Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 53

“Ampunkan patik Heika. Patik gagal melaksanakan janji itu. Benarkan patik melakukan seppuku.”

 

Baginda tidak berganjak, tidak mengangguk, tidak apa-apa. Hanya memandang Koichi dengan riak wajah penuh murka dan tubuh kaku seperti patung batu di taman zen. Misainya yang tebal melengkung dan rahang yang besar tambah menyerlahkan kegarangan pada wajah. Dengan pakaiannya ala bangsawan Prussia, perawakannya tidak ubah seperti Jeneral Otto von Bismarck yang baru sahaja menyatukan empayar Prussia itu.

 

Koichi mengeluarkan tantou dari sarung di pinggang, memegang dengan kedua belah tangan sedang matanya dihalakan ke kiri pinggang. Pedang yang pernah diberikan Maharaja kepadanya demi upacara ini telah diserahkan kepada salah seorang pengiring Maharaja yang akan bertindak sebagai pembantu seppuku, yang berperanan memancung kepala Koichi usai dia merobek pinggangnya dengan tantou.

 

Koichi tidak memakai yukata putih seperti kebiasaan upacara seppuku, lagipun dia bukan samurai. Balairung seri yang melatari mereka semua hening, hanya pokok-pokok momiji yang daunnya merah menyala berbunyi kala diterpa angin. Sekali sekala daun-daun merahnya terbang dihembus angin yang berpuput dibumbungi langit yang cerah.

 

Seiji, pembantu Maharaja menjadi saksi bersama dayang istana yang berada di balik pintu yang saling berbisik-bisik entah apa.

 

Koichi mendekatkan mata ke kiri pinggang. Dia nekad. Dia rela mati begini. Dia tidak sanggup membunuh Ayame. Ayame terlalu berharga, Ayame jantung hati lautan madu intan payungnya. Biar seribu nyawa sekalipun dikorbankan Ayame, dia sanggup membutakan hatinya dari melihat kekejaman itu. Kerana sayang segalanya jadi buta. Kerana sayang segalanya jadi alpa.

 

Mata tantou ditekan sehingga menembusi yukata, santak ke kulit pinggang. Darah mula mengalir dan membasahi bahagian tusukan pada yukata.

 

“Siapa yang benarkan engkau melakukan seppuku, Koichi-san?!” Tengking baginda.

 

Koichi tersentak. Tangan masih memegang tantou. Kesan darah semakin membesar pada pinggang.

 

Beberapa orang pengiring baginda keluar seraya menahan Koichi dan membuang tantou itu. Koichi boleh sahaja menghalang mereka dan langsung merobek pinggangnya namun menyedari mereka hanya menurut arahan baginda, Koichi akur diberkas. Dia membiarkan pengiring baginda merawat luka di pinggangnya.

 

Dalam hatinya, dia masih belum bersedia untuk mati. Dia mahu bertemu Ayame dahulu. Dia mahu mati di hadapan Ayame. Dia mahu citra Ayame adalah yang terakhir muncul di matanya sebelum pergi. Tiada maknanya mati di sini tanpa dapat melihat Ayame terlebih dahulu.

 

“Namun patik...”

 

“Engkau bukan samurai!”

 

“Patik telah memungkiri janji.”

 

Baginda datang mendekati Koichi.

 

“Koichi-san, aku juga punya anak.” Baginda mengangkat wajah Koichi mengadapnya.

 

Baginda mengukir senyum. Koichi memandang wajah baginda dan rasa bingung menderu ke otak. Entah mengapa air matanya mengalir deras. Benak belum dapat menafsir makna dari senyuman itu.

 

“Koichi, beta tahu engkau tidak akan dapat menjalankan perintah beta yang satu ini. Namun beta mesti menghapuskan Ayame demi kelangsungan takhta beta.”

 

“Apakah ada cara lain? Atau apakah mungkin ada silap dalam ramalan Amaguri itu?”

 

“Koichi, dengar sini. Beta tidak mempercayai ramalan ahli sihir Emishi itu. Beta hanya mahu menghapuskan pemberontak. Meskipun pemberontak itu beta anggap sebagai guru beta, sebagai bapa, seperti Saisho itu. Meski pemberontak itu anakmu sendiri. Demi kelangsungan kerajaan ini, semua pemberontak perlu dihapuskan.”

