Lebih kurang seminggu selepas tertewasnya Saisho Takanori di Kyushu, pada awal Oktober 1877, berlangsungnya teater perang di Jepun Tengah di antara pakatan Maharaja-pecahan Kogen Koichi dan pakatan Yoshinobu-pecahan Kogen Ayame yang terdiri dari Skuad Sakura dan juga ahli Kogen yang membelot Koichi. Pada ketika itu, Ayame baru sahaja menakluk Yokuma dan berpakat dengan Yoshinobu berperang dengan Maharaja di titik Nakasendo yang paling dekat dengan Yokuma.
Dalam teater di Nakasendo, pasukan Koichi tidak terlibat. Peperangan di Nakasendo dan kemudian di Kogen ini adalah peperangan terakhir sebelum samurai benar-benar dihapuskan. Samurai yang diketuai Hamada Yoshinobu berbekalkan senjata moden dan mensampahsarapkan kesamuraian terlebih dahulu, bertempur cara moden dengan bom dan mesingan yang diseludup. Sementara tentera Ayame bersekutu dengan samurai-samurai ini, turut menentang Maharaja. Tentera Maharaja pula bersekutu dengan ronin-ronin Yokuma yang terselamat yang berkeinginan membalas dendam terhadap Ayame.
Meski tidak terlibat dalam teater Yokuma, pasukan Koichi bertahan di Banjaran Tateyama dan kawasan sekitar Gunung Kogen dan Cincin Penampan, serta semua lapan pintu masuk ke lembah Shirasaka itu, atas saranan Shinji. Mereka hanya terlibat dengan pertempuran yang menyusul di Kogen, dan dibantu tentera Maharaja. Teater pertempuran yang kedua ini menyaksikan mereka mempertahankan Shirasaka-no-Kogen dari serangan pasukan Ayame dan Yoshinobu yang terselamat dari pertempuran di Nakasendo.
Teater Nakasendo berakhir dengan tertewasnya Ayame dan Yoshinobu. Selepas tewas, mereka berundur lebih dalam di sepanjang Nakasendo, menghala ke barat, sehingga masuk ke dalam pergunungan Hidagawa. Sementara itu, meski tentera Maharaja berjaya memenangi teater Nakasendo, ramai para tenteranya gugur, dan kebanyakannya gugur dalam keadaan yang sungguh mengerikan. Mayat-mayat mereka berlubang-lubang sepertimana daun yang dimakan ulat, seperti apa yang berlaku ke atas lembu-lembu yang dieksperimen Yoshinobu berhampiran Yakedake tidak lama dahulu. Meski tiada gunung berapi berhampiran Yokuma, idea Yoshinobu yang menggunakan burung jigokutori itu agar menggugurkan bebola meriam yang dipanaskan, juga tidak kurang memusnahkan.
Namun punca kekalahan Yoshinobu dan Ayame di Nakasendo ialah keberkesanan senjata api pasukan Maharaja, selain dari Yoshinobu yang kini kekurangan dana terutama dana untuk membiakkan lebih banyak jigokutori. Serangan jigokutori, meski mengerikan dan cukup memusnahkan, mereka tidak ampuh dari peluru tembakan senapang dan pistol para tentera Maharaja. Hanya paruh-paruh mereka yang kalis haba dan juga kalis peluru, namun tidak tubuh mereka. Jumlah mereka juga tidak mencukupi untuk menangani tembakan demi tembakan mesingan Gatling tentera diraja yang amat pantas dan memuntahkan berpuluh peluru sesaat itu.
Tentera Maharaja berkekuatan dua ribu orang merentas Nakasendo dari Tokyo bersama-sama kereta kuda yang membawa meriam, senapang, mesingan Gatling dan juga bom. Sementara di belah Yoshinobu, tenteranya yang berjumlah lima ratus orang juga bersenjatakan senjata api sama yang diseludup dari jalan laut Kitamaebune, dan dibeli dari pedagang Rusia di pulau Sakhalin. Pedagang Rusia sememangnya mahu Maharaja Jepun digulingkan dan Jepun ditukarkan kepada negara republik, agar mereka mudah mengawal dan mempengaruhi dasar-dasar perdagangan Jepun kelak dan tidaklah nanti Jepun sentiasa melebihkan pedagang dari Amerika. Sementara itu Ayame hanya mampu merekrut dan mempengaruhi hanya dua ratus petarung termasuk lima puluh orang dari Skuad Sakura. Dari Skuad Sakura itu, hanya lapan orang yang mampu penuh melakukan kaminari, sementara yang lain hanya separa mahir mampu melakukannya. Lapan orang itu ialah Nariko, Hotaru dan dua rakannya, Chisato dan adik-adik kembarnya, dan Tokui. Semua mereka terselamat. Kaminari memerlukan masa untuk petarungnya menguasainya, maka ramai dari kalangan Skuad Sakura yang tahu tetapi tidak mampu mempraktiknya kerana mereka hanya sempat dilatih separa mahir sebelum perang meletus.
