Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 31

“Ma, saya dah jumpa Liya. Anak kepada orang yang dah sakitkan hati mama selama ini. Mama jangan risau. Fiyah tak pernah beritahu papa ataupun Liya apa yang dah dilakukan oleh perempuan itu. Mulanya…, Fiyah ingat Fiyah tak mampu terima Liya. Tapi…,” Afiyah berhenti sejenak. Sebak hatinya memandang potret besar ibunya yang tergantung pada dinding biliknya.

“Liya anak yang baik. Jika dibandingkan dengan Fiyah, dia lebih layak menjadi anak Datuk Hashim. Masa Fiyah banyak digunakan untuk membenci dan menghina papa. Fiyah bukan anak yang baik ma,” sambungnya sambil menggigit bibir.

“Fiyah,” panggil Brenda sambil menyentuh lembut bahu gadis itu. Dia yang memerhatikan gadis itu sedari tadi ikut sebak. Afiyah menoleh sambil tersenyum hambar memandang wanita itu.

“Sudah lah itu. Fiyah jangan salahkan diri. Apa yang berlaku jadikan ikhtibar. Semua yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya,” nasihat Brenda separuh memujuk. Afiyah mengangguk perlahan.

“Jom sarapan. Lepas ini kita nak lawat mama pula,” ajaknya sambil menarik lembut lengan gadis itu. Afiyah hanya menurut tanpa membantah.

Tak sabar nak jumpa mama.

*****

Dahin memandang lama bilik sebelah yang gelap tanpa sebarang cahaya. Sudah dua minggu Afiyah kembali ke Melaka. Dahin mengeluh perlahan. Teringat semula perbualannya dengan Suha sebentar tadi.

***

“Kenapa kau tak datang masa Fiyah jalan hari itu?” soal Suha agak simpati melihat wajah muram lelaki itu.

“Aku ada aje. Tapi tengok dari jauh,” balasnya dengan nada perlahan. Suha menggelengkan kepalanya.

“Dahin, kau betul sayangkan Fiyah?” soalnya inginkan kepastian. Dahin membalas pandangan gadis itu dengan kening yang berkerut.

“Memang aku sayangkan Fiyah. Tapi aku dah terlambat Suha. Fiyah tak akan terima aku,” jawabnya dengan perasaan kecewa.

“Kau ini cepat sangat mengalah. Kau tahu tak kenapa aku nak jumpa kau hari ini?” soal Suha dengan kening terangkat. Dahin menggeleng perlahan.

“Aku tak nak kau berputus asa Dahin. Sebab Fiyah itu hanya perlukan masa. Kau sendiri tahu apa yang berlaku dengan Fiyah. Dia susah nak buka hatinya untuk orang lain kerana takut dengan kehilangan. So, aku nasihatkan kau kalau kau benar-benar sayangkan Fiyah, kau jangan pernah putus asa. Tapi buat masa masa sekarang ini, kau hanya perlu sedikit bersabar. Macam aku cakap tadi. Fiyah perlukan masa,” nasihat Suha dengan ikhlas. Dahin tersenyum hambar sambil mengangguk.

***

Dahin menarik nafas panjang.

Saya akan tunggu awak kembali Fiyah. Dan bila tiba masa itu, saya tak akan sesekali lepaskan awak lagi. Tak akan!

*****

Aliya memandang Datuk Hashim dengan reaksi wajah yang jelas terkejut.

“Maksud papa?” soalnya sambil mengambil tempat di hadapan papanya itu. Datuk Hashim mengeluh perlahan. Dia juga masih terkejut dengan perkhabaran daripada Brenda sebentar tadi.

“Fiyah baru aje berlepas ke Australia sebentar tadi,” beritahunya sambil bersandar lemah pada sofa.

“Aus? Buat apa kat sana? Bukan sepatutnya Fiyah balik sini ke?” soal Aliya bertalu dengan wajah keliru.

“Fiya ke sana sebab melawat nendanya. Ibu kepada arwah mama Fiyah,” beritahu Datuk Hashim dengan sayu.

“Tapi kenapa Fiyah tak beritahu papa dulu? Lama ke Fiyah kat sana? Fiyah tak patut buat macam ini pada papa,” soal Aliya dengan perasaan kecewa. Datuk Hashim menggeleng perlahan sebelum bangun dan berlalu ke tingkat atas. Aliya meraup wajahnya.

Why Fiyah? Benci sangat ke Fiyah pada Liya dan papa?

*****

Datin Isnawiyah menekan butang loceng Vila mewah yang tersergam gah di hadapannya. Dia sebenarnya agak berdebar bertemu dengan orang yang selama ini dikejinya dari jauh. Perlahan-lahan pintu pagar utama terbuka. Seorang pengawal keselamatan keluar berjalan menghampirinya.

“Boleh saya bantu puan?” soal pengawal keselamatan tersebut.

“Datuk Hashim ada?” soalnya dengan senyuman.

“Ada. Jemput masuk puan,” ajak pengawal tersebut dengan ramah. Datin Isnawiyah mengangguk sambil tersenyum.

***

Datuk Hashim menarik nafas dalam. Sekarang ini hatinya masih tidak tenteram dengan berita yang diterimanya pagi tadi mengenai Afiyah. Kini dia mendapat kunjungan pula daripada wanita itu.

“Apa khabar?” tanyanya agak berat hati. Datin Isnawiyah agak terkejut mendengar soalan lelaki itu.

“Alhamdullillah,” balasnya dengan senyuman.

“Maaf sebab tak pernah jenguk akak sekeluarga,” ucap Datuk Hashim dengan senyuman hambar. Berkerut kening Datin Isnawiyah.

“Awak tahu saya ini siapa?” soalnya agak berdebar.

“Sofea tak pernah berahsia dengan suaminya. Saya minta maaf dengan apa yang dah berlaku. Jangan pernah salahkan Sofea sebab semuanya salah saya,” balas Datuk Hashim.

“Memang. Semuanya salah awak Hashim. Awak kahwin dengan Sofea tanpa izin papa. Lepas itu awak madukan dia pula tanpa perasaan. Sofea menderita sebab awak!” marah Datin Isnawiyah tanpa mampu mengawal perasaannya. Datuk Hashim mengeluh perlahan.

“Puan ini siapa nak marah papa saya?” celah Aliya yang baru sahaja turun dari tingkat atas.

“Liya,” panggil Datuk Hashim. Datin Isnawiyah terpaku memandang wajah Aliya yang sangat seiras dengan arwah Sofea.

“No pa. Puan datang sini cakap pasal arwah mama dan marahkan papa dah kenapa?! Puan ini siapa?!” sambung Aliya lagi dengan nada agak keras.

“Dia aunty kamu Liya. Kakak arwah mama kamu,” beritahu Datuk Hashim perlahan.

“What?” bulat mata Aliya memandang papanya.

Bila masa? Kenapa aku tak tahu?

“Maafkan aunty, Liya. Aunty terlalu ikutkan perasaan,” ucap Datin Isnawiyah kini mula tenang.

“No!” balas Aliya keras sebelum bergegas keluar dari rumah. Datuk Hashim mengeluh perlahan.

“Maafkan akak,” ucap Datin Isnawiyah dengan perasaan bersalah.

“Tak apa. Liya memang tak tahu pasal ini. Lepas ini saya akan jelaskan semuanya pada Liya,” balas Datuk Hashim dengan senyuman hambar. Datin Isnawiyah mengangguk faham.

“Akak datang ini sebab nak jernihkan semula hubungan kita. Akak minta maaf dengan Shim sebab selama ini dah banyak sangat akak keji Shim. Akak redha dengan jodoh Sofea. Akak terima Shim dalam keluarga akak,” kata Datin Isnawiyah dengan ikhlas. Datuk Hashim menarik nafas lega mendengar kata-kata wanita itu.

“Terima kasih. Sebenarnya dah lama Shim tunggu saat ini. Shim akui memang tak tenang selama ini sebab keluarga arwah tak pernah terima kehadiran Shim. Alhamdullillah. Syukur kak. Terima kasih sangat sebab menerima kehadiran Shim dan Liya. Shim juga minta maaf sebab Shim dah langgar janji Shim sebelum ini. Shim tak dapat mengelak jodoh yang diaturkan oleh kedua orang tua Shim sehingga Shim terpaksa lukakan hati Sofea,” balas Datuk Hashim sambil melepaskan keluhan berat. Datin Isnawiyah mengangguk perlahan.

“Tak apa Shim. Arwah redha dengan apa yang berlaku. Apa yang penting sekarang antara kita dah tak ada lagi perasaan benci dan dendam. Sudah tiba masanya kita satukan semula keluarga kita. Akak dah tak ada keluarga lain selain kamu dan Liya,” katanya dengan perasaan agak sebak. Datuk Hashim mengangguk setuju.

Alhamdullillah ya Allah.

*****

Suha dan Rina saling berpandangan dengan riak wajah yang jelas terkejut.

“Kenapa Fiyah tak beritahu kita?” soal Rina dengan kening berkerut separuh kecewa. Aliya hanya menggeleng mendengar soalan gadis itu.

“Saya ada call Fiyah. Tak ada pula dia beritahu yang dia ke Australia,” beritahu Suha dalam nada perlahan.

“Dia ke sana melawat nendanya. Bonda kepada arwah mamanya. Rupanya nenda Fiyah itu kahwin dengan orang sana. Dah lama menetap kat sana,” beritahu Aliya pula.

“Fiyah lama ke kat sana?” soal Rina lagi.

“Tak tahu. Saya ada juga call tapi tak bersambut,” jawab Aliya sambil mengeluh perlahan.

“Bila lah dapat jumpa Fiyah lagi ini,” kata Rina turut melepaskan keluhan. Suha hanya diam membisu mendengar perbualan kedua-dua rakannya itu. Dia masih terkejut dengan perkhabaran Aliya. Seingatnya baru sahaja dua hari lepas dia menelefon Afiyah. Tidak ada pula gadis itu menyentuh mengenai Australia ataupun apa-apa yang berkaitan dengannya.

“Lagi satu. Sebelum aku keluar tadi, ada wanita ini datang ke rumah. Papa kata wanita itu mak saudara aku. Boleh percaya ke? Selama ini aku tak tahu pun aku ada keluarga lain selain Fiyah dan ibunya,” beritahu Aliya sambil mengurut dahinya yang terasa berdenyut.

“Mak saudara?” berkerut kening Suha memandang gadis itu.

“Banyak sangat rahsia keluarga Liya ini,” komen Rina dengan kening berkerut. Dalam diam Aliya turut mengiyakan kata--kata rakannya itu.

Ada lagi rahsia yang aku tak tahu ke?

*****

Dahin menghampiri Datuk Hashim dengan senyuman.

“Assalamualaikum uncle. Apa khabar?” tanyanya sambil menghulurkan tangan.

“Uncle sihat aje. Dah lama Dahin tak melawat uncle,” balas Datuk Hashim dengan senyuman.

“Sorry uncle. Dahin agak sibuk kebelakangan ini. Siapa wanita tadi tu uncle? Bakal mama baru ke?” soalnya separuh mengusik. Sebelum melangkah masuk dia berpapasan dengan wanita tersebut. Senyuman wanita itu mengingatkan dia pada seseorang.

“Ishh kamu ini. Tak ada lah. Itu mak saudara Liya,” beritahu Datuk Hashim dengan senyuman. Berkerut kening Dahin.

“Mak saudara?” soalnya agak keliru. Dia sudah kenal Aliya sejak kecil. Selama ini tidak ada pula dia melihat wanita itu melawat rumah ini.

“Kakak kepada mama Sofea kamu,” beritahu Datuk Hashim.

“Oh, rupanya arwah mama ada keluarga lain,” balas Dahin yang membahasakan arwah Sofea dengan panggilan mama kerana wanita tersebut membiasakan dirinya memanggil panggilan tersebut sejak dari kecil lagi.

“Maafkan uncle sebab rahsiakan hal ini dengan Dahin. Liya pun baru aje tahu pasal ini,” kata Datuk Hashim seiring dengan keluhannya. Risau dia apabila mengingatkan Aliya yang keluar namun masih lagi tidak kembali hingga saat ini.

“Liya macam mana? Liya okay?” soal Dahin turut bimbang.

“Entah lah Dahin. Harap-harap Liya okay. Tadi Suha ada call beritahu yang Liya ada dengan mereka,” jawab Datuk Hashim. Dahin mengangguk sambil menarik nafas lega. Mesti gadis itu sedang berduka saat itu.

“Belum habis lagi kebimbangan uncle dengan Fiyah yang dah berlepas ke Australia tanpa beritahu uncle, kini uncle perlu fikir pula macam mana nak jelaskan semuanya dengan Aliya,” luah Datuk Hashim. Dahinya jelas menunjukkan kerutan. Terangkat kening Dahin membalas pandangan Datuk Hashim.

Fiyah ke Australia?

*****

Aliya menarik nafas dalam mendengar cerita papanya itu.

“Kenapa tak pernah beritahu Liya pasal ini? Kenapa pa?” soalnya bertalu dengan perasaan kecewa.

“Maafkan papa. Selama ini papa masih tercari-cari masa yang sesuai untuk ceritakan semuanya dengan Liya. Ada masa juga papa lupa nak beritahu Liya. Maafkan papa,” ucap Datuk Hashim dengan perasaan bersalah. Aliya mengeluh perlahan.

“Siapa tadi anak aunty Wiyah itu? Daffa? Daffa mana pula ini? Orang yang kita kenal ke?” soalnya bertalu. Apabila papanya memberitahu yang Datin Isnawiyah mempunyai seorang anak lelaki bernama Daffa dia agak terkejut. Nama lelaki itu seperti sudah biasa di telinganya. Terdiam Datuk Hashim mendengar soalan Aliya.

Daffa? Wait.

Berkerut kening Datuk Hashim. Terangkat kening Aliya memandang reaksi papanya itu.

“Papa tak pasti. Tapi tak ada pula aunty Wiyah sentuh apa-apa pasal Fiyah. Daffa lain kot,” balasnya separuh meneka. Aliya mengangguk.

“Harap lah. Tapi kalau dia orang yang sama, saya tak akan diam macam itu aje pa,” katanya dengan perasaan tidak puas hati. Datuk Hashim terdiam mendengar kata-kata gadis itu. Jauh di sudut hatinya dia juga menolak keras kemungkinan itu. Jika perkara tersebut berlaku, Afiyah mungkin tidak akan kembali lagi kepada mereka. Aliya agak simpati melihat papanya yang sudah beberapa kali mengeluh.

Be strong pa.

*****

“Nenda tak beritahu Fiyah pun yang nenda ada balik Malaysia baru-baru ini,” kata Afiyah separuh merungut. Datin Asmah tersenyum sambil mengelus lembut rambut milik gadis itu.

“Maafkan nenda,” ucapnya dengan nada pelahan.

“Nenda masih marahkan papa?” soal Afiyah sambil menggenggam jemari wanita yang sudah lanjut usia namun masih lagi kelihatan muda dari usianya kerana pandai menjaga dirinya. Datin Asmah tersenyum hambar. Teringat semula wajah menantu tunggalnya itu. Tidak ada penyesalan yang timbul dengan merancang pernikahan arwah anaknya dengan lelaki itu kerana kini dia memiliki Afiyah. Apa yang menyakitkan hatinya apabila lelaki itu sanggup menduakan arwah anaknya tanpa memberitahu mereka. Sehingga kini dia masih sukar untuk memaafkan lelaki itu.

“Nenda…,” panggil Afiyah apabila melihat wajah sayu orang tua itu.

“Maafkan nenda Fiyah. Nenda tak dapat datang masa mama kamu dikebumikan,” ucap Datin Asmah dengan perasaan sebak.

“Tak apa nenda. Aunty Brenda ada beritahu Fiyah yang nenda kat hospital masa itu. Fiyah yang patut minta maaf dengan nenda sebab dah lama tak hubungi nenda,” balas Afiyah turut rasa bersalah. Dia leka dengan masalahnya sehinggakan hampir lupa dia masih ada orang tua itu. Setelah pemergian atuknya yang merupakan seorang warganegara Australia, kini nendanya itu mengambil keputusan untuk menetap di negara tersebut.

“Fiyah tinggal lah sini lama sikit. Nenda nak kamu uruskan syarikat atuk kat sini,” kata Datin Asmah separuh meminta. Afiyah terkedu mendengar permintaan wanita itu.

“Atau Fiyah tak suka tinggal dengan nenda?” soal Datin Asmah pula apabila melihat gadis itu membisu agak lama.

“Tak nenda. Fiyah suka tinggal dengan nenda,” balas Afiyah akhirnya tersenyum. Dia kini nekad.

Hidup baru aku bermula di tempat ini!



Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.