastikan dia benar-benar meninggalkan Jepun.”
“Bukankah Momoyama boleh sahaja dilepaskan pergi menjejaknya bila-bila masa?”
“Aku tahu, namun bau resin ini boleh menjangkau sehingga beribu batu. Dengan itu Momoyama tidak perlu berada berhampiran mereka. Aku perlukan Momoyama dalam perang ini.”
**
Yoshinobu rungsing. Goro yang merupakan hayabusa yang sekian lama dia pelihara itu tidak keruan. Sekejap terbang ke atas, kemudian ke lengannya, dan pabila dia menerbangkannya, ia kembali tanpa dipinta, kemudian terbang kembali tanpa diarah. Yoshinobu rungsing, kerana Goro adalah mata-mata utamanya dalam perang ini.
Selepas dua hari berperlakuan aneh, Goro hilang terus berhari-hari, tambah merungsingkannya.
Ia bertemu Momoyama, burung Ayame, dan selepas itu barulah ia pulang ke pangkuan Yoshinobu. Selepas ia pulang, ia kembali normal, mengikut setiap arahan Yoshinobu. Namun Yoshinobu bukanlah Ayame mahupun Hisamiko, dia tidak mampu bertutur dengan binatang. Andai dia tahu, sudah pasti akan ditanyanya ke mana Goro menghilang, dan mengapa dia menghilang.
“Momoyama memberitahuku Okuhida Hisamiko ada bersama mereka, dan membantu Chiho mendapatkan kapal ke Ogasawara.” Jelas Ayame.
“Souka...” Hotaru mendengarnya.
“Aku yakin dia dan abangnya sudah direkrut otou-san ke dalam perang ini. Mereka pastinya dalam perjalanan ke sini dan terserempak dengan Chiho. Otou-san tahu, hanya dia dan abangnya sahaja yang mampu menewaskanku. Itupun jika aku boleh ditewaskan.” Ayame dengan sinisnya memberi telahan.
“Nampaknya dalam pasukan Maharaja itu sendiri ada pembelotnya.” Ayame menambah lagi, dengan Hotaru diam mendengar.
“Bagaimana, jika Maharaja tahu yang engkau, Hisamiko, membantu musuhnya, para petarungku Chiho dan Chisato, melarikan diri?” Ayame menyoal seolah Hisamiko berada di hadapannya.
“Engkau sudah pungut buktinya untuk dipertayangkan di depan baginda?” Soal Hotaru.
“Goro membawa pulang bulu pelepah burung Hisamiko, yang berpintal dengan bulu ekor kuda Chiho.”
“Agak rumit. Bukti begitu cukup dan sesuai dengan pemahaman engkau. Maharaja dan yang lainnya tidak akan faham.”
“Yoshinobu ada ramai ornitologis (ornithologist, ahli kaji burung) yang membiakkan berbagai jenis burung untuk tujuan ketenteraan. Mereka pasti akan buktikan dan terangkan bulu pelepah dan bulu kuda itu sehingga boleh dikaitkan dengan Hisamiko dan Chiho.”
**
Azuchi tetap tidak dapat mengesan bau itu ketikamana mereka pegun, dan bilamana mereka berhenti, bau itu turut berhenti, menyebabkan mengesannya sukar. Namun bilamana kuda Chiho bergerak pantas dengan berlari di atas tanah yang sekata, barulah bau itu kuat dan merangsang deria Azuchi, namun menjejakinya ketika ekor kuda Chiho bergerak pantas amatlah sukar, lebih-lebih lagi ekor itu meliang-liuk dan membebaskan bau ke arah yang bercangkaliwang, tambah mengelirukan. Azuchi menyerah kalah sahaja, dan digesa Hisamiko agar melupakan penjejakan bau itu dan menumpu pada memandu arah ke pelabuhan Wakayama, kerana setelah sekian lama berkelana, Hisamiko berfikiran bau itu tidak membahayakan. Azuchi akur, dan mereka selamat sampai di pelabuhan tersebut.
Setibanya mereka di sana, ketikamana kuda Chiho berhenti, Azuchi tahu punca bau itu datang dari arah ekor kuda Chiho, seraya terbang junam cuba mencapainya, namun Goro tiba-tiba datang entah dari mana dan menyambar hablur yang dipasang Wakasa itu dari ekor kuda Chiho. Goro sempat menyambar bulu pelepah Azuchi yang melekat pada bulu ekor kuda Chiho. Kuda Chiho terlompat-lompat dan membahayakan para pengunjung dan orang ramai yang lalu-lalang di pelabuhan itu sebelum berjaya ditenangkan Chiho. Dalam keadaan huru-hara itu Azuchi cuba menyerang Goro namun Goro sudah pun terbang menghilang ke kejauhan.
“Hisamiko, itu Goro!”
“Goro?”
“Hayabusa keluarga Hamada. Kalian sudah dijejaki mereka.”
“Bagaimana mungkin? Sejauh ini mereka menjejakiku?”
“Bau itu datang dari sejenis hablur oren pada ekor Chiho. Goro sudah menyambarnya.”
“Ekor kuda Chiho? Bagaimana barang keluarga Hamada berada di ekor kuda Chiho? Sebentar...bukankah ini maksudnya...”
“Keluarga Hamada, lebih tepat, Hamada Yoshinobu, berpakat dengan Ayame menentang Maharaja di Nakasendo.”
“Oh ya.” Hisamiko menepuk kepala. “Koichi-san ada memberitahu kami.” Aku terlalu menumpu pada misi kami menumpaskan Ayame sehingga terlupa perang itu sebenarnya antara mereka dengan Maharaja.
“Namun apa gunanya menjejakiku?” Soal Hisamiko pula.
Azuchi menggeleng kepala tidak tahu. Hisamiko cuba membuat telahan. Tidak mungkin Yoshinobu. Mungkin Ayame, kerana hanya Ayame yang boleh menyangka aku akan tiba di medan perangnya, kerana hanya aku dan abangku yang setara dan mungkin boleh menewaskannya. Ini bererti hablur oren itu datang darinya jika benar telahanku. Barangkali Ayame-san mahu memastikan Chiho benar-benar melarikan diri. Ayame belum tahu akan kedatanganku ke medan perangnya, maka untuk apa pula dia mengejarku? Tidak mungkin untuk mengejarku. Sedang bau hablur itu, ia boleh menarik mana-mana hayabusa ke sini. Sejauh itu? Tapi mengapa Momoyama tidak ke sini? Mengapa hayabusa keluarga Hamada, Goro, yang datang ke sini? Aku faham. Ayame mungkin telah melatih hayabusa-nya, lagipun hablur itu mungkin daripada makmalnya di Kogen, maka Momoyama kekal bersamanya meski dia ada menghidu baunya juga. Ayame memerlukan burung itu di sisinya demi perangnya itu.
Maka Goro mungkin datang tanpa perancangan keluarga Hamada didorong rasa ingin tahu, getus Hisamiko. Aku masih bebas ke mana-mana di sini, namun aku tidak boleh berlama-lama. Goro mungkin sudah memberitahu Hamada Yoshinobu dan mereka mungkin akan mengejarku juga mengambilkira yang aku mungkin akan menyertai bapa Ayame-san. Mereka mungkin akan memanfaatkan maklumat yang dibawa pulang Goro itu.
Hisamiko lantas mencari kapal yang menghala ke Wakayama, dan menemui seorang pembantu kapal yang pernah dibantunya dahulu ketika menjadi Yoru-no-kaze.
“Oono-san, oboetemasuka?” Hisamiko menegur lelaki bernama Oono itu. Dia menoleh, namun pandangannya keanehan. “Dare desuka?”
Oono merenung Hisamiko dan menganga pabila mendapati dia pernah melihat yukata yang pernah dipakai Hisamiko. Ia serupa, getusnya, seperti yang dipakai yoru-no-kaze. Cuma ini kali pertama aku dapat melihat wajah penuh Hisamiko, yang dahulu memakai topeng ketika menerima upah kerjaku.
“Engkau, yo...”
Hisamiko meletakkan jari di mulut meminta Oono diam, dan dia datang menghampiri. Chisato dan Chiho menunggu di belakang dengan kudanya.
“Ya, aku Yoru-no-kaze.”
“Di mana lagi seorang?”
“Dia tidak dapat datang. Aku mahu menuntut hutangku.”
“Oh...” Baru Oono teringat yang dia belum membayar Hisamiko dan Ryouji. Dia terkenangkan hari di mana dia mahu membayar duo itu, namun Ryouji menolak dan memohon agar budi mereka dibalas di masa akan datang. Hisamiko tidak mengerti maksud Ryouji, namun Ryouji sebenarnya menyimpan hasrat untuk melarikan diri dari Jepun kelak bersama Hisamiko, dengan bantuan Oono. Namun pabila peluang menentang Ayame tiba, dan habuannya lumayan pula, dia mengubah fikiran dan menyerahkan hutang budi Oono itu demi melindungi Chisato.
Hisamiko menerangkan butiran Chiho dan Chisato dan memberitahu mereka ada surat mandat dari Maharaja yang membenarkan mereka ke Ogasawara kerana pertalian darah dengan puak itu. Oono ditayangkan surat itu dan dia berpuashati dengan keasliannya. Namun Hisamiko merahsiakan bahawa Chiho dan Chisato ada terlibat dengan perang yang sedang berlangsung di Nakasendo dan Kogen, dan mereka antara yang diburu tentera Maharaja. Cuma Hisamiko meminta Oono agar merahsiakan identiti mereka dari mana-mana orang luar termasuk pegawai yang menjaga sempadan di pelabuhan itu.
“Aku ada satu kapal yang akan berlayar ke Tamsui di Taiwan dalam pagi esok. Ia akan singgah di Pulau Bonin (Ogasawara, nama lain). Cuma..”
“Cuma apa?”
“Aku pinta sedikit premium. Tak banyak. Upah membawa penumpang yang disyaki.” Oono sengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
“Apa maksudmu ‘disyaki’?”
“Engkau tahu Okuhida-san, yang semua butiran peribadi penumpang kami mesti diisi sendiri oleh mereka. Namun untuk mereka berdua ini, aku setuju memalsukannya pada pengawal sempadan. Jadi premium itu untuk merasuah mereka. Mengerti?” Sengih Oono masih menggarisi bibirnya.
Hisamiko senyum kelat. “Berapa kau mahu?”
“200 yen satu kepala. Jadi 400 yen.”
Hisamiko mengeluarkan empat keping syiling emas berlubang dari uncang wangnya, setiap satu bernilai 100 yen.
“Wah...arigatou.” Oono tunduk berkali-kali, padanya 400 yen itu tinggi nilainya. Hanya 50 yen diperlukan untuk menyogok pegawai sempadan, dan 350 yen masuk ke sakunya.
**
Kuda Chiho sudah diserahkan kepada penghantar kuda. Hisamiko akan menghantar kuda Chiho ke tempat di mana dia dan Ryouji berdiam di Hidagawa untuk sementara selama melaksanakan misi Koichi ke atas Ayame. Hisamiko bercadang menggunakan kuda itu sebagai kuda gantian mereka kelak. Kapal yang membawa Chiho dan Chisato tidak dibenarkan membawa haiwan seperti kuda dan binatang ternak. Jika mereka mahu, maka kapal yang lebih besar dan di luar kawalan Oono diperlukan.
Chiho dan Chisato menaiki kapal dengan sehelai sepinggang. Tiada makanan dibawa. Hisamiko membelikan mereka makanan yang banyak dari penjual di sekitar pelabuhan itu. Hisamiko turut mengeluarkan sedikit dari simpanannya di cawangan bank di situ dan menyerahkan wang itu untuk kegunaan adik beradik itu di Pulau Ogasawara nanti. Hisamiko turut mencukupkan tambang kapal mereka dengan membayar menggunakan cek.
Masa perpisahan pun tiba. Selepas bermalam di satu rumah penginapan berhampiran pelabuhan itu, mereka bangkit awal pagi. Tika matahari baru menjengah dari ufuk, mereka sudah pun di jeti.
Hisamiko memeluk Chiho lama. Dingin pagi dihangatkan tubuh masing-masing. Tangisan kedua-duanya mengisi hening pagi.
“Kita baru sahaja berjumpa, namun sekarang kita sudah akan berpisah selama-lamanya.” Ujar Chiho dalam esak.
“Aku akan melawatmu Chiho.”
“Engkau pasti?”
“Ya.”
“Aku akan menunggu engkau. Kita boleh duduk melepak di tepi lagun seperti dulu...”
“Di sana ada lagunkah?”
“Nee-chan pernah bercerita tentang pulau itu. Dia pernah ke sana sewaktu kecilnya...”
“Souka. Jya, aku pasti akan ke sana dan melepak denganmu di lagun.”
“Sambil mencelup kaki?”
“Sambil mencelup kaki, bersama-sama.”
“Sambil memancing?”
“Ya, sambil memancing.”
“Sambil makan ikan panggang yang nee-chan bakar?”
Hisamiko tidak sanggup meneruskan kata-kata, dia teresak-esak mengenangkan nasib Chisato yang sudah sasau. Chisato sedang duduk memeluk tiang, matanya merenung ke kejauhan, entah apa yang berkisar dalam benaknya tidaklah diketahui. Dia hanya sasau dan sasau.
“Ya.” Andai nee-chan engkau pulih!