Kembar Hosokawa, bersama Tokui, Touma dan Takumi, adalah satu-satunya ahli lelaki dalam Skuad Sakura. Namun Ayame masih berjaya merekrut ahli lelaki lain juga dari Kogen, di saat-saat akhir sebelum teater Nakasendo ini meletus, iaitu dalam dua ratus ahli selain Skuad Sakura itulah. Kebanyakan dua ratus tentera ini ialah yang pernah menerima budi Ayame ketikamana dia berkelana dari rumah perlindungan ke rumah perlindungan Kogen.
**
“Taira... engkau sudah tahu tentang burung-burung ini bukan? Mengapa tidak kaudedahkan pada kami terlebih dahulu?” Soal Nakamura yang sedang nazak, suara tersekat-sekat menahan sakit.
“Aku tak mahu pemandangan dilubangi burung itu melemahkan kalian...” Jawab Taira yang terlebih dahulu sakarat sebelum Nakamura. Kemudian Taira diam, menutup matanya buat selama-lamanya.
“Bodohnya engkau. Bukankah kita ada mesingan Gatling... bukankah burung-burung itu boleh ditumpaskan? Adat perang mesti digoyahkan apa sahaja...” gumam Nakamura. “Namun mengapa, Taira. Apa kau fikir pemandangan dari dilubangi burung itu lebih dahsyat dari pemandangan lain...seperti dipancung? Atau kau sendiri sebenarnya membelot kami? Taira... Taira!”
Namun Taira sudah pun kaku. Nakamura menolak jasad Taira namun ia langsung mengiring ke arah tolakan.
Tidak mungkin Taira membelot kami, getus Nakamura. Dia rakan akrab Konoe. Bahkan dia sendiri berjuang bersama kami sehingga ke titisan darah terakhir di sini. Mana mungkin!
Nakamura mengeluh sambil terlentang mengadap langit. Sakit makin menjerang jasadnya, menjalar dari perut ke kepala dan sendi dan kaki. Perutnya berlubang dibedil bola besi panas yang digugurkan burung jahanam itu. Darah pekat warna hitam dan perut yang terburai meleleh keluar, daging yang dihentam tercampak tidak jauh dari jasadnya dan sudah pun dihurung lalat.
Makin ditahan makin sakit rasanya. Nakamura menjerit kesakitan sehingga tiada lagi suara yang keluar dari kerongkong, dan air mata keluar bercampur darah dari mulut. Nyawanya disentap dengan mata terbuka, mulut menganga.
Kesemua ronin yang mengikut Taira dan Nakamura gugur dan separuh dari tentera Maharaja masih bernyawa meski tercedera kebanyakannya. Dalam kalangan yang mati, ada yang dilubangi burung, ada yang dicantas tentera Ayame dan ada yang ditembak tentera Yoshinobu. Namun kemenangan tetap berpihak kepada mereka pasukan Maharaja, di kala tentera Yoshinobu dan Ayame menghadapi kehilangan nyawa yang besar dan memilih melarikan diri.
**
Seiji, pembantu Maharaja, mempersilakan ronin dari Yokuma itu masuk mengadap baginda Maharaja di balairung seri.
“Heika, patik Maeda Kamishiro adalah ronin dari Yokuma dan telah bertempur dengan tentera Heika menentang Ayame dan konconya, ingin melaporkan keputusan perang.” Maeda menayangkan tatu ronin-nya pada atas dada kanan. Kakinya yang berbalut dan ada kesan darah pada balutan itu membuktikan keterlibatannya dalam perang tersebut.
“Beta perkenan engkau memperdengarkannya di sini.”
