Datuk Hashim mengetuk pintu bilik Afiyah perlahan.
Masih tidur ke?
Soalnya dalam hati. Tiba-tiba pintu dibuka dari dalam. Tersembul wajah Afiyah yang kelihatan masih basah.
"Sorry, papa ganggu ke? Papa nak ajak sarapan. Fiyah nak pergi mana-mana tak hari ini?" tanya Datuk Hashim dengan senyuman. Afiyah terdiam sejenak mendengar permintaan papanya itu.
"Kalau tak..."
"Okay. Kejap lagi Fiyah turun," potong Afiyah sebelum menutup pintu biliknya semula. Datuk Hashim yang agak terkejut mendengar kata-kata gadis itu akhirnya tersenyum lebar. Dia berlalu dengan perasaan gembira.
*****
Afiyah memandang sekeliling.
"Liya dah keluar. Katanya nak jumpa kawan," beritahu Datuk Hashim apabila melihat gerak geri gadis itu seperti mencari seseorang. Afiyah mengangguk perlahan. Dia mengambil tempat berdepan dengan papanya. Datuk Hashim menuangkan kopi ke dalam cawan dan meletakkannya di hadapan Afiyah.
"Daf ada call tadi. Dia beritahu hari ini dia akan pulang ke Melaka," beritahunnya. Afiyah yang sedang menyapu jem pada rotinya hanya membisu.
"Papa minta maaf kalau Fiyah rasa papa dah masuk campur dengan urusan peribadi Fiyah. Apa pun keputusan Fiyah itu hak Fiyah untuk tentukan. Papa akan sentiasa sokong Fiyah dari belakang," sambung Datuk Hashim dengan senyuman. Afiyah menarik nafas perlahan. Permintaan Daffa masih terngiang-ngiang di telinganya.
"Fiyah nak balik Melaka. Tapi bukan lah sekarang. Bila dah tamat pengajian nanti," beritahumya dengan tenang sambil memandang tepat wajah yang sudah dimamah usia itu. Datuk Hashim terkedu.
"Balik Melaka? Fiyah tak suka tinggal sini ke? Okay, papa faham Fiyah tak suka papa. Fiyah nak tak papa belikan Fiyah tempat kediaman yang dekat dengan kawasan ini?" soalnya bertalu. Riak wajahnya jelas menunjukkan kebimbangan. Afiyah menggeleng perlahan.
"Fiyah nak tinggal sana sebab dekat dengan mama. One thing, Fiyah nak minta maaf. Fiyah tahu Fiyah banyak berdosa dengan papa. Sebenarnya Fiyah pun penat. Penat nak marah papa, benci papa dan kutuk papa dari belakang. Fiyah bukan anak yang baik. Sebab itu Fiyah nak jernihkan suasana antara kita sebelum Fiyah kembali ke Melaka." Datuk Hashim terkedu sekali lagi apabila mendengar kata maaf daripada gadis itu.
"Fiyah bukan tak suka papa. Cuma tak biasa dengan papa. Papa tinggalkan Fiyah dan mama terlalu lama. Papa tak tahu yang selama ini dalam benci, Fiyah tetap rindukan papa. Papa adalah papa kandung Fiyah walaupun Fiyah seringkali nafikan hakikat itu. I’m sorry," sambung Afiyah kini dengan senyuman namun masih hambar. Datuk Hashim terketar-ketar menghulurkan tangannya kepada Afiyah. Air matanya menitis perlahan. Afiyah menyambut perlahan dengan perasaan berbaur.
Betul ke apa yang aku buat ini? Atau aku hanya menurut permintaan Daf?
"Papa tak tahu lagi nak cakap apa. Terima kasih sebab menerima papa semula," ucap Datuk Hashim dengan perasaan gembira yang sukar untuk dia gambarkan. Afiyah tunduk menyalami tangan papanya itu. Dalam diam dia mengeluh berat.
*****
“Thank you Zel,” ucap Daffa dengan senyuman hambar. Hazel menggeleng perlahan melihat wajah suram rakan baiknya itu. Sebulan yang lalu dia menerima panggilan daripada Daffa yang ingin meminta bantuannya untuk mendaftar di kolej tempatnya mengajar. Pada mulanya dia memang agak terkejut kerana dia tahu rakan yang satu universiti dengannya itu bukannya gila. Apabila Daffa cuba menjelaskan padanya akan sebab utama dia mendaftar di kolej itu baru lah dia bersetuju untuk membantu.
“Kau okay ke? Fiyah macam mana?” soal Hazel ingin tahu. Ainun Afiyah adalah sebab utama rakan baiknya itu berkelakuan sedemikian.
“Aku kena balik dengan tangan kosong Zel. Mungkin antara kami tak ada jodoh. Aku redha,” jawab Daffa dengan suara yang perlahan. Hazel menarik nafas dalam.
“Tak boleh bawa bincang ke masalah kau dan Fiyah? Aku dah lama kenal kau Daf. Kau bukan seorang yang mudah putus asa macam ini,” katanya yang kurang berpuas hati melihat lelaki itu yang kelihatan lemah dan tidak bersemangat. Daffa hanya mengeluh perlahan. Hazel memang tidak tahu sebab utama mengapa dia berpisah dengan Afiyah. Dia cuma memberitahu gadis itu yang dia berselisih dengan Afiyah dan bukannya disebabkan oleh mamanya. Daffa mengeluh lagi.
“Sorry Zel, aku balik dulu. Aku tak kemas barang lagi ini. Terima kasih sekali lagi Zel,” ucapnya lagi tanpa menjawab soalan Hazel. Daffa bangun dari kerusinya. Hazel ikut berdiri.
“Hati-hati. Jangan lupa call aku kalau nak daftar lagi,” balasnya separuh mengusik. Daffa hanya tersenyum hambar sebelum beredar. Hazel menggeleng perlahan melihat langkah lemah lelaki itu berlalu.
*****
Afiyah tersenyum hambar memandang mesej lelaki itu
"Take care. Forgive u dad and don't forget to miss me."
Fiyah mungkin akan rindukan Daf. Thank you Daf. Tak sangka mudahnya Fiyah maafkan papa. Walaupun Fiyah sebenarnya masih tak yakin yang Fiyah betul-betul dah maafkan papa tapi sekurang-kurangnya Fiyah dah ucapkan perkataan itu. Selebihnya biar masa yang menentukan. Fiyah masih belajar menerima kehadiran papa semula.
Afiyah mengeluh perlahan.
Rupanya selama ini Fiyah tak sedar Daf. Fiyah malu. Fiyah selalu ingatkan Daf supaya sayangkan mama Daf dan jangan lukakan hatinya. Tapi apa yang Fiyah buat kat papa selama ini adalah lebih teruk dari apa yang Daf buat kat mama Daf. Fiyah bukan sahaja tak dengar cakap papa. Malah biadab, kurang ajar dan maki papa sebab terlalu ikutkan dendam di hati.
Afiyah menggigit bibirnya. Keluhan berat dilepaskan lagi.
Selamat tinggal Daf. Jaga diri.Terima kasih untuk segalanya.
Ucap Afiyah dalam hati sambil memejamkan mata.
Ya Allah bantu hambamu ini untuk melupakan dia.
*****
Eijaz memandang Puan Sri Erma dengan pandangan yang kurang percaya.
"Terkejut sangat itu dah kenapa? Bukan kamu memang suka ke family uncle Shim datang melawat?" soal Puan Sri Erma sambil membelek buku resepinya.
"Malam ini?" soal Eijaz masih inginkan kepastian.
"Malam esok. Dah tak sabar?" balas Puan Sri Erma sambil tergelak kecil.
"Ish, mama ini. Tak, cuma terkejut," nafi Eijaz sambil cuba menyambung bacaannya semula. Namun fokusnya sudah hilang. Puan Sri Erma beralih memandang Eijaz yang sedang berbaring di atas sofa.
"Mama nak tanya ini. Eij dan Liya macam mana?" soalnya ingin tahu. Eijaz agak terkedu dengan soalan wanita itu.
"Okay," jawabnya perlahan tanpa memandang mamanya. Terangkat kening Puan Sri Erma mendengar jawapan lelaki itu.
"Okay? Are you sure? Kalau okay kita boleh bincang terus pasal Eij dan Liya nanti," katanya selamba sambil memandang buku resepinya semula. Sekali lagi Eijaz terkedu mendengar kata-kata Puan Sri Erma.
"No!" balasnya dengan kuat sambil duduk berdepan dengan mamanya.
"Terkejut mama. Kenapa pula? Lagi elok kalau dipercepatkan. Lagipun Eij dan Liya dah lama sangat bercinta," balas Puan Sri Erma dengan keningnya yang berkerut memandang Eijaz. Lelaki itu jelas kelihatan gelisah. Eijaz menggigit bibir.
"Tak ready lagi ma. Please," jawab Eijaz cuba meminta simpati. Puan Sri Erma menggeleng perlahan.
"Kamu buat hal ke Eij? Dulu mama dah pesan dah. Tapi kalau Eij dah buat hal macam ini, mama tak nak tolong. Eij selesaikan sendiri masalah Eij itu," katanya dengan nada tegas sebelum berdiri untuk berlalu ke dapur. Sebagai ibu kepada lelaki itu, dia dapat merasakan yang hubungan Eijaz dan Aliya ada masalah. Namun dia tidak pasti apa masalah tersebut. Harap-harap tidak seperti yang dia fikirkan sekarang. Eijaz mengeluh perlahan.
*****
Aliya tersenyum sinis memandang Datuk Hashim dan Afiyah yang sedang berbual di ruang tamu.
Apa pula muslihat perempuan tak guna itu kali ini.
"Liya, sini sayang. Papa nak beritahu sesuatu," panggil Datuk Hashim lembut apabila melihat Aliya yang baru turun dari tingkat atas. Aliya tersenyum mengangguk. Dia mengambil tempat di sebelah papanya. Afiyah yang duduk berdepan dengan mereka dijelingnya penuh benci. Afiyah hanya bersandar tenang pada sofa.
Mungkin aku dah maafkan papa. Tapi kau? Jangan harap!
Kata Afiyah dalam hati. Dia membalas pandangan Aliya dengan senyuman lebar.
"Papa nak beritahu apa? Panas lah kat sini pa. Cepat lah beritahu," gesa Aliya apabila melihat senyuman Afiyah. Mahu muntah dia melihat senyuman palsu gadis itu. Datuk Hashim tergelak kecil.
"Okay macam ini. Malam esok papa nak bawa Liya dan Fiyah melawat uncle Rul dan aunty Erma. Hari itu papa ada beritahu Liya pasal ini. Ingat tak?” soal Datuk Hashim cuba mengingatkan. Aliya hanya mengangguk perlahan.
“So, pastikan Liya dan Fiyah kosongkan jadual malam esok. Boleh?" pinta Datuk Hashim sambil memandang kedua-dua gadis itu silih berganti. Aliya terdiam sejenak. Maksudnya malam esok dia akan bertemu dengan Eijaz. Aliya memandang Afiyah.
"Okay pa," jawab Afiyah dengan senyuman sinis. Aliya mengeluh perlahan.
"Liya? Liya macam mana?" soal Datuk Hashim apabila gadis itu hanya membisu.
"Oh..., okay," jawab Aliya dengan senyuman hambar.
"Liya naik dulu pa," katanya sebelum berdiri dan terus berlalu.
"Malu lah itu. Nak jumpa bakal keluarga mentua katakan," kata Datuk Hashim sambil menggeleng tersenyum. Terangkat kening Afiyah mendengar kata-kata papanya.
Bakal mentua?
*****
Aliya menarik nafas perlahan. Belum sempat dia menekan nombor Eijaz telefonnya pula berdering. Aliya mengeluh perlahan. Dia agak serba salah melihat nama Eijaz yang terpampang pada skrin telefonnya. Perlahan jarinya menekan punat hijau.
“Liya,” panggil Eijaz perlahan.
“Liya minta maaf,” balas Aliya juga dengan suara yang perlahan. Eijaz mengeluh perlahan.
“Apa maksud Liya?” soalnya dengan perasaan berbaur.
“Hari itu Liya terlalu ikutkan perasaan. Liya tak sanggup berpisah dengan Eij. I’m sorry,” ucap Aliya dengan perasaan bersalah.
“Okay. Eij maafkan Liya. Tapi dengan syarat. Eij nak Liya beritahu dengan semua orang tentang kita. Biar Fiyah juga tahu. Eij dah tak sanggup buat kerja bodoh ini,” balas Eijaz dengan nada tegas.
“No! Eij boleh letak apa aje syarat tapi bukan yang itu. Eij, selagi perempuan itu ada kat rumah ini, selagi itu Liya tak nak berhenti buat kerja bodoh ini. Liya benci perempuan itu Eij!” kata Aliya dengan suara keras. Eijaz terkedu. Bibirnya terkunci mendengar kata-kata Aliya.
“Eij please,” pinta Aliya separuh merayu. Eijaz pantas menekan punat merah. Dia mendengus geram.
Give up? Dulu aku pernah ucap perkataan itu pada Liya. Tapi aku tak pernah maksudkannya. Tapi kini lain. Aku memang betul-betul dah give up dengan Liya.
Eijaz meraup wajahnya perlahan. Aliya yang masih memandang telefon bimbitnya melepaskan keluhan berat.
*****
Suha memeluk lengan sahabatnya itu. Afiyah tersenyum membalas pandangan gadis itu.
"Jangan sedih lagi tau," kata Suha dengan senyuman.
"Insya Allah," jawab Afiyah tenang
"Dilarang untuk merindui si dia," usik Suha. Afiyah hanya tersenyum.
"Tak janji," balasnya turut mengusik.
"Fiyah," Suha mencubit pipi gadis itu. Afiyah tergelak kecil.
"Assalamualaikum," ucap satu suara yang kedengaran agak kuat. Afiyah dan Suha serentak menoleh. Dahin tersenyum ceria sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah mereka.
"Happy nampak. Tak nak kongsi dengan saya?" soalnya sambil berjalan menghampiri kedua-dua gadis itu. Suha tersenyum kecil.
"Wah! Awal pagi dah macam pak imam dah," perlinya sinis.
"Tak baik tau. Apa salahnya. Bakal suami mithali memang macam itu," balas Dahin sambil mengerling Afiyah yang hanya membisu.
"Amin," doa Suha dengan ikhlas. Telefon Afiyah yang berdering kuat membuatkan langkah mereka terhenti dengan serta merta.
"Suha masuk lah dulu," kata Afiyah sebelum berlalu meninggalkan Suha dan Dahin.
"Fiyah okay ke?" soal Dahin prihatin. Terangkat kening Suha memandang lelaki itu.
"Daffa ada datang jumpa aku sebelum balik hari itu," beritahu Dahin tanpa dipinta. Suha agak terkejut mendengar kata-kata lelaki itu.
Jadi maknanya mamat ini dah tahulah cerita sebenar? Baguslah. Tak payah lagi aku nak ulang banyak kali.
Suha tersenyum mengangguk.
"Maknanya kau ada peluang lagi lepas ini," usiknya dengan senyuman nakal. Dahin hanya tersenyum sebelum menyambung langkahnya semula. Suha menuruti langkah lelaki itu dengan senyuman panjang.