Pelukan terlerai jua selepas Oono datang memanggil mereka agar segera masuk ke dalam dek bawah kapal. Mereka berdua adalah penumpang terakhir dan ditempatkan di dek bawah yang gelap dan kecil. Selaku penumpang rahsia, Oono harus ‘menyorokkan’ mereka, sebagai persediaan sekiranya peronda Maharaja atau mana-mana pulau jajahannya menahan mereka demi memeriksa barangan seludup. Ini bermakna, bilik Chiho dan Chisato berada di tengah-tengah setor barangan seludup yang juga dibawa Oono, demi mendapatkan ciri ketersembunyian.
Hisamiko menyeka air mata dan memandang mereka berdua, yang mana Chisato dipegang erat tangannya oleh Chiho, sehingga kelibat mereka tenggelam ditelan gelap dek bawah kapal dan hilang ditelan samudera bersama kapal itu menuju ufuk yang entah apa ada di sana.
Dia menoleh menuju ke arah kudanya, dan bergegas meninggalkan pelabuhan Wakayama. Masihkah panjang nyawa abangnya, atau telah ditewaskan Ayame? Dia bergegas, persoalan itu kekal menghurung kepalanya sepanjang perjalanan ke Hidagawa. Kuda dipecut, detakan kakinya beriringan dengan detak jantung yang meneka-neka nasib abangnya.
Seorang lelaki berlari-lari anak dari jeti selepas kapal yang membawa Oono, Chiho dan Chisato berlepas. Tangannya membimbit satu buku rekod berisi salinan maklumat peribadi para penumpang kapal. Dia menuju ke pejabat sempadan, dan menyerahkan buku rekod itu kepada seorang lelaki yang berpakaian kot labuh seperti orang Amerika, bertali leher dan berkemeja dan berves, dan topi yang birainya lebar menutup wajahnya. Orang bertopi itu membayar sejumlah wang kepada lelaki yang menyerahkan buku rekod itu kepadanya. Buku rekod bertukar tangan.
Lelaki bertopi bergerak ke satu tempat tersorok dan membuka buku rekod itu, menyelak lembaran demi lembaran sehingga matanya tertancap pada dua helai rekod, bertuliskan butiran Chiho dan Chisato. Pada poket yang mengandung helaian-helaian itu ada salinan resit tiket kapal, yang dibayar Hisamiko dalam bentuk cek kerana besarnya nilai tiket itu tidak mewajarkan bayaran tunai, menyebabkan nama Hisamiko tertera dan sekaligus membuktikan Hisamiko membantu Chiho dan Chisato melarikan diri dari Jepun. Cek asal sudah diserahkan pada bank; hanya salinannya disimpan dalam rekod itu sebagai bukti.
Lelaki bertopi menyeringai, dia memetik jari. Jelaslah, getusnya, bahawa petarung Maharaja telah mengkhianati baginda. Aku akan laporkan perkara ini kepada mata-mata kami dalam kazoku. Okuhida Hisamiko dan Okuhida Ryouji, riwayat kalian di sini tidak akan lama.
Dia mengeluarkan kertas dan pen, dan mengira. Apa yang dikiranya ialah harga yang akan diletakkan untuk menjual maklumat itu kepada kazoku. Dia diupah kazoku agar menjejaki mana-mana tentera Ayame atau Yoshinobu yang cuba melarikan diri. Kazoku mendapat arahan dari Maharaja agar melakukannya, selepas perang di Nakasendo menyaksikan ramai tentera Ayame dan Yoshinobu melarikan diri. Maka mengikut pengalaman lepasnya, mengejar individu begini hanya memerlukan dia mencari pegawai sempadan di pelabuhan yang mudah disogok. Antara nama-nama yang diingatnya dari wakil kazoku itu ialah Chiho, Chisato dan Chinami, iaitu pegawai kanan Ayame dari Skuad Sakura. Maka, adalah mudah baginya untuk mengesan nama yang sudah dihafalnya itu sekilas pandang dari buku rekod yang tebal.
Tiada pelabuhan lain yang paling dekat dengan medan tempur mereka, berbanding pelabuhan ini, getus lelaki bertopi dalam hati sambil menghembuskan asap curut. Namun hanya dua orang itu sahaja? Di mana yang lainnya? Masih bersembunyi di dalam Honshu ini? Atau masih setia dengan Ayame dan Yoshinobu? Namun Ayame kudengari ada kuasa sihir, di mana pengikutnya dirasuk kuasa itu, maka kebarangkalian mereka melarikan diri dari Ayame agak tipis. Ah, apalah yang memberi kekuatan kepada dua orang ini sehingga mampu memecahkan kuasa itu.