Koichi menyampaikan ucapan di Shirasaka-no-kogen kepada semua masyarakat di situ bahawa mereka kini di ambang perang. Tentera Saisho di Kyushu akan berperang dengan tentera Maharaja di sana. Sementara di Hidagawa, Koichi mendapat khabar bahawa Yoshinobu akan menyerang Shirasaka-no-Kogen. Koichi tidak tahu Ayame sedang berpakat dengan Yoshinobu, namun dia sudah mengesyakinya berdasarkan maklumat dari Tatsuhiro dan para pengintip lain.
“Wahai sekalian warga Shirasaka-no-Kogen dan Kogen-no-Shita,
Aku Shirasaka Koichi, ketua Kogen yang merupakan proksi Maharaja dan sekutunya, memanggil kalian berhimpun di sini demi memaklumkan satu perkara.
Aku berharap kalian dapat menerima berita ini dengan hati yang terbuka. Aku amat berharap kalian dapat bersama Kogen sehingga akhir hayat kalian.”
Koichi menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya. Dia fikir dia harus benar-benar bersedia melafazkan khabar hitam ini.
“Kalian, kita sedang berada di ambang perang.”
Ada bisik-bisik dan keluhan kedengaran dari khalayak sebaik Koichi mengumumkan perkara itu.
Koichi meneruskan ucapannya tanpa mempedulikan reaksi dari khalayak yang sememangnya sudah dijangka.
“Saisho Takanori, bekas sekutu baginda Maharaja ketika Perang Boshin dan merupakan samurai yang diangkat menjadi salah seorang ahli kazoku, telah secara rasminya berpaling tadah dan meninggalkan Tokyo. Beliau sedang merancang untuk menyerang Honshu dua bulan dari sekarang. Saisho-san kini sedang menyusun bala tenteranya di Kyushu.”
Salah seorang lelaki dari khalayak mengangkat tangan.
“Ya, Fukuda-san.” Koichi mempersilakan lelaki itu mengemukakan persoalannya.
“Apakah kita semua akan terlibat dalam pertempuran?”
“Sudah pasti.” Jawab Koichi, diikuti suara-suara rungutan dari khalayak.
Koichi menambah, sekali lagi tanpa mempedulikan bunyi-bunyi itu, “Kogen dan pasukan Maharaja tidak akan menunggu di sini. Kita merancang akan menyerang pasukan Saisho di Kyushu, sebelum mereka cecah bumi Honshu ini.”
“Sementara itu sebahagian dari kita akan turut berperang di sini di tengah-tengah gunung di Hidagawa namun akan berhadapan sekutu Saisho iaitu Hamada Yoshinobu dan Shirasaka Ayame.”
Koichi menahan sebak dan sendu dari terdedah sebaik menyebut nama Ayame. Wajahnya tenang yang dipaksa-paksa.
Hingar dan bisik-bisik kedengaran dari khalayak sebaik nama Ayame disebut. Kali ini lebih kuat dari sebelumnya. Mereka mempersoalkan kewajaran keputusan ini, apakah Koichi sudah memutus semasaknya untuk berperang dengan anaknya sendiri? Lagi pula Ayame itu sendiri pernah berjuang sebagai sebahagian dari mereka?
“Jadi, kita akan turut berperang dengan bekas ahli Kogen yang menyertai kumpulan Ayame?”
“Ya, Kitano-san. Ia tidak dapat dielakkan lagi.”
Shinji berada di dalam perhimpunan itu. Dia berdiri di sebelah Shiori, memegang tangannya. Kala lafaz perang itu disebut Koichi, dia sedar apa yang diramalkan sekian lama kini bakal menjadi kenyataan. Jika dahulu dia berfikiran hanya mahu melarikan diri dari hakikat ini, tangannya kini terikat. Jika dahulu dia masih seorang rekrut, dia kini antara penyelidik elit Kogen. Bahkan dia dikenali ramai di sini. Jika dia melarikan diri, apa fikiran mereka nanti terhadapnya? Terhadap keturunannya?
Aku akan mempertahankan Kogen, bisiknya dalam hati, sambil memandang Shiori di sebelah.
**
“Engkau gilakah Koichi?”
“Koichi, apakah engkau telah berfikir semasaknya?”
“Koichi, ini bukan perkara main-main!”
Begitulah soalan-soalan pesimistik yang dilontarkan ahli Majlis Tertinggi Kogen. Namun ada soalan yang optimistik turut dilontarkan.
“Apa yang membuatkan engkau berfikir untuk memilihnya?”
Soalan itu yang membuka mata Koichi dan mendorongnya bersuara.
“Dia memang masih seorang budak. Masih mentah, kurang pengalaman.” Ujar Koichi perlahan dan tenang nadanya.
Para ahli tidak sabar-sabar mendengar hujah lanjut Koichi, terutama yang pesimistik. Ada yang mengetuk-ngetuk jari pada meja.
“Tetapi aku perlukan generasi baru yang tidak pernah dididik dengan kesamuraian, yang bersih akal dan hatinya dari unsur itu. Juga, aku perlukan seseorang yang memiliki kuasa hayabusa-no-kami.”
Semua terdiam. Kemudian salah seorang menyampuk.
“Namun kuasa magis sahaja tidak menjamin kebolehannya memimpin.”
“Apa yang kau tahu dengan kebolehan memimpin, Sadachi-san?” Koichi memulang paku buah keras kepada penyoal itu.
Sadachi terdiam seraya menggelengkan kepala.
“Aku yakin Ryouji akan mengubah organisasi ini. Jika dia kekurangan, dia akan belajar. Kalian, walau siapapun yang aku putuskan sebagai pewaris Kogen, taatilah dia. Didiklah dia jika dia kurang itu ini. Aku yakin dia akan mampu memimpin Kogen. Aku harap kalian menghormati keputusanku ini.”
Ada dalam ahli itu merungut, “Buat apa ada Majlis jika semua keputusan ditentukannya dengan veto. Huh!”
**
“Ne, Koichi. Beta sudah tahu semuanya.” Ujar Maharaja sedang badannya masih membelakangi Koichi.
“Ampun Heika. Patik mohon bertanya, akan apa yang Heika cuba bicarakan?”
“Tentang Ayame anakmu.” Baginda menoleh dan merenung Koichi, kedua belah tangannya di belakang.
Koichi menahan diri dari mempamerkan rasa gementarnya. Namun mukanya mulai merah, rasa gementar jelas tidak dapat dibendung.
“Heika, patik mohon penerangan lanjut.” Soal Koichi perlahan, berpura-pura tidak tahu.
“Tentang dia meninggalkanmu dan sedang menyusun bala tentera untuk menentangku. Tentang dia sedang membina kubu di Yokuma. Tentang dia salah seorang dari calon yang diramalkan Amaguri. Dia Kaisenjyo yang akan melanggar takhta dan kerajaan beta. Namun beta tidak percaya ramalan itu. Apa yang beta hiraukan sekarang ialah bagaimana anak kepada sekutu beta boleh menjadi ketua pengkhianat!”
Koichi tunduk, dia tidak berani langsung bertembung wajah dengan baginda. Dia tahu Maharaja sedang dikuasai murka, dari nada suaranya.
“Aku perlukan engkau berjanji setia denganku. Dengan darah dan nyawamu!” Maharaja menarik pedang dari sarung di pinggangnya dan pantas menghunus ke leher Koichi.
Koichi terkesima.
“Berjanji denganku Koichi, walau darah dagingmu sendiri sekalipun yang membelotku, engkau tetap bersama beta. Berjanji dengan darahmu!” tegas baginda sambil merenung Koichi dengan renungan setajam ular.
Koichi tunduk dan melutut. Air matanya menitis.
“Berjanji denganku, Koichi!” Suara baginda lagi kuat dan menekan. Baginda tahu orang terpercayanya itu sedang berbelah bahagi. Ayame satu-satu zuriatnya yang tinggal. Ayame jantung hatinya. Mana mungkin dia sanggup menghapuskan anak kesayangannya sendiri.
Maharaja menyarung kembali pedangnya. Dia mendekati Koichi seraya memegang kedua-dua belah bahunya.
“Pengorbanan ini besar maknanya Koichi. Demi beratus tahun lamanya generasi kemudian yang akan mewarisi kita. Jika engkau setia dengan beta, ayuh berjanji dengan beta sekarang.”
Koichi masih diam dan tunduk. Baginda melepaskan tangannya seraya membelakangi Koichi, dan menyambung.
“Beta berikan masa untukmu. Jika engkau enggan, beta sendiri yang akan –”
“Patik berjanji denganmu Heika. Akan patik musnahkan Ayame. Andai dia benar sedang menyusun bala tentera di Yokuma!”
“Engkau pasti dengan keputusanmu? Engkau berjanji dengan beta?” Soal baginda.
“Patik pasti!”
Maharaja menarik pedang beserta sarungnya keluar dari ikatan di pinggang, seraya dihulur kepada Koichi dengan sebelah tangan.
“Engkau ambil pedang ini. Andai engkau gagal melaksanakannya, lakukan seppuku di hadapanku.”
Koichi mengambil pedang itu dengan kedua-dua belah tangan.
“Pasti.”
**
Ketika Ayame melawat Shirasaka-no-kogen tidak lama selepas pertemuan dengan Maharaja itu, Koichi membawanya ke tama-no-iwa mereka.
Ayame baru sahaja tiba dari terowong di lembah Amaguri, dan sedang duduk di taman bonsai berhampiran pejabat Koichi. Itu tempat dia selalu bersendirian dahulu dan mendengar dongeng-dongeng Kirisaki dan Shizue. Di tangannya boneka monyet. Kepalanya menunduk, dia merenung lesu boneka monyet yang tersarung di tangannya.
Dia menggerak-gerakkan mulut boneka monyet itu, namun tiada dialog yang terzahir. Ayame cuba menggeledah memorinya, sekiranya masih ada sisa-sisa dialog yang masih diingati.
Aku sudah terlalu jauh dari mereka. Kirisaki-san dan Shizue nee-chan. Kalian berdua yang telah aku bunuh dengan tanganku sendiri. Demi menghukum kalian atas jenayah yang telah kalian lakukan, aku tetap berpegang pada undang-undang Kogendo, meskipun kalian telah kuanggap sebahagian dari keluargaku. Demi Kogendo, aku tidak akan teragak-agak.
Jika mereka aku mampu membunuh kerana jenayah mereka, maka aku akan pastikan Kogendo kekal dalam keadaan sekarang, tanpa dipinda. Jika aku tidak memelihara Kogendo dalam keadaan asalnya, maka kematian mereka adalah sia-sia. Jika otou-san mahu meminda Kogendo, mengapa tidak dia lakukan sebelum menghukum mereka dahulu? Mengapa sekarang, selepas mereka pergi selama-lamanya?
“Ayame, akhirnya engkau kembali.” Tegur Koichi. Ayame menoleh.
“Ayuh, kita ke tama-no-iwa.”
Koichi berjalan diikuti Ayame, mendaki tangga tinggi sehingga tiba di sebuah kuil Shinto di atas bukit. Setibanya di perkarangan kuil tersebut, mereka berdua menyusur teratak kerikil ke belakang kuil di mana terletaknya padang rumput lalang ogi yang di tengahnya tercacak tiang batu utama tama-no-iwa Shirasaka.
"Naze, otou-san? (Mengapa, ayah?)"
"Maafkan aku Ayame."
Koichi mengeluarkan pedangnya, pedang bermata yang tidak pernah digunakan. Ia ditempa khas oleh seorang penempa katana di Kogen sendiri, dicampurkan dengan resin aomomiji setelah Shinji berkongsikan formulanya. Bertarung dengan Ayame memerlukan katana khas, kerana hanya katana khas sahaja yang mampu meningkatkan petarung ke jurus tinggi yang hanya boleh dilakukan Ayame.
"Aku terpaksa melakukan ini. Berahi Kuasa tidak akan lenyap selagimana mereka yang mendapatnya tidak mati."
"Engkau percaya dengan karutan itu, otou-san? Lebih dari engkau percayakan aku anakmu sendiri?"
"Hayabusa-no-kami tidak pernah menipu. Dan engkau telah menunjukkan tanda-tandanya."
"Apa maksudmu? Apa tandanya?"
"Engkau mengingkari aku bukan? Engkau mengumpul pengikutmu di belakangku."
"Hanya itu?"
"Ayame, apakah engkau membunuh kerana patuh kod Kogen atau engkau sememangnya berahikan darah?"
Ayame terdiam sejenak. Dia menundukkan kepala.
"Otou-san, aku bersumpah akan membunuh semua penoda wanita sehingga tiada seorangpun yang tersisa." Ayame mengangkat wajahnya perlahan-lahan, masam mencuka. Wajahnya sungguh menakutkan, tidak seperti wajah cantik yang biasa ditunjukkan. Sebahagian dari rambutnya yang panjang jatuh mengurai menutupi sebahagian wajahnya.
"Otou-san, aku tidak akan bersetuju engkau menggubal kod Kogen dan membenarkan mereka hidup. Jika engkau memilih untuk tidak melakukannya, aku akan taat kepadamu. Jika tidak, aku memilih untuk memberontak demi menyelamatkan Kogen. Meskipun banyak nyawa yang akan terkorban."
"Ayame, apa nilai nyawa padamu?"
"Aku tidak akan memaafkan mereka yang menganiaya wanita di tanah Yamato ini."
"Jawab soalanku Ayame! Apa nilai nyawa di matamu?!"
"Mereka yang menganiaya wanita tidak layak hidup."
Koichi tidak mendapat jawapan yang dimahukan.
“Otou-san, disebabkan Kogendo, aku telah membunuh mereka yang telah kuanggap keluargaku.”
“Siapa, Ayame?”
“Shizue nee-chan, dan Kirisaki-san.”
Shizue? Kirisaki? Sebentar. Bukankah Shizue itu penyelidik Kogen? Sedang Kirisaki, dahulu aku sering bertemunya. Aku pernah terlihat dia seringkali berdongeng dengan Ayame di taman itu. Tentang Shizue, aku tidak pasti.
“Mengapa mereka, Ayame? Kirisaki hanya bertemumu di taman itu...”
"Ya! Memang mereka sekadar bertemuku. Namun mereka mempedulikanku, tidak sepertimu!"
Ayame berhenti sejenak menahan sebak, sebelum menyambung. Dia tidak akan menangis lagi di sini.
“Tiada halangan lagi untuk aku mengabdikan diri pada Kogendo. Demi kematian mereka... aku akan pastikan Kogendo ditegakkan tanpa dipinda... agar kematian mereka tidak sia-sia.”
"Naze da, Ayame? Engkau mahu melancarkan serangan ke atas Kogen dan Maharaja? Apakah mereka yang kau telah dan akan bunuh itu juga penoda wanita?"
Ayame kembali tunduk membisu.
"Ayame, engkau sememangnya mahu membunuh bukan? Dan engkau jadikan kod Kogen bagi mewajarkannya. Ayame, mereka juga bapa, abang dan adik kepada seseorang. Mereka yang kau bunuh itu!"
“Dan wanita-wanita yang mereka nodai juga ibu, kakak dan adik seseorang bukan?”
“Tetapi mereka tidak membunuh mereka.”
“Mereka dibunuh! Jiwa mereka dibunuh! Kesannya berbekas sehingga ke hari mati mereka. Sekali mereka dinodai, dan kesannya dirasai sehingga nyawa mereka di hujung tenggorok.”
“Namun engkau juga membunuh mereka yang tidak melakukannya. Aku dengar engkau menyerang ronin di Yokuma.”
“Mereka yang bersubahat juga hanya layak mati. Otou-san, semua ini pengorbanan nyawa. Bukankah Shizue nee-chan dan Kirisaki-san mati kerana Kogendo? Apa lagi nilai nyawa berbanding Kogendo? Kogendo adalah nyawa kita. Kogendo mesti ditegakkan. Jadi, apakah engkau hampa denganku, otou-san?"
"Engkau tetap anakku, Ayame. Aku terpaksa melakukan ini demi Maharaja dan pembaharuannya. Demi bangsa ini. Aku tidak akan sekali-kali memihak kepada musuh Maharaja, meskipun dia anakku. Engkau perlu mati di tanganku hari ini." Koichi mengerutkan dahinya, cuba menahan marah yang membuak di dada. Air matanya gugur. Dia menarik pedang dari sarungnya.
Koichi bersedia bertarung dengan Ayame hari ini. Dia nekad, sekurang-kurangnya itulah yang cuba diterapkan sungguh-sungguh saat itu..
Namun dia tidak bersungguh jua kerana hati tidak dapat dibulatkan sepertimana di awal pertarungan. Pemandangan anaknya merobek segala tekad yang cuba diterapkan.
Setiap kali dia menghayun pedang, dia tidak mampu meneruskannya. Seolah-olah angin mengepal menahan pedangnya. Tidak, itu bukannya angin. Itu hanyalah ilusi yang dicipta demi menafikan dirinya sendiri. Dia tidak sanggup membunuh anak kesayangannya itu. Meskipun hanya itu sahaja cara yang tinggal demi melindungi bangsa dan Maharaja, demi menghapuskan berahi kuasa yang diramalkan Amaguri.
Ayame mengelak dengan mudah, serangan demi serangan.
"Naze, otou-san? Engkau mahu membunuhku? Lakukanlah! Lakukan jika engkau mampu!"
Koichi masih berbelah bahagi.
