Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 15

Otou-san, mengapa engkau membawa sekali budak perempuan itu ke sini?” Soal Kouki dengan mencebik.

 

“Kalian, dia kan tetamu kita. Tidak seharusnya kalian berkata begitu. Okuhida-san, maafkan aku atas kekurangajaran mereka. Silapku membesarkan mereka.”

 

“Tidak mengapa, Motoba-jii san.”

 

Jii-chan!” Masaru tiba-tiba berdiri, dan menyebut panggilan datuknya kuat-kuat. Semua ahli keluarga yang sedang duduk mengelilingi meja makan tergamam.

 

“Duduk, Masaru. Kita makan dahulu, ne?” Pujuk Kouki kepada anaknya sambil tangan menariknya duduk kembali.

 

Masaru merengus, menjeling Hisamiko. Hisamiko mengelak matanya dari memandang Masaru. Suasana kekok dan janggal menyelubungi bilik hidang itu.

 

Sebaik selesai makan, Hisamiko duduk di atas batu di tepi taman zen. Masaru datang menemuinya.

 

Ne, Hisamiko. Aku cabar engkau bertarung pedang denganku.”

 

He?” Hisamiko terkejut dan menoleh.

 

“Jika engkau kalah, engkau tidak akan mengganggu aku memanah rusa di sini. Jika engkau menang, aku tidak akan memanah rusa di sini selama-lamanya.”

 

“Engkau berjanji akan berpegang dengan kata-katamu itu sekiranya engkau kalah?” Hisamiko bertanya mencabar, nadanya begitu yakin dia akan mengalahkan Masaru.

 

“Sudah pasti!” Balas Masaru dengan suara lantang yang dibuat-buat. Jelas dia cemas benar dengan keyakinan yang ditunjukkan Hisamiko.

 

Hisamiko tersenyum dan memandang Masaru seraya berkata, “Baiklah. Aku setuju. Ayuh.”

 

Terpana Masaru sejenak tatkala senyuman Hisamiko melintas pandangannya. Sungguh cantik. Sungguh jelita. Merah muka Masaru. Dia berpaling dan pantas ke tempat pedang kayu disangga, mengambil dua bilah.

 

“Sambut, Hisamiko.” Masaru mencampakkan sebilah, disambut Hisamiko.

 

Tidak jauh dari mereka di tepi rumah tersebut, Motokichi memerhati. Dia memanggil Kouki.

 

“Lihat itu, Kouki. Nampaknya anakmu sudah bertemu jodohnya.”

 

“Hah?”

 

Hisamiko dan Masaru masing-masing bersedia menghunus pedang kayu dan bergerak berpusingan, menanti saat sesuai untuk memulakan serangan.

 

Gerakan demi gerakan, hanya Masaru yang dipukul. Satu pun pukulannya tidak mengenai Hisamiko.

 

“Cukup, cukup Hisamiko. Aku mengalah. Aku telah tewas.”

 

Sou?”

 

Sememangnya berpedang bukanlah kemahiranku. Aku hanya mahir memanah. Namun dia pantas benar.

 

“Hisamiko, seperti janjiku, aku tidak akan lagi memanah rusa di sini.”

 

“Baguslah begitu.” Hisamiko meletakkan kembali pedang kayu itu ke rak.

 

Matte (tunggu), Hisamiko.” Tegur Masaru sebaik melihat Hisamiko seperti mahu beredar.

 

Nani?” Hisamiko menoleh.

 

“Sudi engkau mengajarku berpedang?”

 

Tiba-tiba Azuchi datang terbang. Hisamiko memandang langit. Azuchi mengibas-ngibas sayapnya sehingga berterbangan rambut Hisamiko. Dalam terbang setempat itu Azuchi memberitahu sesuatu yang membulatkan mata Hisamiko dan memucatkan wajahnya.

 

“Hisamiko!” Satu suara lelaki kedengaran sayup-sayup, dengan nada membentak, melaungkan namanya, diiringi bunyi detakan kaki kuda. Kelibat itu terhenti di pinggir laman yang berpokok, kuda ditambat dan penunggangnya turun dan berlari ke arah Hisamiko.

 

Onii-san. Apa kau buat di sini?”

 

“Hisamiko!” Pantas Ryouji meluru seraya memeluk adiknya. Hisamiko kaget.

 

“Hisamiko, engkau tak apa-apa? Apakah tempat ini?”

 

“Aku tidak apa-apa. Onii-san, bukankah engkau sibuk dengan urusan perkahwinanmu?”

 

“Hisamiko, aku risaukan engkau. Usah keluar begini tanpa memberitahuku lagi, ne?”

 

“Aku bilang onii-san sudah punya isteri. Aku bilang aku boleh membawa diriku.”

 

“Bukan begitu! Aku tidak akan mengabaikanmu meskipun telah berkahwin.”

 

Oh, ini abangnya, getus Masaru sebaik mendengar panggilan onii-san. Motokichi dan Kouki keluar sebaik mendengar bising-bising itu seraya memerhati bersama-sama Masaru.

 

“Kalian, terima kasih menyelamatkan Hisamiko.” Ryouji tidak berlengah seraya tunduk kepada dua lelaki yang tiba-tiba memunculkan diri.

 

“Menyelamatkan? Oh tidak, tidak. Aku yang menjemputnya makan tengahari di sini.” Maklum Motokichi. “Anak muda, sudi perkenalkan dirimu?”

 

“Aku Okuhida Ryouji, abang kepada Hisamiko. Arigatou.” Ryouji tunduk hormat lagi.

 

Doumo. Aku mengenali bapa kalian, Okuhida Mitsuo.”

 

Melopong mulut Hisamiko dan Ryouji.

 

Ojii-san,”

 

“Panggil aku Motokichi.

 

“Motokichi-san, aku harus membawa pulang Hisamiko hari ini juga.”

 

Onii-san! Mengapa harus aku mengikutmu pulang?”

 

Ne, Ryouji. Apa kata kita duduk di dalam dahulu? Ada sesuatu ingin aku bincangkan denganmu. Kouki dan Masaru, kalian boleh beredar jauh dahulu.”

 

“Ha?”

 

“Usah berdegil dan turuti sahaja arahanku, atau kalian boleh tinggalkan rumah ini.”

 

Kouki dan Masaru beredar. Namun jelas mereka tidak berpuas hati dipinggirkan bapanya mendengarkan bunyi dengusan dan gerutu entah apa sebaik berjalan meninggalkan perkarangan. Motokichi menangkap bunyi-bunyian itu dan sudah menjangkakannya.

 

Motokichi, Ryouji dan Hisamiko di ruang pejabat Motokichi.

 

“Ada apa yang Tuan ingin bincangkan?”

 

“Duduklah dahulu.” Pinta Motokichi melihatkan Ryouji seperti tergesa-gesa.

 

“Engkau pernah bekerja dengan Kogen bukan?” Soal Motokichi sebaik mereka berdua melonggar sedikit.

 

“Ya Tuan. Mengapa?”

 

“Apakah engkau pernah menyertai Shirasaka Ayame dan misi-misinya?”

 

“Ya.” Mengapa orang tua ini bertanyakan soalan begini, tiba-tiba?

 

Jeda seketika. Motokichi mengambil masa sedikit mengatur kata-katanya.

 

“Buat pengetahuanmu aku sedang mencari seseorang untuk dicadangkan kepada wakil Maharaja sebagai penggantiku selaku hakim mahkamah di sini. Namun aku bimbang tiada siapa yang mampu mewarisi jawatanku.”

 

“Maaf Tuan, namun apa kaitannya dengan kami?”

 

“Aku mahu mencadangkan namamu sebagai penggantiku.”

 

“Ha? Tuan, engkau baru bertemu denganku hari ini. Dan apakah engkau fikir aku layak? Umurku baru dua puluh. Aku langsung tiada pengalaman.”

 

“Dahulu, aku ada mendengar tentang seseorang yang menyertai Ayame, namun mengambil keputusan yang aku kira adil.”

 

“Maksudmu?”

 

“Engkau masih ingat misi di rumah perlindungan Takahata? Takahata Yusei yang menodai ahli rumahnya sendiri?”

 

“Ya.”

 

“Aku mendengar engkau tidak membunuhnya terus. Engkau memotong tangannya dahulu.”

 

“Itu hanya perkara kecil. Aku bilang aku perlu membiarkan dia terseksa dengan kecacatan kekal kerana maruah anak-anak itu akan kekal tercemar sehingga akhir hayat mereka.”

 

“Dan engkau berani menggunakan gerak hati berbanding mengikut undang-undang kaku yang sudah terpatri dalam Kod Kogen bukan? Mengapa begitu Ryouji?”

 

“Aku...aku hanya mengikut apa yang kurasakan lebih setimpal sebagai hukuman...”

 

“Itulah gerak hati. Ryouji, aku fikir engkau punya gerak hati yang baik dan tidak sekadar mengikut apa yang tertulis di dalam Kod membuta tuli. Sejak aku mendengar kisah itu dan namamu, aku cuba menjejakimu. Tidak kusangka aku bertemu adikmu di sini. Aku maklum Koichi menghantarmu ke luar Kogen selepas misi di Kobe. Aku akan cuba memujuknya agar engkau dibenarkan menjawat jawatan hakim di sini.”

 

Pada firasat Motokichi, perlakuan Hisamiko pastinya datang dari didikan Ryouji. Motokichi maklum pasangan adik-beradik itu sudah lama kehilangan bapa dan ibu mereka. Siapa lagi kalau bukan Ryouji, dan Takasaki yang mendidik Hisamiko.

 

“Apa kaitan Kogen dengan jawatan hakim di sini?” Soal Ryouji.

 

“Tidakkah engkau maklum Kogen yang menjadi proksi Maharaja selepas Pembaharuan?” Motokichi cuba menduga pengetahuan Ryouji sebelum dia menjelaskan lanjut.

 

“Aku tahu itu. Namun tidak aku maklum sejauh dan sedalam mana peranan berkaitnya.”

 

“Maharaja menghantar wakil ke dalam Kogen sebagai penasihat dan pemerhati. Kogen pula menghantar pegawainya dalam pasukan polis, tentera dan kehakiman. Begitulah peranannya sebagai proksi. Jika engkau dilantik menjadi hakim di sini, engkau juga sebahagian daripada Kogen selain mewakili Maharaja. Meskipun engkau bukan lagi daripada kalangan mereka yang berkhidmat terus kepada Shirasaka di ibupejabatnya, engkau menjadi hakim dan melapor kepada Kogen dan Maharaja.”

 

Ryouji mengambil masa memikirkan balasan yang sesuai. Padanya peluang begini tidak harus dilepaskan. Namun apakah dia benar-benar layak menjawatnya? Jawatan begini bukanlah mainan dan gurauan. Ia berkait dengan nasib manusia. Jika salah menjatuhkan hukuman, barangkali yang salah akan terlepas, yang teraniaya tidak akan terbela.

 

“Tuan, aku fikir sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk aku memikirkan soal tawaranmu. Ia terlalu mengejut. Dan ia bukanlah calang-calang tugas. Maka, aku mohon engkau berikan sedikit lagi masa. Tambahan aku sedang sibuk dengan hal majlis kahwinku. Aku pasti akan kembali dengan jawapannya. Berikan aku masa seminggu, tidak, sebulan aku mohon.”

 

“Oh, begitukah? Tahniah Ryouji.” Ucap Motokichi mendengarkan Ryouji bakal melangsungkan perkahwinan. “Patutlah engkau kelihatan tergesa-gesa.”

 

“Dan alang-alang aku di sini, ingin aku menjemputmu datang, bawalah sekalian ahli keluargamu. Rumahku di Gero. Engkau kenal pedagang sutera Tokizawa?”

 

“Siapa tidak mengenalnya. Tokizawa Taihei bukan?”

 

“Benar. Aku memperisterikan anaknya Kiku.”

 

Sou desuka? Beruntung engkau Ryouji. Baiklah. Aku harap engkau dapat memberikan jawapan selepas selesai tempoh perkahwinanmu itu. Bukan sebulan, aku memberikan engkau dua bulan untuk berfikir semasaknya.”

 

Arigatou, Tuan. Maaf Tuan, hari semakin petang dan kami harus pulang sekarang. Ayuh, Hisamiko.” Ryouji menoleh sejenak merenung Hisamiko di sebelahnya tajam seperti mahu membahamnya. Hisamiko tunduk, dia tahu Ryouji amat marah dengannya.

 

Hisamiko menurut sahaja Ryouji keluar dari rumah itu. Sebelum meninggalkannya dia sempat berterima kasih kepada Motokichi kerana menjamu makan tengahari.

 

Ketika berjalan menelusuri perkarangan rumah itu Hisamiko dapat mengesan Masaru yang mengintainya dari jauh. Masaru melarikan diri sebaik mata mereka bertentangan.

 

“Siapa?” Soal Ryouji.

 

“Hmm, nani mo (tiada apa-apa).” Balas Hisamiko.
Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov