Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 4

Suha menghampiri Afiyah yang sedang duduk bersendirian.

"Kat sini rupanya," tegurnya sambil mengambil tempat bersebelahan dengan gadis itu. Afiyah hanya memandang sekilas gadis itu tanpa berkata apa-apa. Suha memandang sekeliling. Ramai juga pelajar yang mengunjungi taman itu biarpun sudah masuk waktu makan tengah hari. Suha kemudian memandang Afiyah semula.

"Liya dan Rina ajak makan sekali. Fiyah tak lapar?" tanyanya dengan suara lembut.

Liya?

Afiyah tersenyum sinis.

"Tak," jawabnya ringkas. Pandangannya masih pada tasik yang ada dihadapan mereka. Suha tersenyum sambil bersandar selesa pada bangku.

"Kalau Fiyah perlukan seseorang, Suha boleh jadi telinga Fiyah," katanya sambil turut memandang tasik. Nalurinya kuat mengatakan ada rahsia yang cuba disembunyikan oleh gadis di sebelahnya itu. Ditambah pula apabila melihat hubungan Afiyah dan Aliya tidak seperti yang digambarkan oleh fikirannya. Afiyah hanya membisu mendengar kata-kata gadis itu.

"Saya, Liya dan Rina dah berkawan sudah hampir lima tahun. Kami memang rapat sejak Form 4 lagi. Walaupun dah lama berkawan, tapi Liya tak pernah walau sekali pun cerita pasal Fiyah. Sebab itu bila Liya beritahu yang dia ada kakak kandung, Suha dan Rina memang terkejut. Suha memang tak bermaksud nak masuk campur hal Fiyah dan Liya. Tapi sebagai kawan, Suha teringin nak membantu," sambung Suha sambil memandang tepat wajah gadis itu. Melihat Afiyah yang masih membisu, Suha mula memahami. Gadis itu berat untuk berkongsi.

"Tak apa, Suha faham. Tapi kalau Fiyah perlukan seseorang. Suha sedia membantu," kata Suha lagi sambil menyentuh bahu gadis itu. Dia mengeluh dalam diam melihat wajah kosong Afiyah.

Apa sebenarnya yang berlaku pada gadis ini?

Tiba-tiba matanya menangkap kelibat seseorang. Suha tersenyum lebar.

"Fiyah nampak tak pelajar lelaki yang duduk kat hujung taman ini? Namanya Eijaz Elman. Dia pun memang popular kat kolej ini. Dalam erti kata lain, Eij itu memang saingan terdekat si kasanova dalam kelas kita. Kalau si Dahin itu digelar kasanova. Eijaz ini pula digelar romeo. Kalau Fiyah nak tahu, Liya itu sebenarnya minat dengan Eijaz. Tapi Suha dengar Eijaz itu dah berpunya. Cuma yang masih jadi tanda tanya, tak ada sesiapa pun yang tahu siapa sebenarnya gerangan gadis bertuah tersebut. Tapi dengar khabar pelajar perempuan itu budak kolej ini juga," beritahu Suha sambil tergelak kecil. Afiyah hanya memandang sekilas pemuda yang ditunjukkan oleh gadis itu.

"Kacak kan? Eij pun pelajar baru kat kolej ini. Baru aje empat bulan kat sini. Kira dia awal sikit dari Fiyah. Suha ada juga dengar gosip lain pasal romeo ini. Ada yang kata si romeo ini budak pandai. Dulu belajar kat luar negara tapi pindah kat sini. Mungkin tak nak berjauhan dengan kekasih dia kot. Entah lah betul ke tak cerita orang. Suha sendiri pun tak pasti," sambung Suha sambil tersenyum memandang gadis itu. Afiyah bangun perlahan.

"Eh, nak ke mana?" tanya Suha sambil ikut berdiri. Afiyah memandang gadis itu.

"Dah habis kan?" soalnya agak sinis sebelum melangkah untuk beredar. Suha hanya tergelak kecil. Dia mengikut langkah gadis itu.

*****

Melihat Afiyah yang hanya duduk bersedirian di mejanya mendorong Dahin untuk datang menghampiri. Dia meletakkan minuman kotak perisa mangga di hadapan gadis itu. Afiyah memandang lelaki itu tanpa senyuman.

"Saya tak nampak awak kat cafe tadi," kata Dahin dengan senyuman nakalnya. Afiyah tunduk semula memandang telefonnya tanpa menghiraukan lelaki itu.

Mamat ini kalau sehari tak kacau aku memang tak lengkap hidupnya!

Marah Afiyah dalam hati. Dahin masih dengan senyuman. Dia kemudian mengambil semula kotak minuman tersebut sambil mencucukkan straw pada lubang kotak dan meletakkan semula di hadapan Afiyah. Kali ini lebih hampir dengan gadis itu. Afiyah menarik nafas dalam. Dia menepis kotak minuman tersebut sehingga jatuh ke atas lantai.

"Kau jangan menyibuk kat sini boleh tak?!" marah Afiyah sambil memandang tajam ke arah lelaki itu. Dahin terkedu. Namun sekejap sahaja bibirnya mula mengukir senyuman semula. Afiyah mula bengang melihat senyuman lelaki itu.

Aku sepak juga mamat ini!

Beberapa orang pelajar mula memandang mereka. Suha yang datang dari arah tandas pantas menghampiri kedua-duanya.

"Dahin," tegurnya agak cemas. Dahin yang masih dengan senyumannya berdiri dari kerusi dan tunduk memungut kotak minuman yang berada di atas lantai.

"Tak apa next time saya belikan awak perisa lain pula. Mungkin awak tak suka jus mangga. Am I right?" tanyanya sambil memandang tepat wajah Afiyah.

"Get lost!!" halau Afiyah separuh menjerit.

Mai aii. Garangnya minah ini.

Hampir tergelak Dahin mendengar kata hatinya sendiri. Namun dia cepat tersedar apabila Suha menarik lengannya berlalu dari situ. Afiyah menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.

Sabar Fiyah…,

"Awak dah gila ke?" marah Suha. Dahin menarik kerusinya dan terus duduk.

"No," jawabnya pendek. Dia tersenyum manis sehingga lesung pipit di pipi kirinya terlihat jelas.

"Lepas ini jangan ganggu Fiyah lagi," Suha memberi amaran.

"No," balasnya dengan selamba.

"Dahin!" marah Suha. Dahin tergelak diikuti oleh rakan-rakannya. Suha mendengus geram. Dia pantas berlalu.

Buat rugi air liur aku aje kalau cakap dengan kasanova kepala batu ini!

*****

"Liya, kau dengan Fiyah okay ke?" soal Rina dalam nada berbisik. Dia perasan yang gadis itu mula menjauhkan diri dari Afiyah sejak akhir-akhir ini. Aliya yang sedang tekun mendengar kuliah agak terganggu dengan soalan rakannya itu. Dia hanya mengangguk tanpa memandang gadis itu. Berkerut kening Rina. Dia kurang yakin dengan anggukan gadis itu.

"Aku bukan apa. Cuma hairan aje. Yelah, kata adik beradik. Tapi bila dah jumpa langsung tak bertegur. Dulu masa kau kenalkan Fiyah dengan kami, okay aje aku tengok. Sekarang makan pun dah tak pernah sama-sama. Kau dan Fiyah memang macam ini ke kalau kat rumah?" soalnya lagi tidak berpuas hati. Aliya memandang Rina.

"Boleh tak tanya soalan ini after this? Atau lagi bagus kalau tak payah tanya aku soalan ini," balasnya sambil memandang ke hadapan semula. Rina terdiam mendengar kata-kata gadis itu. Telahannya tepat. Pasti ada sesuatu yang berlaku antara Aliya dan Afiyah.

Tapi apa?

*****

Afiyah melangkah perlahan menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah. Sampai di ruang tamu, keningnya berkerut melihat pakaian yang berselerakan di atas lantai. Dia memandang Aliya yang sedang tergelak besar menonton televisyen. Afiyah mendengus geram. Dia pantas menghampiri televisyen dan menutup suisnya.

"Wei!" bulat mata Aliya memandang gadis itu.

Afiyah tersenyum sinis. Dia memijak kemeja milik Aliya yang kebetulan berhampiran dengan kakinya. Aliya pantas berdiri dari sofa. Dia memandang tajam gadis di depannya itu.

"Kau memang sengaja nak cari pasal dengan aku. Aku dah tak ganggu kau lagi tapi kau masih tak puas hati dengan aku. Kau memang nak kena dengan aku Afiyah!" jerit Aliya sambil kakinya melangkah menghampiri Afiyah. Bahu gadis itu ditolak kuat. Afiyah terundur ke belakang.

Kurang ajar!

Mak Isma bergegas ke ruang tamu apabila mendengar jeritan Aliya.

"Aku memang tak puas hati dengan kau!" jawab Afiyah sambil membalas menolak bahu Aliya dengan kuat. Aliya terdorong ke belakang dan hampir terjatuh. Nasib baik dia sempat berpaut pada sofa.

"Aku tak puas hati bila tengok muka kau ada kat dalam rumah ini! Aku memang tak akan aman selagi kau ada kat rumah ini Liya! Apa kata kau berambus dari rumah ini supaya aman sikit hidup aku," sambung Afiyah dengan wajah bengis. Aliya tergelak besar.

"Kau tak sedar diri ke? Kau itu yang sepatutnya berambus dari rumah ini. Dasar anak pungut!" balasnya tidak mahu mengalah. Bulat mata Afiyah memandang gadis itu. Dia melangkah pantas menghampiri Aliya. Rambut panjang Aliya ditarik dengan kasar.

"Kurang ajar! Kalau aku ini anak pungut, kau itu anak perempuan jalang! Sundal!" tengkingnya sambil menarik lebih kuat lagi rambut Aliya. Dia sudah tidak kisah sekiranya rambut gadis itu tercabut disebabkan olehnya. Aliya yang tidak mahu mengalah turut menarik rambut Afiyah. Terlopong Mak Isma memandang kedua-dua gadis itu.

"Datuk! Datuk turun cepat Datuk," jeritnya memanggil Datuk Hashim.

"Afiyah, Aliya. Stop it!" suara keras Datuk Hashim yang kuat bagaikan halilintar menghentikan tingkah laku kedua-dua gadis itu. Afiyah dan Aliya serentak melepaskan pegangan masing-masing. Afiyah mendengus kuat sebelum beredar naik ke tingkat atas. Dia melepasi Datuk Hashim tanpa berkata apa-apa. Aliya menghentak kakinya dengan kuat sebelum berlalu keluar dari rumah. Datuk Hashim terduduk lemah di atas tangga.

Ya Allah…,

Mak Isma menarik nafas dalam sebelum kembali semula ke dapur. Dia memang simpati dengan Datuk Hashim. Namun dia juga tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu tuannya itu.

*****

Afiyah melangkah ke beranda biliknya. Rambutnya yang masih kusut dibiarkan saja. Dia menendang kerusi rehat yang berada di depannya.

"Tak sakit?" soal satu suara. Afiyah berpaling menoleh. Kelihatan Dahin sedang tersenyum memandangnya.

"Berambuslah!" marahnya.

"Nak pergi mana? This is my house," balas Dahin dengan senyuman nakal. Afiyah memandang tajam lelaki itu.

"Gaduh dengan Liya?" soal Dahin tenang. Mata nakalnya masih leka meneroka wajah masam gadis itu. Afiyah mendengus geram. Dia menarik kerusi dan duduk membelakangi Dahin. Sakit hatinya melihat senyuman lelaki itu. Dahin hanya tersenyum melihat telatah gadis itu.

"Awak kakak. Sepatutnya awak kena mengalah," katanya lagi separuh mengusik. Suka pula dia melihat wajah masam gadis itu. Afiyah mengetap bibir geram.

Ada juga yang jadi arwah hari ini.

Bantal kecil di sisinya dicapai dan terus menutup wajahnya.

Aku boleh sakit jiwa layan mamat ini.

Dahin menarik nafas perlahan.

Degilnya minah seorang ini.

“Kat luar ini sejuk. Awak jangan pula terlelap,” katanya lagi separuh menasihati. Afiyah hanya membisu mendengar kata-kata lelaki itu.

Ada ku kisah?! Sibuk aje!

Hatinya berbisik geram. Dahin turut menarik kerusi yang berhampiran dengannya. Dia bersandar dengan selesa sambil memandang langit yang dihiasi jutaan bintang. Satu keluhan berat dilepaskan.

I miss you mom.



Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.