 

Mahu sahaja Koichi meluahkan bahawa ada calon lain yang diramalkan Amaguri, iaitu gadis Okuhida itu. Maharaja belum mengetahuinya. Tidak, tiada guna mendedahkannya, getus Koichi. Baginda tidak mempercayai ramalan itu. Oleh itu, baginda hanya akan menghapuskan mereka yang memberontak sahaja, seperti Ayame. Ayame sudah terbukti menyusun bala tentera. Jika aku dedahkan bahawa Okuhida Hisamiko adalah calon Kaisenjyo juga, baginda tidak akan melakukan apa-apa kerana tiada bukti. Gadis Okuhida itu hanya gelandangan yang tiada bala tentera langsung.

 

“Koichi, beta akan menghantar petarung lain menewaskan Ayame. Usah menghalang beta. Andai beta tahu engkau menghalang beta demi melindungi anakmu, beta sendiri yang akan membunuhmu!”

 

Baginda berlalu dan membiarkan Koichi melayani fikirannya. Baginda bertemu Seiji pembantunya yang dari tadi masih setia menunggu di susur.

 

“Seiji, bagaimana?” Soal baginda kepada pembantunya sebaik tiba di pintu bangunan yang menghadap taman.

 

“Memandangkan tiada petarung yang mampu menewaskan Ayame, hanya beradik Okuhida itu sahaja yang kita boleh harapkan.”

 

“Arahkan mereka bersedia. Maklumkan kepada mereka bahawa ini adalah perintah khas dari beta. Jika mereka enggan, tangkap mereka. Beta sendiri yang akan menghukum mereka.”

 

“Perintah dijunjung, Heika.”

 

Sementara itu Koichi ditebak persoalan baru selepas mendengar perancangan baginda mahu menghantar petarung lain.

 

Siapa petarung itu? Soal Koichi dalam hati. Okuhida-kah? Lagipun, hanya mereka sahaja yang boleh menewaskan Ayame. Namun mereka sendiri pernah memberitahuku mereka tidak akan mampu menewaskan Ayame. Aku harap begitulah.

 

Ayame, engkau mesti hidup. Meski otou-san tidak lagi dapat berbuat apa-apa demi melindungimu. Engkau usahakanlah, kerana inilah karmamu akibat menentang baginda, dan juga kerana menderhakai bapamu.

 

**

 

“Aku telah menerima arahan dari baginda.” Ryouji menolak segulung surat kepada Koichi, di dalam pejabatnya di Shirasaka-no-Kogen. Hisamiko menunggu di luar pejabat.

 

Koichi dapat merasakan dia sudah pun tahu apa isi kandungannya, namun dia hanya berpura-pura terkejut dan perlahan-lahan membuka surat itu dan membacanya. Ia seperti jangkaannya; Maharaja mengarahkan Ryouji dan Hisamiko membunuh Ayame. Maharaja nampaknya kekal pada pendiriannya, yang baginda sendiri akan membunuh Ayame jika Koichi tidak mampu melakukannya.

 

“Jika Maharaja sendiri mengeluarkan perintah ini, aku tidak mampu menghalangnya. Ayame sendiri mencari penyakitnya.” Nada Koichi sugul, dapat dikesan Ryouji.

 

“Koichi, maafkan aku.”

 

“Untuk apa, Ryouji? Ini semua karmaku, karma Ayame. Aku menerimanya. Demi Kogen dan demi tanah air kita, ini sahaja jalan yang tinggal. Hanya kalian yang mampu menewaskan.”

 

Sebenarnya, aku juga merancang mahu menggunakan kalian demi menumpaskan Ayame, selepas aku sendiri gagal melakukannya. Namun disebabkan Maharaja sudah melakukannya dahulu, maka aku hanya menurut sahaja perancangan baginda.

 

“Namun Ryouji, hanya satu yang aku mahu mohon dari baginda, agar mayat Ayame nanti tidak dibakar dan tidak dipancung, sebaliknya dikuburkan, di lembah Okuhida lembah kalian dalam keadaan sempurna.”

 

“Baiklah. Aku akan pastikan aku penuhinya.”

 

“Aku akan hantarkan surat memohon perkara itu kepada baginda, dan salinannya beserta cap akan aku berikan kepadamu sebagai sokongan sekiranya engkau disoal tentera baginda kelak.”

 

**

 

Saisho Takanori nekad mengumpulkan para pengikutnya di Kyushu berjumlah seratus ribu orang, merancang berarak dengan membawa sepanduk dan kuda dan kereta kayu berisi senjata api, merentas Selat Shimonoseki dengan kapal menuju Honshu. Dari muncung Honshu di Shimagane tempat mereka berlabuh, mereka akan sambung berjalan kaki membawa diri merentas Izumo, terus turun ke selatan di Kobe dan Osaka, dan berarak lagi merentas jalur Tokaido ke Tokyo.

 

“Kita yang akan datang ke Tokyo menyerang baginda di sana.” Katanya kepada para pengikut sewaktu perhimpunan di Kurimoto di utara Kyushu, di mana Gabenor Kimura ditempatkan. Kusanagi Kogorou turut sama hadir di situ. Gabenor Kimura tidak hadir, meskipun perhimpunan dilakukan di tempatnya. Para penyokong Kimura dan pegawai Belanda berkawal di luar dan memerhati keadaan.

 

Mereka sekadar mencabarku, getus Kimura. Yalah, beranilah kalian bagai anjing menyalak bukit. Kalian mahu membuat casus belli bukan, andai Belanda di sini cuba mengapa-apakan kalian? Macamlah aku tidak tahu taktik kalian itu. Jika Belanda dan pengikutku bertelagah dan menumpahkan darah kalian, maka kalian akan menuduhku memulakannya dan mewajarkan tentangan kalian terhadap Maharaja, kerana aku sekutu baginda.

 

Menjelang penghujung musim panas 1877, gelombang pemberontakan yang marak membakar di Kyushu, yang dikepalai Sasho Takanori, kian memalap dan hampir-hampir terpadam. Belum pun mereka sempat berarak, mereka diserang di utara Kyushu, sebelum merentas Selat Shimonoseki. Satu-persatu bilah pedang dicantas tersepuk ke bumi, sebatang demi sebatang tubuh-tubuh tegar menegakkan kesamuraian tersembam gugur dihentam peluru-peluru pendukung kerajaan Maharaja. Serbuan ‘Banzai’ pada era ini tiada gunanya lagi. Pada era ini peluru dan meriam dan mesingan adalah pematah yang ampuh pada hati-hati yang degil, yang tidak mahu berubah.

 

Pada tanggal 24 September 1877, pasukan samurai Saisho hanya tinggal empat puluh orang yang berundur kembali ke selatan Kyushu, masih bertahan di perbatasan kubu di Kawamoto. Pada dinihari hari yang sama, Saisho telah dibedil peluru, namun pada saat dia tidak lagi tertanggung akan sakit dari kecederaan itu, kepalanya dipancung oleh orang kanannya demi menjaga maruahnya mengikut bushido. Dengan kematian Saisho, maka berakhirlah era samurai, bermulalah era gemerlap empayar Jepun dengan Maharaja menjadi teraju, watak utama dan bukan lagi bayangan Tuhan atau dewa dengan dibonekakan shogun sewenang-wenangnya. Tangan Maharaja menggerakkan perubahan itu melalui perubahan bahasa, budaya dan tatalaku yang dilakukan secara mendadak. Jepun berubah mengikut model Barat khususnya Prussia, dan mengindustri. Keperluan terhadap sumber alam meningkat mendadak seiring peningkatan industri. Sebagai sebuah negara yang kurang sumber, Jepun mula merangka agenda penjajahan dan tahun-tahun mendatang menyaksikan pengembangan empayarnya, bermula dengan Joseon (semenanjung Korea) dan disusuli dengan Republik China (negara baru yang dibentuk selepas Qing digulingkan).

 

Kekalahan Saisho telah membuktikan keberkesanan sistem tentera yang dilatih dari orang awam atau heimin, yang tidak lahir dengan status samurai. Sistem tentera yang dilatih dari orang awam atau heimin ternyata berkesan memacu negara dan mengembangkan empayar Jepun sehingga seluas-luasnya mencakupi separuh benua Asia. Namun hampir-hampir tiada rakyat Yamato pada ketika itu yang mampu melihat dan meramal bahawa di masa akan datang, di kala mereka sibuk mengembangkan empayar Jepun, bahawa mereka membawa bersama kekejaman dan kerosakan yang maha luas, yang hanya mampu ditundukkan oleh dua ‘matahari’ yang gugur dari angkasa, sepertimana ramalan Amaguri.

 

Pada sekitar masa sama pemberontakan Saisho membakar di Kyushu, berlainan situasinya pula di tengah-tengah Hidagawa. Ia peristiwa yang terpendam di ceruk dan liku sejarah, ia separa dongeng, namun izinkan aku mengisahkannya di sini. Hidagawa ketika itu pula menghadapi tentangan hampir serentak dari pakatan Yoshinobu-Ayame. Bezanya berbanding Kyushu ialah di sini, Maharaja dibantu oleh pecahan Kogen yang diketuai Koichi.

 

Ketika nasib di Kyushu sudah ditentukan dengan kematian Saisho, pertempuran di celah-celah gunung di Hidagawa masih sengit dan membakar. Darah yang mengalir memerahi sungai-sungai glasier yang jernih lutsinar, ikan-ikan trout yang berenang dan tampak dari dasarnya kini tenggelam dalam pekat merah darah para tentera yang gugur dibedil batu-batu lahar panas yang digugurkan paruh-paruh burung dari neraka (jigoku no tori). Burung-burung hasil pembakaan terpilih Yoshinobu yang disaring dari burung yang tahan panas paruhnya dan kemudian dilatih memagut batu lahar, dilatih pula membawa dan menggugurkan batu-batu panas ini ke atas musuh, para tentera Maharaja dan pecahan Kogen Koichi itulah. Maka gugurlah tentera Maharaja bak daun-daun yang dimakan ulat. Mayat-mayat yang membusuk mengotori sungai-sungai yang jernih, yang warnanya kini bertukar perang dan kuning dan menghantar bau yang sungguh meloyakan, dengan likat dan lengkit melekat pada pakaian yang dibasuh oleh para wanita di Azumino. Sungai-sungai likat dan lengkit memendap pada mesin penenun sutera dan menyekatnya dari terus berpusing di Kamikochi.

 

Burung-burung hitam dari spesis gagak yang banyak di Jepun ini, telah lama diketahui agak bijak dan memahami arahan manusia. Maka Yoshinobu mendapat ilham melatih mereka demi tujuan kemusnahan dan penentangan terhadap kuasa Maharaja dan disuruhnya para saintis yang telah lama membiakkan burung gagak termasuk Kurobi, burung kesayangan Hamada bapanya itu, untuk membiakkan burung dari neraka ini. Batuan lahar diambil dan dipungut dari gunung berapi yang wujud di tengah-tengah Hidagawa yang digelar Yakedake itu.

 

**

 

Musim dingin kali ini serasa sungguh dingin, seolah bersejajaran dengan dinginnya hubungan antara Maharaja dan sebahagian samurai yang semakin mengejap dan mencengkam tulang hitam. Puncak-puncak yang memenuhi sebahagian besar isi tengah Jepun, membenteng angin sejuk dan lembap dari Siberia yang merentas Laut Jepun, menahan dan membentuk ia menjadi kerpasan dalam bentuk salji yang terkumpul padanya seperti apa yang dilihat di Hakuba Sanzan, Shirouma, Yarigatake, Hotakadake, Norikuradake, Jounen dan puncak gunung berapi Yakedake...

 

Enam bulan lamanya puncak-puncak berbatu ini, yang pada jutaan tahun lampau berada di bawah dasar laut, membeku dan mengempang salji sehingga memutih dan membentuk corak-corak yang mengasyikkan para penduduk di lembah-lembah sekitarnya, sehingga mengilhamkan mereka untuk memberikan nama yang aneh-aneh pada puncak-puncak itu. Sebagai contoh, jika corak salji pada lereng itu membentuk seekor kuda putih, maka dinamakan puncak itu Gunung Shirouma atau ‘kuda putih’. Jika puncaknya berbentuk mata lembing, maka dinamakan Gunung Yari atau ‘mata lembing’.

 

Di Azumidaira, di awal musim sejuk begini, para petani mengumpulkan jerami dari padi yang dituai dua bulan lalu untuk dijadikan atap baru. Manakala di Kamikochi, landskap hutan pinggir sungai yang perang dua bulan sebelumnya, kini bertukar menjadi ranting-ranting, dan Sungai Azusa mengalir lesu, dalam suhu di bawah paras beku, dengan tebing-tebingnya menampung salji yang memutih bak sutera. Ikan trout dapat dilihat dari permukaan sungai yang jernih kehijauan. Jambatan Kappa yang merentangi sungai itu turut diselaputi salji baru dan lama.

 

Selepas enam bulan, sinar mentari kembali menghangatkan bumi, membakar salji yang terempang pada puncak-puncak itu, dan cairannya menitis menuruni batu-batu granit pada lereng, dan ada yang meresap ke dalam tanah, menumbuhkan bunga-bunga gunung yang berwarna-warni seperti komakusa dan shirouma-asatsuki yang merah jambu, otakarako yang kuning dan berjambak, kurumayuri yang oren dengan kelopak panjang melengkung, hakusanfuuro yang ungu, shishiudo yang putih kuning, miyama-akebonoso yang biru gelap yang kini rona-ronanya yang beraneka mengambilalih salji yang dahulu putihnya melitup lereng-lereng gunung itu. Sementara itu di puncak-puncak berbatu yang lebih tinggi, komakusa, chishimagikyo, dan ibukijakoso tumbuh menghiasi dari celah-celah batu sepanjang tahun dan ia menyerlah lebih jelas bilamana salji melenyap sepenuhnya di hujung musim panas.

 

Manakala ada cairan salju yang mengalir namun hilang meresap ke dalam tanah dan kembali keluar sebagai mata air di lembah Azumidaira yang digelar kemi. Di Hakuba Sanzan, iaitu kompleks pergunungan yang terdiri dari tiga puncak yakni Shakushi, Hakuba-Yarigatake dan Shirouma, ada satu lembah di mana saljinya tidak pernah mencair sepanjang tahun yang dinamakan Daisekkei atau Lembah Salji Besar yang direntas para pendaki yang ingin menakluk tiga puncak tersebut sekali harung. Burung raicho (bermaksud ‘burung petir’) atau ptarmigan batu yang berbadan bulat dan pada musim sejuk berbulu putih, kini bertukar bulu kelabu dan balungnya merah. Yang jantan berteriak memanggil yang betina untuk mengawan. Mereka dianggap penunggu Hakuba Sanzan, dan makhluk suci, dan tidak disembelih untuk makanan. Lagi pula, rata-rata penganut Shinto dan Buddha adalah pengamal makanan sayuran. Manakala di Hotakadake, salah sebuah puncak dari puncak-puncak dalam pergunungan Hidagawa, beruang-beruang hitam yang menerawang sekitar hutan sugi di Kamikochi di kakinya dan lereng-lereng menuju Sirka Karasawa (Karasawa Cirque) keluar menikmati matahari dan menjamah buah-buahan gunung yang mekar, dan para pemburu keluar memburu beruang ini untuk dijadikan santapan dan juga mendapatkan kulit dan bulunya.

 

Juga di lembah Kamikochi yang bermaksud ‘tanah tinggi’ itu, sungai glasier mengalir merentasinya sebagai Sungai Azusa. Ikan trout mendiami sungai ini, meliang-liuk di dasar dan menjadi rezeki santapan para penghuninya, yang juga menenun sutera dengan tenaga aliran sungai yang memusingkan mesin tenun mereka. Mereka juga turut menjadi pemandu pelancong yang ingin meneroka kedamaian pergunungan Hidagawa seperti peneroka dari Barat yang bernama Walter Weston itu. Pepohon di pinggir sungai yang dahulu hanya ranting, kini mulai ditumbuhi daun-daun baru yang menghijau. Bunga-bunga mekar menghiasi kawasan berumput di tepi Sungai Azusa, sedang pepohon sugi masih kekal hijau sepanjang tahun.

 

Cairan gunung yang menitis tanpa meresapi tanah, turun mengalir menuruni lurah-lurah dan dari berbilang lurah-lurah lain sambil membawa bersama mineral yang dikakis, berkumpul pada satu lurah yang lebih besar di lereng yang lebih bawah, dan pabila ia cukup banyak, akhirnya melimpah dan mengalir ke bawah lagi, membentuk sungai-sungai glasier yang airnya dingin dan jernih lagi suci dan menyucikan, sambil mengkakis dan mengumpul lagi mineral yang berada di lereng, dan ia berulang-ulang, ada yang dibawa bersama, ada yang ditinggalkan di sepanjang perjalanan terutama di liku-liku, pabila terlalu berat untuk dibawa bersama. Ia seolah mengkhabarkan sebuah kehidupan, bahkan hidup manusia itu sendiri adalah sebuah aliran, ada lahir dan matinya, dan di sepanjang aliran itu ada memori yang dibawa bersama-sama, dan ada memori yang ditinggalkan. Dan biasanya memori yang ditinggalkan itu adalah memori yang terlalu berat untuk dibawa bersama buat kemudi masa hadapan, yang terlalu meruntun rasa dan memberatkan jiwa, yang harus ditinggalkan di mana-mana, kerana andai ia terlalu membebankan untuk dibawa, boleh jadi hidup sukar diteruskan atau mungkin mati akan lebih direlakan.

 

Pabila sungai-sungai glasier ini yang datang dari Hakuba Sanzan bertemu lereng yang lebih curam di bawah dan bergabung lagi dengan lurah-lurah besar yang lainnya, ia membentuk air terjun. Di bawah air terjun itu sebuah kolam atau lagun terbentuk dek jutaan tahun hentaman, dan di dalamnya dapat dilihat ikan-ikan berenang mengitari dalam suhu di bawah paras beku.

 

Air sungai dari lagun itu berbekalkan momentum yang dibina sejak di puncak, terus mengalir sehingga ke lembah Azumidaira, membawa bersama mineral yang dikakis dari lereng-lereng dan menjadi baja yang berkhasiat untuk tanaman padi dan juga ladang wasabi para penghuni Azumidaira. Sebahagian mineral termendap pada liku-liku sungai disebabkan beratnya, maka ia menjadi bijih yang diraih dengan mendulang, seperti timah dan bijih besi. Kadangkala mereka mengaut emas juga. Juga Sungai Azusa itu berasal dari glasier yang mencair dengan cara yang sama, namun puncanya dari Yarigatake yang berada dalam kompleks pergunungan Hidagawa dan bukan dari Hakuba Sanzan.

 

Sungguh besar kurniaan Maha Esa pada bumi Yamato ini. Ikan-ikan, tumbuhan gunung yang boleh dijadikan ubat mahupun racun, galian yang dibawa sungai-sungai dan dimendapkan pada liku-likunya, bahkan menjadi baja buat tanaman seperti padi dan wasabi di lembah-lembah di bawah. Sungguh besar kurniaan-Nya tidak dapat dinafikan mana-mana mata yang memandang dan hati yang memilih untuk merenung dan menghayati. Akan tetapi malangnya pada tahun ini, tanaman tidak lagi diusahakan, galian tidak lagi didulang. Segala kurniaan-nya disia-siakan begitu sahaja. Padang sawah menjadi medan tempur. Baruh-baruh yang kering kini dibasahi darah para tentera, baik tentera Maharaja, mahupun seterunya. Para pelombong pun berhenti melombong demi membuka laluan untuk peperangan, bahkan ada antara mereka direkrut Yoshinobu yang kini kekurangan samurai. Mayat-mayat bergelimpangan di tanah dan mengotori sungai-sungai yang asalnya jernih berkilauan. Bumi menyaksikan keamanan dirobek oleh mereka yang hauskan kuasa dan kedudukan. Limpah kurnia Yang Esa hanya tinggal hiasan, semua diabaikan demi perlanjutan kuasa mereka yang tamak haloba. 

Previous: Bab 52
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov