“Ayame-san, apakah Kogen yang memberi mandat engkau membunuhnya?” Soal Ryouji, yakin benar akan wanita itu sebenarnya Ayame.
Wanita bertopeng itu masih membisu, hanya menggeleng dalam tunduk, tubuhnya membelakangi mereka berdua. Tangan masih memegang hulu pedang yang sudah tersimpan dalam sarung di pinggangnya.
“Engkau masih tak pernah berubah, Ayame-san. Apakah mereka ini langsung tidak layak diberi peluang?”
“Ne, Ryouji. Ohisashiburi.” Ayame membuka topengnya. Kedua-dua Okuhida itu melopong melihat wajah Ayame yang sudah lama tidak mereka tatapi sejak meninggalkan Kogen bertahun lalu.
“Nampaknya kalian sudah terlalu banyak diduga selepas meninggalkan Kogen. Aku ucapkan takziah atas kematian isterimu.”
Ryouji menyahut perlahan, “Doumo. Kematiannya telah menggerakkan aku sehingga ke saat ini sebagai yoru-no-kaze.”
“Engkau masih dengan pendirianmu, Ryouji. Engkau tidak pernah berubah.”
“Dan engkau Ayame, engkau semakin mabuk darah. Apakah sudah tiada ruang agar penjenayah begini dibicarakan di Kogen dahulu? Apakah Kogen sudah menggubal kodnya?”
Balas Ayame, “Aku dengar lelaki ini telah membunuh isterimu. Keampunan apa yang kaukata layak untuknya? Setelah membunuh isterimu di hadapan matamu sendiri, dan kemudian membunuh secara rawak para pedagang di sini?” Ayame mengutarakan berita yang diperolehi daripada pengintipnya.
Ryouji menahan diri dari menengking Ayame. Apa yang diperkatakan Ayame itu benar. Namun pengalaman lalu menarik-narik birai hati agar memberi ruang. Dia pernah memberi ruang kepada Sonzaemon dan Sonzaemon akhirnya berubah. Namun hatinya sungguh berat untuk melakukan perkara sama buat Tatsuya yang telah membunuh isterinya, meskipun ada secebis dari hatinya masih berharap dia punya kekuatan menahan Tatsuya dan mengampunkannya, jika dia memintanya. Disebabkan itu dia menjadi yoru-no-kaze, demi melupakan kepahitan itu. Dia bertarung dengan dirinya. Disebabkan itu dia memaksa diri bertarung dengan Tatsuya. Dia mahu menangkapnya dan membawa ke Kogen. Ikutkan hati, mahu sahaja dipancungnya Tatsuya itu.
Namun campurtangan Ayame telah membunuh semua cebis hati yang menyimpan harapan murni begitu. Apakah Ayame patut dimarahi? Tidak, dia telah membalas dendamku. Ayame sungguh wajar sekali. Apakah aku harus meraikan saat ini? Tidak, aku tidak gembira. Aku tidak bahagia. Kerana Kiku tetap tidak akan hidup kembali. Kiku telah pergi, Kiku telah pergi selamanya. Kematian Tatsuya tidak akan menghidupkannya kembali. Ia hanya dendam yang kosong. Aku mahu Tatsuya dipenjarakan dan dihukum di Kogen mengikut undang-undang. Aku mahu Kogen merakam penjelasannya, kerana dalam setiap onar ada alasan yang tersembunyi yang mungkin hanya pelakunya yang faham, kerana jiwa mereka sakit dan perlu dirawat. Membalas dendam begini tidak akan merawat lukaku, bahkan merugikan. Aku ingin faham, bagaimana manusia boleh menjadi gila seperti ini, seperti Kobato, seperti Tatsuya. Aku juga hampir mengalaminya berulang kali namun aku beruntung kerana belum gelincir ke jurang itu. Mungkin dengan memahami mereka maka mereka boleh dirawat, ditarik keluar dari jurang yang dalam itu? Mungkin dengan merawat golongan begini di masa depan dapat mengelakkan mereka dari melakukan kejahatan-kejahatan itu?
“Jya, sayonara.” Ayame meninggalkan Ryouji dan Hisamiko yang tegak berdiri seperti tunggul itu.
Ayame pantas menghilang di celah hutan. Ryouji dan Hisamiko terpinga-pinga.
Mayat Tatsuya terbaring kaku di lantai hutan dengan kesan luka-luka dan leher yang hampir terputus dipotong pedang Ayame. Darah sudah berhenti mengalir.
“Apa yang akan kita buat dengan mayat ini onii-san?” Wajah Hisamiko berubah kelam melihat keadaan mayat Tatsuya. Pandangan terhadap Ayame berubah. Ayame sungguh sadis dan kejam. Ayame mungkin sudah jauh berubah seperti kata-kata abangnya.
“Kita akan hubungi Kogen.”
**
Suatu malam, Ryouji sedang berjalan bersendirian di tengah sebuah denai yang lebar dan rata. Di kiri dan kanannya hutan buluh yang tinggi menjulang langit. Langit diterangi bulan purnama.
Dia ternampak kelibat seorang pemuda yang berambut panjang di hadapan, membelakanginya. Di pinggangnya ada pedang tersisip. Rambutnya diikat ekor kuda.
“Sumimasen.” Tegur Ryouji. Pemuda itu menoleh.
Ryouji melopong melihatkan wajahnya.
“Kobato!” Ryouji melaung nama itu.
Pemuda itu tidak menyahut. Dia hanya merenung Ryouji.
“Engkau Kobato kan? Kobato, bagaimana engkau? Apa kaubuat di sini?”
“Apa kaubuat di sini?” Soal pemuda itu balik.
“Aku mencari jalan keluar.”
“Aku juga mencari jalan keluar.”
“Bagaimana kau tiba di sini?”
“Aku tak tahu. Dan engkau?”
“Aku pun tak tahu.”
“Bagaimana hidupmu?” Soal Kobato. Ryouji agak terkejut. Sepatutnya itulah soalan yang harus diajukan dahulu kepada Kobato.
“Sudah pelbagai perkara berlaku sejak kematianmu.”
Ryouji meringkaskan kisah hidupnya selepas pemergian Kobato.
“Jadi, apakah kau masih mahu menegakkan undang-undang?” Soal Kobato, tiada nada sinis. Hanya seperti biasa suaranya yang mendatar dan soalannya yang terus seperti budak-budak.
“Aku fikir ya.”
“Hah. Ryouji, tiada undang-undang di sini. Undang-undang Kogen itu hanyalah wayang.”
“Wayang... Apa maksudmu?” Soal Ryouji, agak terperanjat dengan jawapan terus-terang Kobato, meskipun dia sudah menjangkakannya.
“Jika benar undang-undang atau Kod Kogen itu berkesan, jelaskan padaku mengapa orang seperti Tatsuya masih berkeliaran?”
“Kobato...”
“Undang-undang bukan untuk menghukum sahaja tetapi untuk mendidik. Ritsuryou dan Kod Kogen telah gagal dalam mendidik, meskipun kedua-dua tidak gagal dalam menghukum. Namun masih, Ritsuryou itu hanya menghukum golongan seperti kita, yang bukan samurai. Yang samurai pula dibiarkan bebas sewenangnya. Maka tangan kita inilah yang mengambil tempat menjatuhkan hukuman.”
“Ko-”
Kobato mengangkat tangan mengisyaratkan dia mahu menyambung bicara dan menghalang Ryouji bersuara, “Jauh di sudut hatimu engkau sebenarnya senang hati dengan perbuatan Ayame itu bukan? Engkau senang hati Tatsuya dihukum langsung olehnya? Bukankah itu yang aku lakukan ke atas Takasaki-san dahulu? Dan engkau mengulanginya, namun dengan tangan Ayame? Mengapa? Kerana engkau tidak mahu mengotorkan tanganmu meskipun engkau kepingin benar mahu melakukannya, lantas mempergunakan Ayame?”
Ryouji terdiam.
“Ryouji, lupakan hasratmu itu untuk menegakkan undang-undang. Ia hanya ilusi. Ilusi. Kita di dalam dunia yang tiada undang-undang. Hanya dendam yang boleh mengajar manusia. Undang-undang hanya ilusi yang dicipta pemerintah, sedangkan mereka sendiri melacurkan undang-undang itu. Mereka sendiri mencipta pengecualian daripadanya. Mereka hanya mempermainkanmu.”
“Diam Kobato.”
“Sou? Mengapa Ryouji, engkau marah denganku? Mengapa? Kerana segala apa yang aku katakan ini benar?”
“Diam, Kobato!” Ryouji menarik sedikit pedang dari sarung di pinggangnya. Kobato masih berdiri tenang.
“Bunuhlah aku. Ulanglah apa yang kau buat dahulu.”
“Aku tidak membunuhmu! Engkau sendiri yang membunuh dirimu!”
“Sou? Engkau tidak senang aku mati di tanganmu? Sedang aku telah membunuh Saki dan Azusa.”
“Tidak, aku tidak senang. Kerana engkau sahabatku, bodoh! Dan aku langsung tidak berniat membunuhmu!”
Ryouji menarik nafas sedalamnya dan menghembuskan, dengan harapan dapat menyejukkan hati yang panas membara. Malam ini sungguh dingin dengan angin bertiup sekali-sekala merentas hutan buluh dan menghasilkan bunyi gemersik buluh-buluh yang menyeramkan. Ia benar-benar seperti malam itu. Malam tragik di mana Kobato membunuh tiga orang insan yang pernah tinggal bersamanya.
“Kobato, aku hanya ingin tahu mengapa manusia boleh jadi begini gila. Aku masih belum memahaminya. Kematianmu terlalu awal. Andai engkau diberi peluang bersuara di Kogen dan mereka mendengar dan belajar darimu, kita mungkin dapat merawat jiwa-jiwa begini yang akan lahir di masa mendatang. Aku yakin undang-undang punya saluran ini.”
Kobato hanya tersenyum. Dia berganjak ke sebelah Ryouji, memegang dan menepuk bahu sahabatnya itu.
“Disebabkan itu aku sukakan engkau Ryouji. Aku mahu mendengar kata-kata begini. Ryouji, usahakan sehingga membuahkan hasil. Buktikan kepadaku bahawa engkau benar. Sayounara, kawan.”
Kobato lantas meninggalkan Ryouji berseorangan di tengah-tengah denai hutan buluh itu. Pabila Ryouji menoleh, kelibat Kobato langsung lesap ditelan pekat malam. Dia melaung-laung nama Kobato namun tiada sahutan. Kobato telah pergi lama dahulu, fikirnya. Apakah aku sudah hilang akal? Tidak mungkin Kobato masih hidup di sini.
Ryouji terbangun dari mimpi. Dia mengesat peluh di dahi. Malam masih larut. Purnama menerangi langit. Dia menyedari tubuhnya sedang duduk bersandar pada sebatang pokok matsu. Hisamiko duduk bersandar di sebelahnya. Segera bertandang ke benaknya bahawa dia masih gelandangan. Sejak dua tahun lalu beginilah hidup mereka, tidur di mana-mana, makan di mana-mana dan menerima upah dari para pengadu, mereka yang dianiaya.
Dia berdiri merenung bulan purnama. Dia menyoal kepada diri, apakah aku harus tetap di jalan ini?
Shinagawa, Shinagawa. Kampung Kobato itu berada di sana, bernama Shizen. Aku harus ke sana. Aku perlu bertemu tukang pedang Kobato. Aku harus menjelaskannya.
**
Musim bunga 1877 berada di kemuncak. Dunia dihiasi putik-putik sakura yang berterbangan dan warna-warni bunga seperti fuji dan putik momo yang tumbuh berjuntai dan bersesak-sesak pada dahanan.
Kedai pedang Mitsuhide di Shizen-machi tidak pernah surut dengan orang ramai. Mereka tidak pernah jemu menonton kerja-kerja Mitsuhide dan para perantisnya menempa pedang. Jika kerumunan begini menumpang haba di musim sejuk, namun di musim bunga yang nyaman ini mereka hanya mahu mencuci mata dengan seni kerja Mitsuhide.
Ryouji dan adiknya tiba di rumah Mitsuhide selepas bertanyakan orang ramai. Dia mengambil peluang mendekati Mitsuhide tika waktu rehatnya tiba.
“Jumpa aku di bawah pokok di tengah dataran ini petang nanti.” Balas Mitsuhide pendek selepas Ryouji memperkenalkan dirinya. Ryouji sedar Mitsuhide memendam rasa marah dan sedihnya. Bahkan mata Ryouji langsung tidak ditenungnya, wajah kekal dipaling selepas Ryouji memberitahu namanya. Wajah Mitsuhide kekal sugul sepanjang petang kala dia menempa bilah-bilah tempahan dan dia kurang berbicara dengan para perantisnya seperti selalu. Perantisnya rasa aneh dan sempat berbisik dengan rakan sekerjanya, kemudian memandang Ryouji dan Hisamiko yang duduk menunggu di laman.
Ryouji hanya mampu menadah muka melihat gelagat mereka. Biarlah, fikir Ryouji. Biar aku jelaskan semuanya. Andai dia mahu membunuh aku pun aku rela. Andai itu yang membuatkan dia tidur lena di malam hari. Namun pastinya aku tidak akan dedahkan rancanganku ini kepada Hisamiko.
“Maafkan aku Mitsuhide kerana menyebabkan kematian Kobato.” Ryouji memulakan bicara memecah kejanggalan.
Mitsuhide hanya diam, dan Ryouji bersabar menunggu dia membuka kata.
Beberapa detik berlalu barulah Mitsuhide membuka bicara, dengan wajah merenung tanah. Mereka duduk di atas batu besar di bawah sebatang pokok di tengah laman.
“Kobato anak yang malang. Aku kenal dia sejak kecil. Selepas kebakaran itu, dia hilang dan aku tidak tahu ke mana dia dibawa lari. Bertahun kemudian dia kembali ke sini dan bekerja denganku. Namun, pada satu musim panas, dia keluar cuba menjejaki perompak bijih kami, dan sejak itu dia tidak lagi pulang ke sini. Dia menghantar surat katanya mahu melarikan diri.”
Mitsuhide berhenti sejenak mendongak putik-putik sakura yang tidak henti-henti gugur dari jambangannya di atas pokok sana, menghidu bau dan memejam mata. Dia menyambung, “Aku fikir, pada waktu itu dia baru tahu siapa pembunuh bapanya.”
“Pembunuhnya ialah Takasaki-san, penjaga rumah kami di Hidagawa. Namun ironinya, dialah yang menyelamatkan Kobato malam kebakaran itu.”
Mitsuhide memandang Ryouji dengan wajah terkejut seraya berkata, “Benarkah?”
“Ya.”
“Mengapa engkau membunuh Kobato, Okuhida-san?”
“Aku tidak membunuhnya.” Ryouji menahan geram, suaranya bergetar. “Namun jika itu yang kaufikirkan, aku rela dihukum sekarang. Andai itu yang membuatkan kau tidur lena di malam hari.”
Hisamiko yang berdiri tidak jauh dari mereka menganga mulut mendengarkan kata-kata Ryouji, namun Ryouji sempat mengisyaratkan dengan tangannya agar dia terus diam dan tidak mengganggu, sedang Mitsuhide tidak menyedari isyarat itu. Hisamiko mencebik bibir menahan geram.
“Tidak, aku fikir engkau telah menerima karmamu.”
“Apa maksudmu?” Soal Ryouji.
Mitsuhide dilanda rasa gementar. Andai dia memberitahu bahawa dia mengetahui dari Tatsuya, pasti Ryouji akan bertanya bagaimana dia mengenali Tatsuya. Dan pastinya soalan-soalan itu berlarutan sehingga melarat kepada sekongkolannya dengan Tatsuya yang merancang mahu membunuh Ryouji.
Lebih baik aku berdiam diri sahaja, getus Mitsuhide.
“Apakah kau turut rasa perit akan kehilangan Kobato?”
“Ya. Kerana dia sahabatku. Aku kenal siapa dirinya. Aku tidak menyangka dia boleh berubah sekelip mata dan membunuh rakan-rakan kami bahkan turut membunuh penjaga rumah kami.”
Mitsuhide tergamam mendengarkan kisah dari mulut Ryouji. Kobato, apa yang telah berlaku kepadamu? Soal Mitsuhide dalam hati.
“Namun tragedi itu melarat kepada tragedi lain. Isteriku menjadi mangsa. Ia lebih memeritkan. Aku rasa kosong dan lompong yang sukar untuk dijelaskan, dan kematian Kiku adalah yang paling membekas di hatiku.”
Mitsuhide membiarkan Ryouji meneruskan luahan hatinya.
“Aku pernah bercinta dan gagal, aku pernah kematian ramai orang tersayang, namun kehilangan Kiku adalah yang paling memeritkan sehingga aku hampir gila.”
Mitsuhide hanya mengangguk kecil. Maka cukuplah semua itu sebagai hukumanmu, getus Mitsuhide dalam hati. Mitsuhide turut merasa bersalah kerana di balik semua itu ada saham subahatnya dengan Tatsuya.
Mitsuhide mula merenung mata Ryouji, sesuatu yang dihindar dari dilakukan sejak bertemunya. Ryouji tergamam. Getus Ryouji, apakah orang tua ini sedang membaca fikirannya?
Mitsuhide tersenyum tawar seraya berkata perlahan, “Engkau sudah cukup menderita, orang muda.”
Aku tidak nampak budak ini seorang yang jahat, getus Mitsuhide. Pertama kali aku bertemunya dan melihat sendiri siapakah dia, dan merenung matanya, aku tahu peribadinya. Mata itu penuh derita. Mata itu telah melihat kematian demi kematian. Aku tidak pernah melihat mata begitu pada Kobato. Meski peribadi Kobato menghangatkan suasana di rumah ini, matanya penuh api dendam. Pandangannya kaku dan ketika memandangku dia hanya berpura-pura ceria.
“Boleh kutahu apa yang sebenarnya berlaku kepada Kobato?”
“Malam itu aku hanya mahu menangkapnya dan membawa kepada Kogen untuk dibicarakan kerana dia telah membunuh rakanku juga selepas membunuh Takasaki-san. Namun ketika bertarung, dia diserang rusuhan tenaga.”
“Rusuhan tenaga?”
“Hanya pengguna kaminari-no-kaze yang bukan dari puakku dan Shirasaka yang akan ditimpa, jika tidak berlatih dengan guru yang betul. Aku telah menasihatinya agar berhenti, namun dia berdegil. Aku cuba menghalang namun siapa sangka hanya setakat itu sahaja dia mampu bertahan. Aku lihat dia menempa sendiri pedangnya. Aku fikir mungkin itulah silapnya.”
“Aku sudah faham segalanya. Arigatou Ryouji kerana menjelaskan. Sayounara.” Mitsuhide bangun dan tunduk.
Ryouji bangkit, membalas tunduk. Dia sempat berkata, “Mitsuhide-san, maafkan aku.” Hisamiko sentiasa memerhati dan mengawasi sekeliling. Dia turut menundukkan kepala sebelum beredar mengikut abangnya.
Mitsuhide gesit masuk ke dalam rumahnya dan pembantunyalah yang menghantar Ryouji dan Hisamiko pulang, sambil menjelaskan bahawa Mitsuhide hanya mahu bersendiri.
Sebaik kelibat Ryouji dan Hisamiko hilang sepenuhnya, Mitsuhide mengalirkan air mata. Tubuhnya tersengguk-sengguk sambil tunduk di dalam bilik.
Pada malam itu, Mitsuhide membelek sepersalinan baju Kobato yang sudah dilipat kemas baru diserahkan Ryouji sebelum mereka berbicara panjang.
“Ini baju Kobato.” Maklum Ryouji siang tadi sambil menyerahkan helaian yukata yang sudah dilipat itu.
Mitsuhide mengambil pakaian itu dan meletakkan atas riba.
“Ini surat keputusan rasmi mahkamah bahawa kes Kobato sudah dilaporkan kepada Kogen dan sudah pun diselesaikan.” Mitsuhide membuka dan membacanya, dia melipat surat itu kembali dan diseluk ke dalam dada yukatanya.
Ryouji mengeluarkan pedang kedua dari pinggang, memegang dengan kedua belah tangan dan menyerahkannya kepada Mitsuhide, “Ini pedang Kobato. Simpanlah.”
Mitsuhide merenung pedang itu yang diletakkan di atas batu di sebelahnya, dan memberitahu perantisnya, “Campakkan pedang itu ke dalam relau.”
“Mitsuhide-san?”
“Aku mahu tempa ia menjadi patung.”
“He? Sejak bila kautahu mengukir, Mitsuhide-san?”
“Dulu aku pengukir, sebelum berkecimpung dalam pembuatan pedang. Aku mahu mengukir kembali dan melupakan kerja-kerja pedang ini.” Kata Mitsuhide, sambil berdiri dan merenung pohon sakura yang berdiri di luar laman rumahnya.
Angin bertiup dan menerbangkan putik-putik sakura itu sehingga melanggar wajahnya. Dia menarik nafas panjang sambil memejamkan mata, cuba menyerap sedalam mungkin haruman bunga jati bumi Yamato ini, cuba menyatu dengan kelopak-kelopak yang berterbangan itu agar dia sendiri turut terbang melayang meninggalkan bumi meredah angkasaraya menerawang bersama memori luka. Harapnya mungkin dengan terbang ke atas dapatlah dia bertemu Kobato dan mendengar bicara terakhirnya barang sejenak cuma.
Mitsuhide menghembuskan nafasnya, mata dibuka perlahan-lahan. Saat itu, dia merasakan seolah nyawanya diperbaharui. Arigatou, Kobato. Kerana memperkenalkan aku dengan Okuhida Ryouji. Sesungguhnya kehilanganku ini tidak seberapa. Sesungguhnya derita ini tidak sebanding dengan derita yang ditanggungnya. Dan aku kini dihukum dengan mata itu.
Lembiknya aku. Hanya kerana kata-kata hasutan dari Tatsuya itu aku menjadi lembik begini. Namun kini kerana hasutan itu aku faham bagaimana manusia boleh jadi begini gila. Bagaimana aku akhirnya kenal potensiku, yang akhirnya berjaya mencipta pedang secanggih itu yang membolehkan seseorang bertarung di jurus kaminari, seni yang dibangga-banggakan Kogen itu. Hanya kerana aku didorong rasa dendam, aku menjadi begini gila. Dan Kobato juga begitu, mungkin.
Mitsuhide tunduk. Air matanya menitik satu-persatu ke lantai bilik. Dalam hatinya masih bergema akan suara Ryouji. Mata Ryouji yang penuh rona derita itu, aura keletihan yang dipancarkannya mampu menenggelamkan seluruh semesta. Budak itu benar-benar di pinggir jurang kegilaan, getus Mitsuhide.
Ryouji, akulah pembunuh isterimu. Akulah yang bersubahat dengan Tatsuya. Dan dengan dosa itu masih terngiang-ngiang dalam kepala, bagaimana mungkin aku boleh meneruskan hidupku seperti biasa? Bagaimana mungkin aku meneruskan hidup dengan tanganku masih merah dibasahi darah mereka yang tidak bersalah?
Tidak semena-mena, tubuhnya rebah di lantai bilik dengan tangannya memegang hulu tantou, sedang mata tantou itu sudah terbenam ke dalam perutnya. Kolam darah menenggelamkan tubuhnya. Sayup-sayup dari luar kedengaran jeritan perantisnya memanggil namanya.
“Mitsuhide-san!”