Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 16

Ryouji dan Hisamiko menunggang kuda masing-masing pulang ke Gero. Sepanjang perjalanan Ryouji banyak mendiamkan diri. Jelas Ryouji amat marah dengan tindakan Hisamiko. Hisamiko tidak berani memulakan kata, menunggang kudanya tetap di belakang Ryouji. Dia tahu dia pasti akan dimarahi cukup-cukup sebaik mereka sampai di Gero nanti. Betapa sayang abangnya tidak pernah luntur, sehingga mendorong dia berkuda sejauh ini dari Gero semata-mata demi memanggilnya pulang meskipun hari majlis perkahwinannya lagi dua hari.

 

Ketika mereka sampai, senja sudah pun lama berlabuh. Malam sudah pun larut. Pelita di hadapan rumah masih bernyala. Dari jauh, jelas kelihatan kelibat Kiku masih setia menunggu di anjung.

 

Okaerinasai, Ryouji, Hisamiko.” Kiku meluru dan memeluk Hisamiko. “Maafkan nee-chan, Miko-chan.”

 

“Mengapa engkau meminta maaf, nee-chan? Engkau tiada salah apa-apapun.” Ujar Hisamiko.

 

“Kerana aku telah merampas abangmu.” Kiku langsung menembak kata.

 

“Hah?”

 

“Maafkan aku.” Ujar Kiku sambil masih memeluk Hisamiko.

 

“Tiada apa yang perlu dimintamaaf Kiku nee-chan. Aku hanya mahu ke Nara. Aku bosan di sini.”

 

“Sudahlah Kiku. Biarkan dia berehat. Ayuh.” Ujar Ryouji seraya masuk ke dalam rumah tanpa memandang langsung mereka berdua.

 

Kiku dapat mengesan kemarahan Ryouji dari singkat bicaranya dan wajahnya yang dipalingkan. Dia membawa Hisamiko ke dalam rumahnya.

 

“Marah benar abangmu.” Bisiknya.

 

“Tahu. Sepatah katapun tidak dituturkannya sepanjang kelana kami.”

 

“Berehatlah dahulu Miko-chan. Aku telah panaskan air mandi dan bentangkan futon-mu.”

 

Hontou ni arigatou nee-chan.”

 

“Miko...” Kiku memusingkan tubuh Hisamiko yang kecil dan rendah darinya itu mengadapnya.

 

“Aku sayangkan engkau dan abangmu. Aku mahu engkau terus tinggal di sini. Aku tidak pernah berniat meminggirkanmu.” Air mata Kiku meleleh tiba-tiba.

 

“Hah?”

 

“Miko, bukankah itu yang engkau fikirkan?”

 

“Tidak.”

 

“Aku dapat membaca wajahmu Miko. Miko, jujurlah. Bukankah itu yang membawamu ke Nara?”

 

Jeda seketika, sebelum Hisamiko membalas perlahan, “Ya, sedikit. Tujuan utama aku ke sana kerana kebosanan di sini. Aku mahu keluar, nee-chan. Aku mahu melihat dunia yang luas ini. Mengapa onii-san sering menghalang dan mengurungku? Hanya sekarang sahaja, ketika dia sibuk ini sahaja aku berpeluang mencuri keluar.”

 

“Ryouji bimbang engkau akan diapa-apakan. Engkau satu-satunya ahli keluarganya yang tinggal.” Kiku meletakkan tangan di atas kepala Hisamiko, memandang wajahnya. Meskipun umur Hisamiko sudah lima belas tahun, ketinggiannya yang hanya lima kaki dan wajah kurang matangnya menyerlahkan penampilan kebudakan.

 

“Miko, ayuh. Nanti sejuk pula air mandi.”

 

Kiku memegang tangan Hisamiko, memimpin menuju ke dalam rumah.

 

**

 

Perkahwinan Kiku dan Ryouji berlangsung dengan lancar. Tidak disangka-sangka, keluarga majistret Nara yang bernama Motoba itu turut datang memenuhi jemputan Ryouji. Motoba Motokichi datang bersama isterinya, juga anak dan cucunya Motoba Kouki dan Masaru. Masaru tidak henti-henti mencuri pandang Hisamiko. Hisamiko perasan tindakan Masaru namun tidak mengendahkannya. Sebelum pulang Motoba Motokichi sempat memberikan buah tangan buat pasangan itu.

 

Masaru mengambil kesempatan mendekati Hisamiko.

 

“Hisamiko, ini.” Masaru menghulurkan sekotak hadiah kepada Hisamiko.

 

“Ah, arigatou. Engkau sungguh baik Masaru.”

 

“Tak adalah! Aku fikir engkau pasti sukakannya.” Masaru menggaru kepala yang tidak gatal dan tersengih-sengih, wajahnya merah. Jantung berdegup-degup kencang.

 

Hisamiko membuka kotak itu. Alangkah gembira hatinya tatkala melihat sepersalinan yukata.

 

“Wah, yukata! Di mana engkau menempahnya Masaru?”

 

“Adalah! Err, Hisamiko. Sungguh engkau sukakannya?”

 

Hontou! Daisuki! Arigatou Masaru!”

 

Doumo...” Lagi merah muka Masaru. Pantas dia berjalan laju meninggalkan Hisamiko menyertai bapa dan datuknya. Mereka melambai tangan sebelum bergegas memasuki kereta kuda pulang ke Nara. Masaru masih mencuri pandang Hisamiko dari tingkap kereta kuda.

 

“Pandang apa Masaru?” Tegur Kouki.

 

Masaru pantas memasukkan kepalanya ke dalam kereta.

 

“Hisamiko? Cinta hatimu itu?”

 

Otou-san!”

 

Kouki ketawa kecil.

 

**

 

Pada malam itu, selepas makan malam, Ryouji mengambil kesempatan berbual-bual kosong dengan bapa mertuanya Taihei. Bila lagi dia boleh berbual panjang dengan orang tua itu? Dia sudahlah jarang berada di sini.

 

“Aku dengar Kiku telah diculik ketika kalian keluar ke pekan tempoh hari.”

 

“Benar. Mujur dia tidak diapa-apakan.”

 

“Aku dengar penculik itu mencarimu. Benarkah?”

 

Berderau darah Ryouji mendengarnya. Namun dia tetap bertenang, dan menjawab, “Ya. Maafkan aku otou-san. Aku tidak menyangka mereka akan mengikutku sehingga ke sini.”

“Tidak mengapa Ryouji. Selagimana anakku bersamamu, selagi itu aku senang hati. Aku yakin dengan engkau Ryouji. Boleh kutahu siapakah mereka para penculik itu?”

 

Lega Ryouji mendengar jawapan bapa mertuanya.

 

“Mereka samurai kepada keluarga Gabenor Hamada Yoshinobu.”

 

Sou desuka. Aku fikir aku patut mengajar mereka sedikit.”

 

He?”

 

“Keluarga Hamada ialah pemilik utama syarikat perlindungan yang kucarum, iaitu syarikat insurans Furuya. Aku pencarum terbesarnya. Aku akan melakukan sesuatu bagi mengajar mereka.”

 

Ryouji mendiamkan diri. Ini sudah bagus, getusnya. Jika tindakan bapa mertuaku akan melemahkan kewangan mereka, ini sudah cukup bagus. Pelaku onar yang liat seperti keluarga Hamada ini harus diajar cukup-cukup sehingga mereka insaf. Lagi pula, dengan tekanan dari bapa mertuanya ini, ia bakal mengekang aktiviti pelaburan syarikat itu dalam kegiatan gelap seperti pemerdagangan karayuki.

 

“Gabenor-gabenor seperti mereka perlu diajar. Jangan ingat mereka masih lagi samurai. Samurai sudah tiada. Zaman ini zaman wang. Siapa yang berharta maka mereka yang berkuasa. Bukan lagi siapa yang berpedang.” Celoteh Tokizawa.

 

Ryouji hanya mengangguk, namun dia agak keliru dengan falsafah yang baru diutarakan Tokizawa. Zaman wang? Dia mula menemuramah Tokizawa. Banyak juga yang dicurahkan Tokizawa pada malam itu seperti sesi kuliah pula. Segala ilmu perdagangan dan insurans turut dicurahkan, sehinggalah kepada bagaimana dia mula berkecimpung dalam perdagangan sutera. Tokizawa seorang yang celik dan rajin membaca. Meskipun masyarakat Jepun tidak dibenarkan keluar dari negara ini, Tokizawa sudah mengembara ke serata pelusuk Jepun dan turut belajar dari pedagang dari Barat. Tokizawa sering bercerita tentang negara Eropah yang masih menjadi misteri kepada Ryouji. Pada Ryouji, Eropah yang diketahuinya hanya England dan Belanda. Namun kata Tokizawa, ada banyak lagi negara lain di sana yang jarang penduduknya ada di sini.

 

**

 

“Tatsuya, perjelaskan.” Gabenor Yoshinobu sedang duduk tegak di dalam ruang tamu. Wajah tembamnya merah menyala. Matanya menjegil seperti mahu membaham segala apa di hadapan. Dia baru sahaja mencampakkan surat yang diterima.

 

Tatsuya mengambil dan membaca surat itu. Ia dari syarikat insurans Furuya.

 

Jepun ialah bumi yang penuh risiko. Gempa bumi, letusan gunung berapi, taufan, tsunami, kebakaran besar, serangan perompak dan bekas samurai yang masih membawa pedang ke mana-mana, beserta kuasa politik Maharaja yang belum benar-benar stabil dan keselamatan awam yang masih belum mencapai kematangan, dengan pasukan polis masih kurang pengalaman. Mengendali perniagaan dalam situasi begini amat berisiko. Syarikat Furuya menawarkan perlindungan dalam bentuk pampasan kewangan kepada para peniaga yang mencarum dengannya, sekiranya mereka ditimpa musibah. Salah seorang dari pencarum itu ialah Yoshinobu dan syarikat gelapnya, dan juga syarikat dengan perniagaan yang sah seperti syarikat sutera Tokizawa.

 

Tatsuya meneliti simbol pada sampul surat dan mengesahkan ia dari Furuya. Dia membuka sedikit dan membacanya Ia berkenaan pemegang terbesar syarikat insurans Furuya, syarikat sutera Tokizawa yang menjual semua saham-sahamnya baru-baru ini. Bukan setakat itu, Tokizawa juga telah keluar dari keahlian dan berhenti mencarum kepada syarikat insurans itu.

 

“Agak-agaknya mengapa Tokizawa mengambil tindakan begitu, Tatsuya?” Yoshinobu merenung mata Tatsuya sebaik menyoal.

 

“Mungkin kerana Furuya tidak memberi pampasan seperti yang dijanjikan?”

 

“Aku tidak percaya. Semua musibah Tokizawa sewaktu berniaga telah menerima pampasannya. Aku pasti ada alasan lain.”

 

“Atau ada syarikat insurans lain yang menambat hatinya?”

 

“Tidak mungkin. Jika ada pun, ia jauh di Tokyo atau Osaka. Hanya Furuya yang berpangkalan di Jepun Tengah. Pampasan yang ditawarkan pun lebih lumayan berbanding syarikat di Tokyo dan Osaka.”

 

Yoshinobu menambah, “Aku fikir, Tatsuya, yang Tokizawa mungkin ada alasan peribadi.”

 

“Maafkan aku, apa kaitannya denganku, Yoshinobu-sama?”

 

“Engkau mengatur pertarungan Ryouji dan Saitou di kampung Tokizawa bukan? Engkau ada bertemu atau berbuat apa-apa dengan keluarga Tokizawa?”

 

Tatsuya diam, cuba memikirkan jawapan yang sesuai.

 

“Tatsuya?” Soal Yoshinobu lagi dengan kening terangkat. Jelas soalannya mendatangkan tanda-tanda meragukan pada riak Tatsuya yang mendorongnya mendesak.

 

Ah hai! (Ya!).” Spontan Tatsuya menjawab tatkala terlihatkan wajah Yoshinobu yang mengangkat kening dan mengerutkan dahi. Ada getar dalam nadanya. Ada getar dalam dadanya makin berombak menggoncang jasad.

 

“Berterus-terang denganku sekarang.”

 

“Er... aku telah... er...”

 

“Segera kisahkan!” Bentak Yoshinobu.

 

Hampir terkencing Tatsuya digertak tuannya.

 

“A... aku telah menculik anaknya Kiku sewaktu cuba menarik Ryouji bertarung dengan Saitou. Namun aku melepaskan Kiku kembali! Aku langsung tidak mengapa-apakannya.”

 

“Bodoh! Engkau tidak tahukah gadis itu anak kepada Tokizawa?”

 

“Aku benar-benar tidak maklum perkara itu Yoshinobu-sama. Maafkan aku! Ampun!”

 

Yoshinobu memejam mata, nafas dihembus kuat menerobos lubang hidung yang besar itu, seolah-olah cuba melepaskan api kemarahan yang marak dalam dada. Dagunya yang berlapis-lapis semakin lemas ditelan api kemarahan, memaksa dia melonggarkan sedikit kolar kimononya.

 

“Aku tidak kisah jika Tokizawa hanya menjual saham-sahamnya. Namun jika Tokizawa berhenti mencarum, Furuya bakal melingkup. Tokizawa paling banyak mencarum dengan Furuya.”

 

“Bagaimana jika kita cuba bertawaran dengan pedagang lain?”

 

“Bodoh engkau ini. Pedagang lain tidak mengambil insurans kerana barang dagang mereka kecil, tidak seperti Tokizawa yang merupakan tauke besar.”

 

“Tidak, maksudku pedagang Belanda?”

 

“Pedagang Belanda diinsuranskan syarikat di negara mereka. Saham-saham mereka dipegang pelabur di Pelabuhan Amsterdam.”

 

“Tidak, maksudku pedagang Belanda seperti van Nekk?”

 

“van Nekk sememangnya pencarum Furuya namun aku bimbang dia juga akan melarikan diri dari Furuya jika Furuya tidak lagi menguntungkannya. Untung besar datang dari modal besar. Modal besar datang dari pencarum besar, seperti Tokizawa. Dengan Tokizawa kini tiada, bagaimana mungkin Furuya mampu memberi untung besar kepada pemegang sahamnya termasuk aku?”

 

“Sebentar Yoshinobu-sama. Aku tidak fikir begitu tentang van Nekk. van Nekk diboikot negaranya sendiri. Jadi dia mencarum dengan Furuya dan tidak akan melarikan diri.”

 

“Diboikot negaranya?”

 

“Kerana dia telah menipu Raja Belanda dan lari dari membayar cukai hasil berdagang. Para pelabur di Pelabuhan Amsterdam tidak mendapat peratusan pelaburan yang dijanjikan van Nekk kepada mereka. Maka dia dihalang dari pulang ke negaranya.” Jelas Tatsuya.

 

“Begitukah?”

 

“Ya. Yoshinobu-sama. Itu yang kudengar dari rakan pengintipku di Dejima. Juga, aku mengesyaki Ryouji telah menghasut Tokizawa. Aku memohon kebenaranmu untuk mengambil nyawa Ryouji.”

 

“Jangan bunuh dia. Jika engkau lakukan, maka tamatlah khidmatmu denganku.”

 

Tatsuya terkedu menelan air liur.

 

“Tatsuya, aku mahu engkau tingkatkan pemasaran produk insurans Furuya. Tumpu kepada pedagang asing di pelabuhan Osaka, terutama dari Amerika. Gunakan van Nekk.”

 

“Berikan aku sedikit masa, Yoshinobu-sama.”

 

“Aku beri masa sebulan. Selepas itu aku mahu mendengar laporanmu.”

 

“Baik!”

 

Tatsuya menggenggam penumbuk ketika meninggalkan ruang tamu rumah Yoshinobu. Dalam hati dia memaki-maki Ryouji.

 

Aku tahu semua ini angkara Ryouji! Dia yang membongkarkan kepada Tokizawa hubungan kami dengan syarikat Furuya! Tak guna! Kuso! Aku pasti akan membunuhmu Ryouji!

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov