Saitou dan Tatsuya sudah jauh meninggalkan rumah perlindungan Takasaki. Mereka kini di hutan selatan Hidagawa yang berbukit-bukit, tempat Ryouji dan Shinji melaksanakan misi pertama mereka dahulu.
Mereka duduk di atas daun-daun kering dan bersandar pada sebatang pokok sugi.
“Engkau nampak apa yang aku nampak?” Soal Saitou.
“Nampak apa? Aku lihat engkau pucat tiba-tiba sewaktu bertarung dengan gadis itu. Apa yang berlaku sebenarnya Saitou?”
Darah Saitou melonjak ke otak. Nafasnya tambah mencungap. Jantung berdegup kencang hampir tercabut dari tangkainya. Bererti hanya dia seorang yang melihat lembaga itu!
“Aku melihat lembaga...”
“Lembaga apa? Saitou, usah bergurau denganku.”
“Jodan jya nai, hontou da (aku tidak bergurau)!” Saitou menggoncang-goncang tubuh Tatsuya. Wajahnya mengadap Tatsuya, matanya menjegil merenungnya. Dahinya berpeluh. Jelas dia amat serius. Tatsuya terperanjat dengan tindakan Saitou. Tidak pernah dia melihat samurai terhandal Hamada ini begitu pucat sekali wajahnya.
“Saitou, tenangkan dirimu. Beritahu aku, apa yang kaulihat. Aku berjanji akan mendengar.”
Saitou menarik nafas dalam-dalam, kemudian melepaskannya, cuba menenangkan diri.
“Aku melihat satu lembaga wanita di hadapan Hisamiko. Wajahnya sungguh jelita. Dia berpakaian yukata serba putih. Rambutnya panjang hitam namun ada jalur-jalur putih. Namun apa yang memeranjatkan, wanita itu punya siung, dan telinganya besar dan runcing menikam udara.”
“Terangkan lagi Saitou.” Tatsuya mendengar dengan tekun. Tidak pula dia mentertawakan Saitou. Barangkali dia tahu sesuatu berkenaan pemerhatian Saitou itu.
“Dia berada di mana-mana Hisamiko berada. Wajahnya sentiasa menghalang wajah Hisamiko seperti kabus.”
“Apakah engkau pasti ada sesiapa yang lain melihatnya? Ryouji contohnya?”
“Aku fikir Ryouji tidak dapat melihatnya. Tatsuya, apakah ini juga tanda-tanda seorang Kaisenjyo?”
“Aku tidak pasti. Namun berdasarkan kemahiran bertarungnya, aku fikir Hisamiko ialah petarung itu.”
“Namun bagaimana dengan Shirasaka Ayame?”
“Barangkali juga. Aku dengar anak Shirasaka Koichi itu juga sedang mengatur sesuatu. Aku dengar dia sedang merancang merampas Kogen dari datuk dan bapanya.”
“Maksudmu, dia merancang menggunakan Kogen bagi membina tapak kuasanya?”
“Besar kemungkinan.”
“Bagaimana pula dengan Higashihara?”
“Waris terakhir Higashihara ialah seorang budak lelaki. Apakah engkau tidak tahu peristiwa di Yokuma beberapa bulan lepas?”
“Aku tidak tahu. Aku masih di Kyushu pada waktu itu.”
“Waris itu mati kerana melindungi Ryouji dari pedang Suzuki Kenshou, salah seorang dari Empat Terbilang, ketika di hutan Yokuma.”
“Apa terjadi pada Suzuki?”
“Suzuki dibunuh Konoe.”
Saitou menepuk kepala.
“Tatsuya, jangan-jangan Konoe membelot Hamada?”
“Semestinya. Selepas dia tahu Hamada kehilangan kuasa halimunannya, dia mengumpul pengikutnya menangkap Hamada.”
Patutlah Yoshinobu-sama bimbang benar sehingga memanggilku kembali!
“Dan bagaimana Hamada ditumpaskan?”
“Dia tidak dapat ditumpaskan pasukan Konoe. Kogen turut menghantar pasukannya namun ramai mati di kubu Kobe itu. Kogen menghantar anak-anak Mitsuo itu dan begitu mudah sekali mereka menumpaskannya.”
“Apa terjadi pada mayat Hamada?”
“Berdasarkan saksi di tenshuu itu, Hamada tidak dibunuh mereka. Mereka sekadar menahan Hamada di tenshuu itu. Ketika Hamada mahu membunuh Ryouji dengan mencuri lempar pisau, pasu alatan tajam di atas para di belakangnya jatuh dan menghempap tengkuknya.”
Seriau Saitou mendengarkan kemalangan ngeri yang menimpa Hamada.
“Saksi itu memberitahu, Ryouji menghormati mayat Hamada itu dengan mengemaskan duduk mayatnya bersandar pada dinding dan menutup matanya.”
Ryouji... bagaimana engkau... sedangkan dialah yang membunuh bapamu.
“Apa lagi pemerhatian saksi itu?”
“Tanda hitam di tangan Ryouji hilang. Itu yang dia dengari dari perbualannya dengan Hisamiko. Tanda hitam itu membuatkannya sakit dan perlu dibantu Hisamiko.”
Saitou termenung panjang menghadam kisah-kisah dari mulut Tatsuya.
“Apapun, calon Kaisenjyo itu kini hanya ada dua kemungkinan. Sama ada Ayame, atau budak perempuan tadi.”
“Sejauh mana Ayame telah melaksanakan rencananya?”
“Setakat ini aku dengar dia kerap memintas sebarang pelan Koichi. Dia juga menubuhkan unit renegad. Hampir semua ahlinya wanita, dan hanya sebilangan lelaki. Namun kumpulan mereka masih kecil dan masih belum menjadi ancaman kepada Koichi. Engkau dengar bukan berkenaan Shizuo?”
“Aku mendengar dia membelot kita sejak akhir tahun lepas, beberapa hari selepas cubaan Hamada menculik gadis di Saikawa. Mengapa dengan dia?”
“Anak Noguchi-sensei telah dibunuh oleh penyamun. Shizuo nekad mahu berjuang bersama Kogen selepas peristiwa itu. Barangkali Shizuo terhutang budi pada anak Noguchi, aku tidak tahu.”
“Sejak Shizuo menyertai Kogen, keluarganya yang besar itu telah dihalau dari Kawamoto. Kogen kini mengambil mereka tinggal di lembah rahsia mereka itu.”
“Bodoh benar Shizuo. Keluarganya besar seperti arnab, namun dia masih bodoh membelot Hamada. Sebentar, apa kaitan Shizuo dengan semua ini?”
“Aku dengar-dengar Shizuo lebih condong kepada Ayame berbanding Koichi. Mungkin Shizuo bakal menjadi kekuatan utama Ayame sekiranya berlaku perbalahan dalam Kogen sendiri.”
“Apa maksudmu tentang dia condong kepada Ayame?”
“Ia salah satu ciri Kaisenjyo. Ia seperti kuasa rasukan. Engkau tidak menyedari bahawa engkau taksub kepada Ayame, hanya mereka di sekitarmu yang menyedarinya.”
“Kuasa apa lagi Tatsuya?” Nada Saitou mulai kebosanan. Dia mulai merasakan Tatsuya sedari tadi mengarut dengannya.
“Kebanyakan mereka yang menjadi taksub kepada Ayame ialah yang bertemu dan ada bertentang mata dengannya dan Ayame sendiri yang ‘menanda’ perkenan saat mata bertentangan. Selain itu, mereka yang pernah diselamatkan Ayame. Seperti anak yatim yang didera oleh penjaga sendiri, seperti gadis yang hampir dinodai...sekiranya mereka diselamatkan Ayame, amat tinggi kebarangkalian mereka akan taksub kepada Ayame dan menjadi pengikutnya.”
Tatsuya berhenti sejenak, kemudian menyambung.
“Saitou, berhati-hati dengan budak Hisamiko itu. Engkau memandang matanya bukan?”
Saitou mengangguk perlahan.
“Sekiranya dia menjadi Kaisenjyo, amat tinggi kebarangkalian yang engkau akan berpihak kepadanya. Namun itu bergantung sekiranya Hisamiko sendiri menandamu. Mujur, aku fikir engkau terselamat tadi. Aku fikir Hisamiko belum tahu menggunakan kuasanya.”
Saitou ketawa kecil. “Apa engkau fikir aku mudah berbelah bahagi kesetiaan seperti Shizuo? Aku samurai sejati. Kesetiaanku hanya kepada keluarga Hamada.”
Ya, getus Tatsuya. Selagimana keluarga Hamada membayar gajimu. Saitou, kesetiaan hanyalah ilusi. Wang adalah realiti. Kesetiaan boleh dibeli. Aku telah menyaksikannya dalam tahun-tahun bergolak ini. Berapa kerat samurai yang masih setia dengan bekas daimyo mereka tatkala gaji dan upah beras mereka dipotong?
“Tatsuya, apapun, banyak benar yang engkau tahu.”
“Mujur aku sempat mencuri buku itu dari perpustakaan Takasaki sebelum ia rentung sepenuhnya.”
“Buku apa?”
“Terjemahan ramalan Amaguri, termasuk berkenaan Kaisenjyo. Ditulis Mitsuo dan Koichi berpandukan penerangan dari waris Amaguri, Takeuchi Chiyo. Mujur juga aku tahu kelaziman Takasaki, bagaimana dia menyorokkan buku-bukunya. Tidak sia-sia aku menyertai Tsugiyama menjadi anak muridnya.”
Tatsuya tersengih.
“Mengapa engkau sengih?”
“Aku turut menemukan naskhah-naskhah lucahnya. Tak guna Takasaki. Dah tua pun masih tak senonoh.”
Saitou turut tersengih.
“Jadi apakah kaufikir Kaisenjyo itu bakal mengancam kita semua? Apakah masih punya harapan untuk kita mengubah ramalan Amaguri?”
“Jika mana-mana dari dua calon Kaisenjyo itu memihak kepada Kogen dan berjaya memanipulasinya, Maharaja dalam bahaya. Yoshinobu-sama juga dalam bahaya. Tidak, seluruh Jepun bakal berada dalam bahaya!”
“Maksudmu?”
“Kaisenjyo akan menggunakan Kogen memerangi Maharaja dan memerintah bumi Yamato dengan kuasa mutlak. Kaisenjyo lahir dari dendam Emishi ke atas kita bangsa Yamato. Emishi menggunakan sihirnya demi menumpaskan Yamato. Dendam zaman-berzaman, dan dibalas dengan penghinaan, di mana pemusnah empayar kita datang dari bangsa kita sendiri. Dan selepas itu, kita akan kembali ke zaman shogun.”
Tatsuya menyambung, “Namun menjawab soalanmu, kita masih punya harapan. Bunuh mereka, atau sekurang-kurangnya, kurung mereka di sebuah pulau mengikut cadangan Amaguri.”
“Tidak, maksudku, apakah kita boleh mempergunakan Kaisenjyo demi kepentingan kita?” Soal Saitou.
“Saitou, engkau memang tidak pernah berubah. Kaisenjyo tidak boleh dipergunakan, namun Kaisenjyo boleh mempergunakan kita. Namun aku tidak menghalang jika engkau ingin mencuba.”
Saitou diam sejenak. Seketika kemudian dia bicara, “Tidak, lebih baik aku bunuh sahaja mereka. Aku nekad. Aku akan mencari peluang bertarung dengan Ryouji sekali lagi. Jika aku tewas sekali lagi, aku akan melakukan seppuku.”
Tatsuya tidak berkutik apa-apa.
Terpulang padamu, Saitou. Engkau dengan kesamuraianmu masih tidak berubah. Sedang negara ini sudah pun beransur-ansur berubah. Engkau dan emosimu, dengan maruahmu. Jika aku di tempatmu pada hari itu, aku tidak akan membunuh penjaga kuil itu sewenang-wenangnya. Kesamuraian padaku hanyalah pegangan lapuk. Aku dan Tsugiyama kekal berpegang kepadanya demi meneruskan hidup, sedangkan kami sendiri melacurkannya.
Aku fikir engkau, Saitou, adalah samurai terakhir pada era ini yang masih kuat berpegang kepada kesamuraian dari era Negeri-Negeri Berperang. Sungguh taksub, sungguh setia, sungguh kejap pada peganganmu. Hanya satu mahu kulihat, tunaikan ikrarmu untuk melakukan seppuku sekiranya engkau tewas lagi di tangan Ryouji. Jika engkau tunaikan ikrarmu, maka aku akan memaafkanmu di atas kesalahanmu membunuh suami kepada adikku, penjaga kuil Furukawa itu. Dan aku akan abadikan namamu dalam rekod sejarah sebagai salah seorang dari samurai sejati yang terakhir, sepertimana empat puluh tujuh ronin itu.
Aku bilang pada hari ini aku dapat menyaksikan engkau melakukan seppuku di hadapan Ryouji, dan aku akan membantumu melakukannya. Kerana aku fikir engkau tidak akan dapat menewaskannya. Aku memberikan pedang Mariko itu kepadamu kerana ingin melihat pertarungan ini lebih panjang dan menghiburkan. Pertarungan di antara dua orang yang engkau mahukan kedua-duanya mati adalah pertarungan yang amat menghiburkan. Dan aku yakin engkau tidak akan dapat menandingi Ryouji.
Tak sangka engkau tewas terlalu awal. Kekuatan Ryouji benar seperti khabar-khabar dari Yokuma itu. Dari rakan-rakanku di Yokuma, aku dengar anak Mitsuo itu sudah menerima kuasa Higashihara, iaitu kuasa Hamada juga. Dia sudah menjadi pahlawan yang tiada tolok bandingnya.
Dan engkau tewas, Saitou. Mengapa tidak engkau melakukan seppuku? Tiada Hamada lagi yang menghalangmu melakukannya. Atau, apakah kini Yoshinobu pula yang menghalangmu?
Sehingga saat engkau benar-benar akan melakukan seppuku di hadapanku, aku tidak akan membongkarkan dendamku ini. Dendam yang menghalalkan darahmu adalah lebih baik dibongkarkan ketikamana engkau fikir nyawamu sudah lebih murah dari maruahmu. Seppuku akan menjadi lebih lancar bukan? Sehingga saat itu tiba, aku akan sentiasa mengekorimu. Hutang darah harus dibayar.
**
Ryouji sedang berehat di atas futon. Mereka menginap dalam sebuah bilik besar. Seorang tabib sedang mencuci lukanya.
Alangkah baiknya jika sini dekat dengan lembah Okuhida. Hanya dengan meletakkan tanganku pada tiang batu itu, luka ini cepat sekali sembuh dan mengering.
Kuil ini ialah kuil Funazuki yang kini diuruskan Kogen, iaitu kuil yang ada patung singa dan patung Buddha di gerbangnya. Ada lima rumah penginapan yang besar, setiapnya ada sepuluh bilik. Jenuh Saki dan Azusa mencucinya. Mereka benar-benar pasangan adik beradik yang rajin. Mereka melombong sulfur di belakang rumah kami, dan selesai melombong, mereka bergilir pula mencuci kuil ini. Mereka mengupah lima orang pekerja. Pendek kata, pada usia semuda itu, mereka sudah menjadi pemimpin. Namun malang sekali, kedua-dua mereka sudah pergi buat selama-lamanya.
Aku dengar dari Azusa, dia mahu membeli tanah dan rumah dan keluar dari rumah perlindungan kami kelak. Mungkin disebabkan itulah dia amat rajin bekerja. Azusa dan Saki, aku amat mencemburui kalian.
Aku mendengar dari Shinji berkenaan rumah merpati Saki. Ya, rumah merpati itu! Bukankah ia di sini? Tidak, tiada gunanya meski ia masih di sini. Shinji sudah pun mengambil objek rujukan yang dipasang di dalam rumah itu.
Shinji kerapkali menghantar surat melalui merpatinya itu bertanyakan khabarku, kerap aku menerimanya sejak peristiwa di Naraijuku. Namun aku hanya membalas dengan memberitahu aku dalam keadaan baik, tidak lebih dari itu. Bukanlah aku sengaja mengelak dari membalas, aku tidak mahu dia tahu lokasiku. Demi keselamatannya juga. Aku maklum perangai terburu-buru Shinji. Dia bijak, namun kurang matang dalam tindakan. Aku tidak mahu dia mengulangi kesilapan lalunya. Aku pasti, jika dia tahu lokasiku, dia pasti akan curi-curi keluar berseorangan lagi. Sudahlah tidak tahu bertarung dan berkuda.
Dua hari Ryouji dan Hisamiko menginap di kuil patung singa dan patung Buddha itu. Pada hari kedua, sebelum mereka bersiap untuk beredar, Ryouji ke kubur Tsugiyama.
Ryouji duduk bertafakur di atas potong-potong buluh tua, merenung busut yang mengandung jasad Tsugiyama itu.
Tsugiyama, aku tidak pernah memaafkan perbuatanmu. Aku datang ke sini demi menunaikan wasiat abangmu. Ini patung kesayanganmu bukan? Tsugiyama, dengarkan aku. Sejahat mana sekalipun engkau terhadap kami, terhadap mereka mangsa-mangsamu, aku mahu engkau tahu, engkau masih punya seseorang yang menyayangimu. Abangmu, sehingga saat-saat akhir dia di Yokuma, dia masih mengingatimu.
Ryouji berkerut dahi tatkala bertafakur di kubur Tsugiyama. Dia mencacakkan patung samurai kayu itu sehingga ke paras leher patung tersebut pada kubur musuhnya itu. Bahu Ryouji masih berbalut namun dia sudah boleh menggerakkan sedikit tangannya. Kudanya akan ditarik oleh kuda Hisamiko. Ryouji tidak boleh menunggang kuda terlalu pantas atau goncangan akan kembali melukakan kawasan tercedera.
“Hisamiko, engkau tahu bukan di mana lembah Okuhida?”
“Mudah, onii-san. Sono basho no nami wa tsuyoi da (‘Gelombangnya kuat’) dari sini.” Balas Hisamiko. Deria pengesan besi Hisamiko yang terletak di belakang hidungnya semakin peka sejak peristiwa dia koma selepas misi Saikawa, dan juga selepas penerimaan kuasa hayabusa dari Tsuneki. Menurut Hisamiko, lembah Okuhida memancarkan sejenis kuasa seperti gelombang laut. Hidungnya akan berdenyut tatkala mengesannya. Kuasa itu menurut Hisamiko, ialah seperti kuasa yang datang tatkala besi pedang berdenting atau yang dipantulkan besi jika Hisamiko sendiri memancarkan dari hidungnya. Ia seperti alunan ombak memukul pantai. Disebabkan itu dia menggelarkan kuasa itu gelombang*.
*Gelombang ini sebenarnya gelombang elektromagnet namun pada zaman ini mereka belum maklum akannya. Namun pada sekitar masa yang sama seorang saintis di Jerman telah menemuinya secara eksperimen dan telah menerbitkan kertas kerjanya.