Daffa menahan langkah Suha.
"Daffa?" bulat mata Suha memandang lelaki itu.
"Fiyah mana?" soalnya laju.
"Fiyah dah masuk kelas kot. Kenapa?" tanya Suha. Risau pula dia melihat wajah pucat lelaki itu. Daffa meraup wajahnya.
"Awak okay ke?" tanya Suha lagi. Daffa yang kelihatan gelisah hanya mengangguk perlahan.
"Fiyah tak cakap apa-apa lagi? Maksud saya, Fiyah ada cerita tak pasal saya? Dia ada kata nak jumpa saya tak?" soal Daffa bertalu. Suha menarik nafas perlahan.
"Saya..."
"Please, saya tahu awak boleh pujuk dia. Saya dah tak lama lagi kat sini. Please Suha. Tolong pujuk dia," pintas Daffa separuh merayu. Suha mengeluh.
"Suha tak masuk kelas lagi?" soal satu suara. Suha dan Daffa serentak berpaling. Rina tersenyum berjalan menghampiri.
"Saya pergi dulu. Tolong ya," pinta Daffa lagi sebelum berlalu.
"Itu Daffa ke?" tanya Rina sambil memandang Suha. Suha mengeluh lagi. Bunyi keluhan itu jelas terdengar di telinga Rina. Dia menyentuh lengan gadis itu. Suha tersenyum hambar.
"Kau okay ke?" soal Rina agak bimbang.
"Jom masuk kelas. Aku dah lewat ini. Soalan tadi itu nanti aku jawab ek," balas Suha sambil menarik lengan sahabatnya itu. Rina hanya mengangguk sambil mengikut langkah gadis itu.
Ada lagi yang aku tak tahu ke?
*****
Dahin tersenyum menyambut kedatangan Aliya.
"Tak ada kelas ke?" soal Aliya sambil mengambil tempat di hadapan lelaki itu.
"Dahin ponteng sebab risau dengan budak yang sedang duduk depan Dahin sekarang ini," jawab Dahin separuh menyindir.
"Liya dah okay?" tanyanya pula sambil meletakkan minuman kotak perisa mangga di hadapan gadis itu. Aliya terdiam mendengar pertanyaan lelaki itu.
"Liya," panggil Dahin lembut.
"Liya rasa dah tak boleh selamatkan hubungan Liya dan Eij," kata Aliya perlahan. Giliran Dahin pula yang terdiam mendengar kata-kata gadis itu.
"Liya nak putuskan hubungan dengan Eij," sambung Aliya sambil memandang tepat wajah Dahin.
"Liya gaduh lagi dengan Eij? Hubungan Liya dan Eij dah lama tau. Bukan sebulan dua tapi bertahun. Walaupun Dahin tak rapat dengan mamat itu tapi Dahin tahu dia lelaki yang baik. As a friend, Dahin nak Liya fikir masak-masak dulu. Jangan buat keputusan terburu-buru," nasihat Dahin yang kurang bersetuju dengan keputusan gadis itu. Aliya mengeluh perlahan.
"Semuanya salah saya. Saya terlalu pentingkan diri sendiri sampai tak sedar dalam diam saya dah sakitkan Eij. Eij itu terlalu baik untuk saya," balasnya dengan perasaan sebak.
"Mungkin dah tiba masanya Liya kena tunjukkan pada semua orang siapa Eij itu dalam hidup Liya. Itu yang Eij nak kan? Lagipun Eij memang patut marah Liya. Liya ini degil nak berahsia," kata Dahin separuh mengusik. Aliya terdiam.
"Sorry," ucap Dahin apabila melihat tidak ada senyuman pada wajah gadis itu.
"Buat masa ini saya tak boleh. Saya tak nak sesiapa pun tahu pasal ini termasuk Rina dan Suha," balas Aliya tegas. Dahin agak terkejut dengan jawapan gadis itu.
"Tapi kenapa? Liya nak ke hubungan Liya dengan..."
"Liya akan putuskan hubungan dengan Eij sebelum semua orang tahu," pintas Aliya dengan tenang. Dahin hilang kata-kata memandang gadis itu. Aliya tersenyum hambar membalas pandangan Dahin. Dia sudah nekad dengan keputusannya. Apa yang akan berlaku selepas ini dia sudah tidak akan peduli lagi. Termasuk hatinya yang pastinya akan terluka.
*****
Afiyah cuba menggapai buku yang terletak agak tinggi di atas rak. Dahinya mula berpeluh.
Rendah sangat ke aku ini?
Afiyah merungut geram.
"May I?" bisik satu suara dekat di telinganya. Afiyah pantas berpaling. Dia menjeling tajam Eijaz yang sedang tersenyum nakal memandangnya. Eijaz mengambil buku yang cuba digapai oleh Afiyah.
"Awak buat apa kat sini?" soal Afiyah yang kurang selesa dengan kehadiran lelaki itu.
Sudah lah aku tengah kusut fikirkan Daf. Yang seorang ini pula asyik nak berkepit dengan aku.
Afiyah mendengus perlahan. Eijaz hanya tersenyum sambil menghulurkan buku tersebut kepada Afiyah.
"Cari buku," jawabnya ringkas. Afiyah menyambut buku yang dihulurkan lantas beredar ke mejanya. Eijaz hanya mengikut langkah gadis itu.
"Dah lunch?" soal Afiyah apabila melihat lelaki itu mengambil tempat di sebelahnya. Eijaz sekadar menggeleng.
"Tak ada selera," balasnya sambil tersenyum hambar. Wajah Aliya menjelma semula di matanya. Tanpa sedar dia mengeluh perlahan. Berkerut kening Afiyah memandang lelaki itu.
"Awak tak sihat ke? Kalau awak nak saya teman lunch, saya memang tak dapat. Sebab hari ini saya kena siapkan dan hantar tugasan penting. Saya tak nak gagal lagi," beritahu Afiyah dengan perasaan berbaur.
"Awak gagal subjek apa sebelum ini?" soal Eijaz dengan kening berkerut. Afiyah terdiam mendengar soalan lelaki itu.
"Sorry sebab tak dapat temankan awak," ucapnya tanpa menjawab pertanyaan Eijaz.
"Tak apa. Eij pun bukannya lapar sangat. Cuma letih aje. Eij nak tidur kejap. Kalau dah siap, Fiyah kejutkan Eij ek," balas Eijaz sambil mula meletakkan kepalanya di atas meja. Afiyah hanya memandang lelaki itu. Dia melepaskan keluhan perlahan.
I’m sorry Eij. For everything.
*****
Aliya menarik kerusinya. Dia menoleh ke sisi namun meja Rina masih kosong. Aliya mengeluh perlahan. Pandangannya beralih memandang meja Eijaz. Meja lelaki itu juga masih kosong. Aliya meraup wajahnya perlahan.
Liya, kau kena fikir masak-masak.
Kata hati kecilnya sendiri.
“Liya,” tegur Rina yang baru muncul sambil menarik kerusinya lantas duduk. Aliya hanya memandang sekilas ke arah sahabatnya itu.
“Liya pergi mana tadi? Cepat sangat Liya keluar sampai Rina tak sempat kejar,” tanya Rina separuh merungut.
“Liya jumpa Dahin tadi,” balas Aliya dengan suara perlahan. Rina mengangguk. Dia hanya memandang gadis itu yang mula meletakkan kepalanya di atas meja.
Tak nak diganggu lah itu.
Rina menarik nafas dalam. Dia mengeluarkan bukunya dari dalam beg. Walaupun rasa ingin tahu meluap-luap dalam diri namun dia tahu ini bukan lah masa yang sesuai untuk dia bertanya pada Aliya. Apatah lagi bila melihat wajah muram gadis itu sedari pagi.
*****
Suha mengerling Afiyah yang berdiri di sebelahnya. Dia mengeluh perlahan.
Kenapalah aku boleh jadi posmen tak berbayar ini.
"Suha okay?" tanya Afiyah apabila perasan kegelisahan sahabatnya itu. Suha pantas mengangguk sambil tersenyum.
"Lega bila dah hantar tugasan itu," luah Afiyah dengan senyuman lebar.
"Tahniah," ucap Suha ikhlas.
"Thank you," balas Afiyah sambil memeluk bahu gadis itu.
"Kenapa Eij ada dengan Fiyah tadi?" soal Suha ingin tahu.
"Dia ajak Fiyah lunch tadi tapi Fiyah tak dapat. Ingatkan dia nak masuk kelas lepas itu. Alih-alih tidur kat sebelah. Penat dengan latihan agaknya," jawab Afiyah sambil tersenyum kecil. Suha mengangguk perlahan. Tanpa sedar dia mengeluh lagi.
"Kenapa? Tak sihat?" tanya Afiyah yang agak risau dengan telatah gadis itu. Dia perasan yang gadis itu asyik mengeluh sedari tadi. Suha berhenti melangkah. Dia memandang tepat ke arah Afiyah. Bekerut kening Afiyah membalas pandangan Suha.
"Fiyah tak bersedia lagi ke?" tanya Suha tepat memandang wajah gadis itu.
"What?" soal Afiyah agak keliru.
"Daffa. Fiyah tak ready lagi nak bincang dengan Daffa?" tanya Suha lagi. Terkedu Afiyah mendengar soalan gadis itu.
"Suha..."
"Just answer. Suha bukan nak paksa Fiyah jumpa dia. Suha cuma nak dengar jawapan Fiyah," potong Suha laju. Afiyah melarikan pandangannya dari terus memandang wajah gadis itu. Suha mencapai jemari gadis itu.
"Daffa beritahu yang dia akan pulang semula tak lama lagi. Dia datang dari jauh semata-mata hanya nak pujuk Fiyah. Tapi kalau Fiyah memang dah buat keputusan tak nak terima dia lagi itu hak Fiyah. Tak ada siapa pun boleh paksa atau salahkan Fiyah. Tapi tak salah kan kalau Fiyah jumpa dia buat kali yang terakhir. Nanti pada masa akan datang tak ada lagi penyesalan yang akan timbul. Sebab semuanya dah selesai," nasihat Suha separuh memujuk. Afiyah menundukkan kepalanya sambil melepaskan keluhan berat. Suha menarik gadis itu dalam pelukannya. Dahin yang berada di dalam keretanya hanya memandang kedua-dua gadis itu yang berdiri tidak jauh dari keretanya. Dia mengeluh perlahan sebelum menghidupkan enjin keretanya.
*****
Aliya menggenggam telefon bimbitnya dengan erat. Eijaz yang berada di talian sebelah bersandar lemah pada kepala katilnya.
"I'm sorry Eij. Liya tak nak Eij terluka lagi sebab Liya," ucap Aliya sambil menggigit bibirnya kuat. Matanya mula berkaca. Eijaz memejamkan matanya. Ayat yang keluar dari mulut gadis itu umpama pisau tajam yang menusuk hatinya saat ini. Pedih tidak terkata.
"Liya pasti dengan keputusan Liya ini? Tak menyesal?" soal Eijaz dengan suara yang sangat perlahan. Matanya masih terpejam. Dia sangat berharap apa yang diucapkan gadis itu sebentar tadi hanya lah mimpi semata.
"I'm sorry Eij," ucap Aliya sebak. Air matanya mula menitis.
"Kenapa nangis? Itu maknanya Liya masih tak boleh lepaskan Eij," balas Eijaz sambil membuka matanya perlahan.
"Kalau Liya masih tak mampu lepaskan Eij, jangan berani nak putuskan hubungan kita!" sambungnya dengan keras sebelum menekan punat merah. Eijaz melemparkan telefonnya ke atas lantai. Dia meraup wajahnya. Tanpa dipinta air matanya menitis perlahan.
Kenapa…? Kenapa Liya?!
Aliya menekup wajahnya dengan bantal. Dia menangis sepenuh hatinya.
Eij.