Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 29

Musim bunga 1877

 

“Shirota, kita berhenti sebentar.”

 

“Ah, kau ni Kagome. Masuk kali ini sudah kali kelima kita berhenti. Mana mungkin kita boleh sampai tepat pada masa? Pelanggan sedang menunggu tahu?”

 

“Aku nak terkencinglah. Aku tak tahu minuman apa yang mereka hidang di rumah tumpangan itu, asyik buat aku nak terkencing saja.”

 

Shirota mengeluh, namun menghentikan juga kudanya. Kagome pembantunya turun dari bahagian tempat duduk di depan sebuah gerabak berisi penuh dengan serbuk teh hijau berpeti-peti yang dipesan pembeli mereka. Mereka sedang dalam perjalanan ke Tokyo, dan sudah berkelana lebih kurang dua puluh kilometer dari Osaka di tengah lebuh Nakasendo.

 

Shirota menyalakan curut yang telah diisi daun teh hijau. Entah dari mana tabiat pelik itu muncul, dia gemar menghisap curut dengan daun teh hijau. Dia mengisi masa menikmati asap curut itu sambil menunggu Kagome menunaikan hajatnya.

 

Kagome berjalan menuju ke sebatang pokok karamatsu. Dia melurutkan hakama-nya sedikit dan mula kencing. Namun kencingnya terhenti di tengah tatkala mata terpaku pada sekujur tubuh di celah semak.

 

Kagome berjalan ke lokasi tubuh. Alangkah terkejutnya dia mendapati sekujur tubuh seorang lelaki terbaring dengan beberapa kesan tikam di perut. Ia seperti baru dibunuh. Baunya masih lemah. Darahnya masih segar dan basah.

 

Kagome gementar. Dia melihat-lihat di atas pokok, takut-takut pelakunya masih di situ. Kagome segera berpatah balik ke kereta kuda.

 

“Shirota! Shirota!”

 

“Apa kena pula ni Kagome?”

 

“Aku... aku jumpa mayat!”

 

Shirota melopong. Dia mahu turun, namun memikirkan kereta kudanya akan dibiarkan tanpa dijaga, dia berhenti sejenak.

 

“Ne, Kagome. Apa kata kita lupakan saja? Lagipun kita dah tiada masa ni.”

 

“Sekejap saja, Shirota. Engkau harus turun melihatnya.”

 

“Siapa yang akan menjaga kereta ini nanti?”

 

“Ah, sekejap saja. Mari!”

 

Selepas Kagome memujuknya berkali-kali, Shirota mengalah.

 

Mereka tiba di tempat mayat itu, namun Kagome terkejut bukan kepalang tatkala mendapati mayat itu sudah dialihkan.

 

“Ia memang di sini!”

 

Shirota terpaku pandangan pada kesan darah pada rumput. “Aku tidak menafikan kata-katamu Kagome.”

 

Sekilas belakang Shirota dilibas. Dia rebah. Kagome tergamam. Kemudian, belakangnya terasa dihiris benda tajam. Dia rasa basah dan perit, ia mendadak menusuk sehingga dia juga rebah. Dalam samar pandangan dia melihat seorang pemuda menikam Shirota, kemudian menikam dadanya.

 

Segalanya gelap selepas itu.

 

**

 

Kogura hairan. Sudah dua jam dia menunggu namun Shirota dan Kagome belum tiba-tiba. Pelanggan di luar yang menanti tempahan teh mereka mula bising-bising. Kogura mengendali sebuah bangsal memborong serbuk teh hijau di pinggir Tokyo.

 

“Kogura-san, jika kami tidak dapat teh selepas Jam Ayam* hari ini, kami mahu gantirugi!”

 

*Pada abad ke-19, jam-jam ditanda dengan dua belas nama binatang mengikut zodiak Cina. Jam Ayam ialah sekitar jam enam petang pada musim sejuk, dan sekitar jam lapan malam pada musim panas.

 

Kogura hanya mengangguk. Dia harus memulangkan kembali wang yang telah dibayar sekiranya tidak dapat memenuhi kontrak jual beli. Sememangnya begitulah. Namun Kogura tidak mahu berputus asa.

 

“Sunohara, bagaimana jika aku tangguhkan kontrakmu ke hari lain? Dou, Yuuji? Maafkan aku kalian, mereka tidak pernah lewat begini sebelum ini.” Kogura menawar pada Sunohara dan Yuuji, dua orang dari para pembeli yang mengerumuni bangsalnya.

 

“Ah, kami mahu wang kami kembali!” Tegas Sunohara. Yuuji pula angguk setuju akan Sunohara.

 

“Maafkan aku kalian. Ini kali pertama kejadian begini berlaku. Aku mohon tangguhkan kontrak.”

 

“Engkau tak dengarkah? Usah paksa kami ulangi!”

 

“Baiklah, baiklah.” Nampaknya terpaksalah aku memulangkan kembali wang mereka. Sebahagian telah aku gunakan. Terpaksalah aku meminjam dari ceti dahulu. Ah, aku bakal diasak kadar faedah pula! Ini kali pertama aku dilanda insiden begini. Tiada insurans yang aku ambil kerana siapa sangatlah yang mahu mencuri teh hijauku. Lainlah jika aku berdagang sutera. Sutera mahal dan menjadi buruan ramai pembeli. Sedang teh hijau tidaklah terlalu lumayan untuk dicuri dan dijual kembali.

 

Beberapa hari berlalu, Kogura tidak mendengar khabar langsung dari Kagome dan Shirota. Dia mula berasa tidak sedap hati. Kagome dan Shirota rakan kongsinya yang sudah lama berkhidmat dengannya, hampir dua dekad lamanya. Mereka berdualah yang diharapkannya berulang-alik dari Osaka ke Tokyo mengangkut teh hijau selama ini. Kogura bercadang melaporkan kepada Kogen perihal kehilangan mereka.

 

Tatkala berada di kedai menjual daging, dia mendengar-dengar orang ramai bercakap-cakap mengenai penyiasat persendirian baru, yang digelar Yoru-no-kaze. Aneh bunyinya, getus Kogura. Kata mereka, pasangan penyiasat itu memakai topeng kabuki dan terdiri dari seorang lelaki dan seorang wanita.

 

Kogura nampak ada dua orang bertopeng kabuki, seorang lelaki dan seorang wanita di belakang kerumunan, memerhati poster bertampalan dan kemudian menghilang diri. Hatinya mengesyaki mereka ialah Yoru-no-kaze menggerakkan Kogura mengekorinya.

 

“Kalian.”

 

Lelaki dan wanita itu berjalan laju. Mereka bertiga kini di lorong belakang deretan rumah kedai di pinggir Tokyo.

 

“Kalian tunggu!”

 

Pasangan itu berhenti.

 

“Kalian yoru-no-kaze bukan?” Kogura tidak pasti akan keabsahan soalannya, namun dari ura-ura yang didengarinya yoru-no-kaze ialah pasangan lelaki wanita dan memakai topeng kabuki.

 

Pasangan itu menoleh memandang Kogura.

 

“Tolong aku, kalian. Dua orang pekerjaku hilang sudah lima hari. Aku langsung tidak mendengar khabar dari mereka. Tolong aku jejaki mereka, kalian.”

 

Lelaki bertopeng kabuki bersuara, “Agak engkau di mana mereka hilang?”

 

Terkejut Kogura mendengar suara mereka buat pertama kali. Dia menyambung, “Di sepanjang Nakasendo aku syak. Mereka sepatutnya menghantar teh hijau tempahan pelanggan lima hari lepas, namun mereka masih belum tiba-tiba.”

 

“Baiklah. Temui kami semula di sini lima hari kemudian.”

 

Arigatou kalian. Berapa upah yang kalian mahukan?”

 

“Itu kami akan bincangkan kemudian. Boleh kami tahu siapa namamu?”

 

“Kogura. Kedaiku ialah kedai borong teh hijau di Itoubashi. Satu-satunya kedai teh di situ.”

 

**

 

“Nakasendo? Nakasendo itu panjang, onii-san.”

 

“Miko, engkau tahu mengapa aku setuju mengambil tugas ini?”

 

“Tak tahu.”

 

“Kerana dia memberitahu tentang teh seperti pada label itu.”

 

Ryouji melihat sekeliling, kemudian meneruskan kata-kata.

 

“Aku pernah melihat label pada bongkah-bongkah teh itu sewaktu di Shirasaka-no-Kogen. Ia berlabel Syarikat Furucha, syarikat yang membekalkan teh kepada Kogen. Ia hanya beroperasi di Osaka sahaja dan hanya menjual kepada beberapa pembeli di Tokyo. Hampir semua pelanggannya di Osaka sahaja.”

 

“Oh. Maka onii-san fikir mereka hilang di sepanjang Nakasendo berhampiran Osaka?”

 

“Ya, begitulah. Aku biasa dengan laluan itu. Ia menghala ke kampung Chisato. Dan aku fikir penjenayah ini mungkin berdendam dengan Kogen, jika dia tidak merompak teh itu.”

 

“Atau mungkin dia hanya menyasarkan secara rawak?”

 

“Boleh jadi. Kerana teh tidak terlalu bernilai, ia bahan mudah rosak.”

 

 

**

 

Ada kawasan rumput di tepi sungai itu seolah sengaja dilitup daun kering, seperti cuba menyembunyikan sesuatu. Cangkul berbaring di tepinya. Hingar pedagang di sepanjang Nakasendo kedengaran sayup-sayup. Cahaya matahari menikam sedikit-sedikit dari celah kanopi sugi. Di sebelah kawasan litupan daun kering itu seorang lelaki sedang duduk melutut, pedang bersarung direhatkan atas riba sambil merenung aliran sungai yang tenang.

 

“Sekarang baru kalian tahu pentingnya insurans. Hahaha. Aku akan terus menakut-nakutkan para pedagang di sepanjang Nakasendo dengan merompak dan membunuh mereka, dan mengiklankan perlindungan dari Furuya. Hanya cara pemasaran begini, yang bermodalkan ketakutan, mampu menarik pelanggan. Tatkala mereka takut, pembelian insurans Furuya bakal mencanak.”

 

“Sekarang di mana engkau Ryouji? Keluarlah, aku cabar engkau! Aku cabar engkau jejaki aku, tangkaplah aku.”

 

“Yoru-no-kaze, ptuih!” Lelaki itu meludah menzahirkan rasa jijiknya terhadap pasangan petarung yang menyamar itu. “Yoru-no-kaze? Aku tahu siapa engkau, engkau Ryouji dan adikmu bukan? Siapa lagi yang bertarung sepantas itu? Usah menyamarlah. Aku tahu siapa kalian.”

 

“Kerana engkau, semua kerana engkau, Ryouji! Kerana engkau iparku mati. Kerana engkau juga yang menghasut, Tokizawa menarik diri dari memegang Furuya. Kerana mahu membunuh engkau, aku terbunuh anak Tokizawa! Dan sekarang aku akan mencabar engkau mencariku. Aku akan bunuh seramai mungkin pedagang di Nakasendo demi mencabarmu! Angkatlah keadilan dan kebaikan yang kau sanjung sebagai Yoru-no-kaze itu sepuas hatimu. Aku akan pastikan keadilan yang kaucuba angkat itu akan berkubur dan kemahiran bertarungku bakal mengatasi. Akan aku tunjukkan padamu keadilan yang kauangkat itu tidak akan ke mana, siapa yang tahu bertarung mereka akan berjaya dalam era ini. Dan aku akan kembalikan Furuya kepada syarikat yang menguntungkan! Boleh pergi mampus dengan Tokizawa yang engkau hasut itu, aku akan tunjukkan Furuya masih boleh bangkit tanpanya!”

 

**

 

Ryouji dan Hisamiko menumpang belakang sebuah kereta kuda pedagang. Mereka memakai topeng kabuki menutup wajah masing-masing.

 

“Kalian boleh turun di sini, Yoru-no-kaze. Aku mahu masuk ke simpang depan. Sayounara.” Laung seorang lelaki yang mengendera kereta kuda itu. “Arigatou, ojii-san.” Ucap Ryouji, lantas meloncat turun dari kereta kuda diikuti Hisamiko. Mereka membayar upah kepada pedagang itu sebelum meneruskan perjalanan kaki.

 

“Ke utara dari sini ialah kampung Chisato, Kisennuma.”

 

“Berapa jauh Osaka dari sini?” Soal Hisamiko.

 

“Lebih kurang sehari berkuda.”

 

“Kalian, kalian.” Laung seorang lelaki dari kejauhan. Mereka berdua menoleh.

 

“Ah, tasukatta. Sedang elok aku bertemu kalian di sini.”

 

Dia lelaki yang kami temui di pinggir Tokyo tempoh hari! Getus Ryouji. Bagaimana dia tahu kami berada di sini?

 

Onii-san itu Kogura-san bukan?” Soal Hisamiko perlahan.

 

Ryouji mengangguk.

 

“Mari, ikuti aku.”

 

Mereka menuruti lelaki itu dengan hati-hati. Hisamiko mengerling sana-sini cuba mengesan sekiranya kedapatan sesuatu yang mencurigakan pada lelaki itu.

 

Di hadapan mereka bertiga ada mayat seorang lelaki yang sudah agak lama dibunuh dalam tiga hari. Barang dagangannya yang digalas tersadai di tepi, namun isinya sudah dikosongkan.

 

Tidak jauh dari tempat mayat itu tersadai, Ryouji mengesan kaki seseorang dari balik timbunan daun-daun kering. Dia bergegas ke situ, mengalihkan daun-daun kering dan mendapati satu lagi mayat. Mendapati kesan darah dari belakang tubuhnya yang menelentang, dia meniarapkan mayat itu. Ada beberapa kesan tikaman pada belakang tubuhnya.

 

“Minami, engkau hidu sesuatukah?” Ryouji memanggil nama kod Hisamiko. Nama kod digunakan bagi merahsiakan identiti mereka.

 

“Tidak, Ryutaro.” Balas Hisamiko, menyebut nama kod Ryouji.

 

Jauh di balik sebatang pokok pine atau matsu, seorang lelaki sedang memerhati mereka bertiga. Dia menyeringai.

 

Dari pengintipku dalam Kogen, aku tahu adik perempuannya itu boleh mengesan besi. Pedangku ini tidak akan dapat dikesan kerana Mitsuhide telah mengolah menggunakan resin aomomiji. Bersedialah kalian. Aku akan pastikan engkau benar-benar mati hari ini, Ryouji. Sedang engkau Hisamiko, aku akan meragut keperawananmu dan kemudian menjualmu. Berani engkau, berani engkau hari itu cuba menghalangku!

 

Demikian lelaki itu bermonolog. Dia teringat kembali akan kata-kata Saitou, bagaimana Hisamiko dibayangi satu lembaga bertaring dan berambut panjang, seperti seorang wanita yang menakutkan, sewaktu dia berada di rumah Takasaki di depan kubur Tsugiyama.

 

Tatsuya tidak akan sekali-kali melupakan peristiwa itu dan kisah Saitou. Dia sedar maruahnya telah tercalar kerana melarikan diri bersama Saitou seperti tikus. Dia nekad akan menewaskan gadis ini hari ini. Lagipun, dia sudah lebih berkeyakinan selepas bertahun berlatih dan juga selepas memiliki pedang yang ditempa Mitsuhide itu.

 

Tatsuya melompat dari pokok ke pokok dan tiba di atas pokok berhampiran lokasi Hisamiko.

 

Matilah engkau Hisamiko. Pergi mampus dengan lembaga itu. Aku tak takut langsung!

 

Saat Tatsuya menjunam ke arah Hisamiko, lelaki pedagang yang membawa Hisamiko dan Ryouji ke lokasi pembunuhan itu tadi pantas menabir tubuh Hisamiko. Dengan pedang Tatsuya yang masih tercacak pada dadanya, dia rebah ke atas Hisamiko, menolak tubuh Hisamiko yang kecil itu ke tanah.

 

Tatsuya berdiri di hadapan Ryouji selepas menarik pedangnya keluar dari tubuh pedagang. Ryouji tergamam seraya mengeluarkan pedang.

 

Bagaimana dia mengesan kami di sini? Apakah, apakah dia yang membunuh mayat- mayat di balik daun-daun kering itu? Bertubi-tubi soalan hinggap di benak Ryouji.

 

“Ah, ohisashiburi, Ryouji, e to, yoru-no-kaze.” Ujar Tatsuya sambil tersenyum sinis, nada sinis terutama ketika menyebut ‘yoru-no-kaze’.

 

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov