Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 42

Beberapa hari sebelum Tatsuya ditumpaskan Ayame...


Seorang lelaki berpakaian kimono lusuh diiringi dua rakannya, kesemuanya berkuda, tiba di tengah-tengah pekan Furukawa seraya melaungkan satu soalan.

 

“Di mana beradik Hosokawa?” Laung lelaki itu.

 

“Shirasaka Ayame telah ditangkap. Hosokawa bersaudara, sila keluar sekarang!”

 

“Siapakah gerangan kalian?” Soal seorang pemuda dari celah-celah orang ramai yang mulai berhimpun di sekeliling trio berkuda itu.

 

“Kami wakil Higashiyama Konoe, ronin penjaga Yokuma. Engkau Hosokawa bersaudara?”

 

“Aku Hosokowa Seijurou, dan ini Takajiro. Apa yang telah berlaku kepada Ayame?”

 

“Ambil.” Ketua trio menghulurkan segulung surat. Seijurou membukanya. Dia menggenggam surat itu usai membaca, wajahnya berkerut, dia merenung ketua trio.

 

“Apa maksudmu Ayame ditangkap?”

 

“Dia dan pasukannya telah menceroboh kawasan kami. Kami mahukan pampasan jika kalian mahu mereka dilepaskan. Sampaikan perkara ini kepada ketua kalian.”

 

“Celaka!” Takajiro menjerit seraya menarik pedangnya separuh, sebelum ditahan Seijurou. “Nanti dahulu, Takajiro.”

 

“Mereka hanya utusan Konoe.” Seijurou mengingatkan, cuba meredakan amarah Takajiro.

 

“Pastikan pampasan dibayar dalam masa dua hari dari sekarang. Jya sayonara.” Kata ketua trio itu sebelum berlalu pergi.

 

Kuso!” Rengus Takajiro, sambil menggenggam penumbuk. “Bukankah Ayame bersama Tokui? Bagaimana pula dia boleh berada di sana?”

 

“Perlukah kita beritahu Koichi-san?”

 

“Kita beritahu sahaja.” Takajiro mengusulkan. “Akan tetapi aku akan ke Yokuma juga.”

 

“Engkau gila? Itu Yokuma Takajiro, Yokuma. Usah kau gila masuk ke sana seorang diri.”

 

“Engkau tak mahu mengikutku? Masa cuma ada dua hari. Aku tidak yakin kita akan sempat. Lebih baik serang hendap dan bunuh semua ronin itu dari membayar tebusan. Aku tidak kisah mati asalkan Ayame dan pasukannya dilepaskan.”

 

“Bukan aku tak mahu mengikutmu, tapi tiada siapa yang akan berkawal di pekan ini nanti. Aku faham engkau bersedia pertaruh nyawa demi Ayame, namun jangan disia-siakan nyawa selagimana kita boleh merancang dan menyerang secara berkumpulan. Aku fikir kita perlu dapatkan bantuan Koichi. Lagipun bukankah Ayame anaknya?”

 

Takajiro diam sebentar. Barangkali dia mulai sedar dia dirasuk semangat samurai.

 

“Takajiro, kita usah mati sia-sia, ne? Kita bukan samurai. Kita generasi baru dan kita dididik Kogen agar menghormati nyawa, engkau tak ingat semua itu? Aku tak mahu kehilangan satu-satu ahli keluargaku juga.”

 

“Jadi engkau akan ke Yokuma juga?”

 

“Ya, selepas kita dapatkan pasukan tambahan dari Koichi dan selepas kita dapatkan pengganti untuk berkawal di pekan ini. Kita perlu ke Yokuma dan selamatkan Ayame dan pasukannya, namun pastinya dengan perancanganlah.”

 

“Jadi bagaimana? Perlu tunggu bantuan baru kita berangkat?” Soal Takajiro separa memerli.

 

“Kita gerak dahulu. Rancanganku, aku akan minta bantuan penjaga rumah perlindungan kita dari Hidagawa berkawal di sini buat sementara waktu. Harap Koichi sempat menghantar bantuan serentak kita tiba di Yokuma.”

 

“Kalau begitu, ayuh bergerak sekarang!”

 

**

 

Konoe mendekati tawanannya, dan menyuarakan rasa kagumnya bagaimana para wanita ini berani menjolok sarang tebuan.

 

“Kalian begitu berani menceroboh kawasan ini. Oh ya, bukankah kalian pernah membantu budak bertiga itu dahulu? Kalian bukan? Yang memanah curi dari atas pokok.”

 

“Menceroboh? Sejak bila kami menceroboh? Adakah Yokuma ini milikmu?” Soal Nariko lantang.

 

Konoe menoleh ke arah Nariko, tertarik dengan kelantangannya. “Yare, yare. Yokuma adalah milikku selepas Hamada ditumpaskan. Maka, semua pedagang yang melalui kawasan ini harus membayar cukai kebenaran melaluinya, atau mereka perlu serahkan barang dagangan kepada kami.”

 

“Semua tanah di sini telah menjadi milik Maharaja. Engkau tiada hak ke atas kawasan ini, lagi pula mengutip cukai dari pedagang. Jika kalian mahu wang, bekerjalah seperti mereka.”

 

“Ini adalah kerja kami, menjaga keselamatan mereka. Maka kami mengutip upah keselamatan yang kami berikan.”

 

“Polis Maharaja telah diupah menjaga keselamatan di sini. Jika kalian mahu menjadi pengawal keselamatan, mengapa tidak menyertai pasukan polis?”

 

“Gaji yang rendah, wahai gadis. Mengutip cukai di sini pulangannya besar dari gaji Maharaja. Gaji rendah itu lebih rendah dari apa yang kami dapat sewaktu menjadi samurai. Semua ini salah Maharaja, semua salah bagindalah maka kami dihilangkan jawatan samurai dan terpaksa berpangkalan di sini. Dan kalian datang ke sini mengganggu kami yang tidak pernah mengganggu kalian.”

 

“Wahai pemuda.” Ayame menyeru Konoe.

 

“Panggil aku Konoe.”

 

“Konoe-san, aku yang mengarahkan semua wanita ini ke sini.”

 

“Atas alasan apa?”

 

“Yokuma adalah milikku.”

 

Konoe ketawa, diikuti para pengikutnya. “Bukankah tadi kata pengikutmu, Yokuma milik Maharaja? Mengapa pula engkau berbeza pandangan dari pengikutmu?”

 

“Milik Maharaja dan kami ditugaskan menjaganya. Nyah kalian segera dari sini.”

 

“Hah? Dengar sini gadis... jika engkau ingin menipu, menipulah dengan bersungguh. Apa buktimu engkau mendapat dikri dari baginda?”

 

“Dikri dihantar baginda kepada Kogen dan aku tidak membawanya.” Jawab Ayame selamba.

 

Konoe pantas menarik pedang dan menghunus ke leher Ayame. Sedikit matanya menghiris melukakan lehernya, darah meleleh dari kesan hirisan.

 

“Jangan cuba mempermainkan kami, perempuan. Kami tahu siapa kalian. Engkau Shirasaka Ayame bukan? Disebabkan itu kami menahan kalian hidup-hidup. Jika tidak sudah pasti nyawa kalian telah melayang.”

 

Huh, bisik Ayame dalam hati. Aku merelakan diri ditangkap kerana Nariko diberkas. Jika Nariko tidak diberkas sudah pasti nyawa kalian melayang dahulu. Tiada siapa mampu menewaskanku. Aku tidak boleh kehilangan Nariko. Nariko pasangan jurus kedua yang paling sesuai denganku selepas pemergian Goryuuin Tsushiko. Hanya dengan jurus kedua itu sahaja aku akan dapat menyelamatkan pusat Yokuma dan menanam batu tama-no-iwa, seterusnya membina pangkalan kami di sini. Hanya dengan Nariko sahaja aku yakin jurus kedua itu boleh dilakukan dengan berkesan. Dan bermula dari pangkalan ini, kami akan bersekutu dengan Yoshinobu memerangi Maharaja, dan...

 

Sebentar, itu boleh difikirkan kemudian. Aku harus melayan soalan bedebah ini dahulu.

 

“Jadi, mengapa jika aku Shirasaka Ayame?”

 

“Kami perlukan maklumat dari bapamu. Jika bapamu tidak membalas surat kami, perempuan itu akan terima natijah dari kami dahulu.” Konoe menuding ke arah Nariko.

 

“Natijah... apa maksudmu Konoe-san?”

 

“Kami akan memperkosanya dahulu, kemudian perempuan lain di sini dan paling akhir, ENGKAU!”

 

Gerun Ayame mendengarkan ugutan itu. Daranya belum pernah dirobek sesiapa selama tiga dekad lebih usianya. Dia tidak akan sekali-kali menyerahkan keperawanannya, dan keperawanan ahli-ahlinya yang lain. Meskipun ada antara ahlinya yang pernah dinodai, dia tidak akan sekali-kali membenarkan ia berlaku sekali lagi.

 

Masa berlalu dan genaplah dua hari tiada balasan dari Koichi. Konoe mengarahkan salah seorang pengikutnya melepaskan ikatan pada tangan Nariko.

 

“Ayame, tolong aku...” Suara Nariko sayu memohon bantuan dari Ayame yang masih diikat di hadapannya. “Ayame, lakukan sesuatu...” Rayu Nariko lagi.

 

**

 

Dari Higashiyama Konoe, penguasa pergunungan Yokuma dan Shinjuku kepada Ketua Kogen.

 

Kami telah menjadikan para petarung wanita dari kalangan kalian, yang diketuai Shirasaka Ayame sebagai tebusan.

 

Serahkan pelan pemetaan baharu Maharaja untuk kawasan Yokuma dan wang lima juta yen untuk semua tebusan dibebaskan. Kami mahukan dalam masa dua hari dari surat ini diterima engkau. Jika tidak, semua tebusan ini akan dinodai dan dijual sebagai karayuki.

 

Akhir sekali peringatan dari kami, jika ada mana-mana lagi ahli Kogen cuba menceroboh kawasan ini lagi, kami akan membunuh mereka tanpa teragak-agak.

 

Begitulah bunyi surat yang diterima Koichi di rumah merpati di pinggir Gaung Maut, iaitu di sempadan kuasa Shirasaka di Shirasaka-no-Kogen.

 

Koichi merenyuk surat itu, giginya berlaga menahan amarah yang berapi dalam dada. Di sebelah tangan kirinya masih kejap dipegang surat yang baru diterima dari Maharaja meminta beliau menghantar petarung dan pengintipnya yang paling berpengalaman ke Yozehama demi menumpaskan bunga-bunga pemberontakan yang baru berputik di sana, berupa sekolah pedang yang dibiaya Yoshinobu. Maharaja telah mendapat berita Yoshinobu mula membangunkan pangkalan pemberontak di sana di sekolah pedang itu, lebih kurang sama dengan apa yang sedang dan telah dibangunkan Saisho Takanori di Kyushu.

 

Koichi begitu geram. Yokuma tidak pernah diganggunya. Dahulu, dia pernah menghantar Ryouji demi memusnahkan pusat kuasa Hamada, namun cukuplah setakat itu. Hamada sudah pun ditewaskan. Tiada guna lagi menceroboh hutan yang tiada manfaat apapun itu. Namun Ayame melakukannya jua! Mengapa Ayame sengaja masuk ke perangkap musuh?! Kerana ramalan Amaguri itukah? Apakah kerana dia mahu membina lembah seperti Kogen ini pula, di sana?

 

Aku sudah tiada tentera berpengalaman demi mengeluarkan Ayame dari situ. Mereka sibuk, ada yang diminta baginda untuk berkhidmat sementara. Maharaja sengaja menguji kesetiaan Kogen dengan meminta dariku bantuan begini. Maharaja sedang menyisir badan-badan seperti Kogen, dan para bekas daimyo dan gabenor, mana yang masih setia atau sebenarnya duri dalam daging. Baginda mahukan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, bukan separuh masak seperti Saisho. Kesetiaan separuh masak itu hanya mampu bertahan sementara, dan baginda telah memerhatinya sendiri, bagaimana ia hanya bertahan ketika Perang Boshin namun sekarang tidak lagi. Bagaimana Saisho yang dahulu dianggap seperti bapanya sendiri, kini menjadi musuh nombor satu negara.

 

Serahkan jiwa dan raga kalian demi negara ini, baginda sedang menuntut ikrar janji setia yang satu itu.

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov