Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 26

Hisamiko masuk perlahan-lahan dengan wajah tunduk, dia diselubung rasa bersalah kerana menampar kaki abangnya yang tercedera tadi.

 

“Maafkan aku menampar kakimu tadi. Aku geram...” Ujar Hisamiko perlahan, seraya mengangkat wajahnya perlahan-lahan.

 

Ryouji menyeluruhi wajah Hisamiko, ada sisa tangis, bengkak bawah matanya, kesan air mata membasahi pipi, pipinya yang putih masih merah.

 

“Engkau mendengar perbualan kami?” Soal Ryouji.

 

“Ya.”

 

“Dari yang mana?”

 

Mata Hisamiko melilau-lilau sebelum menjawab, “Dari ‘aset terpenting Maharaja’.”

 

“Oh, begitukah...”

 

Onii-san, apa maksud ketua polis itu? Kita boleh menjadi aset terpenting Maharaja? Adakah dengan kita membantunya kita akan menjadi sedemikian?”

 

“Mungkin...”

 

“Tak syak lagi. Onii-san tak pandai sembunyikan apa-apapun. Ayuh, onii-san. Ini peluang! Kita harus rebutnya.”

 

“Tidak Hisamiko.”

 

Onii-san, engkau mahu melakukannya bukan?”

 

Ryouji hanya diam.

 

Onii-san, aku mahu mengikutmu ke mana sahaja engkau pergi. Aku tidak mahu terperap di kampung itu!”

 

“Hisamiko, berterus-terang denganku, engkau sebenarnya tidak mengajar di Gero bukan? Engkau berlatih bertarung di hutan buluh bukan?!”

 

Hisamiko diam.

 

“Jawab soalanku, Miko. Mengapa kau diam?!”

 

“Ya. Memang aku tidak mengajar. Namun ia hanya sekali-sekala, bilamana aku bosan. Onii-san aku bosan di kampung itu, di pekan Gero itu. Mengulang-ulang perkara sama, mengajar dan mengajar perkara sama. Aku sesungguhnya tidak betah hidup begitu onii-san. Aku mahu keluar dari situ. Aku mahu keluar.”

 

Ryouji tidak berkutik apa-apa. Mahu sahaja dia tengking adiknya itu dengan sepatah kata, DIAM, IKUT SAHAJA KATAKU. Namun menyedari adiknya sudah pun dewasa, dia teragak-agak. Patutkah dia mengawal adiknya seperti anak-anak lagi?

 

Onii-san aku saran kita terima tawaran ketua polis itu. Ini peluang onii-san, peluang untuk kita membuktikan kebolehan kita kepada baginda. Dan pulangannya lebih dari apa yang kita boleh bayangkan, kita akan kaya-raya dan disanjung onii-san. Kita akan disanjung sepanjang zaman dan nama keturunan kita akan diingati.”

 

Ah, ia berulang kembali. Ia seakan-akan sama, getus Ryouji. Ya, ketika itu Hisamiko baru pulih dari kemurungan selepas kematian Tsuneki. Hisamiko merampas surat yang diberikan Koichi kepadaku, di mana dalam surat itu Koichi meminta bantuanku menumpaskan Hamada yang bersembunyi di kubunya di Kobe. Sekali lagi masalah yang sama bertandang. Waktu itu Hisamiko mendesakku agar menerima tawaran Koichi, agar kami mendapat ganjaran rumah dan tanah di Gero. Dan kali ini, apakah aku harus menyambut saranan Hisamiko lagi? Apakah kami akan bernasib baik lagi kali ini?

 

Andai kami diterima Maharaja, dan menjadi adiwira negara, bukankah itu bakal membatalkan dan menyongsangkan segala ramalan Amaguri berkenaan Kaisenjyo ke atas Hisamiko, segala ramalan yang disampaikan Koichi dan diperingatkan kepadaku sejak sekian lama itu?

 

Dan bukankah ini juga peluang untukku? Kasukabe mengatakan aku seorang pengecut. Sekurangnya jika tidak secara langsung sekalipun, dia memuntahkannya secara kiasan. Aku tidak faham garis pemisah antara terlalu berhati-hati dan pengecut. Adakah aku terlalu berhati-hati atau sebenarnya pengecut? Aku tidak tahu jawapannya. Aku ingin mencari jawapannya sekali lagi, mungkin aku akan bertemu jawapan itu dalam tawaran Kasukabe ini.

 

“Aku akan menerima tawaran Kasukabe itu dengan syarat...”

 

“Apa syaratnya?”

 

“Engkau kekal di Gero dan terus mengajar di sana.”

 

Onii-san!”

 

“Aku tidak akan...”

 

“Aku akan mengikutmu! Nasib engkau sungguh baik kerana hanya kakimu yang tercedera. Bayangkan jika engkau tidak bernasib baik di kuil itu, bayangkan jika nyawamu melayang sedangkan aku tiada bersamamu...”

 

Ryouji berbelah bahagi. Dia tidak larat lagi bertengkar dengan Hisamiko. Hisamiko keluar tanpa meneruskan perbalahan dengan abangnya.

 

Selepas beberapa hari, selepas berfikir sedalam dan semasak-masaknya, Ryouji akhirnya membenarkan Hisamiko menyertainya. Mereka menerima topeng dan baju daripada Kasukabe dan memulakan misi yang disuguh Kasukabe. Namun mereka hanya bersama Kasukabe selepas beberapa misi sahaja. Ryouji semakin yakin akan Hisamiko dan nilai tambah selepas beberapa misi, bagaimana Hisamiko menyelamatkan nyawanya ketikamana sakit di kakinya datang tiba-tiba, dan melihat bagaimana Hisamiko telah menambahbaik. Maka disebabkan itu, dia kembali kepada rancangan asalnya, iaitu bertindak sendiri tanpa bergantung kepada Kasukabe dan pasukan polis. Pada kali itu, dia bersetuju membiarkan Hisamiko menyertainya.

 

Ryouji dan Hisamiko melarikan diri dari Kasukabe dan bertindak sendiri. Mereka menukar reka bentuk topeng, kekal memakainya, namun kembali mengenakan yukata biasa mereka berbanding pakaian serba hitam yang dibekalkan Kasukabe. Mereka menjadi yoru-no-kaze yang tiada perkaitan dengan anggota polis lagi.

 

**

 

Ryouji meminta Hisamiko berjanji atas satu perkara; yang dia tidak akan menumpahkan darah. Hisamiko berjanji, dan dia menambah janjinya yang dia hanya akan melindungi Ryouji. Dia mungkin perlu menumpahkan darah demi melindunginya. Ryouji diam. Dia tidak tahu apa yang boleh dibalas. Mungkin membenarkannya, hanya pada saat-saat di mana dia memerlukan Hisamiko.

 

Ryouji dan Hisamiko tanpa jemu mengiklankan dirinya sebagai yoru-no-kaze (‘Bayang Malam’) dengan menampal poster di pekan Gero, dan juga pekan-pekan berhampiran saban hari.

 

Niat Ryouji berbakti sebagai yoru-no-kaze tidak pernah berubah; demi membina kekuatan spiritual melawan amarahnya, dan akhirnya menangkap Tatsuya dan membawanya ke mahkamah, dan mengembalikan keamanan di bumi Yamato, dan menyahsahih kata-kata Kasukabe yang menuduhnya lemah. Namun luarannya, dia mempamerkan kepada Hisamiko bahawa dia hanya mahukan kemasyhuran dan perhatian Maharaja, iaitu ganjaran yang pernah dijanjikan Kasukabe, namun masih relevan meskipun Kasukabe tidak bersama mereka lagi. Demikian juga matlamat luaran yang dipamerkan Hisamiko di balik penyertaannya. Namun sebenarnya Hisamiko sendiri menyertai Ryouji kerana mahu melindungi abangnya  jiwa dan raga, juga kerana tidak betah hidup dengan rutin di Gero. Itu niat yang tenggelam di sudut hati Hisamiko, sulit dari pandangan Ryouji. Setiap mereka, ada tujuan yang tersembunyi.

 

Namun tanpa dia sedari, tindakannya itu sedikit demi sedikit membawa Hisamiko kembali ke dunia berdarah dan mungkin, sedikit demi sedikit, menghampirkannya selangkah lebih dekat ke arah ramalan Amaguri.

 

Ia berlaku di sepanjang sejarah manusia; semakin engkau cuba mengelakkan diri dari sesuatu ramalan menimpamu, semakin engkau dekat dengan ramalan itu. Seorang raja yang cuba mengelak dari kematian telah membina kubu yang ampuh, namun punca kematian itu yang berupa seekor serangga menyusup masuk kubu itu dan membunuhnya. Seorang raja yang cuba menghalang lelaki ramalan dari menumbangkannya, telah membunuh ramai bayi lelaki namun tidak disangka-sangka lelaki ramalan itu diselamatkan isterinya sendiri yang akhirnya membesar dan memenuhi ramalan itu.

 

Takdir dan karma berhasil akibat tindakan kita, para pelakon di pentas ciptaan Tuhan. Tanpa kita sedari, perlakuan demi perlakuan kita sebenarnya melengkapkan montaj dan skrip yang telah dikarang-Nya, tanpa kita sedari. Tanpa kita sedari.

 

Ryouji mulai menyedari hakikat itu sedikit demi sedikit. Namun dia tidak memahaminya, lantas semakin dia tenggelam dalam lakonannya sendiri dalam misi-misi yang disertainya. Dia sedar berkenaan karma yang disebut-sebut bapa dan pendeta Shinto. Namun dia tidak memahaminya. Dia sedar karma terzahir atas tindakan, namun dia tidak memahami bahawa tindakan manusia itu sendiri sebenarnya telah diatur Dia dan bukanlah sepenuhnya berada di bawah kawalannya. Semuanya telah dikarang sejak azali, semua skrip dan montaj itu.

 

Semakin benarlah ramalan Amaguri itu ke atas Hisamiko, nampaknya.

 

**

 

Penghujung musim luruh, 1875

 

Nagano, Jepun Tengah.

 

Hanya cahaya bulan menerangi sebuah kawasan pinggir hutan pokok-pokok daun luruh. Musim kian dingin. Dedaun hampir semuanya sudah gugur. Dua bayang memanjang kelihatan. Di hujung bayang itu berdiri dua orang manusia memakai topeng kabuki. Seorang lelaki dan seorang lagi wanita, masing-masing berpedang di pinggang. Pohon shirakaba yang sudah gondol menaungi mereka.

 

Tidak jauh dari dua orang manusia bertopeng kabuki itu, di balik sebatang pokok sugi, satu lagi bayang kelihatan. Seorang wanita memakai kimono biru gelap, bersandar pada batang pokok sugi. Dia berkata perlahan, “Suami dan anakku dibunuh.”

 

Ryouji dan Hisamiko mendengar penuh teliti butir-butir lanjut yang menyusul. Hisamiko sekali-kala menengadah pokok shirakaba di atasnya, memerhati Azuchi kalau-kalau burung itu ada terlihatkan mana-mana penjejak si wanita pengadu. Azuchi menggelengkan kepala. Topeng kabuki yang dipakai Hisamiko sedikit menggerunkan Azuchi.

 

“Mereka dibunuh ketika sedang berhenti di shukuba. Habis wang dan barang dagangan mereka dirampas.”

 

“Apakah mereka ada membeli perlindungan?”

 

“Ada. Namun aku mahu kalian menangkap pembunuhnya dan membawa kepada Kogen. Polis Maharaja tidak mampu menewaskan mereka. Ramai dari mereka turut dibunuh.”

 

Tatkala Hisamiko pasti tiada pengekor, mereka berdua bergerak ke lokasi wanita itu demi memastikan identitinya.

 

“Ini, tiga puluh peratus pendahuluan.” Wanita itu menghulurkan sebuntil kain berisi wang emas.

 

Ryouji menolak seraya berkata, “Simpan semuanya. Kami hanya menerima bayaran selepas kami melangsaikan tugas kami.”

 

Hontou?”

 

Hontou da. Berikan aku pengenalanmu; nama penuh, alamat rumahmu.”

 

Wanita itu menyimpan kembali buntil kain ke dalam saku kimononya, seraya memberitahu identitinya, “Urahara Michiko. Pekan Nagano, di sebelah satu-satunya kedai membuat penyepit.”

 

“Terima kasih, dan usah risau, kami merahsiakan semua maklumat yang kami terima. Ada sebarang petunjuk untuk memudahkan kami?”

 

“Ini... hasil siasatan polis yang berjaya aku seludup keluar.” Michiko memberikan sehelai kertas berlipat dalam sampul kain berikat.

 

Ryouji membukanya. Hisamiko membantu membaca mana-mana kanji yang sukar.

 

“Kami akan membawanya ke sini pada malam keempat.”

 

Dari laporan polis yang kami terima, penyerang itu merupakan ronin dan bekas salah seorang samurai Hamada. Dia memberitahu kami yang dahulunya dia mengikut satu pasukan perompak yang merompak bijih besi dari Shimagane, namun selepas pasukan perompak itu dibubarkan, dia membawa haluan sendiri. Ia kes biasa pada era ini, aku fikir. Aku fikir, kami hanya membuat kerja-kerja polis, namun terhadap petarung yang lebih sukar bagi mereka untuk ditumpaskan. Kes demi kes yang kami terima semakin lama semakin mencabar dan ia lebih dari sekadar penyelesaian jenayah. Ia membabitkan pelbagai motif. Tidak semua penjenayah punya motif kebendaan dan nafsu semata. Ada yang berdendam, dan ada juga yang secara semulajadi sememangnya gemar menumpahkan darah. Yang itu adalah jenis yang paling sukar sekali difahami.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov