Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 40

Sebaik selesai rundingan dengan Yoshinobu, Ayame segera ke Shirasaka-no-Kogen dengan berkuda. Dia mahu memasuki lembah nenek moyangnya itu senyap-senyap, tanpa pengetahuan bapanya dan para pengakap yang berkawal di luar Cincin Penampan, maka dia menggunakan pintu rahsia yang pernah digunakan Shinji dahulu, iaitu yang terletak di Hidagawa dan berhampiran dengan pokok tempat Amaguri menyimpan buku-bukunya.

 

Tuk, tuk, tuk.

 

Kaho, pustakawati yang sedang mengemas buku di tingkat paling bawah perpustakaan itu, tersentak. Dia berhenti mengemas dan ansur masuk ke dalam bilik rahsia yang ada rak buku dari lantai ke bumbung, yang mana buku-bukunya mengandungi bahan tidak senonoh dan pernah ditelaah Shinji dan Tsuneki dahulu.

 

Terkejut bukan kepalang Kaho mendapati lantai dikuak, dan terjojol kepala Ayame dengan urat-urat rambutnya ada terkeluar dari ikatan, kesan berlaga dengan kepala terowong. Ayame memanjat tangga sehingga mampu ke atas keseluruhan tubuhnya, dia menghembus nafas lega akhirnya.

 

“Sampai pun.” Ayame mendesah. Kaho masih berdiri kaget melihatnya.

 

“Ayame-san?”

 

“Kaho. Di mana Hotaru?”

 

“A... ada. Dia seperti biasa berkawal di lereng Gunung Kogen.”

 

“Oh yakah. Arigatou.”

 

Ayame bergegas naik ke tingkat atas perpustakaan. Kaho terpinga-pinga.

 

“Engkau pasti mahu melakukannya, Ayame?” Soal Hotaru, seakan tidak dapat menerimanya.

 

“Ya.”

 

“Namun, bukankah tujuan kita menubuhkan Skuad Sakura demi membersihkan Kogen dari pelaku onar?”

 

“Ya, dan aku selaku ketuanya telah bercadang untuk mengubah hala tuju Skuad Sakura ini. Bapa tidak bersetuju dan mahu hukuman bunuh dimansuhkan. Golongan begini harus diusir dari Kogen. Jika kau amati, ia juga satu usaha pembersihan Kogen bukan?”

 

“Namun Koichi-san bapamu.” Hotaru mengingatkan.

 

“Aku tidak peduli. Kogen harus dibersihkan dari pemikiran yang berlembut dengan penjenayah dan penganiaya wanita.”

 

“Dan kau tahu bukan, kita di ambang perang. Kogen harus bersatu dan bersama-sama membantu Maharaja memenangi perang ini.” Hotaru menambahkan poin lagi.

 

“Dengar sini Hotaru. Aku telah berpakat dengan Yoshinobu.”

 

“Ha?”

 

“Ya, kau tak silap dengar. Aku berpakat dengan Yoshinobu, kau nak aku ulangi? Kita akan memerangi bapaku dan juga Maharaja.”

 

Hotaru diam sejenak dan merenung wajah Ayame sedalam-dalamnya, cuba menaksir maksud kata-kata yang sungguh luar biasa itu. Sesuatu yang tidak pernah terjangkau dek pemikiran Hotaru sejak dia menyertai Kogen ketika remaja itu, bagamana Ayame boleh mengutarakan perancangan yang dirasakan cukup taboo itu. Keluarga Hamada ialah musuh tradisi Kogen. Keluarga yang punya banyak bisnes-bisnes gelap ini telah membuat pelbagai masalah dalam negara dan mengganggu rumah-rumah perlindungan Kogen.

 

“Engkau gila? Yoshinobu itu bapa penjenayah yang banyak menyusahkan kita sekian lama! Dan memerangi Maharaja? Kau gila, Ayame? Apakah kau mahu jadi penderhaka?”

 

“Aku tahu dan aku bersedia menderhakai baginda. Tapi hanya untuk perang ini sahaja. Yoshinobu ada senjata api, Hotaru. Ia kunci bagi menandingi tentera Maharaja dan tentera Kogen yang berpihak kepada bapaku. Dan selepas itu, kita akan hapuskan Yoshinobu dan bala tenteranya.”

 

“Kau dah gila, Ayame. Apa yang merasukmu sebenarnya, ha?!”

 

“Hotaru, kita perlu menguasai seluruh negara ini dan mengenakan Kod Kogen ke seluruh negara, bukan hanya mahkamah Kogen. Seluruh negara ini harus sedar bahawa penjenayah tidak boleh dibiarkan hidup.”

 

“Aku tidak setuju dengan caramu. Meskipun niatmu murni.”

 

“Hotaru, dengar dan ikut kata-kataku!”

 

Hotaru terdiam dan kaget, seolah kata-kata Ayame itu begitu menggerunkan, bergema dalam benaknya dan menikam hati.

 

“Apakah engkau mahu menurutiku Hotaru?” Ayame merenung wajah Hotaru dalam-dalam seolah mahu memaksanya dalam diam. Hotaru pula terpaku memandang Ayame, seolah dirasuk. Segala pendirian dan pemikiran sendiri yang terkurung dalam sangkar hati lebur. Pemikiran dan kemahuan Ayame mengisi salur darah dan denyut jantung beransur-ansur, meresap membanjiri sangkar hati. Tanpa disedari, Hotaru mengangguk setuju, meski dalam hati meragui kemunasabahan objektif baru Ayame ini. Hotaru sesungguhnya telah dirasuk, dia telah dirasuk Berahi Kuasa.

 

Dua pengikut Hotaru turut sama mengangguk. Ayame hanya tersenyum kala menyedari Kaisenjyo telah membantunya dengan Berahi Kuasa. Kuasa itu jelas ampuh, jelas tidak akan dapat ditawari.

 

“Ayuh, kalian. Kita ke Yokuma sekarang. Kita akan membersihkan Yokuma segera.”

 

Mereka bergegas ke kuda masing-masing seperti boneka, seperti dirasuk, merentas belantara Nakasendo menuju Yokuma dengan Ayame mengemudi rombongan.

 

**

 

Chisato tercegat di hadapan Ayame yang sedang bersila dipisahkan sebuah meja teh, dalam pejabatnya di Shirasaka-no-Kogen. Pejabat Ayame terletak jauh dari pejabat Koichi dan hampir dengan rumah para petani padi huma.

 

Suwattekoi (duduklah).” Ayame mempersilakan Chisato duduk. Chisato duduk perlahan-lahan di atas bantal leper di hadapan meja teh.

 

Selepas berbasa-basi buat beberapa ketika, Ayame memulakan soalannya.

 

“Chisato, aku mahu menyerap adik kembarmu Chiho dan Chinami ke dalam Skuad Sakura.”

 

“Apa... maksudmu, menyerap mereka ke dalam Skuad Sakura...?” Soal Chisato teragak-agak.

 

“Chiho memberitahuku dia tahu jurus kedua. Aku mahu meminta Chinami sekali menyertai.”

 

“Tidak. Aku tidak akan membenarkan.” Balas Chisato dingin, dan matanya dielak dari bersetentang dengan Ayame.

 

“Chisato.” Ayame merenungnya. Chisato tunduk, ada rasa gerun datang menjalar dan menyelubung tulang dan saraf tidak semena-mena kala mendengar suara itu. “Pandang aku, Chisato.” Kata-kata Ayame keras dan seolah jampi, dan Chisato tanpa disedari, seolah dipukau, mengangkat wajahnya. Pandangannya terkunci pada wajah Ayame.

 

“Ingat aku pernah menyelamatkanmu dahulu dari pengikut Tsugiyama?” Ayame mengungkit dan melemparkan ke wajah Chisato akan bantuannya dahulu. Chisato tambah gerun dan tangannya menggigil di balik bawah meja. Ayame mengesannya, dan memahami kaedahnya berkesan terhadap Chisato. Itulah Berahi Kuasa, yang digunakan Ayame demi meraih ketaatan tidak berbelah bahagi seseorang kepadanya.

 

“Ya aku ingat.” Sahut Chisato mendatar, matanya tidak berkedip dan masih merenung Ayame, seolah terkunci pada wajah gadis berusia tiga dekad itu. Seolah kawalan Ayame kejap dan ketat, dan menyerap seluruh roh Chisato ke dalam benaknya, dan mengawal seperti boneka.

 

“Maka bukankah engkau sepatutnya membalas jasa-jasaku? Menyumbang sesuatu kepada Kogen dan Skuad Sakura?” Suara Ayame keras dan dalam dan perlahan, seperti sedang memukau Chisato.

 

“Aku akan menyumbangkan sesuatu.” Suara Chisato pula mendatar seolah dipaksa.

 

“Aku mahukan Chiho dan Chinami.” Ayame menambah dengan dingin dan bersahaja.

 

“Ak...aku... aku..” Suara Chisato terputus-putus.

 

“Engkau izinkan aku menyerap adik-adikmu ke dalam Skuad Sakura?” Suara Ayame perlahan namun lebih ditekan. Renungannya tidak lekang dari wajah Chisato.

 

“Ak...”

 

“Jawab aku, Chisato. Ini masa engkau membalas budiku.”

 

“Aku...benarkan.” Ujarnya lemah, ada nafas dilepaskan seolah baru tamat larian yang kencang. Suaranya seperti dipaksa-paksa.

 

“Aku mahu menyertaimu sekali.” Chisato menambah dalam lemah.

 

Sou?”

 

“Ya. Aku tahu berkuda, dan bertarung...”

 

“Tidak perlu kauterangkan lebih-lebih. Aku tahu semua berkenaanmu, kemahiranmu. Aku lebih dari rela menerimamu ke dalam Skuad.”

 

Chisato adalah kekuatan yang sekian lama aku inginkan, getus Ayame. Mengapa otou-san mahu dia diperap di Shirasaka-no-Kogen sebagai penjaga rumah, pembasuh pakaian pengakap dan tukang masak untuk para pegawai kami? Apakah dia mahu melatih Chisato menjadi isteri barunya? Orang tua miang! Zaman sudah berubah. Perempuan tidak lagi terhad pada melakukan tugas-tugas begitu. Perempuan Yamato harus berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan lelaki. Aku tahu Chisato punya potensi yang besar, dia tahu berkuda dan bertarung, dan tidak seharusnya diperap di sana!

 

Ayame menyeringai memandang Chisato. Chisato pucat wajahnya seolah berhadapan dengan pemangsa paling digeruni seantero Jepun. Seolah pada saat dan tika ini sahaja, Ayame yang sudah biasa dengannya ini kini berubah menjadi naga yang akan menelannya bila-bila masa jika dia melawan.

 

“Sekarang engkau boleh pergi.”

 

Chisato bangun, tunduk seperti boneka, sungguh teratur, tidak, ia seperti diatur. Dia memusingkan badan dan beredar keluar.

 

Tidak kusangka begitu mudah mempengaruhinya. Tidak rugi aku membantunya dahulu, getus Ayame. Ia aset yang tersimpan, suatu pelaburan, satu semaian yang berbuahkan emas. Aku harus berterimakasih dengan Takasaki-san yang memintaku menyelamatkan Chisato dulu. Sekarang hasilnya dapat kutuai demi kelangsungan Skuad Sakura.

 

Dan Kogen. Ya, Kogen adalah matlamat utamaku. Ia harus dimulakan dengan Skuad Sakura. Selepas Kogen, seluruh bumi Jepun ini. Namun itu adalah yang paling akhir. Kemudian seluruh Jepun akan aku perintahkan Kod Kogen. Hukuman bunuh akan dijatuhkan kepada penjenayah yang menodai wanita. Semua rumah pelacuran akan aku tutup. Para wanita akan aku jadikan petarung dan tentera seperti Skuad Sakura. Aku akan galakkan ahli yang sudah mahir kaminari, menurunkan ilmu itu kepada yang lainnya sehingga setiap wanita dalam negara ini mampu menggunakannya.

 

Sementara itu, Chisato di luar masih berjalan dalam keadaan seolah dipukau, sebelum Shinji menegurnya. Shiori di sebelah memerhati.

 

Ne, Chisato. Apa yang kalian bincangkan?”

 

“Oh? Shinji-ka? Apa kaubuat di sini? Bagaimana aku boleh berada di sini?”

 

“Apa benarkah kau tak ingat?” Soal Shinji kehairanan.

 

“Tak ingat? Aku tadi...”

 

“Kita datang ke sini bersama-sama tadi. Takkan kau tak ingat?”

 

“Ya... aku lupalah. Aku hanya ingat setakat di pintu pejabat Ayame-san saja.”

 

“Hah? Chisato, usah bergurau denganku boleh?”

 

“Aku tak bergurau!”

 

“Jadi? Bagaimana pula kau boleh lupa antara itu dan sekarang?”

 

“Aku tak tahu...aku fikir aku seolah setuju sesuatu dengan Ayame, namun aku lupa butirannya.”

 

“Chisato...engkau jangan bergurau denganku?”

 

“Tidaklah! Aku kata tidak, tidaklah!” Chisato membidas tuduhan Shinji itu sekeras-kerasnya. Wajahnya mengetat. Shinji sedikit terkejut memandang wajah Chisato yang berkerut dan berkedut seribu. “Sungguh, aku tak tahu apa berlaku sejak aku di dalam sehingga aku keluar... Shinji, engkau mendengar apa-apa? Apa yang telah aku setujui dengan Ayame-san?”

 

Aneh, fikir Shinji. Chisato boleh lupa apa yang dibincangkannya di dalam pejabat Ayame itu sebentar tadi? Apakah Chisato menghidap penyakit singkat memori? Tidak, tidak mungkin.

 

“Aku tak tahu. Sungguh aku tidak mendengar kalian.” Aku Shinji.

 

**

 

Shiori kerap ke perpustakaan sejak dia menyiasat tentang buku Chiho dan Chinami itu. Ini kerana dia tertarik untuk mengorek rahsia Kaho. Namun Kaho sangat tajam dan tidak pernah sekali pun membenarkan Shiori masuk ke bilik bawah tanah di perpustakaan itu. Shiori mula berminat dengan bahan-bahan bacaan bilamana dia gagal mengorek rahsia Kaho.

 

Namun sejak ketibaan Ayame melalui portal dan perpustakaan itu, Shiori melihat ramai ahli Skuad Sakura keluar masuk perpustakaan tersebut. Dia mengekori mereka dan mendapati mereka masuk ke tingkat bawah tanah yang paling bawah dan ke sebuah bilik rahsia yang tersembunyi di dalam dinding. Dia memberitahu Shinji. Shinji maklum akan bilik itu yang merupakan portal ke lembah Amaguri. Namun dia tidak pasti apa motif orang-orang Ayame ke sana. Sebenarnya orang-orang Ayame dan mana-mana pengintip Kogen pun bebas menggunakannya kerana ia akan membawa mereka ke jalan pintas ke Hidagawa. Namun mereka tidak akan boleh membawa kuda menerusinya sekali. Maka disebabkan itu, mereka terpaksa mengikut jalan jauh di luar jika mahu ke Hidagawa.

 

Meski Shinji agak curiga, dia tidak memberitahu Koichi. Ini kerana dia berpendapat, adalah baik jika Koichi tidak mengetahuinya kerana Shinji sememangnya tidak menggemari orang-orang Ayame yang tidak sependapat dengan Koichi dan mungkin akan mencetuskan perang di dalam Kogen.

 

Ahli-ahli Skuad Sakura melarikan diri melalui perpustakaan ini pada tengah malam dan tiba di Hidagawa, menunggang kuda dari sana yang sudah disediakan orang-orang upahan Ayame ke Yokuma. Semua ini dilakukan sedikit demi sedikit, seorang demi seorang, semalam demi semalam. Sebahagian keluar dengan cara biasa menuruni pergunungan itu. Orang-orang Ayame keluar sehingga kehilangan mereka terlalu ramai untuk diabaikan.

 

Tidak kurang dalam Skuad Sakura yang tidak bersetuju dengan perancangan Ayame: mereka mempersoalkan kewajaran menyerang Yokuma sedangkan itu bukan tugas utama mereka. Tugas utama mereka ialah membersihkan rumah-rumah perlindungan Kogen dari para penjaga yang tidak amanah. Mereka juga mengungkit kecederaan yang mereka alami sewaktu membantu pasukan Ryouji menumpaskan Suzuki.

 

Juga mereka mempersoalkan kewajaran membunuh, jika diperlukan, para ronin yang berkawal di sana.

 

Ayame menjawab mereka dengan berkata bahawa mereka ronin yang sedang menyusun bala tentera menentang Maharaja, maka sewajarnya kita menyerang mereka demi membantu Maharaja. Pabila penanya dari kalangan Skuad Sakura itu meminta Ayame mengemukakan bukti, dia hanya mendiamkan diri. Seorang penanya juga menegaskan bahawa misi ini sepatutnya dilakukan bahagian lain Kogen dan bukan Skuad Sakura, namun Ayame mengabaikannya. Namun disebabkan sebilangan besar ahli Skuad berjaya dirasuk menggunakan Berahi Kuasa (kerana mereka semua terhutang budi dengan Ayame atas jasa lepasnya) maka minoriti yang berprasangka tidak berani melawan, bahkan diugut lagi.

 

Ada ahli yang masih tidak berpuas hati, meninggalkan Ayame dan kekal di Kogen. Lagipun ahli ini tidak terlalu terkesan oleh Berahi Kuasa kerana budi Ayame kecil pada mereka atau kerana mereka masih kanak-kanak dan kurang mengerti budi Ayame sewaktu mereka menerimanya dahulu. Kanak-kanak kurang terkesan berbanding orang dewasa. Disebabkan itu Chiho dan Chinami kurang terkesan berbanding Chisato. Disebabkan itu juga penyoal ramai dari kalangan generasi muda. Namun Chiho menyertai Ayame kerana mahu mengejar cita-citanya.

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov