Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 45

Kesan amukan Nariko, hutan sugi di Yokuma itu dibanjiri darah dan tubuh para ronin yang terpotong sana sini, darah bersimbah-simbah pada batang pokok sugi dan rumpai dan pelitup bumi. Ada yang terpotong kepala, ada yang tubuh terputus dua, ada yang terputus kaki dan darah masih mengalir memancut-mancut, dan ada yang terputus tangan dan darah mengalir deras dan kerana tidak tahan kesakitan itu, ronin tersebut membunuh dirinya. Pemandangan ngeri pembunuhan besar-besaran yang dilakukan Nariko yang menjadi boneka Ayame itu menghentikan dan menggamamkan Tokui, Hatsuki dan Natsuki yang baru menemui mereka.

 

Rasakan tamparan wanita, getus Ayame dengan seringai. Ini adalah karma kalian, kata Ayame sambil merenung satu-persatu mayat-mayat yang tidak sempurna hasil kerja tangannya itu. Usah ingat kerana kalian lelaki, kalian boleh memperalat dan menganiaya kami. Sejak zaman-berzaman, wanita seperti kami menjadi hamba kalian. Namun tidak lagi, aku akan mengemudi kerajaan baru di sini. Aku akan hancurkan kerajaan Maharaja, dan Kogen yang sedang dipimpin bapaku. Aku akan pindahkan semuanya ke sini, di Yokuma inilah pusat kuasaku dan dari sini juga seluruh Jepun bakal aku kawal.

 

Nariko sudah sedar dari kawalan Ayame, dan terkaku, tangannya masih memegang pedang, mulutnya menganga, pakaiannya penuh kesan carik dan darah. Rambutnya kusut masai.

 

“Ayame-san, siapa yang lakukan semua ini...” Soal Nariko lemah, dia masih berdiri dengan tangan masih memegang pedang. Kesan darah mangsa-mangsa pedangnya bersememeh pada serata wajah dan pakaiannya.

 

“Siapa lagi... engkaulah Nariko.” Jawab Ayame selamba.

 

“Tidak, bagaimana engkau dan aku boleh berada di sini? Mengapa tanganku memegang pedang ini dan kesan-kesan darah ini... apa yang telah berlaku Ayame?”

 

Sungguh apa yang aku dengari ini? Soal Ayame dalam hati. Sungguh dia tidak ingat yang dia berkuda denganku ke sini, bersama Skuad Sakura? Apakah secara tidak langsung Berahi Kuasa itu telah menghilangkan ingatannya? Atau trauma yang berulang itu bertanggungjawab menyebabkannya?

 

“Engkau telah menyelamatkan dirimu dari bedebah miang di sini. Lihatlah bedebah yang cuba memperkosamu itu. Lihat dan tenung Nariko. Cincang mayatnya sepuas hatimu. Potong alat malunya. Cincang dan campak alatnya kepada beruang di sini. Pergi, pergi sekarang!” Arah Ayame seperti pemukau, dengan tangannya menolak tubuh Nariko dan cuba mendorongnya meneruskan pertumpahan darah itu.

 

“Ayame, hentikan!” Tengking Tokui.

 

Ayame tersentak. Nariko terhenti. Ayame seraya menoleh, kala itu juga Nariko kekal terkaku di tempat dia berdiri, seperti boneka yang ditinggalkan tok dalangnya kerana tok dalangnya mahu ke tandas sebentar. Mata Ayame merah merenung Tokui.

 

“Engkau, Tokui? Apa kaubuat di sini? Bukankah telah aku nasihatkan tempoh hari agar engkau tidak mengekoriku?”

 

“Ayame pulang sekarang. Bapamu memanggil engkau pulang.”

 

“Pulang? Pulang dan hidup di bawah telunjuknya? Oh tidak. Aku akan membina rumahku di sini. Engkau Tokui, engkau pun harus hidup mengikutku di sini. Engkau tak mahu?” Soal Ayame seraya merenung Tokui dalam-dalam.

 

Tubuh Tokui terkaku, sukmanya tergoncang, mata terkunci pada pandangan Ayame sekelip mata tanpa diduga. Saat itu dia merasakan seolah jasadnya dipegang erat Ayame, seperti seolah tubuh gadis itu punya seribu pasang tangan halimunan yang memegang dan mengawal setiap urat dan sendi tubuhnya bak boneka, dan mengisi menyeluk segenap celah dan ceruk tubuhnya termasuk pada kelangkang dan tempat malu. Tempat malunya dipegang-pegang dan diramas-ramas. Rasa syahwat menggelora, dia mahukan Ayame sesungguh-sungguhnya. Dia tidak pernah merasa keinginan bersatu dengan Ayame terlalu agung dan menggoncang jantungnya bak prahara sehingga saat ini, saat dia merenung wajah itu, yang pada saat ini tampak sungguh jelita, bercahaya bak mentari pagi, bak bidadari baru turun dari kayangan, bak puteri bunian dari dalam hutan yang gelap dan misteri di Aokigahara di kaki Gunung Fuji. Merahnya ulas bibir itu, putihnya pipi yang gebu itu, hidungnya, matanya menelan merasuk menakluk segenap jiwa dan raga. Cahaya benderang meliputi seluruh jasad Ayame, tubuh Ayame seolah telanjang pada mata Tokui meski beryukata penuh.

 

Aku serahkan seluruh jiwa dan ragaku untuk Ayame. Ikrar Tokui pada saat itu.

 

“Aku mahu tinggal di sini, Ayame-san.”

 

“Bagus Tokui, engkau budak yang baik. Sekarang, Tokui. Pergi halau rakan-rakanmu yang tidak sebulu dengan kita. Pergi sekarang!”

 

Hatsuki menyedari Tokui memandangnya. Tokui berjalan laju dengan pedang terhunus menuju ke arah Hatsuki.

 

“Tokui... apa benda ni?! Aku tidak sebulu denganmu? Tokui!” Hatsuki melaung cuba menyedarkan Tokui yang bergerak seolah dalam keadaan dikawal Ayame.

 

Melihatkan tindakan Tokui seolah sama sepertimana yang berlaku ke atas Nariko, Hatsuki tidak berlengah seraya mengeluarkan pedangnya dan menghentak bilah itu pada pedang Tokui sehingga terpelanting. Natsuki turut bersedia melindungi dirinya jika Tokui beralih arah.

 

Telahan Natsuki menjadi kenyataan. Tokui meluru ke arahnya, dan cuba menetak Natsuki namun Natsuki berjaya menahannya. Pedang mereka melekat, Natsuki merapatkan wajahnya ke Tokui. Mata saling bertentangan.

 

“Tokui, apa sedang kaubuat?”

 

Tokui tidak menjawab. Anak matanya seolah tidak menumpu pada wajah Natsuki meski seluruh wajah menghala ke arahnya. Sementara itu Hatsuki di kejauhan bergerak menghampiri Ayame.

 

“Ayame hentikan.” Gesa Hatsuki yang berjarak hanya sedepa dari Ayame.

 

Ayame tidak berganjak, matanya masih terpaku dan menumpu pada Tokui. Ke mana Tokui bergerak, mata Ayame akan mengekorinya.

 

“Ayame hentikan! Kami datang untuk membantumu. Apa yang kaubuat dengan Tokui?!” Hatsuki membentak.

 

“Kalian beredar dari sini sekarang.”

 

“Jika itu yang kaumahukan, maka kami akan pulang. Kami ke sini hanya kerana diminta Tokui.”

 

Sou? Jadi berambus dari sini.” Arah Ayame dingin.

 

Hatsuki tidak berlengah seraya menarik Natsuki keluar dari pertarungan dengan menolaknya ke tepi. Pedang-pedang mereka terungkai. Tokui terundur, dan Natsuki menepi.

 

“Apa kaubuat?”

 

“Tiada guna Natsuki, tiada guna. Ayame tidak perlu dilindungi. Sia-sia kita datang ke sini! Bahkan Tokui kini diperalatnya pula!”

 

“Maksudmu...”

 

“Tokui yang engkau lawan tadi bukan Tokui. Dia dibonekakan Ayame dengan matanya.”

 

“Ha?”

 

“Itu yang jelas di mataku. Seolah Ayame-san punya sihir.”

 

“Jadi apakah kita patut pulang sekarang?”

 

“Semestinyalah! Nampaknya, melihatkan tertumpasnya ronin-ronin itu, seluruh Yokuma kini adalah kawasan Ayame. Natsuki, Ayame bukan lagi Kogen. Kogen tidak menceroboh kawasan ini tanpa sebab, Kogen tidak akan memprovokasi semua ronin ini. Ayame bukan setakat menceroboh kawasan ini dan memprovokasi mereka bahkan menumpahkan darah! Lihatlah... lautan mayat tak sempurna di merata tempat.” Hatsuki memandang mayat-mayat tidak sempurna di lantai hutan bergelimpangan. Nun di kejauhan Nariko sedang mencangkung menatap segenap pemandangan tanpa reaksi, hanya memandang kaku seolah jiwanya turut sama mati bersama mayat-mayat itu. Nariko masih tenggelam dalam samudera keliru yang melemaskan.

 

“Aku ingat engkau yang beriya benar mahu ke sini demi Chisato.” Gumam Natsuki

 

“Lupakan Chisato. Aku fikir dia pun telah dikawal Ayame seperti Tokui.”

 

“Maksudmu? Di mana Chisato sekarang?”

 

“Dia sedang tidak sedarkan diri di sana, sedang duduk di balik busut.” Hatsuki menunjuk ke arah sebuah busut kecil di tengah hutan sugi itu, dan menyambung, “Engkau fikir semua pertumpahan di sini normal? Semua ini gila, gila! Skuad Sakura telah gila! Semua ini perbuatan Ayame, sedang pasukannya itu telah dibonekakannya. Aku tak fikir aku boleh menyelamatkan Chisato sekarang. Kita harus pulang dan bertanyakan Koichi tentang semua ini, atau mungkin Shinji. Selepas itu kita akan kembali.”

 

Mereka berdua berkuda sehingga tiba di tempat di mana Konoe terbaring dan kumpulan pertama para ronin yang disembelih Ayame dan ahli Skuad Sakura yang dibonekakannya. Konoe yang sedang nazak mengangkat tangan minta diselamatkan. Natsuki memberhentikan kudanya.

 

“Mengapa engkau berhenti, Natsuki?”

 

“Lelaki itu masih hidup.”

 

**

 

Tokui tiba-tiba berhenti dan terpinga-pinga, seolah baru sedar dari lamunan, tangannya masih memegang pedang. “Kalian, mahu ke mana?” Laungnya sedang Hatsuki dan Natsuki sudah pun jauh ditenggelami hutan.

 

“Bukankah kita datang untuk...” Gumam Tokui terhenti kala pandangannya dilintas mayat-mayat bergelimpangan di lantai hutan.

 

“Lupakan rakan-rakanmu itu Tokui. Mengapa engkau membawa mereka? Engkau ingin menyelamatkan aku?” Soal Ayame diiringi senyum sinis. Tangannya memegang bahu Tokui.

 

Tokui menoleh dan matanya bertentang mata Ayame, langsung melekat.

 

“Ya.” Jawabnya tanpa berkedip.

 

“Kerana apa engkau mahu menyelamatkanku?”

 

“Kerana bapamu meminta engkau pulang.”

 

“Pembohong.”

 

“Aku tidak menipu. Aku menurut arahannya.”

 

“Pembohong!” Ayame membentak. Kedua-dua belah tangannya memegang bahu Tokui, dan dia memandang tepat Tokui seraya menyoal lagi, “Kerana apa, Tokui?”

 

Tokui diam.

 

“KERANA APA?!”

 

“Kerana aku cintakan engkau.” Jawab Tokui dengan mata terpaku pada Ayame, anak matanya seolah tidak langsung menumpu pada Ayame, sepertimana ketika dia bertarung dengan Natsuki tadi. Maka alasan yang dikemukakan itu barangkali tidak asli, hanya lahir dari kawalan Ayame. Ayat pengakuan cinta yang sintetik, yang dipaksakan sendiri oleh Ayame, seolah memaksa Tokui meluahkan makanan yang menyekat kerongkongnya dengan paksa. Ayame mencipta delusinya sendiri. Ayame dahagakan kasih dan sokongan. Namun kasih dan sokongan yang palsu sahaja yang mampu diraihnya, dengan kuasa yang dimiliki itu. Hanya delusi yang mampu diraihnya setakat ini. Namun andai Tokui dan lain-lain ahli Skuad Sakura yang berjaya ditahan di sini dipergunakan untuk satu masa yang lama, barangkali Ayame boleh mengharapkan ia berkekalan dan berlanjutan tanpa perlu kepada kuasa itu lagi, dengan memerangkap mereka dan membuang naluri kemanusiaan mereka. Ini hanya permulaan, getus Ayame. Aku akan menanam kesetiaan ini agar ia menjadi sebuah kesetiaan yang ikhlas.

 

Ayame memejamkan mata, kemudian membukanya. Selepas itu dia ketawa terbahak-bahak sehingga bergema di serata pelusuk hutan. Nariko yang sedari tadi mencangkung di tepi gelimpangan mayat, datang meluru dan memeluk Ayame. Ayame menolaknya sehingga terjelepok gadis itu ke tanah.

 

“Tunduk kalian semua. Mulai hari ini aku adalah pemilik Yokuma. Sesiapa yang tidak bersetuju denganku, tinggalkan pergunungan ini!”

 

Tokui dan Nariko tunduk menyembah Ayame, diikuti Hotaru dan kemudian ahli Skuad Sakura yang lain, termasuk Chisato dan adik-adik kembarnya.

 

**

 

“Natsuki, abaikan. Ayuh kita harus segera pulang.”

 

“Hatsuki, dia masih hidup!” Natsuki terjun dari kudanya. Hatsuki mengeluh seraya memberhentikan kudanya.

 

Natsuki merapat ke arah Konoe. Tangan Konoe mengisyaratkan dalam lemah agar dia mendekatkan telinga ke mulutnya. Hatsuki masih berdiri, hanya melihat sambil berpeluk tubuh.

 

“Hutang darah dibayar darah. Mampus kalian penceroboh, mampus kalian...” Bisik Konoe lemah, sejurus itu matanya terkatup, tangannya kaku, tiada lagi nafas dihela.

 

“Argh...” Hatsuki terjelepok. Belakang tubuhnya ada panah tercacak. Dari belukar kedengaran bunyi ia diredah selajunya, satu kelibat dengan kelongsong panah di belakangnya melarikan diri dengan pantas. Natsuki menoleh, mendapati Hatsuki sudah terbaring berlumuran darah, mata putih naik ke atas. “Hatsuki...Hatsuki!” Jerit Natsuki. Dia perasan kelibat yang melarikan diri meredah semak itu namun keadaan Hatsuki menuntutnya agar tidak meninggalkannya.

 

“Hatsuki... Hatsuki!” Natsuki menggoncang tubuh kembarnya itu.

 

“Aku dah cakap... aku dah cakap...” Ujar Hatsuki dalam lemah. Mulutnya mengeluarkan buih putih. Panah itu nampaknya sudah diracun. Kurang beberapa saat, nafas Hatsuki terhenti. Nadinya lenyap. Hatsuki telah mati dibunuh pemanah Konoe.

 

“Hatsuki!” Raung Natsuki, diikuti esak tangis.

 

**

 

Usai mengebumikan Hatsuki, Natsuki bertafakur di sisi pusaranya. Dia mengenang kembali bagaimana Hatsuki boleh dibunuh, sedangkan mereka baru sahaja tiba di sini dan langsung tidak terlibat dalam pembunuhan besar-besaran pasukan ronin Konoe itu. Mereka ke sini hanya untuk membantu Tokui menyelamatkan Ayame yang katanya sedang ditawan.

 

Dia mengingat kembali bagaimana mereka berdua yang merupakan satu-satunya anak kembar, dibesarkan di sebuah rumah perlindungan Kogen di Shinagawa dan sentiasa ke mana-mana bersama-sama. Mereka hidup di situ sejak kecil, dan tidak mengetahui siapa ibu dan bapa sebenar mereka. Selepas menginjak lapan belas tahun, mereka berkhidmat untuk Kogen dan membantu mana-mana misi Kogen yang memerlukan mereka. Lokasi Hidagawa yang terpencil menuntut khidmat mereka yang arif selok-belok laluan dalam pergunungan itu.

 

Jika kami tidak terlibat dalam pembunuhan mereka, apa yang membuatkan mereka mahu membunuh kami? Apakah kerana pemanah mereka melihat kami bersama Ayame tadi? Dari situ mereka mungkin beranggapan kami sepasukan dengan Ayame? Maka dari itu mereka membalas dendam terhadap Ayame dengan membunuh Hatsuki?

 

Maafkan aku Hatsuki. Maafkan aku membawamu sekali terjerat dalam helah mereka. Ini semua salah Ayame. Salah Ayame yang memulakan tragedi ini, yang sengaja menjolok sarang tebuan. Ayame mesti bertanggungjawab atas kematianmu. Ayame harus membayarnya. Aku akan membunuh Ayame. Aku akan pastikan dia membayar harganya.

 

**

 

Natsuki kembali ke tempat Ayame, dan mendapati semua pengikutnya sedang sujud menyembah bumi dengan Ayame di tengah-tengah berdiri. Dia memandang Tokui dan menyumpah-nyumpah dalam hatinya. Kami datang ke sini kerana engkau Tokui! Bentak Natsuki dalam hati. Namun apakan daya, malang itu tidak berbau.

 

“Apa yang engkau buat di sini, Hatsuki? Bukankah kaukata engkau akan tinggalkan tempat ini?” Soal Ayame, menyangkakan Natsuki itu Hatsuki kerana rupa paras mereka yang hampir serupa.

 

“Aku mahu menyertaimu, Ayame-san.”

 

“Oh begitukah. Mengapa engkau tiba-tiba mahu menyertaiku, Hatsuki? Apa yang mengubahmu?”

 

Berderau darah Natsuki mendengarkan nama Hatsuki disebut. Hatsuki itu kembarnya yang baru dibunuh. Air mata hampir tumpah namun dia mampu bertahan.

 

Aku menyertaimu kerana aku mahu membunuhmu! Getus Natsuki dalam hati.

 

“Aku mahu membersihkan Kogen sepertimana Skuad Sakura.” Natsuki memberitahu alasannya dengan tegas.

 

“Oh ya, di mana rakanmu?”

 

“Telah mati dibunuh musuhmu.”

 

“Jadi engkau mahu membalas dendam terhadap mereka?”

 

“Ya.”

 

“Tadi engkau kata mahu membersihkan Kogen. Mana satu yang betul?”

 

“Erm, kedua-duanya.”

 

“Tapi Hatsuki, semua pasukan musuhku Konoe itu, telah mati kami sembelih. Jadi siapa lagi yang engkau boleh bunuh untuk membalas dendammu?”

 

“Ada seorang lagi yang masih hidup!” Tegas Natsuki, menyedari Ayame sedang mencungkil alasan tersembunyinya dan seolah mengetahui motif sebenarnya. Natsuki memandang ke arah Tokui yang masih menyembam muka ke tanah, seolah dia mahu melampiaskan dendamnya ke arah Tokui, dan mengharapkan Ayame termakan umpan itu.

 

Dalam hati Natsuki berbisik, konflik ini tidak akan berlaku jika engkau tidak memulakannya, Ayame! Aku akan bunuh engkau dengan tangan sendiri! Juga Tokui!

 

“Engkau tak rasa semua ini salahku, Hatsuki?” Duga Ayame lebih dalam. “Engkau tak rasa aku patut dihukum kerana memulakan semua ini?”

 

“Tidak... aku hanya perlu bunuh pembunuh Hatsuki.” Natsuki menahan getar dalam suaranya, Ayame begitu tajam. Ayame seolah tahu apa muslihatku!

 

“Hatsuki? Bukankah itu namamu?”

 

“Namaku Natsuki. Hatsuki itu kembarku yang mati dibunuh!”

 

“Oh, aku tersilap! Benarlah, wajah kalian hampir serupa. Maaf. Jadi? Engkau tidak akan membalas dendam dengan membunuhku?” Soal Ayame berbaur sinis.

 

“Ya.” Ya, aku akan membunuhmu jua!

 

“Baiklah. Selamat datang ke dalam pasukanku.” Ujar Ayame kebodoh-bodohan. Siapa tahu Ayame mungkin telah menghidu motif Natsuki dan berlakon bodoh atau mungkin dia sememangnya naif.

 

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov