Afiyah merenung cincin yang berada di jari manisnya sebelum memandang Eijaz yang berdiri di hadapannya. Eijaz tersenyum.
“Terima kasih sayang,” ucapnya dengan perasaan gembira yang tidak mampu lagi diungkapnya. Afiyah mengeluh perlahan.
“Kalau saya beritahu awak yang saya terima cincin ini sebab tak nak malukan keluarga awak, apa perasaan awak?” soalnya sambil memandang tepat wajah lelaki itu. Eijaz terkedu.
“Maksud Fiyah?” soalnya agak kalut. Dahinya berkerut.
“Eij, saya tak bersedia lagi. Saya perlukan masa Eij. Saya masih tak pasti lagi dengan perasaan saya ini,” kata Afiyah dalam nada yang perlahan. Sejujurnya dia masih keliru. Eijaz menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.
“So, tadi Fiyah terima cincin ini hanya untuk mengelak Eij dan keluarga malu?” tanyanya dengan perasaan kecewa. Afiyah mengangguk perlahan dengan perasaan bersalah.
“Eij dah kata, tak ada paksaan. Kenapa Fiyah buat Eij macam ini?” soal Eijaz dengan perasaan sebak. Afiyah menggigit bibir.
“Sorry Eij. Fiyah tak sanggup malukan keluarga Eij. Ramai sangat orang yang datang tadi,” katanya dengan perasaan berbaur. Eijaz menggeleng.
“Sekarang ini kedua family kita dah sepakat bulan depan kita akan bertunang. Macam mana Eij nak beritahu mereka?” soal Eijaz dengan kening yang berkerut. Dia meraup wajahnya. Afiyah diam membisu. Dia sudah tidak tahu apa jawapan yang sesuai untuk soalan lelaki itu. Eijaz memandang gadis yang sudah terduduk di kerusi yang berhampiran. Dia duduk berteleku di depan Afiyah.
“Eij tak tahu nak cakap apa lagi. Tapi saat Fiyah hulurkan tangan untuk terima cincin, Eij rasa sangat gembira. Kalau boleh Eij nak aje kahwin dengan Fiyah esok. Eij takut kehilangan Fiyah lagi,” katanya perlahan dengan nada sebak.
“Eij…”
“Beri Eij peluang Fiyah. Eij nak habiskan sepanjang hidup Eij dengan Fiyah,” pintas Eijaz sambil menundukkan kepalanya. Hanya Allah yang tahu betapa sakit hatinya apabila mendengar pengakuan gadis itu sebentar tadi.
Kenapa Fiyah?
Afiyah mengeluh lagi.
Ya Allah.
*****
Dahin menggenggam telefon bimbitnya dengan erat. Perkhabaran daripada Suha benar-benar membuatnya hilang semangat.
“Dahin,” panggil Datuk Jamal sambil menyentuh bahu anak lelakinya itu. Dia yang sedari tadi memerhatikan Dahin pantas menghampiri apabila melihat wajah pucat anak lelakinya itu.
“Pa,” kata Dahin dengan nada yang sangat perlahan. Bibirnya bergetar ingin mengatakan sesuatu namun tidak ada perkataan yang keluar.
“Dahin kenapa ini?” tanya Datuk Jamal mula risau. Dahin memeluk orang tua itu. Tanpa sedar air matanya mengalir.
“Fiyah dah terima lamaran Eij,” beritahunya dengan suara serak. Datuk Jamal membalas pelukan lelaki itu.
“Dahin kena ingat jodoh itu rahsia Allah. Apa pun yang berlaku selepas ini, Dahin kena teruskan langkah. Bukan jodoh Dahin dengan Fiyah. Mungkin di luar sana ada yang Allah dah tetapkan untuk Dahin,” nasihatnya separuh memujuk setelah agak lama membiarkan Dahin tenggelam dengan perasaannya. Datuk Jamal melepaskan pelukannya.
“Sorry pa,” ucap Dahin sambil mengesat air matanya.
“It’s okay son. Bahu papa untuk Dahin. Bila-bila masa Dahin boleh pinjam,” balas Datuk Jamal separuh bergurau. Dahin hanya tersenyum hambar.
“Son, papa minta maaf kalau tak membantu. Papa cuma mampu beri nasihat. Dahin kena kuat tempuhi dugaan ini. Percaya lah, Allah maha merancang,” sambung Datuk Jamal sambil menepuk lembut bahu lelaki itu. Dahin hanya mengangguk tanpa membalas. Lidahnya kelu untuk berkata kerana masih terkejut dengan perkhabaran Suha.
