Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 3

Kiku tinggal bersama ibunya yang uzur. Bapanya seringkali ke luar daerah kerana menguruskan syarikat perdagangan sutera keluarga mereka. Bapanya berulang-alik dari Osaka ke Tokyo memperdagangkan kain sutera yang akan digunakan oleh para pelanggan bagi membuat kimono.

 

Tokizawa Kiku nama penuhnya, getus Ryouji. Agak cantik seperti bunga kekwa bunga diraja itu (‘kiku’ bermaksud kekwa). Matanya cantik dan kulitnya putih mulus. Kiku amat berlainan dari Chisato. Chisato ada lembut dan ada kasarnya. Dia lebih keibuan. Dia akan berubah menjadi harimau betina jika melindungi adik-adiknya, dan Chisato sedikit pendiam, wajahnya manis namun redup, tenang, ayu, keibuan dengan matanya ruyup. Namun Kiku lebih petah berkata-kata. Wajahnya tidak seredup Chisato, matanya menambah seri dan senyumannya penuh ceria seperti rimbunan sakura di musim bunga. Mungkin Kiku tidak pernah melalui apa yang Chisato lalui sebelum dia menyertai rumah perlindungan kami. Ah, mengapa aku kerapkali membanding-bandingkan Kiku dengan Chisato?

 

Ne, Ryouji. Boleh aku bertanyakan sesuatu?”

 

“Tanyalah.”

 

“Mengapa Hisamiko amat pendiam?”

 

Ryouji sedikit tersentak mendengarnya. Dia bertenang menunggu Kiku meneruskan kata-kata.

 

“Aku cuba membuka perbualan. Sepatah yang kutanya, sepatah yang dijawabnya. Kemudian dia mengelamun jauh, seperti orang angau. Selagimana aku tidak bertanya, dia akan kekal begitu.”

 

“Dia memang begitu.” Lancar Ryouji berbohong.

 

“Ryouji, remaja seumurnya tidak akan begitu tanpa ada penyebab yang mendahului.”

 

Ryouji membisu, masih membelai-belai Kuneko.

 

Kiku tidak bertanya lanjut. Mungkin Ryouji tidak senang dengan pertanyaannya. Lantas dia hanya meneruskan menyelesaikan kerja-kerjanya di dapur, membiarkan persoalan demi persoalan tenggelam dalam kejanggalan.

 

Sambil membelai Kuneko, Ryouji berbisik dalam hati. Aku ingin sekali meluahkan kepada seseorang seperti Kiku. Hanya Kiku rakan yang tinggal yang aku senang berbicara. Shinji masih kekal di Kogen. Tsuneki dan Kobato sudah pun tiada, mereka telah pergi buat selama-lamanya. Chisato pula terpaksa aku lepaskan di Kogen demi keselamatannya dan adik kembarnya. Cinta pertama itu aku terpaksa lepaskan dahulu di sana. Chisato maafkan aku yang pengecut ini.

 

Namun aku tidak tahu bagaimana memulakan ceritaku pada Kiku. Aku tidak sanggup membiarkan Kiku mendengar kisah-kisah pahit kami. Dia terlalu murni. Dia seolah-olah tidak pernah disentuh nestapa dan pancaroba dunia di luar. Aku mahu dia kekal begitu, dengan wajah cerianya itu, dengan senyuman manisnya itu. Aku tidak mahu ia luntur dari wajahnya sepertimana yang berlaku pada Chisato dan Hisamiko.

 

Kiku, kisah-kisahku dipenuhi kematian demi kematian. Pengkhianatan demi pengkhianatan. Dari pengkhianatan seorang sahabat, dari pengkhianatan pelindung-pelindung anak yatim kami, kepada pengkhianatan seorang sami yang merupakan rakan baik Koichi sendiri, yang berakhir dengan kebakaran besar di Narai-juku. Dunia di luar sungguh merengsakan, memenatkan, menghampakan! Dan sehingga kini aku belum pasti apakah ia telah benar-benar berakhir, dengan aku memilih untuk bersembunyi di sini, dengan menurut tawaran dan nasihat Koichi selepas berakhirnya misi menewaskan Hamada. Aku yakin, aku masih sedang diburu. Sekurang-kurangnya oleh mereka yang risaukan kami yang mengancam kedudukan dan kuasa mereka. Seperti anak Hamada, Daimyo Yoshinobu.

 

“Boleh aku datang ke rumahmu, petang ini Ryouji?”

 

“Jemputlah.” Balas Ryouji, pendek. Kali ini dia turut membelai Igirisu yang menggesel-gesel badan di kakinya.

 

Kuneko melihat Igirisu dan naik dengki. Kuneko mengiau kuat dan cuba menerkam Igirisu. Igirisu meloncat mengundur sehingga ke belakang Ryouji. Kuneko mengambil tempat dan menggesel-gesel badannya di kaki Ryouji. Igirisu mengalah dan menjauhi mereka. Ryouji hanya tersenyum melihat gelagat dua ekor kucing itu, sedikit sebanyak meredakan gundah-gulana yang menguasai benaknya.

 

**

 

Selesai menguruskan ibunya, Kiku berangkat ke rumah Ryouji pada waktu petang. Rumah Ryouji hanya berjarak beberapa ratus meter dari rumahnya. Dia membawa bersama bekas-bekas berisi makanan dan minuman.

 

Hisamiko sedang duduk-duduk di atas dahan pokok keyaki yang rendang dan sudah kuning daunnya sambil merenung jauh ke ufuk merentas bendang yang luas hitam kerana habis semua pokok padi telah dituai di hadapannya, ditemani Azuchi yang duduk di atas pehanya. Dia mengusap-usap jemala burung hayabusa kesayangannya itu.

 

“Hisamiko, aku nak makan senbei (keropok beras).” Azuchi meminta dari Hisamiko tiba-tiba.

 

“Mana mungkin aku dapat mencarinya di sini Azuchi.”

 

“Aku mahu makan di Nara.”

 

“Nara?”

 

“Dahulu, lima ratus tahun lepas, ketika aku menjadi pengiring pemedang handal dari keturunan Okuhida yang tinggal di Nara, dia sering memberikan aku senbei. Sekarang sudah lima ratus tahun aku tidak memakannya.”

 

“Siapakah dia?”

 

“Seorang lelaki bernama Okuhida Hanzo. Moyang kesebelas dari sebelah bapamu.”

 

“Okuhida Hanzo? Mengapa namanya tidak pernah aku dengar?”

 

“Dia hidup di zaman Jepun sedang bergolak, berperang sesama sendiri. Tiada siapapun yang menjadi jaguh. Semua mati sia-sia, yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang. Tiada pemenang, maka tiadalah sejarah yang ditulis. Kerana sejarah hanya ditulis oleh pemenang.”

 

“Hmm. Ne Azuchi, kita pergi ke Nara.”

 

“Engkau tahu bagaimana ke sana?” Soal Azuchi teruja.

 

“Aku boleh berkuda ke sana, dan engkau tunjukkan jalan.”

 

“Bagaimana mungkin? Aku pun tak tahu di mana Nara.”

 

“Apa maksudmu tak tahu? Bukankah kau pernah tinggal di sana?”

 

“Benar. Namun itu lima ratus tahun lepas. Aku sudah lupa.”

 

“Di mana Okuhida Hanzo dikebumikan?”

 

“Jasadnya dibuang ke dalam laut oleh musuhnya. Maka bahan di belakang hidungnya ikut lesap sekali.”

 

“Jika begitu sukarlah engkau menjejaki di mana Nara. Aku fikir jika dia dikebumikan di sana, dapatlah engkau menjejaki menggunakan bahan itu. Namun tidak mengapa.” Hisamiko meloncat turun menuju ke dalam rumah. Dia kembali ke bawah pokok keyaki membawa segulung kertas.

 

“Azuchi, turun ke sini!”

 

“Ada apa?” Azuchi terbang turun.

 

Hisamiko mencangkung, seraya membentangkan sehelai peta Jepun yang besar di atas tanah. Dia menyendal setiap empat bucu dengan batu tatkala angin kuat bertiup cuba menerbangkannya.

 

“Engkau tahu kita di mana?” Soal Azuchi.

 

“Aku fikir aku boleh mengagak. Aku dapat rasakan seperti satu medan daya halimunan dikeluarkan bumi dari utara ke selatan.” Maklum Hisamiko.

 

“Aku pun.” Tambah Azuchi pada kata-kata Hisamiko. Azuchi menyambung, “Ia menganjur dari utara ke selatan. Burung-burung bermusim mengikut medan daya ini ketika berhijrah ke selatan tatkala musim sejuk menyelubungi utara.”

 

“Jadi aku sama dengan burung-burung?”

 

“Aku fikir engkau sama denganku. Aku ada deria sama di belakang paruhku. Aku mengesan lokasimu menggunakan deria itu.”

 

“Apa-apalah. Azuchi, kita berada di sini.” Hisamiko menunjuk ke arah satu tempat di atas peta, iaitu pekan Gero.

 

“Sini utara.” Hisamiko menunjuk pula anak panah utara di atas peta. “Aku akan pusingkan peta ini.” Hisamiko memusingkan peta agar utaranya selari dengan utara sebenar. Hisamiko dapat mengagak arah utara sebenar menggunakan derianya yang mirip kompas itu.

 

“Hmm...” Hisamiko mendapat pencerahan. “Ini bererti kita perlu menghala ke arah barat laut sahaja.”

 

“Bunyinya mudah. Namun engkau berkuda, Hisamiko, bukan terbang sepertiku.”

 

“Bukankah engkau yang mahu senbei sangat? Kita akan ikut jalan Nakasendo.”

 

“Engkau sanggupkah? Bahaya meredah Nakasendo berseorangan, lagi pula engkau perempuan.”

 

“Aku tak takut.”

 

“Aku cuma bimbang, andai kejadian dulu berulang lagi. Di Nambashi dulu...”

 

“Ah, itu dulu. Azuchi, aku mahu keluar lagipun. Bosanlah terperap di sini saja.”

 

“Apakah Ryouji akan membenarkan engkau keluar?”

 

“Aku akan memujuknya, Usah kau risau.”

 

Hisamiko ternampak Kiku berjalan memasuki perkarangan rumah. Dia baru sahaja selesai kerja memintal sutera di rumahnya. Pastinya mahu melawat Ryouji, fikir Hisamiko.

 

“Kiku nee-chan!” Pantas dia meluru ke arah Kiku. Azuchi turut sama terbang dan hingga di bahu Hisamiko. Matanya berubah terang.

 

“Oh, Miko-chan.” Kiku senyum lebar. Dia nampak Hisamiko mengerling ke bekas yang dibawanya. Pantas dia menyorokkan ke belakang badan.

 

Nee-chan... cari onii-san?”

 

“Aku mencari kalian.” Jawab Kiku sambil tersenyum.

 

Kiku melabuhkan punggung di anjung rumah dan meletakkan bekasnya. “Duduklah, Miko-chan.”

 

Azuchi terbang kembali ke atas pokok keyaki dan memerhatikan mereka dari sana. Hisamiko duduk di sebelah Kiku, dan Kiku membuka bekas yang dibawa, dan meletakkan bekas itu satu-persatu ke atas anjung yang sudah dilapik dengan kain, ia berisi pelbagai jenis makanan.

 

Mereka berbual-bual di anjung, sambil makan-makan dan menghirup udara petang. Ryouji masih di bendang, meronda-ronda cuba mengesan bibit-bibit kemunculan makhluk perosak dan memasang perangkap.

 

 

**

Seorang lelaki gemuk bersarungkan kimono mahal berwarna hijau, berdiri mengadap taman bonsai yang dipenuhi pohon momiji. Tangannya memegang curut. Disedutnya asap curut itu, memejam mata menikmatinya, kemudian melepaskan. Renungannya dilempar jauh-sejauhnya merentas barisan pohon momiji yang merah menyala, sehingga ke ufuk.

 

Otou-san. Sudah sebulan lebih engkau mati. Aku harus berterimakasih denganmu. Wilayahmu telah digabungkan bersama wilayahku dan aku kini gabenornya.

 

Lelaki gemuk itu tersengih, namun dimatikan sebaik perit tiba-tiba menusuk benaknya.

 

Sejak bapanya Hamada Yoshitsugu meninggal dunia, dia belajar menghisap curut dari pedagang Belanda yang bernama Pieter van Nekk itu. Curut adalah teman barunya, curut adalah ketagihan barunya. Curut menaikkan rasa gembira dan euphoria, menghindar dirinya dari cubaan membunuh diri. Tidak langsung dia berfikiran kehilangan Hamada adalah sebegitu perit, dan sebegitu sunyi. Sewaktu bapanya masih bernyawa, dia begitu kepingin melihatnya pergi, demi mendapatkan Wilayah Gizen. Bahkan dia menghantar orang mengejar bapanya yang lari ke Kobe selepas kuasa halimunannya dihilangkan Tsuneki dan Okuhida bersaudara.

 

Namun selepas semua ini berlaku, realitinya amatlah berlainan. Dia mendapat Gizen, namun dia juga mendapat keperitan. Juga, dapat dia mengesan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan samurainya, terutama yang setia kepada Yoshitsugu. Kesetiaan mereka diperlukan, namun keterlaluan setia kepada Yoshitsugu itu adalah racun. Racun yang boleh melarat membentuk barah dalam daging. Mereka sepatutnya setia dengan semua ahli keluarga Hamada, bukan hanya dengan Yoshitsugu!

 

Lelaki gemuk itu, Daimyo Yoshinobu atau sekarang lebih tepat digelar Gabenor Yoshinobu, menyedut lagi curut. Disebabkan itu, dia mengharap kepada seorang lagi bekas samurainya. Bekas samurai itu ditarik kembali agar berkhidmat dengannya. Ditawarkan gaji yang lumayan. Seperti pucuk dicita ulam mendatang, bekas samurai itu bersetuju menerima tawarannya hanya selepas sekali surat dihantar. Barangkali, kehidupan baru di Kyushu yang dikecapi tidak seindah yang dibayangkannya.

 

Seorang lelaki dengan pedang bersarung, tiba di perkarangan rumah.

 

“Saitou.”

 

“Yoshinobu-sama.” Saitou menundukkan badan tanda hormat.

 

“Terima kasih kerana sudi kembali berkhidmat dengan keluargaku.”

 

Doumo...” Saitou menjawab perlahan, mata merenung tanah.

 

“Bagaimana urusan perpindahanmu dari Kyushu?”

 

“Semua lancar. Barang-barangku akan tiba dalam masa beberapa hari lagi.”

 

“Isteri dan anakmu?”

 

“Isteri dan anakku akan tiba lusa jika tiada aral melintang. Mereka masih sibuk mengemas.”

 

“Bagus, lega aku mendengarnya. Saitou, dengar aku baik-baik. Ini ialah tugas pertamamu di sini.”

 

“Ya, Yoshinobu-sama. Apa tugas itu?”

 

“Jejaki Okuhida Ryouji dan adiknya Hisamiko.”

 

Saitou diam seketika, berfikir. Anak Mitsuo? Apa lagi yang keluarga Hamada mahukan dari mereka? Paling akhir aku bertemu mereka ialah di kuil Furukawa itu sejurus selepas bapa mereka dibunuh keluarga ini. Kemudian Takasaki datang dan menghalangku.

 

“Tuan, aku pasti akan menunaikan permintaanmu. Namun boleh kutahu apakah tujuanmu?”

 

“Merekalah yang bersekongkol dengan Kogen membunuh bapaku di Kobe. Ya, aku beroleh manfaat dari kematiannya. Namun aku bimbang kewujudan mereka bakal mengancam kedudukanku kelak. Juga perniagaan kita.”

 

“Apakah engkau mahu mereka dibunuh, atau dipenjarakan di dalam kurungan kita di sini?”

 

“Aku mahu mereka ditangkap hidup-hidup. Jika mereka mati atas kesilapanmu, engkau harus melakukan seppuku. Mengerti?!”

 

Menggeletar lutut Saitou tatkala mendengar perkataan ‘keramat’ yang sekian lama tidak didengarinya itu, iaitu ‘seppuku’. Dia menyangka dengan kembali bekerja bersama keluarga Hamada, seppuku tidak lagi diamalkan. Tambahan pula sistem samurai telah dihapuskan Maharaja. 

 

Aku datang sini untuk hidup. Di Kyushu pekerjaanku tidak bergaji lumayan. Aku datang ke sini bukan untuk mati. Bisik Saitou dalam hati.

 

“Baik Tuan Yoshinobu-sama.” Saitou menyahut arahan Yoshinobu, namun di dalam hatinya berbolak-balik. Apapun, dia akan cuba melaksanakan sebaik mungkin arahan tersebut, iaitu memastikan kedua-dua anak Okuhida Mitsuo bekas rakan sekerjanya yang pernah bersama-sama berkhidmat kepada keluarga Hamada itu ditangkap hidup-hidup.

 

Saitou Hajime ialah bekas samurai Hamada. Sewaktu peristiwa bapa Ryouji, Okuhida Mitsuo dibunuh, dia telah dihantar Daimyo Hamada Yoshitsugu bagi menangkap Ryouji dan adiknya. Namun Saitou telah membunuh penjaga sebuah kuil Shinto berhampiran Furukawa tatkala dia mendapati penjaga kuil itu menipu lokasi Ryouji dan Hisamiko. Peristiwa itu masih segar di ingatan Ryouji kerana ia berlaku benar-benar di hadapan matanya. Ryouji masih menyimpan tekad suatu hari nanti dia akan dapat menjejaki Saitou. Pada Ryouji, ia salah satu dari peristiwa memeritkan yang mana sehingga sekarang ia belum benar-benar diselesaikan. Ia seperti selumbar yang tertanam ke dalam daging di kaki dan amat sukar dikeluarkan dan pabila engkau melangkah mengharung kehidupan, sakit dari selumbar itu menusuk cuba mengingatkan engkau bahawa ada hutang yang belum dilangsaikan, ada bisikan dari roh si mati bahawa menjadi tanggungjawabmu sebagai saksi membela mereka yang dimangsakan.

 

Saitou gagal menangkap Ryouji dan Hisamiko pada ketika itu kerana campurtangan Takasaki, dan tidak lama selepas itu Saitou berpindah ke Kyushu meninggalkan Hamada tatkala Maharaja menarik balik semua pemilikan tanah di seluruh Jepun dan menghapuskan sistem samurai. Disebabkan itu Saitou sukar dijejaki.

 

Sekarang dia telah kembali ke pulau Honshu ini. Dan Ryouji juga masih berada di sini. Mungkin pertemuan antara mereka bakal menjadi kenyataan. Mungkin, pertemuan ini adalah pertemuan paling dinanti-nantikan mereka berdua. Masing-masing punya objektifnya. Saitou akan bertemu demi menangkapnya dan membawanya kepada Yoshinobu. Ryouji akan bertemu demi menangkapnya dan membawanya ke Kogen untuk dibicarakan.

 

Sekarang, Takasaki sudahpun tiada. Ryouji dan Hisamiko telah mendapat anugerah kuasa tambahan dari hayabusa-no-kami. Apakah keputusan bakal berpihak kepada Ryouji, atau Saitou?

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov