Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 21

Hanya sekali itu sahaja Ryouji bermimpi perkara menakutkan yang melibatkan Kiku. Namun mimpi begitu telah menyedarkannya, bahawa dia harus melakukan sesuatu di sini, di dunia ini, selagimana dia masih hidup, dan dia tidak harus mensia-siakan masa dan peluang yang ada. Dia disedarkan bahawa memilih Kiku yang telah sebenar-benarnya tiada di sini hanyalah pilihan berdelusi, pilihan yang tidak realistik. Kiku telah mati, telah mati. Hanya mereka yang hidup di dunia ini sahajalah yang menghidupkannya, dengan membayar hutang-hutang mereka, termasuklah hutang darah. Hanya dengan itu sahaja, Kiku akan kekal hidup dalam sanubari.

 

Ryouji tidak boleh mati sekarang. Dia harus menuntut bela kematian Kiku dan menemani Hisamiko.

 

Ryouji harus bangkit dari perbaringan dan mula merancang. Secepatnya esok.

 

Namun mimpi demi mimpi tentang Kiku melengah-lengahkan Ryouji. Dia lebih rela tidur demi bertemu Kiku. Dalam dua ratus mimpi itu, hanya satu sahaja mimpi yang mana dirasakan Kiku yang itulah Kiku isterinya. Yang lain semuanya mainan tidur, semua akuma, semua syaitan yang cuba menyerupai isterinya. Selain berakhir dengan perkara menakutkan seperti di padang lalang ogi itu, banyak juga dari mimpi-mimpi itu terputus akibat Ryouji dikejutkan wanita pelayan yang dihantar Hisamiko untuk melihat-lihatkannya.

 

Aku bukan sakit atau gila, getus Ryouji. Hisamiko tidak perlu menghantar mak cik ini menjagaku. Aku hanya mahu berehat pada mulanya, dan sekarang selepas beberapa mimpi itu, aku hanya mahu tidur demi mendapatkan mimpi sebenar. Aku akan makan bilamana aku lapar. Dia tidak perlu risaukan aku.

 

Disebabkan itu, pada suatu hari, Ryouji bangun dari perbaringan, dan meninggalkan Akiko, wanita pelayan tua itu, tanpa pengetahuannya, demi duduk di sisi kubur Kiku. Dia mahu tidur di sana dengan aman, tanpa gangguan. Mungkin, dengan tidur di tepi kubur Kiku, Kiku yang sebenar akan hadir.

 

Tidak disangka-sangka, mimpi bertemu Kiku yang sebenar menjadi kenyataan. Setelah meredah seratus sembilan puluh sembilan mimpi dengan ‘Kiku’ jelmaan akuma, Kiku yang sebenar hadir buat julung kalinya.

 

Hanya Kiku ini sahaja yang benar-benar Kiku, getus Ryouji. Perwatakannya tidak akan mampu menipuku, dia satu dalam sejuta. Kiku yang sebenar muncul di hadapanku tiba-tiba. Dia lain dari mimpi-mimpi lain. Perkara pertama yang aku dapati ialah riak wajahnya, Berbanding mimpi-mimpi lain, Kiku yang ini berkerut kerisauan melihatkanku. Dia terus meluru dan memegang wajahku dan bertanyakan mengapa pipiku begitu cekung, apakah aku cukup makan selepas pemergiannya? Ini watak Kiku yang tiada dalam mimpi-mimpi lain.

 

Kiku mengalirkan air mata sedang tangannya masih memegang pipiku. Tiada tutur aku rindu engkau aku rindu engkau. Tiada. Hanya tindak balas automatik yang lahir dari sanubari, citra kasih yang sekian lama terempang dek benteng antara nyata dan ghaib.

 

Latar kemunculan Kiku dalam mimpi ini ialah rumah kami. Tiada padang lalang aneh. Tiada latar di atas gunung atau di tepi pantai. Hanya rumah kami itulah yang ada bangku menghadap sawah padi itu, di mana kami duduk berdua-duaan buat kali terakhir.

 

Kami duduk dan bersembang panjang. Nada dan suara, lenggok dan gerak tubuhnya perlahan-lahan kembali mewarnai kenangan lama dirinya dalam kotak memori yang hampir kelabu dan usang. Ia menyegarkan dan mengingatkan bahawa Kiku pernah benar-benar hidup dan mencintai dan dicintai dan bukan berpura-pura mencintai seperti watak-watak Kiku dalam mimpi terdahulu. Aku yakin Kiku yang inilah yang harus aku percayai. Dan dari mimpi-mimpi lepas, aku sedar aku di alam mimpi dan aku tidak harus terjerat dengan alam ini. Aku perlu kembali. Lantas sebelum aku pulang, aku tanyakan kepadanya apa yang boleh aku lakukan untuknya di dunia. Dia tidak meminta aku membalas dendam terhadap Tatsuya. Ya, dia sememangnya Kiku! Kiku tidak berdendam, Kiku tidak berhasad dengki, Kiku terlalu murni untuk itu.

 

Hanya satu yang dia pinta, agar aku hidup dengan kebaikan. Berbakti kepada orang sepertinya yang dianiaya.

 

“Aku ingin bertemumu semula, dengan engkau membawa kebaikan-kebaikanmu ke sini. Sebab hanya Ryouji yang baik itulah yang aku cintai. Ryouji, usah sekali-kali dikuasai api dendam.”

 

Aku menitiskan air mata mendengarkan permintaan Kiku. Inilah Kiku, tidak syak lagi. Bagaimana isteri sebaik itu ditarik Tuhan terlalu awal, ditarik keluar dari dunia ini kala menggadaikan nyawanya demi menyelamatkanku? Air mata jantanku melimpah membasahi tanah pusara, moga ia meresap dan sampai ke jasad Kiku dan rohnya yang menerawang alam abadi. Aku harapkan inilah kali terakhir air mataku tumpah untuknya, kerana selepas ini aku akan terus hidup demi meneruskan legasinya yang sesingkat kerdipan mata. Aku tidak boleh terus bersendirian dan berbaring di rumah. Aku tidak boleh terus berbaring dan menangis seperti manusia lembik. Lagipun bukankah aku sudah banyak kali mengalami kematian?

 

Terima kasih Kiku kerana pernah hidup bersamaku. Hidupmu adalah kekuatanku yang sebentar, namun pemergianmu adalah kekuatanku yang abadi, meski hati ini terlalu berat untuk melepaskanmu.

 

Sebaik tersedar dari mimpi, Ryouji mengepal tanah yang mengandung jasad Kiku, dan melumur ke serata wajahnya sehingga hitam seluruhnya, bersememeh wajah dengan kesan tanah dan air mata yang bercampur-baur, bau hanyir tanah menikam deria hidu.

 

Meski aku tidak lagi memikul sumpahan hayabusa di belakangku, aku memikul hutang nyawa yang maha berat, jiwa-jiwa penting itu yang telah pergi. Aku tidak akan berhenti. Sekuntum bunga kekwa yang gugur, seribu kuntum akan aku cambahkan dan pastikan ia mekar menghias bumi Yamato ini. Aku akan memperkukuh kuasa Maharaja, akan aku bantu baginda menegakkan kembali undang-undang dan membela mereka yang lemah dari penindasan bekas samurai Hamada. Hidup takhta kekwa. Hidup Maharaja! Banzai!

 

Dia termenung sebentar menyedari betapa janggalnya perlakuan menyapu tanah ke muka itu, sebelum menyedari ada buntil kain yang diikat kain putih bertuliskan ‘untuk Okuhida Ryouji’ diletakkan di tepi kubur Kiku.

 

Dia ligat menoleh kepala ke sekeliling, kala merasakan dirinya diekori. Apakah dia diekori Tatsuya? Atau Shinji? Atau orang-orang Koichi? Dahulu Shinji pernah berpesan bahawa Koichi bakal memanggilnya pulang. Sekarangkah? Ketika dia sedang masih bergelut dengan kematian Kiku?

 

Ryouji pulang ketikamana Akiko masih di luar mencarinya. Lalu dia terus masuk ke bilik senyap-senyap sebelum Akiko tiba dan berpura-pura tidur. Sebelumnya, Akiko telah memberitahu Hisamiko yang Ryouji hilang dari perbaringan. Hisamiko pulang hari itu dan ke bilik Ryouji, mendapati dia masih di situ. Akiko yang mengikut Hisamiko turut terperanjat besar. Hisamiko cuba bertanyakan Ryouji ke mana dia menghilang. Namun seperti biasa, tiada jawapan dari mulutnya. Ryouji tetap berbaring tanpa mempedulikan Hisamiko.

 

**

 

Orang ramai di pekan Gero berkerumun di hadapan papan kenyataan di tengah-tengah pekan itu. Semua kelihatan tercengang menatap banyak poster yang sama, ditulis dengan kaligrafi dan dakwat hitam, bertampalan pada papan kenyataan melitupi poster-poster pengumuman lama, termasuklah poster lama yang bermesej dari Maharaja.

 

“Kamu telah dizalimi, namun tiada saluran undang-undang yang boleh diharapkan? Kalian tiada tempat mengadu kezaliman ke atas kalian? Kami akan membantumu, selepas kalian melaporkan kes kalian dan membuktikan kalian benar dianiaya. Kami akan memberkas sesiapa sahaja yang kamu fikir telah menzalimimu, dan menghantarnya ke Kogen untuk dibicarakan.” Begitulah bunyinya rangkap pertama tulisan pada poster baru itu.

 

Ada yang mengetawakan poster itu. “Joudan jyanai ka (lawakkah ini)? Ini poster orang gila. Jaga-jagalah, entah-entah penipu saja ini kalian!”

 

Rakannya menyambut, “Disuruh kita bertemunya, sekali kita pula diculiknya!”

 

Dia dan rakannya ketawa.

 

“Cabut, cabut poster-poster bodoh ni!”

 

Mereka mula mencabut poster-poster itu. Orang ramai lain yang berkerumun di situ turut sama mencabutnya.

 

“Haih, kita sudah ada pasukan polis, mengapa tidak sahaja dia masuk pasukan polis jika ingin benar menegakkan kebenaran?” Gumam seorang lelaki yang turut sama mengoyak poster-poster itu.

 

Ada seorang dua yang mengambil poster itu dan membawanya pulang. Di pertengahan jalan pulang, salah seorang yang mengambil poster itu membaca perenggan kedua mesej padanya yang berbunyi:

 

“Jika kalian berminat, temui kami di dalam gudang kosong tepi hutan buluh di Kuil Gozen, tengah malam dua hari dari sekarang. Bawa poster ini bersama.”

 

**

 

Kuil Gozen terletak di atas sebuah bukit di utara Gero. Ia kuil Shinto pertama yang akan ditemui pengembara yang menyusur Sungai Miya dari utara.

 

Tengah malam hari itu, Sami Fukuyama yang menjaga Kuil Gozen menyedari beberapa orang memanjat tangga kuil ke dalam gudang kosong di tepi hutan buluh di belakangnya. Gudang itu hanyalah sebuah dewan terbuka yang tidak pernah dikunci dan boleh digunakan untuk tujuan latihan seni mempertahankan diri termasuk kendo. Namun penggunaannya haruslah dimaklumkan kepada Sami Fukuyama dahulu. Dua hari lepas seorang remaja lelaki telah menempahnya selama sehari dari siang sehingga pagi esoknya, iaitu pada hari ini. Maka Fukuyama pun mengosongkan dewan itu selama sehari.

 

“Barangkali jemputan-jemputan remaja itu sudah pun tiba. Mengapa tengah malam? Aku tahulah dia tempah sehari. Aku fikir dia mahu menggunakannya di waktu siang. Namun rupanya waktu malam buta? Oh, aku mengantuk dan mahu tidur...”

 

Dek risau yang tidak henti-henti, akhirnya Sami Fukuyama terpaksa menahan mengantuk dan keluar dari bilik tidurnya. Dia memerhati dari jauh. Kedapatan lima orang sedang memasuki dewan tersebut, berpakaian yukata biasa.

 

Ryouji turun dari atas bumbung dewan perlahan-lahan tanpa bunyi dengan berpakaian serba hitam namun tidak menutup wajahnya, sejurus selepas hadirin terakhir memasuki dewan, memeranjatkan Sami Fukuyama yang sedang memerhati dari persembunyiannya. Wajah Ryouji jelas disinar rembulan purnama. Ryouji menutup wajahnya sebaik sebelum memasuki dewan, dan Sami Fukuyama sudah pun merakam wajahnya. Bunyi krek yang panjang kedengaran kala pintu dewan ditutup.

 

Budak itu! Getus Sami Fukuyama. Budak yang membuat tempahan dewan itu! Kenapa dia turun dari bumbung, dan berpakaian serba hitam? Budak ini ninjakah?

 

Teruja ingin tahu, Sami Fukuyama keluar dari persembunyian dan berjalan menjengket kaki. Dia berdiri di tepi pintu yang sedang ditutup, dan telinganya ditekap pada celah pintu demi menangkap suara dari pertemuan itu.

 

“Kalian datang kerana poster-poster itukah?” Soal Ryouji kepada semua hadirin.

 

“Ya.” Jawab semua hadirin. “Namun kami perlukan pengesahan yang engkau tuan empunya poster.”

 

“Kalian membawanya sekarang?”

 

“Ya.”

 

“Lipatkan seperti apa yang aku buat. Ia akan membentuk tulisan kod, bermakna hayabusa.”

 

Mereka melipat seperti apa yang diajar Ryouji. Tatkala kertas poster itu dilipat, tulisan-tulisan sedia ada membentuk satu tulisan kanji baru, yang bermakna hayabusa.

 

“Jadi, apa kebolehanmu yang membolehkan engkau membantu kami?” Salah seorang hadirin bertanya.

 

“Aku tahu kaminari-no-kaze.”

 

“Tunjukkan.”

 

Serta-merta Ryouji hilang. Semua hadirin kepingaan.

 

“Apa kalian tercari-cari? Aku di belakang.”

 

Mereka menoleh, dan mendapati Ryouji benar ada di belakang mereka. Maka sedarlah mereka akan siapa Ryouji.

 

“Penipu. Engkau ahli sihir!” Seorang dari hadirin meluru tiba-tiba dari khalayak dengan pedang terhunus dan langsung dihentak ke atas Ryouji, namun Ryouji mengelak dengan pantas. Pertarungan berlangsung beberapa ketika namun hanya beberapa saat sahaja pedang lelaki itu sudah tercampak ke tepi dan dia tertiarap di atas lantai dewan, lengannya dikunci Ryouji.

 

Suara-suara kagum menerawang dari khalayak.

 

“Kalian, seni yang telah aku pamerkan ini adalah seni kaminari yang dicipta seorang petarung Kogen, bernama Okuhida Mitsuo. Apakah kalian pernah mendengar namanya?”

 

Khalayak bersoksek-soksek, cuba menyoal rakan-rakannya.

 

“Bukankah dia penyumbang dana utama Kogen?” Salah seorang hadirin memberi pendapatnya.

 

“Benar. Aku pernah menuntut dengannya. Namun identitiku tidak penting. Apa yang penting sekarang, dengan kaminari-no-kaze ini, aku akan membantu kalian. Tanpa perlu wang pendahuluan. Selepas aku menangkap mereka, barulah kalian membayarku.”

 

Habis bicara, Ryouji melepaskan kunci lengan ke atas hadirin yang ditumpaskan itu, menariknya kembali berdiri dan memintanya kembali ke dalam khalayak. Lelaki itu kembali dengan akur.

 

Lelaki yang baru bertarung dengan Kogen itu terhenti berjalan sebaik teringat tawaran Ryouji yang tidak meminta wang pendahuluan. Dia seraya menoleh memandang Ryouji dan bertanya sinis, “Oh begitukah katamu? Bahawa kami tidak perlu bayar pendahuluan, sungguhkah?”

 

“Ya.” Dan aku tidak kisah langsung jika kalian tidak membayarku. Kerana aku hanya mahu merawat diriku. Aku masih sakit, dan aku tidak tahu bila sakit ini akan memakan diriku dari dalam. Begitulah gema suara Ryouji dalam hatinya.

 

“Engkau sungguh baiklah budak.” Lelaki yang bertanya sinis itu menambah, dan ketawa kecil.

 

“Beritahu aku apa yang kalian mahu dibantu. Bermula dengan kamu!” Ryouji mengunjuk ke arah lelaki yang baru bertarung dengannya tadi.

 

“Oh benar? Engkau mahu membantuku?”

 

“Jika kau tak mahu tak mengapa. Dan tak usahlah kau bersusah-payah datang ke sini.” Balas Ryouji.

 

“Aku mahu berbincang denganmu sahaja, di sudut itu.” Lelaki itu menuding ke arah satu sudut dewan.

 

“Baiklah. Kalian, aku dan lelaki ini akan ke sudut sana sebentar.”

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov