Aliya mempercepatkan langkahnya menyertai beberapa orang pelajar perempuan yang sedang berkumpul di sepanjang koridor kelas. Dia tersenyum lebar.
Eijaz Elman!
Putera idaman ramai itu sedang melangkah tenang berjalan melepasi mereka.
"Hoi Liya! Pekak ke!? Hampir nak tercabut anak tekak aku, boleh pula kau buat-buat tak dengar. Lah! Patutlah dah pekak, kau tengok itu Suha," panggil Rina sambil menunding ke satu arah. Suha tergelak kecil melihat kelibat Eijaz. Aliya hanya mencebik.
"Aku dengarlah," balasnya lantas melangkah meninggalkan kedua-dua rakannya yang masih lagi tergelak.
"Cik adik! Janganlah laju sangat. Nanti jatuh siapa nak tolong? Romeo cik adik itu dah lesap dah. Kami tak nak tolong tau," usik Rina lagi. Suha sudah tergelak besar. Aliya berhenti melangkah lantas berpaling semula. Dia menunjukkan penumbuknya kepada kedua rakannya itu. Rina dan Suha pantas mengangkat tangan seperti diacu dengan pistol.
"Tahu pula takut ek. Suka sangat nak kenakan Liya. Jom pergi Cafe. Aku dah lapar sangat ini. Aku makan korang baru tahu," balas Aliya dengan perasaan geram apabila kedua-dua gadis itu menghampirinya.
"Good idea! Kami memang nak bawa Liya makan. Tapi Liya itulah, syok sangat tadi," balas Suha sambil tersengih menayangkan gigi putihnya yang tersusun cantik.
"Lagipun cerita semalam tak habis lagi. Pasal kakak kandung Liya itu," celah Rina sambil tersenyum lebar.
"Ya Liya, hari ini kami nak tahu cerita sebenar. Itu pun kalau Liya tak berat hati nak berkongsi dengan kami," tambah Suha lagi dengan senyuman manis. Aliya tersenyum sambil mengangguk.
"Jom," balasnya sambil melangkah semula. Suha dan Rina tersenyum mengikut langkah gadis itu. Banyak persoalan yang berlegar di kepala mereka saat itu yang memerlukan jawapan daripada Aliya. Sudah hampir 4 tahun mereka berkawan. Namun cerita mengenai kakak kandung sahabat baik mereka itu tidak pernah pun diketahui oleh mereka. Apabila Aliya membuka cerita tersebut, mereka memang terkejut. Apa yang mereka tahu selama ini, gadis itu merupakan anak tunggal Datuk Hashim Azri.
*****
Afiyah merenung lama tanah yang masih merah. Kenangan bersama arwah mamanya akan menjadi memori yang berharga dalam hidupnya. Tidak ada sesiapapun yang dapat menggantikan tempat wanita itu di hatinya. Banyak perkara yang dia belajar daripada wanita itu. Walaupun pahit dan sukar, namun dia akur dengan realiti yang dilaluinya saat ini. Afiyah tunduk menahan sakit yang mencengkam dada.
Mama..., mama jaga diri tau. Fiyah akan jarang jenguk mama. Fiyah bukan tak nak lawat mama, Fiyah bukan tak sayang mama, tapi Fiyah terpaksa ikut papa. Fiyah terpaksa tinggalkan mama seorang kat sini. Maafkan Fiyah mama. Mama pun tentu suka kalau Fiyah tinggal dengan papa kan? Memang itu kemahuan mama. Mama nak Fiyah jadi anak yang baik. Fiyah akan tunaikan permintaan mama. Sebab Fiyah sayang sangat dengan mama.
"Jom Fiyah," ajak Datuk Hashim sambil menyentuh lembut kedua belah bahu gadis itu. Afiyah berdiri dengan berat hati.
"Mama, Fiyah pergi dulu. Assalamualaikum," ucapnya sayu. Datuk Hashim sebak mendengar suara sendu gadis itu. Dia membiarkan Afiyah berjalan mendahuluinya. Pandangan sayu dilemparkan ke arah kubur arwah isterinya. Ain Rosnidar seorang isteri yang sangat mencintai dan setia kepada dirinya telah pergi buat selama-lamanya. Dia bukan sahaja terlewat memohon kemaafan daripada wanita itu. Malahan dia juga terlewat memberitahu bahawa dalam hatinya itu ada tempat istimewa untuk Rosnidar. Datuk Hashim tunduk dengan perasaan sayu.
Ain..., maafkan abang. Abang bersalah pada Ain. Abang tinggalkan Ain tanpa mendengar rayuan Ain. Abang ego! Abang minta maaf sayang. Abang janji dengan Ain, abang akan jaga Fiyah dengan baik. Fiyah akan bahagia dengan abang. Abang janji Ain.
Jiwa Datuk Hashim merintih pedih. Air matanya perlahan menitik satu persatu. Afiyah hanya memandang dari jauh papanya yang sedang duduk berteleku di tepi kubur arwah mamanya.
Papa menyesal? Mama tak mungkin akan kembali lagi papa. Mama dah pergi buat selama-lamanya. Mama dah tinggalkan kita.
Afiyah menyeka air matanya.
Mama…, tunggu Fiyah kat sana.
*****
Bienda memeluk erat tubuh Afiyah. Gadis yang telah dianggapnya seperti anak sendiri itu akan pergi meninggalkannya. Kehilangan sahabat baiknya telah memberi kesan yang mendalam buat dirinya. Kini giliran gadis itu pula yang ingin pergi meninggalkannya. Bienda mengeluh perlahan. Afiyah tersenyum hambar. Faham akan perasaan wanita itu.
"Ingat, Fiyah kena dengar cakap papa. Jangan nakal lagi macam dulu. Fiyah sekarang dah pun 20 tahun. Kalau kahwin pun dah elok sangat. Aunty tahu Fiyah masih tak boleh terima papa. Fiyah boleh mencuba sayang. Fiyah kena cuba untuk terima papa. Aunty faham bukan mudah. Tapi Fiyah tak boleh nafikan kenyataan itu. Walau apapun yang berlaku, dia tetap papa Fiyah. Papa kandung Fiyah," nasihat Bienda panjang lebar. Dia melepaskan pelukannya. Wajah gadis itu sudah hilang serinya.
"Kalau Fiyah nak balik semula kat sini, aunty ada. Fiyah jangan lupa jenguk aunty pula. Aunty akan rindukan anak dara aunty ini. Jaga diri baik-baik sayang," sambung Bienda sambil mengucup lembut dahi gadis itu. Afiyah tersenyum hambar sambil menggangguk perlahan. Dia sengaja tidak mahu membalas kata-kata wanita itu kerana takut air matanya jatuh lagi. Dia tidak mahu wanita itu turut bersedih dengan pemergiannya. Aunty Bienda nya itu sangat baik hati. Wanita yang dianggap seperti mamanya sendiri itu sudah bersama dengannya hampir lapan tahun. Sekali lagi dia berpisah dengan orang yang disayanginya. Afiyah menggigit bibirnya kuat.
Terima kasih aunty.
Selepas mengucup tangan wanita itu, dia terus berlalu tanpa menoleh lagi. Bienda hanya memandang sayu satu persatu langkah gadis itu.
"Terima kasih banyak Bie sebab dah tolong jaga Fiyah. Kalau Bie perlukan apa-apa jangan segan untuk hubungi abang. Abang pergi dulu, jangan risau abang akan jaga Fiyah dengan baik," celah Datuk Hashim yang memerhati sedari tadi.
"Abang jangan biarkan Fiyah menangis lagi. Kasihan Fiyah, bang. Arwah tak pernah benarkan setitik pun air mata Fiyah menitis selama ini. Bie harap abang faham," balas Bienda dengan nada tegas. Kalau ikutkan hatinya, dia memang tidak akan benarkan lelaki itu membawa Afiyah pergi. Tapi bila dia fikirkan semula yang dirinya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan keluarga itu, dia terpaksa akur. Datuk Hashim mengangguk faham.
“Abang pergi dulu,” katanya sambil mula melangkah untuk beredar namun sempat memandang sekilas banglo yang telah banyak menyimpan cerita suka duka hidupnya suatu ketika dahulu.
Selamat tinggal Ain. Abang pergi dulu.
Bienda mengesat air matanya yang mula menitis perlahan. Lapan tahun bersama dengan Afiyah sudah cukup membuatnya tidak ingin berpisah dengan gadis itu. Kelibat teksi yang membawa Datuk Hashim dan Afiyah telah lama menghilang namun Bienda masih tegak berdiri di tempatnya.
Masih adakah lagi pertemuan untuk hari esok...?
*****
Aliya merenung lama seraut wajah yang sedang tidur lena itu.
Cantik!
Perlahan senyuman terukir di bibirnya.
Dia mimpi ke? Tiba-tiba aje dia mempunyai seorang kakak. Kakak yang seumur dengannya pula itu. Memang sukar untuk dia percaya. Tapi itulah kenyataanya. Papa memang hebat!
Aliya tergelak kecil. Geli hati dengan kata hatinya sendiri. Namun tiba-tiba gelaknya terhenti apabila Afiyah membuka matanya. Afiyah terkedu. Aliya terpana. Kedua-duanya saling berpandangan tanpa sepatah kata. Lidah kelu tanpa bicara. Afiyah mendengus perlahan. Aliya serba salah apabila Afiyah memalingkan wajahnya ke arah lain.
"Err..., saya Aliya tapi boleh panggil Liya aje," beritahu Aliya dengan perasaan berdebar. Melihat tiada reaksi daripada Afiyah, Aliya memberanikan diri menyentuh jemari gadis itu. Sekali lagi Afiyah terkedu dengan tindakan berani Aliya. Dia menepis pantas tangan gadis itu. Kini giliran Aliya pula yang terkedu. Dia tidak menyangka reaksi kasar daripada gadis itu.
"Don't touch me! Kau jangan nak tunjuk baik kat sini. Aku tak suka!!"
"Fiyah,"
"Tak faham lagi?!" pintas Afiyah sambil memandang Aliya dengan wajah bengis.
"Berambus lah!!" jerit Afiyah dengan nada keras. Aliya yang terkejut pantas bangun dari katil. Dia agak kecewa apabila melihat Afiyah langsung tidak sudi memandang wajahnya. Aliya beredar dari bilik Afiyah dengan perasaan yang berbaur.
"Fiyah dah bangun?" soal Datuk Hashim yang baru sahaja keluar dari biliknya yang bertentangan dengan bilik Afiyah.
"Belum papa. Letih agaknya. Kita tak payah lah kejutkan Fiyah dulu. Biarkan Fiyah berehat," jawab Aliya dengan senyuman manis sambil menarik lengan Datuk Hashim untuk turun ke tingkat bawah. Datuk Hashim hanya mengangguk setuju. Aliya mengeluh dalam diam.
Nampaknya Fiyah tak suka aku…,
*****
Afiyah turun dari katil dan melangkah perlahan ke balkoni biliknya. Dia meraup wajahnya perlahan.
Menyesal?
Afiyah memejamkan matanya. Dia membiarkan angin malam menyapa lembut wajahnya. Dia memang tidak menyalahkan gadis itu dengan apa yang berlaku 8 tahun yang lalu. Namun dia juga tidak akan sekali-kali berbaik dengan gadis itu. Kalau dia masih tidak mampu menerima kehadiran papanya, apatah lagi gadis itu. Afiyah mengeluh lagi. Bagaimana dia harus melalui hari-hari yang mendatang jika setiap kali memandang wajah Datuk Hashim dan Aliya dia akan merasa sakit. Sakit yang bersilih ganti dengan rasa benci yang sukar untuk dia hapuskan. Afiyah membuka mata dan mendongak memandang langit yang gelap.
Mama, beri Fiyah masa mama. Maafkan Fiyah. Fiyah tak boleh nak tipu hati Fiyah sendiri. Fiyah tak boleh mama. Fiyah benci dengan orang itu. Fiyah benci dengan mereka!
Mata Afiyah mula berkaca.
"Ehem!"
Afiyah pantas menoleh kerana terkejut dengan suara itu.
Jiran sebelah rupanya!
"Who are you? Liya mana? Dah tidur?" soal Dahin sambil menguap perlahan. Dia memisat-misat matanya untuk melihat wajah Afiyah dengan lebih jelas. Afiyah hanya membalas pandangan lelaki itu tanpa berkata apa-apa. Dahin mengangkat tangannya perlahan sambil melambai.
"Awak nampak saya tak?" soalnya apabila melihat gadis itu hanya diam membisu. Afiyah mendengus sebelum melangkah perlahan masuk semula ke dalam bilik. Dahin menurunkan semula tangannya. Dia yang masih mamai turut berlalu masuk ke dalam biliknya semula.
Siapa gadis itu?