*****
Aliya menghampiri Afiyah yang sedang menyiram pokok bunga.
“Morning! Ini siram bunga ke menungkan orang disana?” usiknya separuh menyoal. Afiyah hanya memandang sekilas ke arah gadis itu tanpa berkata apa-apa. Kening Aliya terangkat apabila melihat jari manis Afiyah yang kosong.
“Tak pakai cincin semalam ke?” soalnya lagi. Afiyah menarik nafas perlahan. Dia memandang wajah Aliya.
“Aku nak tahu macam mana cincin itu boleh muat dengan jari aku? Kerja Liya ke?” soalnya tanpa menjawab pertanyaan gadis itu. Aliya terkedu.
“Em…tak…Liya cuma bantu Eij. Fiyah marah?” soalnya agak berdebar melihat wajah tegang gadis itu. Afiyah mengeluh perlahan. Dia mengalihkan semula pandangannya daripada gadis itu.
“Fiyah…,” panggil Aliya mula tidak sedap hati.
“Kalau Liya tak tolong Eij, pasti malam tadi Fiyah tak perlu menipu sesiapa dalam majlis itu,” kata Afiyah tanpa memandang Aliya.
“Maksud Fiyah?” soal Aliya dengan kening berkerut. Afiyah menutup pili paip sebelum melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menjawab soalan gadis itu. Aliya terkedu.
Apa yang berlaku sebenarnya?
*****
Kamal menggeleng perlahan memandang Eijaz yang leka termenung sedari tadi.
“Boleh tak kalau ajak aku keluar kau jangan termenung? Kau ada masalah ke Eij? Setahu aku masalah kau dah selesai sebab Fiyah dah terima lamaran kau. Ada lagi yang aku tak tahu?” soalnya dengan kening berkerut. Eijaz mengeluh perlahan.
“Entah lah Mal. Aku pun keliru. Aku tak tahu nak fikir macam mana,” katanya dengan nada perlahan.
“Apa lagi? Pasal Fiyah ke?” soal Kamal ingin tahu.
“Kau rasa aku kejam tak kalau aku teruskan niat nak kahwin dengan Fiyah walaupun aku tahu Fiyah tak bersedia lagi?” soal Eijaz kembali. Kamal terdiam mendengar soalan rakannya itu.
“Bukan Fiyah dah terima lamaran kau ke?” soalnya kembali agak keliru. Eijaz mengeluh lagi.
“Fiyah masih tak bersedia lagi,” beritahunya dengan suara perlahan.
“Aku tak faham lah dengan korang ini. Pening aku,” balas Kamal sambil bersandar pada kerusinya. Eijaz diam membisu mendengar komen rakannya itu.
“Macam ini lah. Sebelum itu aku nak tanya. Aku tahu kau sayang gila dengan Fiyah. Apa yang aku nak tahu, macam mana dengan Fiyah?” tanya Kamal setelah agak lama membisu. Eijaz menggeleng perlahan.
“Entah lah Mal. Aku pun tak pasti sebenarnya perasaan Fiyah. Kadang aku rasa dia juga sayangkan aku. Tapi ada masa itu aku rasa dia nak jauhkan diri daripada aku. Aku tak tahu,” jawab Eijaz dengan perasaan sebak. Kamal menarik nafas dalam.
“Kalau macam itu teruskan niat kau. Aku rasa Fiyah memang sayangkan kau. Cuma mungkin masih tak yakin kot. Atau memang betul kata kau dia tak bersedia lagi. Tak apa. Lepas kahwin nanti korang mungkin boleh perbaiki apa yang patut,” nasihatnya dengan senyuman. Eijaz mengeluh lagi.
Cakap memang lah senang.
*****
“Aku ada beritahu Dahin pasal kau dan Eij,” kata Suha sambil berdiri di sisi gadis itu. Angin pantai bertiup perlahan menyapa wajah mereka. Sangat terasa nyaman.
“Dah seminggu dia tak tegur aku,” kata Afiyah tanpa memandang wajah gadis itu.
“Aku minta maaf sebab dah wakil kau beritahu dia,” ucap Suha perlahan. Afiyah diam membisu. Entah mengapa dadanya terasa sebak.
“Apa yang perlu aku buat Suha? Aku tak bersedia lagi nak kahwin. Eij call aku semalam nak teruskan juga niatnya,” beritahunya seiring dengan keluhannya.
“Fiyah, apa lagi yang menahan kau untuk terima Eij? Tidak bersedia itu cuma alasan. Aku tahu ada benda lain yang tak kena. Apa dia? Cuba beritahu aku,” tanya Suha dengan nada lembut. Afiyah mengeluh lagi.
“Aku tak tahu. Sekarang ini aku rasa bersalah dengan Dahin,” beritahunya perlahan. Suha menggeleng.
“Itu aje? Fiyah look at me,” kata Suha sambil menyentuh bahu sahabatnya itu. Afiyah beralih membalas pandangan gadis itu.
“Buang rasa bersalah itu dan mulakan hidup baru dengan Eij. Dahin lelaki yang baik. Suha percaya dia akan faham situasi Fiyah. Kalau sebelum ini dia dah beri Daf peluang, aku yakin kali ini dia pasti mengalah sebab sayangkan kau. Susah nak cari lelaki macam itu Fiyah. Lelaki yang hanya nak lihat kegembiraan orang yang dia sayangi,” kata Suha dengan senyuman hambar.
“Kau ini sedang pujuk aku ke tengah sindir aku?” soal Afiyah dengan kening berkerut. Suha tergelak kecil.
“Dua-dua pun boleh,” guraunya. Afiyah hanya tersenyum hambar.
*****
Aliya menarik kerusi di hadapan lelaki itu. Keningnya berkerut melihat wajah suram Eijaz.
“Fiyah kata tak dapat datang,” beritahunya dengan nada perlahan. Eijaz tersenyum hambar. Sepatutnya hari ini dia dan Afiyah perlu mencuba baju pengantin yang dicadangkan oleh mamanya. Namun Afiyah meminta pula dengan Aliya untuk menggantikan tempatnya. Eijaz mendengus perlahan.
“Tak apa. Nanti esok Eij ajak Fiyah semula. Thank you Liya. Sorry dah susahkan awak,” ucap Eijaz dengan senyuman hambar. Aliya menggeleng tersenyum.
“Eij, awak jangan ambil hati sangat ek dengan Fiyah. Mungkin Fiyah masih perlukan masa,” katanya separuh memujuk.
“Saya faham. Jangan sampai keluarga kita tahu pasal ini. Eij tak nak ada sesiapa pun antara mereka yang terluka,” balas Eijaz sebelum bangun dari kerusinya.
“Saya balik dulu Liya. Terima kasih,” katanya sebelum berlalu keluar dari butik pengantin. Aliya hanya tersenyum hambar memandang langkah lelaki itu.
“Dah balik dah? Kami dah sediakan baju,” kata pekerja wanita yang mempunyai tag nama bertulis Mawar.
“Tak apa cik Mawar. Esok kami datang semula ya. Terima kasih,” jawab Aliya sebelum turut bangun dan terus beredar. Mawar hanya mengangguk perlahan.
Pelik. Nak kahwin tapi muka masam.
*****
Eijaz melangkah masuk ke dalam bilik pejabat gadis itu dengan perasaan berbaur. Masuk sahaja ke dalam, kelihatan Afiyah yang sedang terlena di atas mejanya. Eijaz memandang jam yang sudah menunjukkan 11 malam. Datuk Hashim menelefonnya sebentar tadi yang Afiyah belum balik dan panggilannya juga tidak bersambut. Eijaz menarik kerusi di hadapan gadis itu. Wajah gadis itu direnung lama. Apabila Datuk Hashim mencadangkan supaya mereka bertunang dan sekali dengan akad nikah, gadis itu seolah-olah melarikan diri daripadanya. Sudah hampir dua minggu gadis itu langsung tidak mahu menjawab telefonnya. Bercakap hanya bila perlu. Itu pun sebab kerja. Sangat susah melihat gadis itu tersenyum. Eijaz menarik nafas berat. Dia bangun menghampiri Afiyah.
“Sayang,” bisiknya di telinga gadis itu. Afiyah masih diam tidak bergerak. Eijaz menyentuh bahu gadis itu.
“Sayang bangun. Kita balik,” katanya sambil menggerakkan perlahan bahu gadis itu. Afiyah membuka matanya perlahan. Wajah tersenyum Eijaz menyapa pandangannya.
“Papa risau Fiyah tak angkat call,” beritahu Eijaz sambil tangannya mula bergerak mengemas meja gadis itu. Afiyah hanya membisu sambil memandang saja tingkah laku lelaki itu. Eijaz kemudian mencapai kot gadis itu dan menghulurkan kepadanya.
“Fiyah okay?” soalnya apabila melihat gadis itu masih lagi mamai. Afiyah menyambut huluran itu tanpa menjawab. Dia bangun dari kerusi dan terus berlalu. Eijaz mencapai beg gadis itu dan terus mengekorinya. Kedua-duanya membisu sehingga masuk ke dalam kereta. Eijaz mula memandu.
“Kalau esok Fiyah ada masa, kita boleh pergi butik sama-sama,” katanya perlahan. Afiyah menoleh memandang lelaki itu.
“Tak selesai lagi ke?” soalnya dengan kening berkerut. Eijaz menarik nafas perlahan.
“Yang akan jadi pengantin itu Fiyah. Bukannya Liya,” katanya dengan suara mendatar. Afiyah tersenyum sinis.
“Ada beza ke?” soalnya tanpa memandang lelaki itu. Eijaz mengeluh perlahan.
“Memang ada bezanya Fiyah. Eij akan habiskan sisa hidup Eij dengan Fiyah. Bukan dengan orang lain. Kenapa Fiyah boleh tanya soalan itu dengan Eij?” soal Eijaz dengan perasaan sebak namun masih cuba bertenang. Afiyah hanya membisu. Dia menutup matanya perlahan.
Ya Allah, jika benar memang dia yang telah ditakdirkan untuk menjadi imamku, bukalah sepenuhnya pintu hatiku untuknya.
*****
Datuk Hashim hanya memandang Afiyah yang sedang berjalan melangkah masuk ke dalam rumah. Dia beralih semula memandang Eijaz yang turut memandang kelibat Afiyah.
“Boleh papa tanya?” soalnya dengan senyuman. Eijaz mengangguk ikut tersenyum.
“Fiyah dan Eij ada masalah ke? Papa perasan yang Fiyah macam tak ceria aje sejak akhir-akhir ini. Papa bukan berniat nak masuk campur. Majlis tak lama lagi Eij,” kata Datuk Hashim sambil tepat memandang wajah anak muda itu.
“Papa jangan risau. Kami okay. Fiyah mungkin cuma sibuk sikit sejak kebelakangan ini. Projek besar kerjasama dari Singapura dah jadi milik kita. Fiyah sedang uruskan projek itu. Saya tak dapat bantu sebab ada projek lain lagi,” beritahu Eijaz dengan senyuman.
“Alhamdullillah. Tapi Eij kena ingatkan dia juga. Majlis kamu dah tak sampai tiga minggu lagi. Nanti tak sempat pula nak buat persiapan,” kata Datuk Hashim sambil menepuk lembut bahu lelaki itu.
“Faham pa. Eij balik dulu,” balas Eijaz sebelum bersalaman dengan orang tua itu.
“Hati-hati pandu itu,” pesan Datuk Hashim dengan senyuman. Dia hanya memandang kereta Eijaz berlalu.
Semuanya akan baik-baik saja.
*****
Afiyah melangkah perlahan keluar ke beranda. Dia berpaling memandang ke beranda jirannya. Gelap. Afiyah mengeluh perlahan.
“Awak rindu saya ke?” soal satu suara. Afiyah terkedu. Walaupun suasana agak gelap, namun dia masih dapat melihat kelibat seseorang sedang berdiri memandangnya.
Dahin?
“Tahniah,” ucap Dahin dengan nada yang agak perlahan. Afiyah hanya diam membisu. Cuma pandangannya yang masih terhala ke arah Dahin.
“Nampaknya saya terlewat lagi memiliki awak,” sambungnya dengan nada serak. Afiyah mengeluh perlahan.
“Maafkan saya Dahin. Saya tak pernah berniat untuk sakitkan hati sesiapa terutama awak sebagai kawan baik saya,” balasnya dengan perasaan bersalah. Dahin tersenyum hambar.
“Awak yakin yang saya ini layak jadi kawan baik awak?” soalnya dengan perasaan kecewa.
“Dahin, awak lelaki baik. Di luar sana ada wanita yang lebih baik untuk awak,” balas Afiyah dengan senyuman hambar.
“Tak sama Fiyah. Jika ditakdirkan saya jatuh cinta lagi. Saya akan pastikan gadis itu adalah awak,” pintas Dahin dengan nada tegas. Afiyah menggigit bibir.
“Dahin please. Saya tak nak ada sesiapa yang terluka dalam hal ini.”
“Tapi sekarang awak sedang lukakan hati saya, Fiyah. Saya terluka sebab awak tak pernah beri saya peluang. Kenapa mesti Eij?” soal Dahin tidak berpuas hati.
“Sebab saya sayangkan dia lebih daripada seorang kawan,” jawab Afiyah perlahan namun jelas di telinga Dahin.
“Maafkan saya Dahin,” ucap Afiyah sebelum berlalu melangkah masuk ke biliknya semula. Dahin memejamkan matanya. Kata-kata gadis itu umpama pisau tajam yang menusuk hatinya. Sakit tidak terperi.