Namun mengingatkan nyawa-nyawa yang tidak berdosa yang telah menjadi mangsa Ayame di Yokuma, membuatkan dirinya serba salah. Koichi bertarung semakin pantas bagi memadankan kelajuannya dengan Ayame yang menggunakan kaminari. Koichi tidak tahu kaminari, dan tidak berminat mempelajarinya dari Miura. Dia hanya belajar bertarung dan mencapai kepantasan setanding Ayame disebabkan darah Shirasaka-nya dan pedang yang digunakan, selain menjadi sami Shinto.
Sehingga ke jurus kesembilan, Koichi mengikut setara.
Koichi menggunakan belakang pedangnya sahaja. Disebabkan dia sami Shinto dan telah bertahun berusaha mencapai zen dan datang dari keturunan Shirasaka, dia berjaya mencapai kelajuan Ayame di jurus kesembilan.
"Ayame, menyerah diri sajalah."
Ayame duduk di atas rumput tiba-tiba, seolah sengaja merancang menghentikan pertarungan. Koichi bersedia melakukan libasan terakhir ke leher Ayame sebaik melihat kesempatan itu. Namun masih dia berbelah bahagi. Pantas Ayame melompat dan berdiri di atas puncak tama-no-iwa keluarga Shirasaka, iaitu batu berwarna putih dan setinggi enam kaki yang terpacak di tengah-tengah padang rumput lalang ogi di Shirasaka-no-kogen itu.
Koichi terkejut. Pantas. Bukankah itu jurus kesepuluh?!
“Engkau terkejut otou-san?”
“Ayame… bagaimana, bagaimana engkau menguasainya?”
“Sa, ne. Sepertimana aku menguasai jurus kesembilan, begitu jugalah aku menguasainya.”
Tidak, tidak! Ayame bukan Kaisenjyo! Anakku bukan pembunuh yang diramalkan ahli sihir Amaguri itu!
Seribu tahun lepas, di dalam buku catitannya, ahli sihir Amaguri menyatakan bahawa Kaisenjyo ialah pemegang terakhir kuasa hayabusa. Ia muncul di akhir zaman selepas Maharaja Jepun pada ketika itu melakukan pembaharuan dan menyatukan kembali tanah-tanah di Jepun sebagaimana Maharaja pertama. Kaisenjyo, kata Amaguri, perlu dipenjarakan jauh dari tanah Yamato agar tidak mengganggu gugat kerajaan Maharaja. Dia mencadangkan agar Kaisenjyo dipenjarakan di pulau yang jauh dan tersembunyi dari tamadun manusia, di mana Kaisenjyo tidak akan dapat melepaskan diri. Kaisenjyo dipilih hayabusa-no-kami dari kalangan pemedang handal dan merupakan pemedang terhandal dari kalangan mereka. Dia memegang sepuluh persepuluh dari kuasa tama-no-iwa.
Aku tahu, Kaisenjyo adalah pemedang terhandal di era ini. Satu-satunya kaedah yang tinggal bagi mengesannya ialah kearifan mereka tentang jurus kesepuluh. Maka sama ada Ayame atau Hisamiko yang akan menjadi Kaisenjyo. Namun disebabkan Ayame sudah menguasainya, bukankah itu jelas sekali? Bukankah dia calonnya?
Tidak, jika Hisamiko berjaya membunuhnya, Hisamiko adalah Kaisenjyo! Aku perlu mengatur pertarungan mereka. Selagi mana ia belum berlaku, selagi itulah ia belum muktamad. Dan aku tidak boleh mencadangkan siapa di antara mereka yang harus dikeluarkan dari tanah Yamato ini demi melindungi Maharaja dan kerajaan yang dibinanya.
Koichi dikejutkan dari lamunannya dengan bunyi tetakan pedang di atas tiang tama-no-iwa itu. Ayame hilang dari puncaknya. Dia muncul kembali di hadapan Koichi, berdiri, sedang wajahnya menengadah dan tangannya menadah sesuatu yang bakal gugur dari udara.
Batu tama-no-iwa yang dipotongnya jatuh di dalam tadahan tangan. Ayame pantas menggenggam batu itu, seraya memandang Koichi.
“Otou-san, aku akan pastikan Kogen yang engkau bina berkubur suatu hari nanti. Mata ne! (Jumpa lagi!)” Dia pantas menghilang seperti kilat.
Koichi melutut.
Aku terlalu sayangkannya. Maafkan aku Heika! Aku telah memungkiri janjiku dengan Heika. Aku tidak layak meneruskan hayatku lagi. Maluku ini terlalu besar untuk diusung di sepanjang hayat.
Apakah ini beban emosi yang pernah diperkatakan Mitsuo?