“Berita gembira buat Heika; tentera Heika berjaya menakluk kembali Yokuma. Ayame dan konconya dihalau dan masih dikejar hingga ke barat Nakasendo oleh tentera Heika.”
“Subarashii. Tuhan masih menyebelahi kita.”
“Namun ada berita buruk yang patik ingin khabarkan.”
“Ya, perdengarkan.”
“Heika, kesemua ronin Yokuma yang menyertai kita terbunuh. Sementara separuh dari tentera kita terkorban. Yang terselamat ramai yang tercedera dan tidak boleh meneruskan peperangan.”
“NANI?!” Bentak Maharaja, suaranya bergema menggoncang balairung seri. Baginda melangkah setapak demi setapak ke juring tangga menuju karpet merah di bawah, sehingga Seiji tergerak menahan baginda, kerana wajah baginda sudah keluar dari selubung kegelapan tirai takhta, terdedah sepenuhnya pada pandangan para pembesar kazoku yang berbaris kiri dan kanan karpet.
“Heika...” Tegur Seiji.
“Tak perlu, Seiji. Biarkan mereka memandang wajah beta. Beta mahu mereka faham kemurkaan beta.”
Seiji kelu, namun dia akur, dan berundur ke tepi. Maharaja turun sehingga ke pangkal karpet.
“Heika.” Maeda menyeru baginda sedang masih melutut. “Patik memohon bantuan tentera tambahan dari simpanan Heika.”
“Beta perkenankan.” Laju baginda memutus, barangkali sudah membuat persediaan awal dan menjangkakan penyudah begitu. Baginda memandang salah seorang pembesarnya yang dalam barisan di sebelah kanan, sedang berdiri, seraya bertitah.
“Yamagata-san, mulai hari ini engkau beta hantar ke Yokuma. Pimpin para tentera tambahan menangkap Shirasaka Ayame dan Hamada Yoshinobu. Cari dan jejak mereka sehingga ke lubang cacing! Nyawa para tentera kita yang terkorban mesti dibela!”
“Ampun, Heika. Perintah dijunjung!” Balas pembesar kazoku yang bernama Yamagata itu. Yamagata seorang lelaki tua dan kurus berpakaian seperti bangsawan Prussia lengkap dengan lencana-lencana kebesaran, kepala botak tengah, matanya berbentuk seperti mata tikus yang kecil dan bujur, misainya dan rambut setiap sisi kepala warna putih, misai putihnya tebal.
Yamagata berlalu keluar dari balairung seri, pantas mahu menyelesaikan isu yang membelenggu negara pada ketika itu. Sementara Maharaja masih berdiri kaku, para pembesar kaget. Mata baginda memandang karpet merah, namun bukan bulu-bulu pada karpet itu yang direnungnya dan habuk-habuk yang berterbangan di atas karpet itu yang diamatinya, namun nyawa para tenteranya yang sekarang berterbangan ke tubir angkasaraya menuju alam abadi, namun tidaklah baginda mengerti apakah belahan alam abadi yang dikunjungi para roh itu syurga atau neraka, kerana baginda sendiri tidak pasti sama ada baginda dan para tenteranya berada di pihak yang benar atau pihak yang salah.
Namun satu yang dimengertinya sekian lama sejak baginda mengerah kesanggupan dan membatukan hati membunuh mentornya sendiri yang bernama Saisho itu; bahawa baginda hanya melakukan perkara yang perlu, sebagai seorang pemerintah. Perkara yang perlu tidak semestinya benar dan tidak semestinya salah, tidak semestinya baik dan tidak semestinya buruk. Kepala-kepala yang degil yang berbahaya dan masih mampu menghamburkan bisanya seperti ular tedung ini mestilah dicantas. Jika mereka tidak membahayakan, kepala-kepala yang degil ini boleh dipenjarakan atau diusir ke luar negara atau pulau terasing kerana mereka mampu mempengaruhi orang lain yang lebih berbahaya, atau jika kepala-kepala yang degil ini masih boleh dilentur dan dibentuk seperti tembikar tanah liat, maka mereka bolehlah diserap masuk menjadi salah satu dari buah-buah catur baginda. Itu lumrah seorang pengurus negara seperti baginda. Sama ada bermoral atau tidak, ke syurga atau ke nerakakah tindakan itu akan membawa baginda dan para tenteranya, murka atau tidak Tuhan, baginda tidak mengetahuinya. Tika itu baginda menyedari, mesti dia maharaja sebuah empayar yang baru berputik, baginda sebenarnya hanyalah hamba kepada negara atau empayar itu. Baginda berkuasa; namun ada tuntutan yang datang bersama kuasa itu yang memperhambakan setiap pemegangnya.
“Berlubang...tubuh mereka berlubang-lubang katamu, Maeda-san?” Baginda menyoal dengan mulut terketar-ketar, semacam menggumam, kepada pelapor dari tentera yang telah bergadai nyawa di Yokuma itu. Mata baginda masih memandang karpet.
Kamishiro menyahut, “Ah, ya, Heika.”
“Berlubang yang bagaimana?”
Kamishiro menelan liur, kerana tidak sanggup dia menjelaskan pada telinga baginda yang mulia itu. Kala Maharaja mengangkat wajahnya dan merenungnya kerana dia bertangguh memberi jawapan, Kamishiro jadi lebih teragak-agak, lalu memutus segera dan memuntahkan pemandangan mengerikan yang dilihatnya di Yokuma.
Perut terburai, tulang-temulang hancur dibedil, jantung berlubang, perut berlubang, ada tangan dan kaki terputus dek bola meriam yang panas dan melecurkan. Kata Kamishiro, mereka seperti daun yang dimakan ulat. Jika dalam perang silam, tentera hanya berpedang dan mereka akan terputus sana-sini, dan kecederaan mereka setakat itu. Namun pemandangan yang digambarkan Kamishiro yang mayat para tentera kemik dan hancur sana-sini, menggusarkan baginda. Malah memurkakan baginda satu macam murka. Mayat tidak lagi dihormati, mayat dihancurkan dan dihina. Perang menjadi satu pertempuran kebinatangan. Tiada lagi perang era samurai lagi. Kesamuraian benar-benar sudah terhapus kini, gumam baginda.
“Ia sebuah penghinaan. Sebuah taktik perang yang sungguh menghina. Beta akan pastikan Yoshinobu dan Ayame ditangkap segera.”
Namun jauh sekali baginda mampu meramal, bagaimana di masa akan datang, akan muncul sebuah bom seganas matahari sinarnya yang menjadikan jasad yang dirempuhnya debu-debu berterbangan berawangan sekelip mata, tanpa sempat jasad dan roh itu melihat dan merasai kematian pun.
Baginda ke jendela dan melempar pandangan ke luar, merenung jauh ibu kota Tokyo yang berbalam-balam di bawah bukit yang menempatkan istana itu, dan membisikkan kata-kata pada bayu yang berhembus, mungkin ada barang sepatah bakal hinggap ke telinga Koichi ketua Kogen itu dan mengingatkan kembali janji-janji semanis tebu yang pernah dilafazkan melalui surat-surat yang diutus merpati itu.
Koichi, beta telah perkenankan permintaanmu untuk hanya bertahan di Kogen, tanpa engkau perlu menghantar tentera memerangi Ayame anakmu sendiri di Nakasendo, kerana engkau kekurangan sumber manusia yang sesuai untuk pertempuran dalam hutan. Beta telah menukilkan perkenan itu dalam warkah melalui merpati. Juga beta perlukan Kogen kerana ia punya khazanah yang cukup besar buat pembaharuan beta. Pertahankan selagi boleh Kogen engkau itu. Dan jujurnya, ketiadaan bantuanmu keluar dari Kogen amat menyenangkan hati beta. Kerana sedikit di dalam hati ini masih ada rasa curiga terhadapmu. Manalah tahu kalau engkau mengubah pendirian dan membantu Ayame. Duduk diamlah di dalam Kogen, dan hanya keluar pabila anakmu sudah tewas seperti tawaran dalam suratmu itu.
Beta hanya mahu mengingatkanmu, pabila tentera anakmu sudah ditewaskan berhampiran Kogen di hujung barat Nakasendo, tunaikan janjimu, keluarkan tenteramu menghapuskan saki-baki tentera Yoshinobu dan tentera anakmu. Beta akan pastikan anakmu dibunuh tentera beta dan kepalanya dibawa ke Tokyo sebagai bukti. Engkau enggan melakukannya bukan? Beta faham, beta juga bapa sepertimu. Maka biar beta yang melakukannya.