Datin Isnawiyah menghampiri anak tunggalnya yang sedang duduk membelakanginya. Dia terkedu apabila mendapati Daffa sedang tekun menatap foto Afiyah. Dia mendengus perlahan. Tangannya pantas merampas foto tersebut dari tangan Daffa.
"Mama," kata Daffa sambil memandang wanita itu dengan kening berkerut.
"Mama tak suka Daf kenangkan lagi perempuan itu! Mama juga tak nak dalam rumah ini ada benda yang berkaitan dengan perempuan itu yang Daf tak hapuskan lagi! What's wrong with you, Daf? Kenapa susah sangat nak dengar cakap mama? Daf dah tak sayangkan mama?" soal Datin Isnawiyah dengan nada suara yang keras. Daffa bingkas berdiri dari kerusinya.
"Mama, please. Daf dah tinggalkan Fiyah. Apa lagi yang mama nak?" soalnya dengan perasaan sebak. Datin Isnawiyah tersenyum sinis.
"Memang Daf dah tinggalkan perempuan itu. Tapi yang buat mama tak puas hati bila Daf masih lagi ingat perempuan itu! Masih cintakan perempuan itu! Mama bukan saja nak Daf tinggalkan perempuan itu, tapi mama nak Daf hapuskan terus nama dan wajah Afiyah dalam hati Daf itu! Kalau Daf sayangkan mama, Daf kena ikut cakap mama!" katanya keras separuh mengugut sebelum beredar meninggalkan Daffa. Daffa terduduk lemah.
Ya Allah..., apa yang perlu hamba-Mu ini lakukan supaya hati mama jadi lembut?
*****
Tidak berkedip mata Rina dan Suha memandang Afiyah yang sedang berdiri di hadapan mereka saat itu. Aliya tergelak kecil melihat telatah kedua-dua rakannya itu. Afiyah memaksa dirinya untuk mengukir senyuman membalas pandangan kedua-dua gadis itu.
"Kalau ya pun, jangan lah sampai nak terjojol biji mata itu," tegur Aliya sambil menggeleng. Suha dan Rina tersengih apabila sedar dengan kelakuan mereka.
"Awak cantik sangat sampai saya tak puas pandang awak," puji Suha ikhlas.
"Anyway saya Suha. Nice to meet you, Ainun Afiyah." Suha memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan. Afiyah menyambut malas.
"Nice to meet you too," balasnya kini tanpa senyuman.
"Hello, saya Rina. Saya setuju dengan Suha. Awak memang cantik," puji Rina yang masih tekun menatap wajah Afiyah. Afiyah menyambut huluran tangan Rina.
"Thank you," balasnya pendek.
Tak habis lagi?
Soal hati Afiyah yang mula rimas. Suha dan Rina masih memandang Afiyah. Betapa indahnya ciptaan Allah itu. Aliya berdehem perlahan.
"Dah lah, korang ini buat bulu roma aku meremang pula. Aku nak bawa Fiyah jumpa pengetua dulu. Korang tunggu kat cafe tau. Jom Fiyah," celah Aliya sambil memeluk lengan Afiyah.
"Tak payahlah nak peluk aku," balas Afiyah sambil menarik lengannya dengan kasar. Dia melangkah berlalu meninggalkan Aliya. Aliya hanya tersengih memandang kedua-dua rakannya sebelum mengejar langkah Afiyah. Suha dan Rina saling berpandangan. Persoalan mula timbul di kepala masing-masing.
"Hello girls!" sapa Dahin dengan senyuman manis.
"Liya mana?" soalnya sambil mengikut langkah kedua-dua gadis itu.
"Liya ada dengan Fiyah," beritahu Rina sambil memandang sekilas ke arah lelaki itu.
"Fiyah? Who's that?" soal Dahin dengan dahi berkerut.
"Kakak Liya," beritahu Suha pula. Langkah Dahin terhenti.
What? Kakak?
"Wait, kakak? Kakak mana pula ini? Liya ada kakak ke?" soal Dahin bertalu. Dia kebingungan. Setahunya Aliya adalah anak tunggal Datuk Hashim. Suha dan Rina serentak berhenti melangkah lantas berpaling memandang Dahin yang masih keliru.
"Ainun Afiyah," beritahu Suha.
"Kakak kandung Liya," tambah Rina. Terkebil-kebil Dahin memandang kedua-dua gadis itu. Rina dan Suha tergelak besar.
"Girls!"
*****
Afiyah mengambil tempat di sebelah Suha. Suha tersenyum memandang gadis itu.
"Nampaknya lepas ini Suha tak sunyi lagi," kata Suha agak teruja. Afiyah membalas pandangan gadis itu.
"Awak tak ada kawan ke selama ini?" soalnya tanpa senyuman.
"Ada itu memang ada.Tapi tak lah rapat sangat. Sekadar kawan buat assignment aje. Kalau dengan Fiyah lain lah," jawab Suha dengan ceria. Dia tidak menyangka yang gadis itu turut mengambil kos yang sama dengannya.
"Hai awak," sapa Dahin sambil menarik kerusi lantas duduk di hadapan meja Afiyah. Afiyah hanya memandang lelaki itu tanpa senyuman.
Aku macam kenal aje mamat ini...,
Sampai berkerut dahi Afiyah cuba mengingat wajah Dahin. Dahin tersenyum nakal membalas pandangan gadis itu.
Rupanya dia yang aku nampak semalam. Kecilnya dunia ini.
Dahin menghulurkan tangan.
"Saya Dahin."
"Suha lupa pula mamat ini sekelas dengan kita," celah Suha sambil menepuk dahinya.
"Kalau Fiyah nak tahu, ini lah dia kasanova meletup kat kelas kita ini. Bukan setakat dalam kelas ini, tapi satu kolej ini kenal siapa mamat poyo yang bernama Dahin Dahlan bin Datuk Jamal ini," tambah Suha sambil menunjukkan ibu jarinya ke arah Dahin.
"Suka hati nak fitnah aku. Awak, ada pembetulan sikit kat sini. Bukan kasanova tapi prince charming. Itu gelaran yang lebih sesuai dengan saya. Anyway sekali lagi, saya Dahin Dahlan. Dan awak?" tanya Dahin sambil memandang tepat ke arah gadis itu. Afiyah hanya memandang lelaki itu tanpa sepatah kata.
"Ainun Afiyah," celah Suha. Dahin membesarkan matanya memandang Suha.
Kacau daun betullah minah seorang ini.
Suha tergelak kecil.
"Dah, tak payah nak menggatal kat sini. Sir dah masuk itu. Sila ke tempat duduk anda ek," arahnya apabila melihat pensyarah lelaki yang sudah berumur melangkah masuk ke dalam kelas. Dahin mengeluh perlahan.
"Awak, see you after this," katanya dengan senyuman sebelum beredar.
"Fiyah mesti terkejut. Dahin memang macam itu. Orangnya agak nakal tapi hatinya baik." Suha bersuara perlahan apabila perasan yang Afiyah hanya membisu sedari tadi. Afiyah hanya memandang sekilas gadis itu sebelum mencapai pen. Suha memandang Afiyah agak lama sebelum pandangannya beralih memandang ke hadapan. Dia sangat yakin ada sesuatu yang tidak kena antara Afiyah dan Aliya.
Tapi apa ek?
*****
"Rina dan Liya tak habis kelas lagi. Kita tunggu kat sini aje. Lagipun saya dah lapar ini," kata Suha sambil meletakkan beg sandangnya di atas meja.
"Tak apa. Saya nak balik dulu. Awak aje lah yang tunggu," balas Afiyah sambil mula melangkah. Suha pantas menahan.
"Kejap Fiyah. Saya nak bungkus makanan bawa balik rumah. Sekejap aje. Boleh tak?" soalnya separuh meminta. Afiyah menarik nafas perlahan sebelum mengangguk lambat. Suha tersenyum lebar.
"Fiyah tunggu kat sini," kata Suha sebelum berlalu. Afiyah menurut dengan berat hati. Dia memandang sekeliling. Semakin ramai pelajar memenuhi cafe yang sederhana besar itu. Pandangan Afiyah terhenti pada seseorang.
"Fiyah jangan hairan. Dahin memang macam itu. Tapi yang pasti bukan Dahin yang menarik tapi pelajar perempuan itu yang suka mengejar. Dahin dan seorang lagi memang jadi tumpuan kat kolej ini. Muka lawa lah katakan. Tak cukup dengan itu, poket pun boleh tahan, " beritahu Suha sambil mengikat bungkusan tapaunya.
"Dah siap ke?" soal Afiyah dengan dahi berkerut.
Cepatnya!
Suha hanya tersengih.
"Jom," balasnya sambil menarik lembut lengan Afiyah. Afiyah hanya menurut tanpa membantah walaupun dia agak kekok dengan tindakan gadis itu.
"Saya ada tapau dua tau. Satu untuk Fiyah," beritahu Suha sambil memeluk lengan Afiyah.
"Saya tak minta pun," balas Afiyah dengan kening berkerut. Suha tergelak kecil.
"Tahu. Saja nak belanja. Lagipun hari ini kan first day Fiyah kat sini. Tak salah kan?" balas Suha dengan senyuman manis. Afiyah terdiam mendengar kata-kata gadis itu.
"Thank you," ucapnya tanpa memandang wajah Suha. Suha hanya tersenyum lebar.
"Sama-sama."
*****
"Siapa yang benarkan kau masuk dalam bilik ini? Keluar!" arah Afiyah dengan nada keras apabila melihat Aliya yang sedang duduk di atas katilnya. Dia tidak jadi mengambil tuala yang berada di atas katil. Rambutnya yang masih basah dibiarkan saja. Aliya berdiri dengan perasaan takut apabila melihat wajah bengis Afiyah.
"Liya tahu Fiyah masih tak boleh terima kenyataan. Tapi..."
"Berambus!" jerit Afiyah.
"Fiyah..," balas Aliya yang agak terkejut dengan jeritan gadis itu.
"Dah pekak? Aku kata berambus! Berambus lah!!" bergegar tubuh Afiyah menahan kemarahannya.
"Kau dengar sini Aliya. Aku tak nak kau pura-pura baik depan papa dan depan kawan-kawan kau. Aku tahu lah kau siapa! Kalau dah dasar syaitan itu tak payah nak jadi malaikat sangat lah!" sambung Afiyah dengan kasar. Berkerut kening Aliya memandang gadis itu.
"Fiyah memang dah melampau. Liya tak pernah anggap...,"
"Dah lah! Tak payah nak buat drama sangat kat sini. Berambus!" halau Afiyah lagi. Aliya memandang Afiyah tanpa sepatah kata. Matanya mula terasa pedih.
Sampai hati Fiyah...,
"Yang kau tercegat lagi kat situ dah kenapa? Pekak? Aku kata berambus! Berambus lah!" jerit Afiyah yang telah hilang sabar. Aliya pantas berlalu. Langkahnya seiring dengan air matanya yang mula menitik. Afiyah meraup wajahnya perlahan. Tanpa sedar air matanya turut menitis.
Mama...,
*****
"Fiyah mana?" tanya Datuk Hashim sambil memandang Aliya yang sedang menarik kerusi di depannya.
"Dia tak lapar," balas Aliya tanpa memandang wajah papanya. Emosinya belum stabil apabila mengingat semula kata-kata Afiyah sebentar tadi.
Ainun Afiyah..., kau nak sangat mulakan perang dengan aku kan?
Aliya mendengus perlahan. Dia memandang papanya yang leka dengan makanannya.
Papa..., Liya tahu papa sayang sangat pada Fiyah. Tapi Liya tak mungkin akan mampu berdiam diri jika Fiyah berterusan macam ini.
"Liya okay?" soal Datuk Hashim apabila perasan yang gadis itu hanya termenung sedari tadi tanpa menyentuh makanannya. Aliya tersenyum sambil mengangguk. Dia mencapai sudu dengan berat hati. Sebenarnya seleranya sudah hilang sejak keluar dari bilik Afiyah. Namun demi menjaga hati papanya, dia tetap memaksa diri menjamah makanan yang ada di depannya itu.
*****
Datuk Hashim menghampiri Afiyah yang sedang duduk bersendirian di atas buaian yang berada di taman mini arwah isterinya. Walaupun isterinya telah tiada namun taman itu tetap dijaganya dengan rapi. Hasil tangan isterinya itu sangat sayang dibiarkan begitu sahaja.
"Kenapa tak turun makan tadi? Fiyah tak lapar? Kalau Fiyah lapar, papa boleh panaskan lauk," tegurnya lembut. Afiyah mendengus perlahan.
Aku baru aje nak tenangkan hati. Orang tua ini memang tak pernah nak buat aku senang!
Datuk Hashim menarik nafas dalam. Dia tahu yang gadis itu tidak suka dengan kehadirannya. Namun dia harus mencuba.
"Fiyah," panggilnya lembut.
"Papa datang sini sebab nak tahu punca anak kesayangan papa itu menangis kan? Memang saya puncanya. Anak papa itu memang tak faham bahasa sebab itu kena dengan saya. Lepas ini, nasihatkan anak kesayangan papa itu supaya jangan ganggu hidup saya lagi. Saya rimas tahu tak!" marah Afiyah dengan nada yang keras tanpa memandang wajah Datuk Hashim. Berkerut kening Datuk Hashim kerana kurang faham dengan apa yang dikatakan oleh gadis itu.
"Papa tak faham. Fiyah dan Liya gaduh ke?" soalnya ingin tahu. Dia teringat semula wajah Aliya semasa mereka makan malam sebentar tadi. Memang mata gadis itu kelihatan agak bengkak. Afiyah hanya tersenyum sinis mendengar soalan papanya itu.
Nak buat drama juga?
"Fiyah, papa tahu Fiyah masih tak boleh terima papa. Tapi papa mohon Fiyah jangan salahkan Liya dengan apa yang dah berlaku. Liya tak salah apa-apa pun. Semuanya salah papa," pinta Datuk Hashim dengan perasaan bersalah. Sakit hati Afiyah mendengar permintaan orang tua itu.
"Jangan nak buat lawak kat sini Datuk Hashim. Tak ada sesiapa pun dalam rumah ini yang boleh arah saya sesuka hati. Dan untuk pengetahuan Datuk Hashim, saya juga hampir lupa yang saya masih ada keluarga dalam rumah besar ini. Sebab saya ingat Datuk Hashim dah mat...,"
"Fiyah!" pintas Datuk Hashim dengan suara kuat sambil menyentuh dadanya yang terasa pedih. Afiyah bangun dan mula memandang papanya.
"Marah?" soalnya sinis. Datuk Hashim mengangkat tangannya. Terangkat kening Afiyah memandang papanya itu.
"Nak tampar Fiyah pula? Wah! Fine! Kalau Datuk Hashim berani sangat, tampar lah!" cabar Afiyah dengan perasaan geram.
Pangg!!
Afiyah menyentuh pipi kanannya yang terasa pedih. Sebak dada Datuk Hashim memandang anak daranya itu. Namun dia sudah tidak mampu mengawal dirinya.
"Fiyah cabar papa. Fiyah memang dah melampau," katanya dengan suara perlahan hampir tidak kedengaran. Afiyah tersenyum sinis.
"Saya baru aje dua minggu kat sini. Tak apa, terima kasih dengan hadiah ini!" bentaknya sebelum beredar masuk semula ke dalam rumah. Datuk Hashim terduduk lemah di atas buaian.
Ain, maafkan abang. Fiyah, maafkan papa.